Sunday, February 04, 2007

VANIDA BERKORBAN UNTUK AKHIRAT

Pengorbanan Vanida untuk Akhirat OLEH Wahida Asrani

Semata-mata untuk menampakkan keberkesanan pada watak pesakit AIDS yang dipegang di dalam filem terbarunya, Akhirat, Vanida Imran sanggup menolak beberapa tawaran lakonan yang diterima, kerana memerlukan masa bagi menurunkan berat badannya.

Filem Akhirat, yang bakal diarahkan oleh Syed Mohamed Hassan itu nanti akan menyaksikan Vanida, atau lebih mesra dengan panggilan Vee, memegang peranan sebagai Nurin Amira, yang mengalami penderitaan emosi dan fizikal setelah disahkan menghidap penyakit tersebut.
"Saya berazam untuk turunkan berat sebanyak 5 kilo, supaya muka nampak lebih cengkung. Jadi, barulah nampak macam pesakit AIDS yang real.
"Memang boleh dibuat dengan make-up saja sebenarnya, tetapi saya mahu watak itu ada impak dan tidak nampak seperti dibuat-buat.
"Sebab itu, saya tolak tawaran-tawaran lain yang saya dapat supaya dapat tumpukan masa yang lebih pada persediaan untuk filem ini," ujar Vee ketika ditemui pada majlis pelancaran filem tersebut di Saloma Bistro, baru-baru ini.
Justeru, kata Vee, dia akan cuba sedaya-upaya menurunkan berat badannya yang kini mencecah 58kg dengan mengamalkan diet yang seimbang selain berpuasa dan bersenam.
"Inilah 'pengorbanan' yang saya perlu lakukan. Tiada siapa memaksa, ini adalah inisiatif saya sendiri.
"Sebelum ini, tidak pernahlah saya bersusah-payah seperti ini, tetapi watak ini seperti 'pucuk dicita ulam mendatang' buat saya. Sebab itulah saya mahu lakukan yang terbaik untuk filem ini," kat Vee.
Akhirat mengisahkan perjalanan hidup seorang wanita, Nurin Amira (Vanida) yang disahkan menghidap penyakit AIDS selepas satu insiden hitam yang pernah berlaku terhadap nya yang bukan berpunca dari dirinya sendiri.
Konflik tercetus apabila Amira, yang kecewa dengan dirinya kerana tidak dapat menyempurnakan tugasnya sebagai isteri terhadap suaminya, Mejar Amran (Tony).
Dia akhirnya merancang agar adiknya, Noni (Nabila), seorang gadis sosial supaya menerima Amran sebagai suami.
Filem yang bakal memulakan penggambaran pada penghujung bulan Mac nanti turut menyaksikan gandingan pelakon hebat lain seperti Datuk Jins Shamsuddin dan Adiputra.
Mengulas dengan lebih lanjut tentang wataknya itu, Vee berkata, Akhirat banyak menguji dirinya dari segi mental dan fizikal kerana bagi isteri kepada pelakon Rashidi Ishak ini, membawakan peranan sebagai pesakit AIDS tidak semudah yang disangka.
"Saya akui selama ini watak yang diberikan pada saya selalunya sebagai wanita yang lemah-lembut. Kali ini, wataknya tidak jauh berbeza cuma saya akan lebih banyak bermain dengan emosi.
"Saya anggap peranan saya kali ini mewakili suara-suara kecil pesakit-pesakit AIDS. Ramai daripada mereka ini sebenarnya menghidapi penyakit ini tanpa disangka dan ini yang akan ditonjolkan melalui watak Nurin Amira," ujar Vee.
Menurut ibu kepada dua orang anak ini, dia banyak menyiapkan diri untuk watak tersebut dengan membuat kajian tentang penyakit itu selain merujuk sendiri kepada pesakit-pesakit AIDS.
Kata Vee lagi, dia yakin filem terbitan Sri Saheb Production ini mampu menarik khalayak untuk datang menonton di pawagam-pawagam tempatan kelak memandangkan isu yang dipaparkan memang benar-benar berlaku pada masyarakat hari ini dan mempunyai jalan cerita yang kuat.
"Jarang kita lihat orang buat filem atau drama yang mengisahkan penderitaan seperti ini. Kebanyakannya di Malaysia, kita lebih banyak disajikan dengan cerita-cerita komedi, cinta dan remaja.
"Cerita ini lebih kepada heavy drama, dan saya yakin dengan pengalaman pengarah dan penerbit produksi ini, filem ini mampu punyai tarikan tersendiri," kata Vee.

1 comment:

Anonymous said...

Filem Abu Jahal (Suku Pertama) Tahun 2008 Adalah 'Akhirat' :
Sekiranya filem Akhirat adalah seorang manusia, maka manusia itu saya putuskan adalah Abu Jahal. Anugerah Abu Jahal yang jahil ini sesuai dijadikan satu anugerah ala-ala Oscar kepada filem ini, ataupun filem-filem lain yang 'mempersendakan' agama kelak. Mungkin ada satu badan dapat memberi anugerah Abu Jahal ini. Pun kita baru melepasi suku pertama tahun 2008.
http://tehranifaisal.blogspot.com/