Sunday, February 11, 2007

SIAPA NAK JAWAB KES MACAM NI??


Zulhaidi terpaksa sara diri sejak umur 13 tahun

Ketika berusia 13 tahun, beliau telahpun menyara kehidupannya sendiri dengan mengambil upah membasuh pinggan selepas waktu sekolah untuk membayar kos buku-buku sekolah dan sewa biliknya.
Zulhaidi Omar, 29, berkata beliau tidak pernah berniat untuk mengambil jalan mudah dengan mengabaikan persekolahan ataupun berjinak-jinak dengan dunia jenayah. Sebaliknya, beliau bekerja di restoren sehingga larut malam dan membasuh kereta untuk membiayai persekolahannya. Kini seorang eksekutif jualan dengan diploma pentadbiran perniagaan, Zulhaidi berkata beliau tidak pernah didera atau dibuang oleh keluarganya, tetapi dia cuma ingin berdikari.
Tanpa diketahui olehnya, Zulhaidi telah ditukar dengan bayi lain di sebuah hospital di Batu Pahat.
“Apabila saya masuk sekolah rendah, saya tahu saya berbeza dari keluarga yang lain kerana saya boleh kesan perbezaan dari rupa paras mereka dengan perawakan Cina saya yang ketara," katanya dalam satu sidang akhbar.
Selepas satu pertemuan yang tak disangka di antara beliau dengan keluarga asalnya lapan tahun lalu, Zulhaidi kini ingin menukar namanya kepada nama Cina.
Zulhaidi berharap pihak berkuasa akan membenarkannya menyatakan agama Buddha pada MyKadnya.
Pengerusi MCA cawangan Bandar Baru Tampoi Michael Tay berkata Zulhaidi tidak pernah diberikan peluang untuk memilih agamanya kerana satu kesilapan yang dilakukan selepas kelahirannya.
“Di bawah Perlembagaan Persekutuan, semua orang diberikan kebebasan untuk memilih agamanya sendiri, tetapi Zulhaidi tidak pernah diberikan peluang tersebut.
“Kami akan cuba kaedah diplomasi dahulu melalui rundingan dengan pegawai-pegawai negeri dan hospital di mana dia dilahirkan. Jika ianya gagal, kita terpaksalah menggunakan peruntukan undang-undang,” katanya, yang menambah peruntukan itu mungkin termasuk mengemukakan saman ke atas hospital terbabit kerana cuai.
Pegawai agama negeri tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan maklum balas.

No comments: