KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Presiden Amerika Syarikat (AS) George W. Bush akan tercatat dalam sejarah dunia sebagai penjenayah perang dan negara itu bersalah bagi keganasan.
"Ini adalah kerana beliau (Bush) bertanggungjawab dalam pembunuhan yang tidak sepatutnya ke atas lebih ramai orang daripada yang dilakukan oleh Saddam Hussein (bekas Presiden Iraq).
"Jika Saddam dianggap sebagai penjenayah perang dan wajar digantung mati begitu sahaja, dengan itu beliau (Bush) adalah penjenayah yang lebih teruk daripada Saddam," katanya dalam program 'One on One' yang disiarkan oleh Al-Jazeera malam ini.
Dalam temubual selama 20 minit itu, Dr Mahathir turut menyalahkan Perdana Menteri Australia John Howard dan rakan sejawatannya dari Britian Tony Blair kerana membantu dan bersubahat dengan AS dalam melancarkan perang ke atas Iraq.
"Mereka semuanya sama," katanya semasa ditanya oleh pengantara program itu sama ada Howard dan Blair juga patut dilayan sama seperti Bush.
Dalam penjelasannya, Dr Mahathir berkata Bush ialah penjenayah perang bagi semua pembunuhan dalam perang menentang Iraq yang dilakukan secara salah kerana ia tidak dipersetujui oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
"Mereka melancarkan perang ke atas Iraq di sebalik hakikat bahawa PBB tidak mempersetujuinya... jadi perang itu dilancarkan secara salah. Jadi mana-mana pembunuhan semasa perang itu adalah perbuatan membunuh dengan sengaja," katanya.
Dr Mahathir juga berkata bahawa Bush bukan sahaja menghina PBB malahan pentadbirannya sendiri apabila beliau memutuskan untuk menghantar 20,000 lagi anggota tentera ke Iraq tanpa mengambil kira pandangan yang diberikan oleh kongres.
"Inilah jenis orang yang dipilih oleh rakyat dalam sebuah kerajaan demokrasi. Ia membuatkan saya tertanya-tanya sama ada demokrasi adalah perkara terbaik seperti yang sepatutnya.
"Mungkin satu hari anda pilih seorang lelaki gila yang dengan sewenang-wenangnya menekan butang dan memulakan perang nuklear," katanya sambil melahirkan kebimbangan beliau bahawa Bush mungkin akan melakukan lebih banyak kesilapan dalam baki tempoh dua tahun lagi beliau menjadi presiden AS.
Mengenai isu Iran dan tenaga nuklear, bekas perdana menteri itu menyifatkan tanggapan Bush bahawa Iran akan menggunakan tenaga nuklear untuk menyerang negara lain sekiranya negara itu dibenarkan memiliki tenaga itu, sebagai naif dan tidak berasas.
"Kita takut dengan negara-negara tenaga nuklear. Jika negara-negara tenaga nuklear mempunyai hak untuk menghalang kita daripada menyerang mereka, dengan itu kenapa kita tidak boleh mendapat hak untuk menghalang negara-negara tenaga nuklear daripada menyerang kita.
"Siapa yang menyerang siapa pada masa sekarang? Adakah orang Islam yang pergi menawan negara-negara lain? Tidak, mereka tidak berbuat begitu. Mereka hanya mempertahankan diri sendiri," katanya.
Dr Mahathir berkata Iran juga berhasrat untuk menghalang pihak lain daripada menyerangnya kerana mereka pernah diserang oleh Iraq atas hasutan AS.
"Selama lapan tahun mereka telah kehilangan satu juta orang. Jika AS yang kehilangan satu juta orang, anda tahu apa yang akan dilakukan oleh AS? Mereka akan bom seluruh dunia," katanya.
Ditanya mengenai kenyataan beliau baru-baru ini bahawa Bush menjadikan Iran sebagai sasaran seterusnya, Dr Mahathir berkata adalah satu kesilapan besar bagi Bush jika beliau bertindak ke atas Iran dan berfikir yang beliau akan terlepas seperti yang dilakukannya terhadap Iraq.
BERNAMA
1 comment:
Saya amat bertuju atas pandangan yg diberi oleh bekas PM kita, saya sebagai saudara baru pun tidak berpuas hati dgn tindakkan zalim bush itu. Dari fikiran saya harap umat islam kenalah berganding bahu untuk menetang angkara syaitan ini. Apabila kita islam anggap syaitan ada sebelah kita kenalah musnah dan bertindak secepat mungkin sebelum islam musnah.
Post a Comment