Saturday, August 05, 2006

KIBAR JALUR GEMILANG KERANA TERPAKSA PERLU DIHAKIS

KIBAR JALUR GEMILANG KERANA TERPAKSA PERLU DIHAKIS
 
Dalam suasana menyambut ulang tahun kemerdekaan negara sudah pasti Jalur Gemilang menjadi simbol yang tersangat penting. Ini adalah lambang patriotisme yang cukup nyata dan berkesan untuk dibuktikan.
 
Bagi sesetengah orang, semangat patriotisme tidak semestinya dengan mengibarkan bendera kebangsaan tetapi dengan bermacam cara. Malah ada yang berkata patriotisme tidak perlu ditunjukkan kerana ia ada dalam hati sanubari masing-masing. Itu merupakan pandangan sebahagian rakyat negara kita apabila diajukan soalan " Kenapa mereka enggan mengibarkan Jalur Gemilang?". Malah ada juga yang berpendapat tindakan mereka tidak mengibarkan Jalur Gemilang adalah sebagai tanda protes kepada kerajaan.
 
KIta tidak mempunyai hak dan kuasa untuk memastikan semangat patriotisme rakyat sudah pudar atau sentiasa berkobar di dalam hati. Setiap tahun kerajaan akan berdepan dengan masalah yang sama apabila tiba bulan Ogos. Kerajaan seolah-olah "terpaksa" memaksa orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang untuk menghidupkan suasana patriotik dan cintakan negara sempena bulan menyambut kemerdekaan.
 
Sikap pasif hampir sebahagian besar rakyat negara ini cukup ketara apabila tiba bulan kemerdekaan negara. Bagi mereka tarikh 31 Ogos tidak lebih daripada hari kelepasan am untuk bersuka ria dan pergi bercuti. Lebih baik sekiranya pada hari itu diadakan program dan aktiviti khas di sekolah-sekolah mahupun di tempat kerja masing-masing bagi menghidupkan kegemilangan tanah air ketika mencapai kemerdekaan.
 
Kita takut nanti lama-kelamaan rakyat negara ini terutamanya generasi muda akan semakin lupa bagaimana untuk menunjukkan rasa kasih dan hormatkan tanah air melalui bendera kebangsaan. Biarlah kita kibarkan Jalur Gemilang bukan kerana terpaksa tetapi kerana kasihkan negara. Jangan kita biar ia terhakis semata-mata kerana ia saranan kerajaan.
 
Sikap negatif masyarakat yang menyamakan kempen kibarkan Jalur Gemilang sebagai langkah menyokong kerajaan adalah tidak tepat sama sekali. Perlu ditanamkan semangat di jiwa seluruh rakyat Malaysia bahawa mengibarkan Jalur Gemilang adalah suatu tanggungjawab wajib setiap warganegara Malaysia. Cuma apa yang perlu dilakukan sekarang ialah memperbetulkan tanggapan segelintir masyarakat supaya niat mengibarkan bendera kebangsaan adalah datang dari rasa kecintaan mereka terhadap tanah air dan bukannya dipaksa-paksa.
 
Sambutan dingin orang ramai setiap kali tiba bulan kemerdekaan untuk mengibarkan Jalur Gemilang adalah juga berpunca daripada kurangnya kefahaman fungsi Jalur Gemilang. Hanya orang yang tidak tahu menghargai kedaulatan negara akan berpendapat bendera bukan lambang untuk menyatakan rasa cintakan tanah air.
 
Terdapat juga segelintir daripada kita yang "terlebih patriotik" sehingga membiarkan Jalur Gemilang berkibar sejak tahun lepas lagi tanpa menurunkannya. Mereka ini membiarkan bendera kita menjadi lapuk dan usang di makan panas dan hujan sehingga pudar, rosak, koyak dan sakit mata memandang.
 
Sikap rakyat sebegini menunjukkan mereka tidak tahu menghargai erti sebenarnya bendera kebangsaan yang menjadi kebanggaan kita semua. Seolah-olah mereka acuh tak acuh dan tidak prihatin terhadap bendera negara. Juga seperti mereka ini terpaksa mengibarkan Jalur Gemilang dan sebagai memenuhi syarat dan menunjuk-nunjuk kepada orang lain mereka juga mengibarkan bendera kebangsaan sehingga lupa tanggungjawab dan kasih terhadap lambang kedaulatan negara dan membiarkannya lusuh di makan hari.
 
Bendera sebagai satu simbol kedaulatan sesebuah negara yang merdeka. Kalau kita kibarkan bendera bermakna kita mengangkat maruah negara, mendaulat dan mengagungkan negara sebagai negara yang merdeka kepada dunia luar. Kita mengibarkan Jalur Gemilang bukan untuk keseronokan atau sengaja untuk memeriahkan suasana, tetapi maksudnya lebih mendalam dan ada simboliknya.
 
Apa yang menyedihkan oalah sikap segelintir masyarakat yang masih memandang rendah dan mempersendakan usaha kerajaan melalui kempen mengibarkan Jalur Gemilang. Mereka masih berharap mendapatkan bendera percuma menjelang 31 Ogos. Tanpa bendera percuma jangan haraplah mereka ini hendak mengibarkan bendera di rumah atau di premis perniagaan mereka.
 
Sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia berasa malu apabila kerajaan menegaskan akan mengunjungi rumah dan premis perniagaan untuk bertanyakan mengapa tidak mengibarkan Jalur Gemilang, sedangkan itu tanggungjawab kita sebagai rakyat.
 
Seluruh bangsa Malaysia seharusnya memandang serius soal bendera kebangsaan sebagai perlambangan jati diri kita. Usahlah dipertikaikan berdasarkan pandangan sempit dan emosi masing-masing. Walaupun kita mempunyai pelbagai fahaman politik, kaum dan agama, namun kita masih berada di bumi yang bernama Malaysia. Walau parti politik mana pun yang memerintah, bendera kebangsaan  yang akan di pakai tetap Jalur Gemilang. Adalah tidak adil bagi kita menghukum Jalur Gemilang dengan tidak mengibarkannya semata-mata kerana kepercayaan politik yang melampau.
 
Rakyat Malaysia yang cintakan tanah air harus malu sekiranya pemikiran sempit menguasai diri mereka. Dingin atau semaraknya perasaan patriotisme setiap dari kita menjelang 31 Ogos ini adalah terletak pada tanggungjawab masing-masing.
 
Bangsa yang merdeka dan hidup dalam suasana makmur serta harmoni harus meraikannya sebagai tanda syukur di atas nikmat kemerdekaan hari ini.
 
 



The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com

No comments: