Monday, August 14, 2006

TIDAK PERLU PENGGILIRAN KM, MASALAH MELAYU PULAU PINANG LEBIH PENTING

 
TIDAK PERLU PENGGILIRAN KM, MASALAH MELAYU PULAU PINANG LEBIH PENTING
 
Penolakan isu penggiliran Ketua Menteri Pulau Pinang oleh Perdana Menteri baru-baru ini amat tepat dan wajar sekali. Isu yang ditimbulkan oleh beberapa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian di Pulau Pinang sebenarnya suatu isu remeh yang akhirnya nanti menjejaskan perpaduan di antara parti komponen Barisan Nasional (BN).
 
Kemungkinan Pemuda UMNO membayangkan Ketua Menteri sekarang akan ditukarkan ke Pusat apabila Presiden Gerakan bersara nanti, akan memberikan satu ruang untuk menagih simpati agar jawatan Ketua Menterinya digilirkan antara parti komponen BN. Jangkaan mereka ini amat meleset sekali dan tidak mengambil iktibar daripada masalah yang timbul semasa Sabah diperkenalkan sisitem penggiliran KM suatu masa dahulu.
 
Lebih eloklah Pemuda UMNO Pulau Pinang memperkasakan organisasi mereka dan perjuangkan masalah kemiskinan dan jurang ekonomi yang sangat ketara di antara Melayu dan kaum Cina. Melayu Pulau Pinang jauh ketinggalan sebenarnya dibandingkan dengan negeri-negeri maju yang lain. Alasan Ketua Menteri bukan dari UMNO menjadi penyebab utama Melayu Pulau Pinang mundur tidak boleh diterima sama sekali.
 
Apakah disebabkan gagal membangunkan ekonomi orang Melayu dan membasmi kemiskinan maka tuntutan jawatan Ketua Menteri perlu dipenuhi?. Alasan lapuk sebegini perlu dihakis daripada minda Pemuda UMNO jika inginkan orang Melayu dapat menikmati tempias arus perbangunan yang berkembang maju di Pulau Pinang.
 
Sepatutnya Pemuda UMNO perlu menggerakkan sikap dan mentaliti orang muda Pulau Pinang untuk turut sama meraih beberapa projek mega yang bakal dibina. Mereka sepatutnya menuntut agar orang Melayu dapat manfaat daripada projek tersebut. Projek pembinaan monorel, Jambatan Kedua Pulau Pinang dan Penang Outer Ring Road (PORR) adalah contoh projek mega yang bakal memberi peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat tempatan.
 
Pemuda perlu menggunakan kuasa desakan politik untuk memastikan agihan sub kontraktor, peluang pekerjaan dan industri hiliran yang berkaitan dengan pembinaan projek tersebut dinikmati dan diambil kesempatan sepenuhnya oleh usahawan Melayu Pulau Pinang. Jangan hanya pandai menang sorak tetapi kampung tergadai. Inilah peranan sebenar Pemuda UMNO Pulau Pinang untuk memperjuangkan nasib orang Melayu. Bukan sekadar cakap kosong sahaja tetapi tiada tindakan yang praktikal.
 
Eloklah Pemuda UMNO mendesak kerajaan supaya meletakkan beberapa prosedur dan syarat kepada pemaju projek supaya mengagihkan peluang perniagaan sebagai pembekal atau kontraktor kepada usahawan Melayu Pulau Pinang. Jika perlu mendapatkan sokongan daripada Ketua Menteri, lakukan segera dan ini lebih dihormati perjuangan Pemuda UMNO daripada mendesak jawatan Ketua Menteri digilirkan.
 
Beberapa tahun  dahulu bekas Perdana Menteri semasa mengiringi Sultan Brunei melawat sekitar Teluk Bahang dan Batu Feringgi pernah mengatakan walaupun secara keseluruhan Pulau Pinang telah membangun, tetapi masih ada kawasan penempatan yang kelihatan seperti zaman tahun 50-an dengan keadaan rumah kayu yang tidak begitu selesa.
 
Masih terdapat penempatan Melayu di pusat bandar Georgetown, Air Hitam, Jelutung, Batu Uban, Sungai Nibung Besar dan Sungai Nibung Kecil yang berumah kayu lusuh dan buruk yang kelihatan tersepit di celah rumah teres, banglo, pangsapuri dan bangunan pencakar langit. Memang mereka boleh tinggal dalam rumah yang selesa kerana Pulau Pinang begitu banyak projek perumahan. Persoalannya berapa keratkah orang Melayu yang boleh membelinya jika sebuah rumah teres yang di bina di Sungai Ara tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas berharga RM200,000 ke atas?.
 
Pembangunan negeri yang tidak seimbang menyebabkan ramai rakyat Pulau Pinang yang miskin dan tertinggal arus pembangunan. Malah ada ejekan dari kaum lain yang mengatakan pendapatan per kapita di Pulau Pinang mungkin lebih tinggi jika tidak kerana kemiskinan orang Melayu Pulau Pinang.
 
Perlu dilakukan sesuatu usaha yang serius untuk mengangkat kaum Bumiputera ditempat yang sewajarnya dalam bidang-bidang yang mereka ketinggalan. Masalah ini bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi diseluruh negara terutamanya di dalam bandar. Melayu Pulau Pinang di "Tanjung" lebih daif daripada di "Bagan" secara realitinya. Melayu "Tanjung" sukar untuk bersaing dengan kaum Cina dalam perniagaan tanpa bantuan daripada kerajaan.
 
Kerajaan Pusat telah menyalurkan bantuan berbilion ringgit untuk membantu Melayu Pulau Pinang tetapi hakikatnya tanpa sokongan kerajaan negeri dan agensi-agensinya seperti Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai, Unit Penyertaan Bumiputera Pualau Pinang, PERDA, Jabatan Pembangunan Negeri dan Majlis Agama Islam sebagai perancang pembangunan, usaha membantu Melayu di negeri tersebut tidak akan meninggalkan kesan yang besar.
 
Inilah masalah yang perlu diberikan perhatian oleh pemimpin UMNO yang mewakili orang Melayu di negeri itu dan mereka perlu bertanya pada diri sendiri, adakah mereka sudah cukup berusaha untuk membantu mengangkat martabat orang Melayu atau bersikap " sudah nasib orang Melayu begitu, apa boleh buat".
 
Sekiranya orang Melayu tidak mampu menyewa atau memiliki premis niaga yang mahal, kenapa tidak didesak kerajaan negeri dan agensinya supaya menyediakan lebih banyak ruang niaga kos murah atau sederhana di bandar, pekan dan setiap projek perumahan baru yang dibina?.
 
Apakah Melayu tidak boleh berubah apabila harga tanah sudah meningkat berlipat kali ganda?. Apakah tanah-tanah orang Melayu yang diambil untuk projek mewah di Pulau Pinang telah diberi nilai pampasan yang sewajarnya seperti mana tanah kaum lain di ambil untuk tujuan pembangunan?.
 
Kita tidak ingin Melayu Pulau Pinang ketinggalan dalam arus pembangunan negeri. Apabila Pulau Pinang bertambah maju, biarlah orang Melayu menjadi sebahagian dari kemajuan tersebut. Yang penting singkirkan imej negeri sampah tidak terurus, Melayu terpinggir dan pembangunan tidak holistik. Inilah cabaran sebenar orang muda Pulau Pinang terutamanya Pemuda UMNO untuk membela nasib orang Melayu yang membangun dan terpinggir di negeri sendiri. 
 
 



The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com

No comments: