Tuesday, August 15, 2006

PERANGI JENAYAH RAGUT PERLU PENGORBANAN ORANG RAMAI

PERANGI JENAYAH RAGUT PERLU PENGORBANAN ORANG RAMAI
 
Jenayah ragut kini semakin berleluasa di mana-mana sahaja, tidak kira di bandar mahupun di kampung. Agak sukar sebenarnya untuk membenteras penjenayah ragut ini kerana kita tidak tahu bila akan berlaku dan siapa yang akan melakukannya. Mengharapkan anggota polis sahaja untuk membenterasnya amatlah tidak adil sama sekali. Ini kerana tiada siapapun akan tahu bila jenayah ini akan berlaku. Silap hari, kita sendiri yang kena ragut walaupun kita telah ditanamkan sikap berhati-hati untuk mengelak dari berlaku.
 
Bagi penjenayah dan sesiapa sahaja yang gemar melakukan kejahatan, ragut adalah "kerja yang paling mudah dan menguntungkan dalam sekelip mata sahaja". Apa tidaknya, dengan beberapa saat sahaja, dompet, telefon bimbit atau beg tangan telah berjaya dilarikan oleh peragut. Sedikit atau banyak "hasil ragut" bergantung kepada nasib. Itu sebabnya peragut boleh membuat "kerja mudah" ini berulang kali dalam sehari. Sekali berjaya akan menyebabkan mereka "gian" untuk melakukannya lagi.
 
Yang menjadi mangsa ialah kita sendiri. Walaupun kita sering berhati-hati, namun peragut yang tidak berhati perut ini tidak mengenal mangsa. Mereka melihat situasi yang sesuai dan "keputusan" dibuat dalam sekelip mata sahaja untuk menjalankan kerja yang terkutuk ini. 
 
Pelaku jenayah ragut semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Tidak dinafikan mereka ini adalah golongan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kebanyakannya juga terbabit dengan penyalahgunaan dadah. Cara mudah pada mereka untuk mendapatkan wang untuk membeli dadah ialah meragut. Ada juga peragut yang melakukan jenayah ragut semata-mata kerana inginkan wang lebih untuk membeli barangan berharga kerana gaji yang diterima setiap bulan kecil, sedangkan nafsu kebendaan mereka sangat besar.
 
Statistik jenayah ragut dalam enam bulan pertama tahun ini secara puratanya 26.33 kes sehari amat mengejutkan dan membimbangkan. Data ini diperolehi dari sejumlah 4,766 kes dalam tempoh yang sama. Jumlah ini direkodkan adalah berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh mangsa jenayah ragut. Yang tidak melaporkan kepada polis tidak dinafikan banyak juga. Kesimpulannya jenayah ini meningkat saban tahun.
 
Lebih menyedihkan jenayah ragut kini melibatkan pula jenayah kekerasan dan kematian. Sungguh sedih mendengar berita apabila mangsa ragut terbunuh akibat mempertahankan barangan miliknya dari diragut oleh penjenayah. Peragut kini seolah-olah sudah dirasuk hantu apabila sanggup membunuh walaupun diketahui barangan yang diragut tidak setimpal dengan "kerja" yang dilakukan. Mereka seolah-olah sudah terdesak sehinggakan sanggup membunuh kerana sebuah telefon bimbit dan wang seratus ringgit. Inilah yang terjadi kepada pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman yang terbunuh selepas ditetak dengan parang.
 
Semua pihak perlu memainkan peranan di dalam membenteras jenayah ragus yang semakin mengganas sekarang. Mungkin pendapat "apa faedahnya menjaga tepi kain orang" perlu dihakis dalam konteks memerangi jenayah ragut ini. Kita kena prihatin dan membantu apabila berlaku jenayah ragut di hadapan mata kita. Mungkin ada yang berkata kita mungkin menempah maut apabila hendak membantu mangsa ragut kerana penjenayah mungkin bersenjata. Kita boleh memberhentikan kenderaan dan membunyikan hon apabila nampak peragut sedang melakukan "kerjanya". Cara ini akan membuatkan penjenayah itu tergesa-gesa meninggalkan tempat kejadian.
 
Bantuan dengan mengambil nombor kenderaan jika peragut itu menggunakan kenderaan sedikit sebanyak dapat membantu siasatan polis. Peragut yang berjalan kaki agak kurang popular dikalangan peragur sekarang ini. Walaubagaimanapun jenayah cara ini masih berlaku. Apabila ternampak kejadian tersebut, kita boleh menjerit untuk mendapatkan perhatian orang ramai untuk sama-sama memberkas peragut berkenaan.
 
Pokok pangkalnya bantulah jika kejadian ragut berlaku di depan mata kita. Mungkin hari ini bukan hari kita tetapi ia tidak mustahil terjadi kepada diri kita, keluarga kita, adik beradik dan rakan-rakan kita. Sekurang-kurangnya kita melaksanakan tanggungjawab sosial membantu polis dalam mengurangkan dan membenteras jenayah ragut.



The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com

No comments: