Mahathir: Ahli Umno perlu berani tegur pemimpin
JOHOR BARU: Tun Dr Mahathir Mohamad mahu anggota Umno menolak sebarang cubaan untuk mewujudkan dinasti pemimpin ala Singapura dalam parti itu seperti yang beliau lakukan semasa menjadi perdana menteri selama 22 tahun.
Menurutnya, ketika berkuasa dahulu, beliau tidak mahu mana-mana anaknya terlibat dalam politik walaupun terdapat cadangan daripada pemimpin lain ketika itu untuk meletakkan anaknya sebagai calon pilihan raya.
"Sebarang cubaan untuk mewujudkan dinasti perlu ditentang. Umno tidak perlu meniru cara Singapura yang mempunyai Dinasti Lee Kuan Yew," katanya ketika menyampaikan ucap tama pada seminar kepimpinan anjuran Mykmu.net, sebuah laman blog, di sini yang dihadiri oleh 500 peserta.
Beliau juga berkata setiap anggota Umno sejak parti tersebut ditubuhkan oleh Datuk Onn Jaafar 60 tahun lepas mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dan menegur parti jika keputusan yang diambil oleh pucuk pimpinan itu tidak betul.
Perbuatan menegur pemimpin, katanya, bukanlah sesuatu yang asing bagi anggota Umno kerana ia telah berlaku sejak Umno dipimpin oleh pemimpin terdahulunya Onn, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan ketika zaman pemerintahannya.
"Kita perlu berani menegur pemimpin jika keputusan yang dibuat oleh mereka itu tidak baik dan menjatuhkan maruah bangsa," katanya.
Bekas Perdana Menteri yang berusia 82 tahun itu juga berkata, teguran-teguran yang dibuatnya terhadap penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hanya menyentuh cara negara ditadbir dan tidak pernah bersifat peribadi.
"Ia tidak ada kena mengena dengan peribadi," katanya.Dr Mahathir juga bercakap mengenai apa yang beliau sifatkan sebagai anggota Umno telah kehilangan kebebasan dan keberanian untuk mengeluarkan pandangan yang berbeza tentang parti dan pucuk pimpinannya.
Beliau mendakwa ketika ini, hanya pandangan-pandangan yang menyokong pimpinan sahaja dibenarkan manakala pendapat yang bertentangan akan dihalang.
"Anggota-anggota Umno perlu mendengarkan pandangan dan pendapat daripada keduadua pihak untuk membolehkan mereka menilai sebelum membuat sesuatu keputusan yang betul. Jika kita hanya mendengar pandangan dari satu pihak sahaja, kita tidak berupaya membuat keputusan yang betul," katanya.
Menurut beliau, ia adalah sama seperti seorang hakim memerlukan penjelasan daripada pihak pendakwa dan pembela, sebelum beliau boleh membuat keputusan tentang kes berkenaan dengan adil.
Bekas Perdana Menteri yang baru pulih daripada serangan jantung tiga bulan lepas, berkata anggota parti yang mengeluarkan pandangan dan pendapat yang berbeza daripada apa yang ditentukan oleh pemimpin menghadapi kemungkinan kehilangan peluang, kontrak dan lainlain.
Menurutnya, Umno yang wujud pada masa sekarang ini adalah berbeza dengan Umno ketika zaman beliau dan sebelumnya, dengan anggotanya kini tidak dibenarkan mendengar pandangan yang berlainan.
Dr Mahathir berkata dengan hanya membenarkan pandangan sebelah pihak sahaja didengar oleh anggotanya, segala keputusan yang diambil walaupun ia tidak betul akan disokong.
Beliau juga juga berkata Malaysia tidak perlu menandatangai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat, kerana ia bermakna Malaysia akan kehilangan hak terhadap beberapa perkara seperti pembelian kerajaan.
Rundingan antara kedua-dua belah pihak kini berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.Katanya Washington mahu menguasai kontrak-kontrak pembelian kerajaan bukan hanya di Malaysia malah di seluruh dunia.
P/S
Orang tu cakap macamlah dia tak pernah jadi PM.. Apakah semasa dia jadi PM semuanya OK belaka ke?? Apakah tak bergolak dan haru biru semasa dia jadi Presiden UMNO?..
Fikirkan kembali jika sekarang ini dia masih jadi PM, apakah akan jadi kepada penentangnya? Tak kiralah dalam parti ke atau pembangkang..Yang pasti pembangkang atau pengendali laman web yg menentang akan diISAkan..Yang UMNO pulak pasti padam karier politiknya.. Yang arifnya kena tanya Anwar Ibrahim..pasti dia ada jawapannya.. Kalaupun tidak tanya Rahim Noor,bekas IGP..
BERNAMA
No comments:
Post a Comment