Tuesday, August 22, 2006

FAX perlu segera tunaikan janji untuk elak cemuhan rakyat Sarawak

FAX perlu segera tunaikan janji untuk elak cemuhan rakyat Sarawak
 
Apabila Fly Asian Xpress (FAX) mengambil alih perkhidmatan penerbangan di kawasan luar bandar (RAS) untuk sektor Sabah dan Sarawak daripada Penerbangan Malaysia (MAS) pada 1 Ogos lalu, ramai yang berkeyakinan syarikat yang dibayangi Air Asia ini akan memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang berbanding sebelumnya.
 
Namun harapan dan impian yang tinggi penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak menjadi luntur apabila perkhidmatan yang ditawarkan lebih kelam kabut daripada MAS. Sehinggakan ada yang memberikan pandangan supaya MAS mengambil balik perkhidmatan RAS daripada FAX kerana syarikat baru tersebut sangat lemah dalam perkhidmatan dan pengendalian penumpang dan kargo.
 
Pada pandangan saya, jika FAX masih belum bersedia mengambil alih perkhidmatan penerbangan tersebut, tangguhkan dahulu sehingga betul-betul bersedia. Apabila masalah timbul yang menyebabkan kerajaan negeri Sarawak amat marah, ia sebenarnya memalukan Bumiputera secara keseluruhannya kerana begitu gopoh dalam mengejar peluang dan keuntungan perniagaan.
 
Walaupun pengurusan FAX berkata mereka terikat dengan perjanjian dengan MAS, ia sebenarnya hanyalah janji bertulis dan perlulah juga mengutamakan keupayaan sebenar FAX dalam urusan pengambil alihan perniagaan. Tidak malu dan mencemar nama jika FAX masih belum mampu mengendalikan perkhidmatan RAS dan menangguhkan dahulu sehingga benar-benar yakin dan penuh keupayaan dalam perniagaan penerbangan.
 
Jika sebelum ini FAX begitu berkobar-kobar dan "down grade" kan perkhimatan yang dilakukan oleh MAS, sekarang ini seolah-olah seperti "paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih". Apa yang dapat dilihat sebenarnya FAX tidak menjalankan kajian yang terperinci sebelum mengambil alih tugasan MAS tersebut.
 
Di dalam memberikan perkhidmatan RAS, tanggung jawab sosial sebenarnya melebihi daripada mengejar keuntungan semata-mata. Itulah peranan yang dimainkan oleh MAS selama ini yang mendapat pujian daripada penduduk pedalaman Sarawak dan Sabah. Itulah juga yang diharapkan oleh penduduk Bario dan Baram di Sarawak. Setelah sekian lama mereka tiada masalah penghantaran dan penyerahan kargo, tiba-tiba FAX mengatakan mereka masih tiada lagi perkhidmatan kargo. Inilah yang dinamakan kurang kajian terperinci sebelum mengambil alih daripada MAS. Bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku?.
 
Mungkin sikap FAX sendiri yang memandang rendah MAS, mengakibatkan mereka terlupa keperluan asas pengendalian penerbangan di kawasan pedalaman. Mengapa baru sekarang menyedari bahawa pesawat Twin Otter dan Fokkernya tidak mempunyai kombi yang menjadi punca sebenar khidmat kargo gagal disediakan. Mengapa tidak belajar dan mengikut spesifikasi teknikal pesawat MAS sebelum mengambil alih perniagaan?.
 
Tidak menepati jadual penerbangan yang sentiasa lewat menyebabkan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak melenting kerana ia juga mengakibatkan gangguan kepada tugas kakitangan kerajaan. Ini sedikit sebanyak telah membantutkan usaha pembangunan kerajaan di kawasan pedalaman. 
 
Akibat tidak menepati jadual penerbangan juga, ramai guru dan pelajar di SMK Bario, SK Long Lellang, SK Long Seridan dan SK Pa' Dalih lewat menerima bekalan makanan dan ubatan kerana bekalan tersebut kini dihantar menggunakan jalan darat akibat ketiadaan perkhidmatan kargo oleh FAX. Perlu diingat sekolah-sekolah tersebut adalah sekolah berasrama desa yang disediakan oleh kerajaan akibat masalah perhubungan pelajar-pelajar yang sangat jauh dari rumah mereka untuk tiba ke sekolah awal.
 
Apakah Ketua Pegawai Eksekutif FAX, Raja Mohd. Azmi Raja Razali tidak menjalankan kajian secara menyeluruh dan mendekati masyarakat pedalaman Sarawak dan Sabah terlebih dahulu sebelum mengambil alih daripada MAS?. Ini kerana kenyataan beliau bahawa penghantaran bekalan makanan ke Bario dan Baram boleh dilakukan melalui jalan darat jelas menunjukkan amat cetek sekali pengetahuan am beliau terhadap pedalaman Sarawak yang kini menjadi sumber pendapatan syarikatnya.
 
Untuk makluman Raja Mohd. Azmi, proses penghantaran bekalan makanan dari Miri ke Bario terpaksa mengambil masa kira-kira 16 jam perjalanan dengan melalui jalan balak dan sungai. Ia mengambil masa 14 jam perjalanan dari Miri ke Pa' Barang melalui jalan balak dengan menggunakan pacuan empat roda. Perjalanan diteruskan dengan melalui sungai selama kira-kira satu jam menggunakan perahu untuk sampai ke hulu Sungai Baram. Ditambah lagi 30 minit perjalanan jalan balak untuk sampai ke Bario. Perkhidmatan penerbangan dari Miri ke Bario dengan menggunakan pesawat Twin Otter hanya memakan masa 50 minit sahaja berbanding 16 jam dengan jalan darat dan sungai.
 
Masalah FAX adalah kerana perancangan yang dibuat tidak mengikut kehendak realiti masyarakat setempat. Walau banyak mana pun pesawat ditambah tetapi ia tidak memenuhi kehendak pelanggan, tidak berguna juga. Subsidi yang diberikan oleh kerajaan semasa pengambil alihan daripada MAS hendaklah dimanfaatkan kepada penduduk dan pengguna perkhidmatan FAX dengan sebenar-benarnya. Kita tidak mahu FAX mengambil kesempatan daripada subsidi yang diberikan oleh kerajaan dengan mengabaikan tanggungjawab sosialnya terhadap masyarakat pedalaman Sabah dan Sarawak.
 
Janganlah hanya memikirkan sektor penerbangan yang boleh menjana keuntungan segera seperti sektor Miri - Labuan dan Bintulu - Sibu sehingga terlupa pesawat Twin Otter nya tidak mempunyai kombi untuk membawa kargo ke kawasan pedalaman. Tempoh penerbangan Miri - Sibu dan Miri - Bario adalah sama iaitu 50 minit. Namun tambangnya adalah berbeza iaitu Miri - Sibu RM25 sehala dan Miri - Bario RM13 sehala. Sektor Miri - Bario lebih murah kerana subsidi yang diberikan oleh kerajaan. Namun begitu subsidi tersebut janganlah digunakan untuk meraih keuntungan sektor yang lebih aktif dan meminggirkan sektor pedalaman.
 
FAX jangan segan dan malu untuk belajar daripada MAS cara-cara mengendalikan perkhidmatan RAS. Pengalaman berpuluh tahun MAS mengendalikan RAS di Sabah dan Sarawak wajar dimanfaatkan oleh FAX. Ketepikanlah seketika ego perniagaan masing-masing demi memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada penduduk Malaysia di pedalaman. Pengorbanan tanggungjawab sosial FAX akan dihargai jika perkhimatan yang diberikan bagus dan terurus.


Kini dengan simpanan sebanyak 1GB
http://my.mail.yahoo.com/

No comments: