Wednesday, August 30, 2006

MAWI - INA DIPERBODOHKAN OLEH STESEN TV

MAWI - INA DIPERBODOHKAN OLEH STESEN TV
 
Seluruh negara malam semalam tertumpu di hadapan tv masing-masing untuk menonton satu lagi fenomena baru di dalam industri penyiaran negara. Stesen TV3 menghidangkan majlis persandingan Siti Nurhaliza dengan Datuk K. Dengan penuh angkuh dan sombong, TV3 yang bangga mendapat hak siaran eksklusif dari pihak  pengantin semenjak majlis pernikahan lagi telah berjaya membunuh saingannya iaitu Astro dan RTM.
   Angkuhnya TV3 sehinggakan stesen lain dan wartawan hanya dibenarkan mengambil gambar pada petang majlis persandingan dan liputan hanya dibuat di luar dewan jamuan dengan menghadap skin besar yang disediakan.
   Gelagat TV3 itu sebenarnya sudah dapat di baca oleh stesen tv lain. Maka tidak hairanlah Astro dan RTM bekerjasama buat pertama kalinya menyiarkan siaran langsung temubual antara Mawi dan bekas tunangnya Ina.
   Dalam perniagaan persaingan sebegini amat sihat kerana negara kita mengamalkan kebebasan berniaga dengan syarat memenuhi keperluan dan kehendak perundangan negara. Semua stesen tv sama ada swasta atau kerajaan memang inginkan rancangan mereka menjadi tontonan dan digemari ramai.
   Namun dalam ghairah mengejar populariti dan bersaing stesen mana yang paling ramai ditonton, apakah sanggup mengadaikan maruah dan air muka seseorang?. Selain faktor keghairahan bersaing untuk mengumpan penonton, stesen tv juga telah memperalatkan dua orang muda ini yang masih mentah dalam mengenal erti kehidupan supaya mengikut telunjuk dan terlibat dalam perang stesen tv ini. Apakah wajar kita mempertontonkan dua orang muda ini yang dalam kebingungan dan serba salah dengan membongkarkan kisah silam mereka semasa mengecapi alam percintaan pertunangan?.
   Bagi Mawi ia tidak dapat mengelak arahan dari majikannya untuk muncul dalam rancangan yang sedikit sebanyak mengaibkan maruahnya. Bagi Ina pula, seorang gadis kampung yang baru merasa erti kehidupan penuh ranjau di kota, taburan wang ringgit sanggup diutamakan walaupun maruah dan nilai kesopanan sebagai gadis Melayu diperdagangkan oleh stesen tv. Umpan wang ringgit kepada golongan muda ini telah mengaburi nilai dan maruah dan sanggup pula digadaikan demi kemewahan.
   Kelemahan dua budak kampung ini yang menjadi glamor seperti mee segera ini telah dipergunakan oleh berbagai pihak untuk mengaut keuntungan tanpa memikirkan maruah dan harga diri dua orang muda itu. Apakah stesen tv berkenaan berani membuat rancangan sebegini jika diandaikan dua anak muda itu anggpta keluarga mereka atau kakitangan mereka?.
   Mawi dan Ina sebenarnya telah diperbodohkan oleh stesen tv berkenaan demi mengejar keuntungan dan menjaga maruah stesen tv terbabit. Mawi-Ina diperbodohkan dan menjadi seperti lembu yang dicucuk hidung gara-gara perang stesen tv yang berpunca dari kesombongan TV3 yang telah mendapat hak penyiaran persandingan Siti-Datuk K. Hasad dengki dalam perniagaan dan risau stesen tv mereka tidak ditonton oleh orang ramai menyebabkan Astro dan RTM boleh bekerjasama sedangkan semua orang tahu Astro amat sombong juga sebagai stesen tv berbayar yang paling diminati dan ramai pelanggannya.  
   Inilah fenomena baru stesen tv  di negara kita. Selepas ini jangan terkejut akan ada rancangan seperti ini tetapi topiknya mungkin pertemukan dua artis yang telah bercerai pula. atau pun mempertemukan dua artis yang bergaduh berebut seorang jantan.
   Jika Siti tidak berkahwin, saya rasa tiada rancangan mempertemukan Mawi dan Ina. Juga jika tidak kerana putus tunang, Ina tidaklah seglamor sebegini dan masih lagi bekerja di kilang.
   Mungkin selepas beberapa tahun lagi apabila Mawi dan Ina telah melalui proses pendewasaan dan kematangan dalam hidup akan menyedari bahawa diri mereka telah dipergunakan oleh pihak tertentu. Semuanya hendak mengejar glamor dan publisiti. Inilah Melayu Baru dan Melayu Glokal yang telah mula mengenepikan nilai murni orang Melayu dan hidup bersopan santun dan berbudi pekerti. Seolah-olah ada double standard di antara laungan kerajaan dan pihak swasta.
   Lebih malang lagi pengakhir cerita pertemuan Mawi dan Ina itu tidak ada apa-apa pun sebenarnya. Yang ada hanyalah dua badut orang muda yang menjadi seperti lembu yang diperbodohkan oleh stesen tv. Cerita ini tidak akan habis sebegini sahaja dan akan menjadi topik perbualan semua pihak berbulan-bulan lamanya. Siapakah dalang yang cuba melalaikan rakyat dengan disogokkan isu murahan yang sesungguhnya melekakan terutamanya golongan muda?.     
   Apakah ini sebenarnya kemerdekaan atau kebebasan mutlak yang telah kita kecapi selama 49 tahun di mana sudah boleh melontarkan nilai kemanusiaan dan adat sopan semata-mata kononnya sekarang ini zaman alaf baru dan Melayu sudah maju?. Jika setakat maju dalam perniagaan sehingga sanggup menggadaikan maruah dan jati diri, apa maknanya?.
   Semakin maju orang Melayu semakin terserlah nilai keruntuhan akhlak. Mungkin selepas ini akan ada siaran langsung pengakuan pasangan gay atau lesbian untuk tontonan semua. Ataupun pengakuan mengapa seseorang itu keluar dari Islam?. Cerita sensasi dan glamor seperti ini akan menarik minat saingan di pihak stesen tv demi mengejar keuntungan. 
  

Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com

No comments: