Friday, February 02, 2007

SINGAPURA PUNCA BANJIR BESAR?

SIASAT KESAN PENAMBAKAN SINGAPURA PUNCA BANJIR BESAR

Agak menarik apabila membaca kenyataan Pengarah Institut Kejuruteraan Kajian Pantai dan Lepas Pantai Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr. Ahmad Khairi Abdul Wahab baru-baru ini tentang punca kejadian banjir besar terutama di negeri Johor.

Ahmad Khairi meminta pihak berkuasa yang sedang merangka pelan menangani banjir di Johor agar mengambil kira faktor-faktor penyumbang bencana termasuk kesan dari projek penambakan laut oleh kerajaan Singapura.

Semua pihak termasuk kerajaan pusat dan negeri Johor harus mengambil serius pendapat beliau. Jika benar kerajan telus untuk merangka pelan menangani banjir, adalah molek dilibatkan sama secara terus dengan pihak Ahmad Khairi untuk membantu kajian tersebut supaya ianya lebih berasas dengan kaedah saintifik dan sistematik.

Saya percaya institut berkenaan pasti akan memberikan kerjasama dengan penuh komitmen dalam membuktikan sikap bertanggungjawab pihak profesional membantu kerajaan agar bencana terburuk di abad ke 21 ini tidak berulang.

Kesan penambakan oleh Singapura di Pulau Tekong Besar dan Pulau Ubin memberi kesan terhadap aliran air muara Sungai Johor yang berhampiran. Walaupun Menteri Besar Johor pernah menegaskan bahawa kerajaan negeri akan melakukan kajian terperinci mengenai kesan penambakan tersebut, hakikatnya jika tiada bukti saintifik dan pengkajian dari pakar, ia boleh menyebabkan kerisauan kembali berulang kepada penduduk Johor apabila tiba musim hujan lebat.

Selanjutnya pihak Ahmad Khairi perlu membentangkan bukti kukuh jika benar projek penambakan oleh Singapura telah mengakibatkan kedudukan muara Sungai Johor menjadi semakin sempit. Jika benar ianya akan menimbulkan satu lagi isu diplomatik antara Malaysia dan Singapura.

Persolannya jika terbukti kesalahan tersebut akibat kerja-kerja penambakan kerajaan Singapura, apakah tindakan diplomatik bakal diambil oleh kerajaan pusat?. Apakah boleh kita menuntut pampasan yang sewajarnya dari kerajaan Singapura?.

Kedudukan geografi muara Sungai Johor yang begitu hampir dengan dengan Pulau Tekong Besar telah memberikan kesan buruk kepada penduduk Johor. Akibat penambakan pulau tersebut, sistem air pasang surut telah berubah dengan mendadak. Ia telah mengakibatkan keadaan air pasang tinggi dan juga taburan hujan yang sangat luar biasa.

Perancangan teliti perlu mengambil kira faktor-faktor ini agar banjir besar tidak berulang kembali. Penambakan di kedua-dua pulau milik Singapura itu telah menyebabkan laluan air sungai tersekat di muara dan jika berlaku hujan lebat di kawasan pedalaman, maka air yang biasanya boleh keluar dengan lancar ke laut kini telah terhalang.

Dicadangkan kerajaan negeri atau kerajaan pusat melantik Institut Kejuruteraan Kajian Pantai dan Lepas Pantai UTM sebagai tonggak dan mengetuai kajian kesan penambakan oleh Singapura seperti yang dijanjikan oleh Menteri Besar Johor.

Kita mahu ianya dilaksanakan dengan segera dan tidak hanya ‘panas’ ketika isu bencana alam sibuk diperkatakan oleh semua pihak. Apabila keadaan telah reda, cadangan kajian ini pun ‘ditutup’ tanpa bersebab dan perkara ini ditimbulkan kembali apabila muncul sekali lagi bencana banjir besar.

Kerajaan perlulah tegas dan laksanakan apa yang dikata agar rakyat tidak lagi tertanya-tanya. Persoalan begini sering berlaku apabila berlaku sesuatu bencana. Penghujungnya sindrom kata “AKAN DILAKSANAKAN” sudah menjadi lumrah untuk menutup kata kemarahan dan asakan dari orang ramai sebagai ‘ubat’ meredakan seketika kehangatan sesuatu isu.

Kita tidak mahu di kemudian hari rakyat akan mengungkitkan bahawa seseorang itu seperti “cakap tak serupa bikin”. Kita mahu pemimpin mengotakan segala yang telah dijanjikan terutamanya kepada rakyat. “Kata mesti di kota”.

1 comment:

Anonymous said...

kenapa Mahathir tak masukkan seklai kekejaman ISA dalam program anjuraya ? Mengapa hanya cerita kekejaman ISA Amerika saja? kalau berani panggilah bekas tahanan ISA yang menderita di siksa polis mahathir.