Monday, July 31, 2006

TOLAK GAYA POLITIK PUBLISITI MURAHAN

TOLAK GAYA POLITIK PUBLISITI MURAHAN

Dikalangan sebahagian besar ahli politik, istilah "pencen politik" sememangnya tiada di dalam kamus mereka. Sekali mereka berpolitik, ia akan terus berpolitik sehingga akhir hayatnya. Mereka boleh berpolitik semasa ada jawatan atau kuasa di dalam parti dan juga semasa mereka tiada jawatan atau pun di luar parti.

Kebanyakan yang tidak lagi aktif berpolitik adalah mereka yang sudah tiada lagi memegang jawatan di dalam parti, sudah tiada lagi gelaran yang berhormat dan juga setelah kalah dalam pertandingan di dalam parti. Sejak akhir-akhir ini sudah timbul kembali mereka yang sudah dikira bersara dari politik mula memunculkan namanya di persada politik negara.

Orang politik adalah golongan yang paling cerdik dan cekap dalam mengambil kesempatan di atas sesuatu isu atau perkara yang hangat menjadi perbualan di kalangan orang ramai. Justeru itulah pada hari ini kita lihat beberapa nama yang terkenal suatu masa dahulu di arena politik negara, tiba-tiba muncul.

Kebanyakan dari mereka itu adalah golongan ahli politik "pencen" yang merasakan suara dan tindakan mereka masih bersengat lagi. Ada juga dikalangan mereka itu telah tewas dalam perebutan jawatan, dipecat dari parti, tidak dilantik semula sebagai EXCO dan yang paling ramai ialah golongan yang kecewa kerana tidak mendapat tempat dan kepercayaan daripada pucuk pimpinan parti.

Golongan ahli politik seperti ini sememangnya bijak dan licik dalam mengambil kesempatan yang ada untuk menonjolkan diri mereka semula supaya nama mereka kembali menjadi sebutan oleh orang ramai terutamanya ahli dan pemerhati politik. Mereka akan menggunakan pelbagai platfom untuk menaikkan kembali "rating" mereka di persada politik tanah air.

Atas kebijaksanaan mereka, wujudlah apa yang dikatakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di atas nama "majlis bertindak", "jawatan kuasa bertindak", "kumpulan" dan "majlis tindakan rakyat". Persolannya adakah benar NGO seperti ini wujud dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) atau ianya ditubuhkan semata-mata untuk memenuhi impian "syok sendiri" ahli politik berkenaan?.

Golongan ahli politik seperti ini seharusnya faham dan peka terhadap perubahan dan tuntutan semasa yang telah membuatkan mereka sudah tiada jawatan atau kuasa melalui saluran parti politik masing-masing. Hidup kita di dunia ini umpama roda. Ada kalanya kita di atas dan jangan lah pula menafikan apabila kita berada di bawah. Hakikat hukum karma sebeginilah yang tidak dapat diterima oleh sebahagian ahli politik yang merasakan mereka masih mempunyai pengaruh dan pengikut. Atas kapasiti ahli politik ini sememangnya cerdik mengambil kesempatan dan menangguk di air yang keruh, kini mereka muncul kembali.

Tiada penyokong dan sokongan, mereka membeli individu tertentu dengan diberikan upah tertentu untuk menghadiri majlis dan mengikut apa sahaja arahan mereka. Cara inilah mereka dapat meramaikan kehadiran di sesuatu majlis yang mereka anjurkan. Golongan ahli politik "pencen" seperti ini sanggup melakukan apa sahaja demi mengejar publisiti murahan. Mereka tidak kisah apa yang orang hendak kata, janji matlamat namanya menjadi sebutan oleh media dan majlisnya itu menjadi bualan orang ramai sudah cukup untuk memuaskan nafsu untuk kembali popular.

Amalan ahli politik yang mengamalkan publisiti murahan ini perlulah di tolak dan jangan digembar-gemburkan aktiviti mereka. Golongan ini sebenarnya menggunakan kuasa wang yang ada untuk membeli segala-galanya. Individu yang tidak kuat pegangan dan masih mentah dalam berpolitik akan cepat terpengaruh dengan taktik dan gaya berpolitik golongan ini.

Tidak hairanlah apabila kita melihat muka yang sama bersorak dengan penuh semangat di suatu majlis meraikan bekas pemimpin negara, dan individu yang sama juga bersorak dan bertempik mengutuk bekas pemimpin yang sama semasa peristiwa hitam 1998 dahulu.

Akibat pengaruh wang mereka sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa berlakon dan berpura-pura menyokong pihak tertentu. Kewujudan individu seperti ini adalah disebabkan adanya golongan ahli politik "pencen" yang masih tidak berpuas hati terhadap kumpulan tertentu dan ingin mencari tapak baru dalam karier politik mereka.

Mereka seolah-olah sukar untuk menerima hakikat bahawa zaman politik mereka sudah berakhir. Mereka juga sukar untuk menerima kepimpinan baru yang menggantikan mereka. Malah menentang dengan cara mereka sendiri sedangkan gaya penentangan tersebut ditegah semasa mereka memimpin suatu masa dahulu.

Inilah suasana baru politik di Malaysia. Jika suasana ini tidak ditangani secara serius, kita takut arena politik tanah air terutamanya politik Melayu akan bercelaru dan sentiasa bergolak. Tidak ikhlas melepaskan jawatan dan menghargai golongan muda dan baru untuk memimpin parti adalah punca sebenar mengapa ahli politik yang sudah "pencen" kembali berpolitik. Tiada kepercayaan dan sokongan terhadap kepimpinan baru adalah petunjuk terdapat segolongan bekas pemimpin sering mengganggu gaya kepimpinan yang sedia ada.

Sikap yang "baru dan "muda" dalam politik masih perlu diajar oleh "pencen" politik ini perlulah dihindari. Berilah masa kepada pemimpin muda dan baru ini memimpin sama ada di peringkat cawangan, bahagian, negeri, kebangsaan malah di peringkat organisasi kerajaan juga.

Gaya politik publisiti murahan yang kini menjadi "demam" terhadap ahli politik "pencen" perlu diberi perhatian oleh orang ramai agar mereka tidak terjebak dengan motif dan matlamat peribadi ahli politik berkenaan. Mereka seolah-olah masih belum puas berpolitik dan seperti memperlekeh pengganti mereka.

Golongan ini juga seolah-olah sudah diserang "sindrom" gaya politik mereka sahaja yang betul dan gaya politik orang lain tidak betul dan salah. Juga mereka sahaja yang pandai mentadbir parti dan menjaga hati ahli dan penyokong dan menidakkan apa sahaja yang dilakukan oleh kepimpinan baru. Seolah-olah golongan ini tidak pernah suatu masa dahulu mereka juga baru dan muda dalam arena politik.

Perasaan mereka masih berpengaruh dan mempunyai pengikut, hanya menimbulkan "perasan" dalam diri mereka sendiri sebenarnya. Golongan ahli politik "pencen" ini seolah-olah syok sendiri apabila majlis anjuran mereka mendapat sambutan orang ramai. Akibat syok sendirilah maka mereka menggunakan pelbagai pendekatan termasuk meraih simpati dengan menggunakan wang untuk memastikan nama mereka menjadi sebutan di berita politik media cetak dan elektronik.

Mungkin kepuasan kembali berpolitik kepada golongan yang sudah tiada tempat di dalam parti tidak akan padam sampai bila-bila. Kita hargai jika mereka ahli politik tulen yang masih ingin membantu rakyat seperti mereka menjawat jawatan wakil rakyat dahulu. Akan tetapi kita akan menolak jika niat mereka kembali berpolitik semata-mata untuk menjatuhkan kepimpinan yang sedia ada dan memporak-perandakan suasana politik orang Melayu.

Zaman kegemilangan politik mereka sudah berlalu. Berilah laluan kepada golongan baru dan muda yang mewarisi suasana politik negara khususnya orang Melayu.

Thursday, July 27, 2006

ATASI MASALAH GENERASI BUTA SEJARAH

ATASI MASALAH GENERASI BUTA SEJARAH
 
Nilai sejarah sebenarnya terlalu rendah di hati kebanyakan individu di negara ini. Banyak sebab mengapa aspek sejarah terutamanya sejarah negara tidak dihayati oleh setiap rakyat Malaysia. Istilah "buta sejarah" seperti yang diperkatakan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim minggu lepas amat tepat sekali di kala negara bakal menyambut ulang tahun ke 50 kemerdekaan negara tahun depan.
 
Pengisian sejarah di hati setiap insan yang bernama rakyat Malaysia amat rendah sekali. Ketepikanlah sejarah zaman batu dan sejarah sebelum 1900an, yang sememangnya kabur dan ramai yang tidak tahu. Sejarah negara moden mulai bermulanya abad ke 20 pun masih ramai yang tidak tahu.
 
Jika ramai yang tidak tahu sejarah negara sendiri, bagaimana pula kita mahu berharapkan rakyat negara memahami dan menghayati sejarah negara?
 
Sejarah negara mencakumi berbagai aspek dan liputan sejarahnya. Dari soal agama, budaya, pendidikan, sosial, ekonomi, politik, bangsa, warisan dan institusi raja, masing-masing mempunyai peristiwa menarik untuk dikenang dan menjadi podoman kita dan generasi yang mendatang.
 
Akibat buta sejarahlah, perkembangan semasa masa kini sebenarnya telah membuktikan masih ramai yang tidak tahu dan memahami erti sejarah. Sejarah tidak boleh menipu kita. Walaupun ada peristiwa sejarah mengambarkan nilai negatif sesuatu pihak, namun ia tidak boleh dipadam begitu sahaja kerana perkara tersebut telah berlaku dan kini sudah menjadi suatu lipatan sejarah negara.
 
Tidak hairanlah masih ada lagi mereka yang mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan terutamanya yang berkaitan dengan kedudukan istimewa agama Islam. Para cendikiawan di dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempertikaikannya seolah-olah tidak tahu sejarah penubuhan negara kita yang lebih mementingkan perpaduan, persefahaman dan toleransi antara kaum dan agama rakyatnya.Mengapakah setelah 49 tahun negara merdeka, baru sekarang timbul persoalan tersebut?.
 
Aspek sejarah di hati setiap insan negara kita sebenarnya telah dipinggirkan dan seolah-olah menjadi tidak penting. Mata pelajaran sejarah di sekolah telah menjadi mata pelajaran kelas ketiga. Saya teringat semasa di sekolah ramai pelajar tidak minat sejarah kerana ia memerlukan daya ingatan yang kuat seperti mengingati tarikh dan tahun berlakunya sesuatu peristiwa penting sejarah.Disebabkan inilah maka mata pelajaran sejarah kurang diminati oleh para pelajar.Pelajar memandang mata pelajaran sejarah sesuatu yang paling tidak diminati dan membosankan.
 
Kesannya, ramai daripada kita buta sejarah dan tidak mampu mengingati dan memahami peristiwa penting negara. Masih ramai yang tidak tahu untuk bercerita secara ringkas bagaimana negara kita merdeka. Juga ramai yang tidak tahu bagaimana Singapura menganggotai dan kemudian keluar dari Malaysia. Masih ramai yang buta sejarah bagaimana Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia. Jika dibandingkan dengan negara jiran ASEAN, rakyat negara kita masih ketinggalan jauh di dalam aspek menghayati dan mengetahui sejarah terutamanya sejarah bangsa dan negara.
 
Akibat lupa dan leka tentang sejarah bangsa, orang Melayu kini merasakan mereka sudah selesa sehinggakan orang lain boleh mempertikaikan hak kita sebagai Bumiputera. Ramai yang lupa sejarah, akibat terlaku leka dan bersikap sambil lewa kerana memikirkan sudah kuat, Melaka tumpas di tangan Portugis.
 
Akibat lupa dan kurang menghayati sejarah agama Islam, ramai yang ambil mudah dan mula jauh daripada menyembah Allah. Kita lupa sejarah kejatuhan Islam di Sepanyol dan hampir pupusnya etnik Bosnia beragama Islam. Semuanya itu kerana terlalu alpa dan merasakan kedudukan selesa sehinggakan di negara kita sekarang orang bukan Islam sudah boleh berdebat dan mempertikaikan agama Islam sebagai agama rasmi negara. Tiada pengetahuan dan ambil peduli tentang sejarah lah yang mengakibatkan pihak lain boleh mengambil kesempatan.
  
Di Indonesia contohnya, sesuatu yang bukan luar biasa apabila kanak-kanak sekolah rendah boleh bercerita bagaimana negara mereka merdeka dan apa yang dimaksudkan dengan Pancasila. Jati diri mereka begitu tinggi sehinggakan penjual jamu di kaki lima boleh bercerita bagaimana Belanda memerintah Indonesia suatu ketika dahulu.
 
Mengapa kurang menghargai dan memahami sejarah terjadi di kalangan rakyat negara kita?. Apakah sejarah negara hanya perlu diketahui dan dihargai oleh orang Melayu sahaja?. Siapakah yang harus dipersalahkan?. Masih ramai anak muda kaum Cina dan India yang tidak berpelajaran tinggi dan keciciran tidak tahu langsung bila negara merdeka. Cubalah tanya anak muda India yang mencuci kereta dan anak muda Cina yang menjual aksesori telefon, siapa nama tokoh bangsa mereka yang sama-sama berjuang untuk mencapai kemerdekaan negara?. Yang pasti jawapannya "saya tidak tahu".
 
Sejarah telah diklasifikasikan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia sebagai tidak penting dan tidak bernilai. Disebabkan mentaliti sebegini, ramai di antara kita tidak dapat menceritakan sejarah dan susun galur salasilah keluarga sendiri. Paling tinggi pun mengetahui sedikit sebanyak latar belakang datuk mereka. Malah ada yang tidak tahu nama moyangnya sendiri apatah lagi mengetahui asal usul keturunannya.
 
Disebabkan mentaliti dan "benci" kepada sejarah yang sudah meresap sejak dibangku sekolah lagi, maka kini ramailah yang buta sejarah negara, bangsa, agama malah sejarah diri sendiri. Mereka ini meletakkan sejarah sesuatu yang paling tidak penting dalam hidup mereka. Sedangkan melalui aspek sejarahlah kita dapat mengenal diri kita sendiri dan menganalisa tingkah laku dan gelagat diri sendiri.
 
Semua pihak harus mengambil sikap kesedaran mengembalikan nilai dan minat terhadap sejarah. Persatuan sejarah yang telah wujud disetiap negeri perlulah diperkasakan dan diberi nafas baru. Ramai yang tidak tahu tentang kewujudannya dan jika ada yang tahupun masih kabur tentang fungsi dan aktivitinya. Malah kepada yang minat dengan sejarah pun tidak tahu bagaimana untuk menjadi ahli.
 
Pihak yang bertanggung jawab dengan sejarah perlulah mengambil iktibar bahawa nilai dan aspek sejarah di hati dan jiwa rakyat Malaysia masih rendah. Daya usaha perlu dilakukan untuk mengembalikan aspek sejarah sesuatu yang diminati dan menarik minat semua golongan.
 
Dicadangkan pakej pelancongan melawat tempat sejarah bersama keluarga dipromosikan secara besar-besaran. Selain persatuan sejarah yang perlu "dipulihkan semangatnya", kementerian perlu mewujudkan "Rakan Sejarah" sebagai usaha menarik minat semua peringkat usia meganggotainya. Diadakan aktiviti yang menarik dan ceria mengenai sejarah supaya orang ramai melihat sejarah sesuatu yang menarik untuk dikenali seperti aktiviti berkonsep relaks dan ala bersantai apabila mengunjungi tempat-tempat sejarah.
 
Juga boleh diadakan wacana sejarah dengan penceritaan dan pengkisahan sesuatu topik secara bersahaja dan tidak terlalu menekankan ilmiah dan akademik. Gaya penyampaian sama ada melalui rancangan khas di tv atau radio, dan penulisan dan gambar menarik di akhbar dan majalah, boleh menyuntik dan menerapkan minat dan suka orang ramai kepada aspek sejarah.
 
Mewujudkan unit dokumentasi sejarah di setiap jabatan, agensi dan kementerian kerajaan boleh menyuntik semangat menghargai dan menyanjung tinggi aspek sejarah. Jabatan kerajaan yang telah wujud sekian lamamya, boleh menyimpan dan merekodkan kenangan dan peristiwa menarik sesuatu jabatan kerajaan sebagai pedoman, rujukan dan menghargai sejarah itu sendiri.
 
Apabila pihak kerajaan telah mula serius dalam aspek pensejarahan, maka bolehlah dikempenkan kepada orang ramai dan pihak swasta untuk menghargai dan menyanjungi aspek sejarah dalam kehidupan seharian. Konsep kerajaan menunjukkan teladan dahulu sebelum ianya menjadi ikutan dijangka akan menyuntik semangat baru menghargai apa itu sejarah.
 
Kepada NGO yang kononnya pejuang hak asasi sesuatu kaum, eloklah menghampirkan diri anda kepada orang ramai untuk sama-sama menanam semangat ambil tahu sejarah dan tingkatkan jati diri sebagai warga Malaysia daripada hanya sibuk menjadi jaguh "isu perkauman dan agama". Mereka (NGO) sepatutnya mengekalkan dan memupuk semangat toleransi dan perpaduan antara kaum, dan bukannya memecah belahkan keharmonian yang ada kini.Salah satu caranya ialah aspek sejarah.
 
Semua pihak harus menanamkan sifat ingin mengetahui dan meminati sejarah disamping mengambil kira sejarah sebagai elemen penting dalam kehidupan di samping ekonomi. Kerana sejarahlah yang akan mengambarkan siapa kita sebenarnya.
 
 


Kini dengan simpanan sebanyak 1GB
http://my.mail.yahoo.com/

Friday, July 21, 2006

TRAGEDI PANGANDARAN - TELADAN DAN RENUNGAN KEPADA KEMENTERIAN PELANCONGAN

Tragedi Pangandaran - Teladan dan renungan kepada Kementerian Pelancongan Malaysia.

Saya bukan seorang alim ulama dan juga bukan seorang terlampau ekstrim terhadap agama. Saya hanya seorang yang gemar melancong keseluruh dunia dan secara kebetulan tragedi tsunami di Pangandaran, Pulau Jawa memberi suatu inspirasi kepada saya untuk memberi pendapat.

Kementerian Pelancongan yang masih seperti tidak mahu mengalah dengan cadangan untuk membuka pusat hiburan sehingga jam 5 pagi, harus melihat kepada tragedi Pangandaran sebagai pengajaran dan renungan bersama. Walaupun kita boleh menganggap tragedi tsunami itu adalah bencana alam dan bukannya bencana yang di buat oleh manusia, akan tetapi hakikat utamanya iaitu kebesaran dan kuasa Ilahi tiada siapa yang dapat menghalangnya.

Daripada menteri sehingga ke pegawai tinggi kementerian yang majoritinya orang Islam, seharusnyalah mengakui hakikat Tuhan tidak suka insanNya melakukan perkara yang dilarang. Apakah cadangan membuka pusat hiburan sehingga pukul 5 pagi itu sebenarnya menggalakkan manusia leka dan lalai untuk melakukan maksiat seperti minum arak dan berpeleseran sehingga memangkinkan perlakuan seks?.

Tragedi Pangandaran selain disebabkan faktor bencana alam, faktor kemurkaan Allah dengan menurunkan musibah tidak harus dipandang ringan dan diketepikan.

Pangandaran adalah sebuah kecamatan(daerah) di dalam kabupaten Ciamis. Ia juga termasuk di dalam pemerintahan provinsi Jawa Barat. Pangandaran adalah pusat pelancongan menarik di Pulau Jawa yang berasaskan keindahan pantai dan paling popular dengan aktiviti surfing (meluncur air). Permainan layang-layang juga popular di sini terutama di bulan Julai dan Ogos. Pangandaran juga tempat pelancongan popular penduduk tempatan terutama dari Bandung untuk beristirehat dan beriadah di pantai pada hujung minggu.

Kawasan di Jalan Kidang Pananjung dan Jalan Pamugaran adalah kawasan hiburan yang mempunyai beratus kafe, gerai dan warung yang menyajikan hiburan dan khidmat seks bermula jam 7 malam sehingga jam 5 pagi. Kawasan ini cukup terkenal kepada pelancong Barat dan Australia. Keadaan kawasan ini tidak ubah seperti di Jalan P. Ramlee dan Bangsar, Kuala Lumpur.

Selain minuman keras, pub dan kafe menyediakan bilik kecil untuk perkhidmatan seks sebagai aktiviti sampingan pengusaha pusat hiburan tersebut. Perkhidmatan seks ini dilakukan secara "part-time" oleh pelayan wanita di pub dan kafe.

Malang sekali kebanyakan wanita dari kawasan berhampiran seperti Tasikmalaya, Banjarnegara, Garut, Bandung dan Indramayu adalah orang Islam dan seolah-olah terdesak untuk mencari wang untuk menyara hidup seharian.

Aktiviti seperti ini sudah lama berlaku, malah kunjungan saya yang terakhir pada Disember 2005, semakin rancak dan hebat kegiatan hiburan malam di Pangandaran. Walaupun ada tentangan dari penduduk Islam dan mahasiswa universiti, namun disebabkan "sokongan dari pemerintah" maka kegiatan maksiat dan keruntuhan moral anak muda semakin berluasa di sana.

Sebagai rakyat Malaysia yang sering melancong di dalam negeri dan luar negera, amat malang dan kecewa jika ada cadangan Kementerian Pelancongan untuk melanjutkan masa berhibur di pusat hiburan sehingga 5 pagi. Pengalaman saya menunjukkan amalan atau "lesen maksiat" yang diberikan oleh kerajaan lebih mengundang kepada masalah gejala sosial dan keruntuhan akhlak sebenarnya.

Kelulusan jika diberikan untuk menutup pusat hiburan sehingga pukul 5 pagi sebenarnya mengundang aktiviti dan perniagaan sampingan akibat kebenaran kerajaan itu.(mudah-mudahan tidak diluluskan oleh Pak Lah). Apakah Kementerian Pelancongan hendak menanggung masalah munculnya kegiatan ekonomi hiliran seperti pelacuran dan dadah akibat dibenarkan pusat hiburan ditutup lewat?.

Akibat terlalu "memanjakan pelancong Barat" lah, Pangandaran yang suatu ketika dahulu terkenal dengan pengajian pondok telah bertukar wajah. Apakah "kemurkaan" Tuhan telah ditunjukkan dengan dilandakan bencana alam tsunami ke atas Pangandaran?.

Apakah disebabkan terlampau hendak mengejar sasaran 20 juta pelancong asing pada tahun hadapan sehingga sanggup menggadaikan maruah dan menjadi penggalak kepada aktiviti negatif?. Apakah ada jaminan pengunjung pusat hiburan hanya dikunjungi oleh 100 peratus pelancong asing?. Pusat hiburan yang sedia adapun sudah dalam keadaan tenat dan menyusahkan pihak berkuasa seperti polis, inikan pula hendak dilanjutkan masa perniagaan mereka. Apakah kementerian hendak menambahkan lagi kerja pasukan polis?.

Kita kena mengakui untuk mengejar kemajuan dan keuntungan semata-mata janganlah sampai mengabaikan pegangan agama majoriti rakyat negara ini. Masalah sosial yang ada pun masih susah hendak ditangani, inikan pula cadangan mengarut dari kerajaan sendiri yang seolah-olah hendak mengalakkan aktiviti kurang sihat.

Kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, fikirkan dan renungkanlah tragedi Pangandaran. Pergilah ke sana dan tanyalah masyarakat Islam di sana. Ambillah iktibar daripada petunjuk awal yang Tuhan beri. Walaupun tidak terjadi kepada kita, namun petunjuk di Pangandaran patut menjadi teladan bahawa selain kerana faktor bencana alam akibat gempa bumi, kuasa dan kebenaran Tuhan yang Maha Esa jangan pula kita nafikan.



Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com

Tuesday, July 18, 2006

BANTU BEKAS PENAGIH DADAH DAPATKAN PEKERJAAN

BANTU BEKAS PENAGIH DADAH DAPATKAN PEKERJAAN
 
Pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlulah terlebih dahulu menunjukkan teladan membantu dan menerima bekas penagih dadah daripada menggesa sektor swasta dan masyarakat menerima bekas penagih dadah sebagai pekerja.
 
Kerajaan sama ada di peringkat pusat mahupun negeri, melalui berpuluh agensinya termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) perlulah menunjukkan contoh kepada masyarakat dengan menerima bekas penagih sebagai pekerja mereka. Melalui jawatan kosong sama ada tetap, kontrak atau sementara eloklah diberikan peratusan tertentu kekosongan jawatan kepada bekas penagih sesuai dengan kelulusan akademik mereka.
 
NGO pula bolehlah menggunakan khidmat sukarela mereka dengan melantik bekas penagih menjadi sukarelawan.Segelintir bekas penagih amat berminat untuk melakukan kerja-kerja sosial dan kebajikan. Ada diantara mereka menganggapkan apabila mereka berkhidmat secara sukarela, inilah satu cara mereka menebus kembali dosa mereka dan menunjukkan keinginan ikhlas mereka untuk berbakti kepada masyarakat dengan harapan masyarakat menerima mereka kembali.
 
Mungkin ada yang berkata, mereka ini akan kembali menagih dadah apabila sudah ada wang di tangan mudah untuk membeli kembali dadah. Namun percubaan berani dan telus perlulah ada di pihak kerajaan dan NGO untuk memastikan mereka tidak kembali menagih.
 
Memang benar kerajaan dibebankan dengan perbelanjaan beratus juta ringgit setahun untuk menyelenggarakan pusat serenti dan membuat berbagai kempen anti dadah di seluruh negara. Namun siapa yang akan menyambut bekas penagih ini apabila keluar dari pusat serenti?.
 
Statistik menunjukkan hanya 20 hingga 25 peratus sahaja penagih dadah yang dirawat di pusat serenti di seluruh negara benar-benar dapat dipulihkan. Manakala selebihnya kembali menagih kerana disisih oleh keluarga sendiri dan masyarakat. Hakikatnya kita semua seharusnya memberikan sokongan dan harapan untuk mereka hidup menempuh alam kehidupan yang baru.
 
Apa yang dilihat sekarang, kebanyakkan agensi kerajaan dan NGO hanya sibuk untuk memerangi dadah. Mungkin mereka terlupa untuk memastikan bekas penagih dadah tidak kembali menagih semula.
 
Walaupun kenyataan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berkata usaha memerangi dadah tnggungjawab semua dan bukan beban agensi kerajaan dan NGO semata-mata, namun segala usaha ini lebih menjurus kepada kempen menjauhi dadah kepada golongan sasar yang belum lagi menagih dadah seperti pelajar sekolah dan belia.
 
Jadi apakah tanggungjawab kita untuk membantu bekas penagih tidak kembali semula menagih?. Kita sendiri yang menyisihkan dan memencilkan mereka sedangkan jiwa mereka meronta untuk kembali kepada masyarakat.
 
Memang benar usaha mencegah adalah lebih berkesan untuk memastikan bilangan penagih tidak bertambah. Tetapi daripada statistik pihak kerajaan sendiri menunjukkan bilangan penagih meningkat saban tahun.
 
Mungkinkah juga kaedah rawatan di pusat serenti perlu dikaji semula kerana tidak sampai separuh penagih dadah yang di rawat betul-betul dapat dipulihkan. Secara tidak langsung menunjukkan kurang keberkesanan rawatan yang di terima oleh penagih di pusat serenti.
 
Pada pendapat saya Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) perlulah diberikan peranan yang lebih besar dan diiktiraf oleh kerajaan. Dicadangkan Pengasih diberikan geran tahunan oleh kerajaan untuk membantu aktiviti mereka mengendalikan bekas penagih yang baru keluar dari pusat serenti.
 
Kebanyakan yang keluar dari pusat serenti hilang arah tujuan ke mana mereka hendak membawa diri mereka. Mereka tiada pekerjaan sebagai hasil pendapatan untuk terus hidup dan apabila mereka di beri peluang bekerja, ia satu cara supaya mereka tekun kepada pekerjaan dan dapat melupakan dadah.
 
Jika tiada siapa yang menerima mereka, Pengasih lah tempat yang paling sesuai bagi mereka untuk berteduh seketika sementara ada laluan baru penghidupan baru yang selalunya amat gelap di hadapan mereka. Untuk kembali kepada keluarga mereka amat malu dan balasannya sudah mereka ketahui, iaitu dipinggirkan oleh keluarga sendiri.
 
Hanya bekas penagih dadah sahaja yang tahu betapa susah dan jerihnya untuk masyarakat menerima mereka kembali. Pengasih mempunyai kepakaran dan pengalaman yang amat berharga untuk memastikan peratusan pelatih pusat serenti yang pulih meningkat semula.
 
Kerajaan perlulah memberikan lebih ruang dan tanggungjawab selain mengiktiraf  Pengasih sebagai suatu badan yang mengorientasikan semula pelatih yang baru keluar dari pusat serenti. Mungkin dengan diberikan galakan dan bantuan menubuhkan cawangan Pengasih di setiap negeri, akan memberikan harapan dan nafas baru kepada bekas pelatih pusat serenti.
 
Kerajaan dan agensinya bolehlah mendapatkan khidmat nasihat dan keperluan tenaga kerja bekas penagih yang betul-betul telah dikenal pasti oleh Pengasih telah pulih 100 peratus. Pengasih boleh juga diberikan peranan pembekal tenaga kerja bekas penagih dadah yang pulih sepenuhnya. Cara ini mungkin dapat menyelesaikan sedikit sebanyak masalah bekas penagih yang tiada pekerjaan disamping membantu mereka membina semula kehidupan yang telah hancur suatu ketika dahulu.
 
Usaha murni Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Pengasih mewujudkan Bazaria Larut Malam di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur dengan 385 gerai seharusnya dipuji. Galakan kepada bekas penagih untuk mencari tapak berniaga yang sebelum ini sukar, telah berjaya membuktikan golongan ini juga ingin turut serta dalam memacukan ekonomi negara selain memberikan sumber pendapatan.
 
Sememangnya sukar untuk mengubah kembali kerosakan akhlak yang melanda diri penagih. Sesiapa pun agak sukar untuk memberikan jaminan bahawa seseorang penagih itu tidak akan kembali menagih. Pandangan negatif seperti ini haruslah diubah. Jika kita sendiri tidak membantu mereka dan melorongkan semula erti kehidupan yang sebenarnya kepada mereka, siapa lagi?.
 
Berilah mereka peluang kedua untuk hidup bersama-sama dengan kita. Mereka juga amat merindui kehidupan bermasyarakat. Mereka juga sudah jemu dan menanggung azab sengsara yang amat hebat sebelum pulih. Kita perlu bantu mereka dengan mengenepikan pandangan negatif. Mereka juga manusia biasa seperti kita. 



The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com

Peribadi Siti Nurhaliza Bukan Hak Masyarakat

PERIBADI SITI NURHALIZA BUKAN HAK MASYARAKAT
 
Akhirnya Siti Nurhaliza telah mengumumkan kedudukan sebenarnya dan seluruh negara memberikan perhatian kepadamajlis pengumuman yang dibuat sejajar dengan taraf Siti sebagai artis nombor satu Malaysia. 
 
Niat suci murni Siti dan pasangannya Datuk Khalid Mohamad Jiwa seharusnya diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak termasuklah pihak wartawan hiburan  sendiri. Restu yang diperolehi dari ibu bapa Siti dan persetujuan kedua belah pihak keluarga seharusnya kita sambut dengan syukur Alhamdulillah.
 
Namun sikap kurang biadap semasa sidang akhbar tersebut yang disiarkan secara langsung dengan soalan sensitif dan kebudak-budakan amat memalukan sekali. Kita tidak pasti soalan seperti 'apa Siti hendak panggil Datuk Khalid - sayang atau ayang' dan 'kenapa memilih duda sedangan Siti anak dara dan ramai lagi teruna di negara ini' adalah contoh soalan yang tidak bermoral dan seperti budak sekolah sahaja.
 
Kehadiran di dewan yang sempit itu sememangnya diketahui dipenuhi oleh pihak wartawan. Dan tidak kurang juga dihadiri oleh orang ramai yang bukan wartawan. Saya berharap soalan biadap seperti di atas itu bukannya disoal oleh wartawan yang setahu saya mempunyai etika kewartawanan dan tidak boleh mengajukan soalan dengan tujuan mengaibkan peribadi seseorang semasa sesi "press conference".
 
Akibat keghairahan itulah boleh terpacul soalan yang sebegitu rupa. Siti hanya manusia biasa dan kita adalah masyarakat disekelilingnya, sama ada peminat, pemerhati mahupun pembenci. Soal jodoh, ajal maut semuanya di tangan Tuhan. Kita hanya layak merancang, segalanya telah ditentukan oleh Tuhan. Hakikat ini perlulah kita pegang, jika tidak larilah akidah kita terhadap agama Islam.
 
Sepatutnya siapa bakal suami Siti biarlah Siti sendiri yang menentukan. Janganlah pula kita lebih pandai dari tuan punya badan yang hendak mendirikan masjid sehinggakan awal-awal lagi sudah memberi komen bahawa pilihan Siti tidak tepat dan Siti tidak sepatutnya berkahwin dengan Datuk K. Siapakah mereka itu kepada Siti sehinggakan peribadinya pun hendak diceroboh oleh orang lain.
 
Masyarakat harus faham Siti hanyalah penyanyi dan bukannya anak kita, adik kita mahupun saudara mara kita yang boleh kita campuri urusan perkahwinannya.
 
Cubalah kita bayangkan jika kita menjadi Siti?. Atau sesiapapun pasti akan melenting apabila ada orang hendak menjadi "match maker" atau penentu jodoh kita. Apa hak kita hendak menjadi "match maker" Siti?. Apakah kerana terlampau taksub dan sayang peminat kepada Siti sehinggakan segalanya kita hendak tentukan termasuk soal peribadi?.
 
Kita ini orang Melayu tetapi apabila melibatkan sektor hiburan, kita kadang-kadang lebih hebat dan "gila" dari Hollywood dan Bollywood. Mengapakah mentaliti sebegini terjadi kepada orang Melayu?. 
 
Begitulah hebatnya dan istemewanya insan bernama artis yang mendapat liputan dan perhatian dari semua lapisan masyarakat dan pihak media. Namun begitu, kita janganlah terlalu mensensasikan dan terlampau fanatik sangat apabila memperkatakan berita artis tersebut seolah-olah peribadi artis pun hendak kita miliki.
 
Cukuplah mereka itu kita anggap milik masyarakat daripada bakat dan anugerah tuhan kepada mereka. Peribadi mereka biarlah mereka selesaikan sendiri. Kita sebagai peminat cukuplah sekadar pemerhati.
 
Inilah masalah mentaliti orang Melayu yang yang terlampau mengambil berat sangat artis kegemaran mereka. Apa yang kita dapat daripada komen dan cadangan kita terhadap peribadi artis tersebut sedangkan mereka itu bukan anak-anak kecil lagi?.
 
Begitulah lumrahnya menjadi artis popular dan terkenal. Setiap pergerakan mendapat perhatian ramai, sehinggakan hal peribadi turut disentuh dan menjadi bualan.
 
Walaupun mereka ini "public figure", mereka juga manusia biasa seperti kita. Siapa yang mahu soal peribadi mereka diketahui oleh umum dan menjadi bualan ramai?
 
Siti yang begitu hampir dengan gerbang perkahwinan sudah tentunya akan mendapat publisiti dan perhatian dari seluruh rakyat Malaysia. Sebagai artis paling terkenal masa kini, kita seharusnya mendoakan agar niat suci beliau untuk berumah tangga termakbul dan aman damai sehingga akhir hayat.
 
Janganlah pula kita mendoakan sebaliknya dan menimbulkan pelbagai fitnah. Jika Tuhan sudah menetapkan jodohnya dengan Datuk Khalid, tiada siapa boleh menghalang Nya. Soal Datuk Khalid itu duda sepatutnya tidak timbul di kalangan peminat.
 
Soal bagaimana Siti bercinta dan mengapa memilih Datuk Khalid, adalah terlalu peribadi untuk diketahui umum. Walaupun peminat ingin tahu, tetapi berilah tembok pemisah antara peribadi dan karier artis tersebut.
 
Kita sepatutnya tumpang gembira jika suratan takdir Siti akan bernikah dengan Datuk Khalid pada 21 Ogos akan datang. Perkara baik seperti ini sepatutnya dialu-alukan oleh orang ramai. Berilah sedikit ruang kepada artis paling popular ini agar soal peribadinya tidak disensasikan.
 
 
 
 
 


Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/

Sunday, July 16, 2006

Berjimat cermat berbeza dengan kedekut

Berjimat cermat berbeza dengan kedekut
 
Akibat daripada kenaikan harga minyak sedunia, rakyat di negara ini juga tidak boleh mengelak daripada kesannya. Tindakan kerajaan menaikkan harga bahan petrol, disel dan LPG turut mengundang seruan supaya kita berjimat cermat d idalam menguruskan perbelanjaan harian.
 
Mereka uang mempunyai kenderaan sendiri perlu pandai merancang perjalanan dan guna kenderaan apabila perlu sahaja. Jika cuaca tidak begitu panas, tutup alat hawa dingin kerana ini menjimatkan penggunaan minyak.
 
Kereta mestilah di servis apabila sampai tempohnya. Ramai yang mengambil mudah aspek ini. Akibat kereta tidak di servis secara berkala, ia akan meningkatkan penggunaan minyak. Minyak enjin dan penapis minyak perlu diperiksa dan diganti bila sampai tempohnya. Jika tidak enjin mudah rosak dan akan meningkatkan penggunaan minyak daripada biasa.
 
Kita sebagai pengguna mulai hari ini perlulah membuat homework sendiri bagaimana hendak menguruskan perbelanjaan harian dengan bijak dan berhemah,
 
Jika sebelum ini kita berbelanja ikut nafsu, sekarang ini berbelanja ikut perlu. Kita perlu berfikir dengan waras apa yang perlu di beli. Buat catatan apa yang hendak dibelanjakan hari ini. Catatkan di dalam buku diari senarai perbelanjaan yang telah dibuat pada hari tersebut. Ini penting sebagai rujukan dan perbandingan harga di waktu yang lain apabila kita hendak membeli barang yang sama.
 
Guna kereta atau motosikal apabila perlu sahaja. Contohnya jika hendak keluar rumah untuk membeli barangan dapur, yang jarak kedai dari rumah kurang dari 1 kilometer, eloklah berjalan kaki ataupun menaiki basikal. Dengan cara ini selain menjimatkan minyak, kita mengeluarkan peluh dan bersenam dengan cara berjalan kaki.
 
Kurangkan makan di luar dan sebaliknya memasak di rumah. Sebagai contoh belanja makan malam dengan lauk tiga jenis dan minuman untuk empat orang boleh mencecah RM25 di restoran biasa. Tetapi hidangan yang sama mungkin kita berbelanja cuma RM15 untuk membeli bahan-bahan untuk memasak. Ini sudah menjimatkan RM10 sehari.
 
Suami isteri apabila turun ke dapur untuk memasak bersama akan mengundang lebih keharmonian dalam rumah tangga. Walaupun kita berjimat, tetapi kebahagiaan dan harmoni keluarga bertambah. Akibat berjimat juga emak boleh mengajar anak dara memasak. Secara tidak langsung ini hikmah yang tuhan beri akibat dari kenaikan harga minyak. Saya sendiri sudah melakukannya sekarang.
 
Rajin-rajinlah membeli dan membaca surat khabar mulai sekarang. Setiap hari ada sahaja iklan oleh pasaraya terkenal yang mengiklankan harga barangan tertentu. Kita boleh membuat perbandingan harga dengan pasaraya lain apabila kita hendak bershopping barangan dapur. Catatkan harga barang berkenaan dan buat perbandingan semasa membeli. Jangan malu apabila kita dilihat oleh orang ramai yang kita ini begitu teliti menyemak harga. Itulah perlunya membuat homework sebelum membeli belah.
 
Sambil berjimat kita juga boleh bersenam dengan mengeluarkan peluh. Caranya jika sebelum ini kita mengupah orang lain untuk memotong rumput, sekarang ini eloklah kita sendiri yang memotong rumput tersebut.
 
Selepas itu lakukan aktiviti bercucuk tanam selaras dengan seruan kerajaan melalui kempen Buku Hijau. Tanamlah pokok sayuran dan herba seperti serai, kunyit, cili merah, terung dan pokok kari. Hasilnya boleh kita gunakan sendiri untuk kegunaan harian.
 
Galakkan anak-anak menabung demi masa depan mereka. Galakkan mereka menyimpan wang lebihan belanja harian sekolah ke dalam tabung. Apabila cukup bulan bawa anak-anak ke bank untuk mendidik mereka membiasakan diri dengan institusi perbankan.
 
Berjimat cermat dalam perbelanjaan jangan sampai menjadi kedekut dan terlampau berkira pula. Apabiila berjimat membeli barangan keperluan hatian jangan pula sampai menyusahkan keluarga. Disebabkan hendak sangat berjimat, anak-anak diberi makanan yang tidak berkhasiat. Ibubapa jangan sampai kedekut hinggakan makan minum anak-anak yang sedang membesar dicatukan.
 
Jangan sampai kedekut untuk bersarapan pagi sehingga menunggu rakan sekerja mengajak dan belanja minum. Jika tiada orang yang belanja sanggup tidak bersarapan pagi sehingga mwmudaratkan kesihatan dan prestasi kerja.
 
Jangan sampai kedekut untuk membeli surat khabar yang berharga hanya RM1.50 dan sanggup duduk berjam-jam di kedai mamak untuk membaca surat khabar percuma. Dengan membeli surat khabar dan bawa balik ke rumah, kita sebenarnya sudah menggalakkan aktiviti membaca dan menambah ilmu untuk seisi keluarga.
 
Jangan sampai kedekut sehingga peralatan sekolah anak menjadi usang dan tidak boleh digunakan lagi. Persekolahan anak adalah kewajipan kita dan pelaburan masa hadapan.
 
Kesimpulannya kita perlu berbelanja tetapi dengan berhemah dan bijak mengaturkan perbelanjaan harian. Sudah sampai masanya kita mendisiplinkan diri kita sendiri.



The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com

MENTALITI RENDAH PERTIKAI PAKAIAN DI PARLIMEN

MENTALITI RENDAH PERTIKAI PAKAIAN DI PARLIMEN
 
Saya tertarik dengan ulasan Saudara Ezaruddin Abd Rahman di akhbar tuan pada 4 Mei 2006, bertajuk "bow tie tak sesuai di Parlimen". Saya sering juga membaca pendapat dan komen saudara terhadap beberapa isu negara sebelum ini.
 
Tetapi komen saudara di akhbar ini berkenaan dengan penggunaan bow tie di Parlimen amat mengecewakan. Sebagai seorang yang berkelulusan akademik tinggi, boleh dikatakan kelulusan kelas pertama, tetapi mentaliti saudara di tahap kelas ketiga sebenarnya.
 
Apakah perlu diulas isu pakaian ahli parlimen sebagai satu masalah besar kepada negara? Apakah ahli parlimen tiada kebebasan berpakaian? Apakah saudara penentu hak ahli parlimen, sedangkan masing-masing ada hak mereka tersendiri.
 
Saudara perlu mengukur diri sendiri siapa saudara sebenarnya untuk mengulas pakaian seseorang. Asalkan ahli parlimen tidak memakai singlet dan berseluar pendek untuk ke parlimen sudah dikira cukup bagus.
 
Tuan speaker Dewan Rakyat sendiri membenarkan kerana tidak menyalahi peraturan, inikan pula saudara yang begitu mudah melebelkan ahli parlimen yang memakai bow tie sebagai menyamai pakaian orang Yahudi.
 
Sungguh dangkal pemikiran saudara kerana mentafsirkan seseorang itu dengan melihat pakaian yang dipakai sahaja. Seolah-olah saudara ini seperti katak di bawah tempurung dan tidak melihat dunia realiti sebenarnya.
 
Jenis orang seperti saudara ini amat bahaya sebagai warganegara Malaysia. Apakah saudara fikirkan hanya orang Melayu sahaja Islam dan Islam itu mesti merujuk kepada penampilan berpakaian seseorang individu? Apakah saudara tidak tahu ada orang Indonesia di Bali yang memakai songkok dan berbaju batik pergi ke candi untuk bersembahyang? Ini kerana dia beragama Hindu. Tidak kah saudara tahu masjid di China berwarna merah seperti tokong dan bertulisan karektor China dipersekitaran dan di dalam masjid?
 
Janganlah menyempitkan fikiran saudara dengan mengatakan ahli parlimen akan tidak dihormati oleh rakyat kerana memakai bow tie. Rakyat sekarang semakin bijak dan tahu menilai mana jauhari dan yang mana manikam.
 
Pendapat saudara semakin terserlah sempit dan tidak mempunyai asas apabila menyamakan ahli parlimen memakai bow tie seperti bersantai dan menghadiri jamuan makan malam. Pakaian untuk jamuan makan malam rasmi bernama tuxedo yang kot dan seluar berwarna hitam dan berbengkong hitam disamping berbaju kemeja putih yang berkolar lipat.
 
Pandangan saudara seolah-olah ahli parlimen itu bodoh sangat sehingga tidak tahu menyesuaikan pakiaan mengikut tempat. Orang yang bukan ahli parlimen pun tahu menyesuaikan pakaian mengikut tempat. Seperti kata saudara akan menjadi bahan ketawa apabila ahli parlimen memakai bow tie bila masuk kampung.
 
Begitulah sempit dan rendahnya pemikiran saudara dalam menilai seseorang. Ahli parlimen bukan nya bodoh sehinggakan hendak pakai bow tie masuk ke kampung.
 
Lebih keterlaluan lagi saudara berkata kita bukan nya negara Barat yang perlu ditiru dan memakai bow tie tidak menonjolkan Islam. Saya hendak tanya saudara semasa saudara menerima ijazah di majlis konvokesyen, pakaian jenis apakah yang saudara pakai? Adakah saudara memakai serban dan berjubah hitam atau memakai pakaian baju Melayu bersongket dan bertanjak? Fikirkanlah dan buka minda anda.
 
Pendapar saya eloklah Jabatan Parlimen Malaysia menggeluarkan segera garis panduan pakaian rasmi untuk menghadiri persidangan di Parlimen kerana tidak timbul lagi kecoh tentang isu pakaian yang saya anggap seperti sudah tiada benda untuk dicakapkan lagi.
 
Kepada saudara Ezaruddin, bukalah minda anda dan jangan meyempitkan fikiran anda dengan berpaksi kepada satu  pegangan sahaja. Jangan terlampau ekstrim dan hipokrit dalam menjalani kehidupan seharian di dunia ini yang penuh dengan realiti dan bukan fantasi.
 
Sekian. terima kasih.



The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com

WUJUDKAN HALL OF FAME BOLA SEPAK MALAYSIA

WUJUDKAN HALL OF FAME BOLA SEPAK MALAYSIA
 
Apabila membaca rencana sisipan Utusan Malaysia hari Sabtu 15 Julai yang mengimbau kembali 15 tahun pemergian ke Rahmatullah Allahyarham Mokhtar Dahari, hati begitu tersentuh dan mengingatkan kembali nostalgia kehebatan bola sepak negara suatu ketika dahulu.
 
Masih teringat lagi kelibat legenda bola sepak negara ketika saya meyaksikan pertandingan akhir Pesta Bola Merdeka pada tahun 1976 di mana di akhir pertandingan saya telah mendapatkan tanda tangan Allahyarham Mokhtar dan Santokh Singh di buku cenderamata pesta bola tersebut. Walaupun sudah 30 tahun, namun buku cenderamata tersebut masih tersimpan baik di koleksi pustaka mini saya.
 
Ditambah pula dengan Piala Dunia yang baru sahaja berlabuh, dan cadangan pembinaan pusat kecemerlangan sukan di London, sukan negara terutama bola sepak sebenarnya sudah jauh sangat ketinggalan.
 
Jika dibuat perbandingan mutu permainan dan disiplin pemain bola sepak era 70an dan 80an, dengan perkembangan bola sepak masa kini, ibarat langit dengan bumi. Dahulu tanpa pemain import pun, liga Piala Malaysia begitu hebat dan bermutu tinggi skil permainannya dan mendapat sokongan padu penonton. Mereka bukan pemain profesional dan tiada gaji bulanan beribu ringgit. Malah tiada tajaan kepada pasukan yang mencecah jutaan ringgit setiap tahun.
 
Kini bola sepak negara gah dari segi kelibat pemain import yang tidak terkenal yang juga sedikit sebanyak menenggelamkan bakat pemain tempatan. Gaji yang beribu ringgit tidak setimpal dengan persembahan di padang. Liga Malaysia hanya hebat dari segi nama dan penganjurannya sahaja. Pemain yang bermutu dan skil yang tinggi gagal dilahirkan. Akibatnya pasukan negara kini menjadi pasukan belasahan negara lain.
 
Dahulu taraf bola sepak negara setaraf dengan empat wakil Asia yang bertanding di Piala Dunia. Perlawanan bola sepak menentang Korea Selatan pada masa itu mendapat perhatian daripada peminat tempatan dan Korea sendiri, walaupun hanya perlawanan persahabatan. Malaysia-Korea Selatan sudah dikenali sebagai musuh tradisi bola sepak Asia. Walaupun ada kalanya kalah, peminat ketika itu pasti terhibur dengan corak permainan yang bermutu dan bersemangat yang ditunjukkan oleh pemain negara.
 
Kini semuanya itu tinggal kenangan dan menjadi peristiwa paling manis kepada mereka yang pernah menyaksikannya secara langsung. Generasi muda hanya dapat mendengar cerita kehebatan wira bola sepak era 70an dan awal 80an.
 
Alangkah baiknya jika syarikat gergasi negara yang begitu megah dan gagah menaja pasukan tertentu yang mencecah puluhan juta ringgit setahun dapat memperuntukkan sedikit wang tersebut untuk membina dan mewujudkan "hall of fame" atau dewan kemasyhuran bola sepak negara sebagai satu cara untuk meniupkan kembali semangat menaikkan mutu bola sepak negara.
 
Mungkin ada yang bertanya apa faedahnya mewujudkan hall of fame ini. Jawabnya negara masih tiada satu bangunan khas yang menyimpan segala khazanah bola sepak negara sebagai pedoman dan penaik semangat generasi muda, sedangkan sukan bola sepak adalah sukan nombor satu negara dan paling ramai pengikutnya. Ia juga sebagai usaha menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh pemain bola sepak dulu supaya kita mengenang jasa mereka sebagai wira bola sepak negara.
 
Kewujudan "hall of fame" ini sebagai bukti bahawa bola sepak Malaysia pernah mencapai kecemerlangan yang begitu tinggi suatu masa dahulu. Malah ianya akan menjadi koleksi berharga untuk seluruh rakyat sebagai suatu tempat untuk mengenang kembali peristiwa lama kehebatan bola sepak negara.
 
Sementara wira bola sepak era 70an dan awal 80an ini masih hidup, eloklah "hall of fame" ini diwujudkan supaya kita mudah mendapat maklumat, bahan penceritaan dan pengalaman mereka semasa negara di kemuncak kegemilangan.
 
Datuk Soh Chin Aun, Shukor Salleh, James Wong, Rashid Hassan, Santokh Singh, Riduan Abdullah dan Hassan Sani adalah beberapa nama wira bola sepak yang masih hidup untuk kita manfaatkan pengalaman berharga mereka untuk diabadikan di "hall of fame".
 
Allahyarham Mokhtar sudah tentunya mempunyai identiti tersendiri sehingga dinobatkan lagenda bola sepak negara. Arthur Koh dan Ghani Minhat juga tidak kurang hebatnya dan merupakan pemain bola sepak yang amat baik mutu permainannya di era 50an dan 60an. Sebenarnya ramai lagi bintang bola sepak dahulu yang sudah dilupakan jasa dan pengorbanan mereka terhadap sujkan negara. Jika ada "hall of fame", inilah tempat yang paling sesuai dikumpalkan segala maklumat, data, visual untuk tatapan seluruh rakyat.
 
Kementerian Belia dan Sukan mungkin boleh memikirkan sesuatu untuk menjadi peneraju mewujudkan "hall of fame" bola sepak negara. Mungkin kerjasama erat dengan pihak RTM, media cetak seperti Utusan Malaysia, Arkib Negara, Perpustakaan Negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM), malah fakulti sejarah universiti-universiti tempatan dapat mengumpulkan semula semua bahan sejarah bola sepak negara dari bentuk penulisan, fotografi, audio visual, filem, video dan lain-lain lagi sebagai pengumpulan koleksi sejarah berharga bola sepak negara. Pendapat seperti dari Profesor Datuk Khoo Kay Kim juga amat penting dan berharga jika ada usaha yang serius untuk mewujudkan dewan kemasyhuran ini.
 
Pengumpulan koleksi sejarah bola sepak negara boleh juga dirangkumkan dalam bentuk vcd sebagai tatapan dan tontonan generasi sekarang dan akan datang untuk menilai akan kehebatan dan kelincahan pemain bola sepak negara suatu ketika dahulu sebagai pembakar semangat kepada anak-anak muda yang bercita-cita untuk mewakili negara. Tidak mustahil kegemilangan itu akan berulang kembali malah mungkin akan lebih hebat lagi.
 
Kita sebenarnya sudah lama merindui untuk bercerita sesama kita tentang kehebatan bola sepak negara. Yang ada sekarang ialah perbualan mengagungkan kehebatan pasukan bola sepak negara luar. Sampai bilakah kita hendak memakai jersi pasukan seperti England dan Brazil sebagai  menunjukkan kita gila bola sepak?. Sampai bila kita hendak mengagungkan kehebatan pasukan negara lain seolah-olah seperti negara tersebut negara kita?.
 
Tidak mustahil suatu hari nanti orang Thailand dan Singapura pula akan memakai jersi negara kita apabila kita layak ke pusingan akhir Piala Dunia. Sepatutnya selepas tamat Piala Dunia kita mengambil sikap "mencemburui" negara yang lebih mundur dan miskin dari kita seperti Angola, tetapi atas semangat yang membara, mereka layak ke Piala Dunia.
 
Mungkin pendapat saya ini sukar untuk diterima dan membuang masa sahaja. Akan tetapi apabila kita bijak menghargai sejarah dan mengabadikan kecemerlangan yang pernah berlaku, ia sebenarnya boleh menjadi pencetus dan dorongan kepada generasi mendatang supaya berusaha untuk menempatkan diri mereka juga sebagai insan yang dikenang dan dihargai sejarah.
 
 
 
 



The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com

AKADEMIK BUKAN JAMINAN SISWAZAH DAPAT KERJA

AKADEMIK BUKAN JAMINAN SISWAZAH DAPAT KERJA
 
Apabila Jawatankuasa Khas Mengenai Siswazah Menganggur bermesyuarat semalam yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, barulah kita tahu sebegitu banyak jawatan kosong di sektor perkhidmatan awam untuk para graduan universiti.
 
Selain daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam melakukan kerja mereka untuk mempercepatkan pengambilan tenaga kerja siswazah untuk mengisi jawatan kosong di sektor kerajaan, graduan juga perlu menyediakan diri mereka untuk memenuhi cita rasa kerajaan untuk melantik mereka.
 
Persedian diri untuk menghadiri temuduga adalah amat penting sekali membolehkan keyakinan dan kelainan graduan tersebut berbeza dan istimewa dari graduan lain yang memohon jawatan yang sama. Ini kerana terdapat 60,000 siswazah menganggur di seluruh negara untuk mengisi 30,000 jawatan kosong di sektor perkhidmatan awam.
 
Cemerlang dari segi akademik sahaja sebenarnya tidak memberikan jaminan graduan tersebut berkualiti untuk di terima bekerja, sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta. Siswazah perlu juga melengkapkan diri dengan pengetahuan asas, kemahiran komunikasi, penguasaan dan penulisan dalam bahasa Inggeris, disamping penampilan fizikal diri sendiri.
 
Faktor seperti inilah yang menjadi kelebihan kepada seseorang graduan untuk bersaing dengan rakan yang lain. Kelainan dan kelebihan seperti inilah yang dicari oleh penemuduga untuk mengisi jawatan kosong.
 
Majikan tidak mahu mengambil pekerja yang lembik, tiada daya fikir yang tinggi, lemah penguasaan bahasa, tiada sifat berdikari dan kurang daya kesungguhan bekerja.
 
Masa yang terluang sebagai penganggur inilah yang paling sesuai kepada siswazah untuk memperbaiki diri sendiri, menambah pengatahuan dengan cara membaca, melayari internet, menambahbaik semua dokumen sokongan, kemaskini "resume" dan cuba bergaul dengan masyarakat untuk menambah kemahiran berkominikasi.
 
Perbaiki dan lebihkan kemahiran menguasai bahasa Inggeris dengan cara pertuturan dan penulisan. Ini penting kerana apabila siswazah memasuki alam pekerjaan, terdapat tugasan yang memerlukan anda berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
 
Saya pernah mengalami pengalaman sebagai pelajar IPTA, sebagai graduan mencari kerja, bekerja atas kapasiti siswazah dan menjadi majikan untuk mencari pekerja yang berkelulusan tinggi untuk menjawat jawatan dalam syarikat.
 
Suasananya amat berbeza sekali. Mungkin disebabkan perubahan persekitaran ataupun sifat siswazah sendiri yang saya sifatkan graduan sekarang tidak berkualiti. Mereka gagal menyediakan perubahan pada diri untuk memasuki alam pekerjaan. Tanpa persediaan dan ilmu diluar bidang pengajiaan mereka menyebabkan mereka gagal semasa temuduga dan lebih malang lagi gagal memenuhi kriteria jawatan yang ditawarkan.
 
Anggapan mereka apa yang dipelajari sudah cukup dan penuh ilmu di dada sehinggakan soalan pengetahuan am pun tidak boleh dijawab, adalah malang sekali sebagai insan yang bergelar graduan universiti. Inilah pengalaman saya apabila menemuduga siswazah IPTA untuk jawatan pegawai penyelidik apabila diajukan soalan nama ibu negeri Selangor, dan jawapan yang diberikan ialah Putrajaya.
 
Akademik dianggap formal seperti selalu kita faham sedangkan kokurikulum, pengetahuan am dan sivik dilihat sebagai tidak formal tetapi ianya juga sebahagian daripada penilaian akademik. Pentafsiran kita mengenai kecemerlangan sudah meluas dan tidak bermakna kita tidak mementingkan kecemerlangan akademik.
 
Kecemerlangan perlu ditafsir dengan lebih luas iaitu memasukkan komponen kokurikulum, pengetahuan am, gelagat peribadi (individual behaviour) dan kekuatan sivik selain komponen yang berbentuk akademik tetapi bukan dalam bentuk formal.
 
Jika kita hendak mendapatkan modal insan yang menyeluruh, kita perlu beri tumpuan kepada kecerdasan yang lain seperti sukan, seni dan nilai-nilai kemanusiaan. Kita boleh menambil contoh seperti Universiti Oxford yang menetapkan empat kriteria tetapi hanya satu kriteria menekankan aspek akademik. Selebihnya menuntut keupayaan dalam bidang lain termasuk sukan, seni dan tanggungjawab sosial. Ini bermakna akademik hanya 25 peratus sahaja dan bakinya adalah ciri lain.
 
Tidak semestinya orang yang tidak berijazah itu tidak pandai. Kita kadang-kadang mengiktiraf maksud kepandaian itu tidak tepat. Ini perkara yang perlu diperbetulkan. Berijazah dan berilmu adalah dua perkara yang berbeza. Jangan ingat orang yang berijazah itu berilmu. Mentaliti sebeginilah yang perlu diubah oleh pelajar IPT dan graduan. Ramai graduan beranggapan apabila sudah memiliki segulung ijazah, mereka sudah pandai segala-galanya.
 
Graduan yang sedang mencari kerja janganlah merasakan tercabar apabila gaji yang ditawarkan tidak setimpal dengan kelulusan yang ada. Pengorbanan bekerja tanpa pengetahuan dengan gaji yang rendah sebenarnya tidak mengina siswazah tersebut. Graduan perlulah tahu mengukur kemampuan mereka sendiri dalam persaingan mendapatkan pekerjaan.
 
Kepada mereka yang masih berada di universiti, timbalah ilmu sebanyak mungkin selain memenuhi kewajipan mata pelajaran kursus masing-masing. Janganlah seperti katak di bawah tempurung yang hanya tahu suasana dan aktiviti di kampus sahaja. Campurilah masyarakat di luar kampus untuk mendapatkan pengalaman dari segi pergaulan dan bertukar-tukar pendapat.
 
Proses pendewasaan ini sebenarnya berkembang semasa bergelar pelajar universiti. Dalam peringkat umur seperti inilah yang menjadi penentu corak bagaimana ketahanan diri pelajar tersebut. Peringkat pembelajaran di IPT inilah yang bakal mencorakkan gelagat pelajar apabila tamat pengajian dan mula menempuh kehidupan yang lebih mencabar.
 
Majikan mahukan pekerjanya yang bukan sahaja baik dari segi pencapaian akademik, tetapi juga mempunyai keyakinan dan ketahanan diri yang tinggi. Apa guna berkelulusan baik yang hanya menghafal dan memahami subjek yang diajar untuk menjawab soalan peperiksaan tetapi tidask tahu mempraktikkannya apabila keluar dari universiti?. Akal fikiran, pertimbangan logik dan ilmu yang dipelajari amat penting apabila siswazah memasuki alam pekerjaan.
 
Berusahalah untuk menjadi seorang graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga cemerlang dari segi sahsiah diri, akhlak, berpengetahuan dan berilmu. Belajarlah hidup bermasyarakat kerana ia suatu aset yang penting apabila anda mula bekerja di dalam suasana persekitaran yang amat baru dan berbeza dari yang dialami sekarang.


Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/

BUDAYA BUANG SAMPAH BERMULA DARI RUMAH

BUDAYA BUANG SAMPAH BERMULA DARI RUMAH
 
Cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Parlimen semalam untuk mewajibkan masyarakat mengamalkan kitar semua sejajar dengan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Pengurusan Sisa Pepejal sememangnya dialu-alukan.
 
Walaubagaimana pun sebelum rang undang-undang diluluskan menjadi undang-undang, kementerian sepatutnya melipat gandakan usaha mendidik orang ramai bagi menggalak dan memperluaskan amalan kitar semula di kalangan rakyat. Ini perlu apabila undang-undang berkuatkuasa dan mewajibkan masyarakat mengikut undang-undang yang sudah diluluskan, mungkin akan menimbulkan masalah kerana orang ramai masih belum bersedia dengan konsep kitar semula.
 
Tahun lalu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah melancarkan Pelan Strategik Kebangsaan bagi Pengurusan Sisa Pepejal dengan tujuan untuk memupuk kesedaran rakyat mengenai 3R iaitu kurangkan sampah (reduce waste), guna semula (reused) dan kitar semula (recycle).
 
Saya menampilkan beberapa pendapat untuk memastikan kitar semula dan membuang sampah menjadi suatu amalan dan proses yang sistematik.
 
Membudayakan rakyat tentang cara membuang sampah yang betul bukanlah suatu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi sisa buangan sampah isi rumah di Malaysia adalah 70 peratus bahan basah. Ditambah pula dengan kurang sambutan dari orang ramai terhadap Kempen Kitar Semula yang bermaksud untuk mendidik rakyat mengasingkan sisa bahan buangan untuk di kitar semula.
 
Kegagalan kempen ini lebih berpunca daripada sikap orang ramai sendiri yang malas untuk membawa bahan buangan ke pusat kitar semula di samping lokasi pusat tersebut yang terhad dan jauh dari kawasan perumahan.
 
Cadangan kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Pengurusan Sisa Pepejal  yang dijangka tidak lama lagi diharap akan menyediakan garis panduan terperinci bagi mengurangkan kadar sampah selain memantapkan kaedah pelupusan yang mesra alam sekitar.
 
Walaupun kerajaan tidak mahu menggunakan undang-undang bagi memaksa rakyat mengitar semula atau mengurangkan pembuangan sampah, tetapi undang-undang berkaitan jelas menunjukkan komitmen kerajaan terhadap rakyat dan alam sekitar.
 
Diharapkan cadangan undang-undang ini akan mengambil kira kelemahan kontraktor pemungut sampah dan pengurusan pusat pelupusan sampah di samping sikap kita sendiri dalam kaedah membuang sampah.
 
Mungkin kerajaan boleh melakukan perubahan dengan melantik dua jenis kontraktor pemungut sampah. Yang pertama, kontraktor yang sedia ada sekarang memungut sampah basah yang tidak perlu dikitar semula. Jenis kontraktor kedua pula adalah cadangan baru iaitu melantik kontraktor memungut sampah untuk di kitar semula.
 
Sampah untuk dikitar semula ini boleh dikutip pada hujung minggu di mana ianya sama konsep dengan peniaga "surat khabar lama" yang sering berlegar di kawasan perumahan. Cuma bezanya kontraktor ini mengutip semua jenis sampah untuk dikitar semula seperti plastik, kertas, alumunium, kaca dan kayu. Perkhidmatan ini bukan percuma kerana kontraktor yang dilantik membayar kepada pemilik rumah jumlah sampah yang dikutip. Contohnya sekilo kertas mengikut belian peniaga "surat khabar lama" adalah antara 20 sen hingga 30 sen.
 
Keadaan ini sekurang-kurangnya mendidik orang ramai bahawa ada jenis sampah yang bernilai dan boleh mendatangkan pendapatan sampingan. Ia juga menggalakkan rakyat untuk belajar mengasingkan sampah dan juga menghargai adanya sampah yang masih bernilai untuk dijual.
 
Melantik kontraktor memungut sampah kitar semula ini juga diyakini dapat mengurangkan kesesakan di tempat pelupusan sampah dan kawasan sekitarnya yang mana kini dipenuhi oleh pencari sampah kitar semula untuk dijual.
 
Cadangan ini bukannya hendak menutup mata pencarian mereka, tetapi menjurus kepada "kebersihan" di kawasan pelupusan sampah itu sendiri disamping menggalakkan pencari sampah ini berniaga secara terurus dan membesarkan perniagaannya dengan menjadi kontraktor kerajaan.
 
Kita mahu rakyat membudayakan kitar semula atas kesedaran masing-masing, baru mereka ada rasa tanggngjawab untuk mengatasi masalah sampah bersama kerajaan dan menjadikannya amalan hidup seharian tanpa tekanan dan paksaan.
 
Cadangan undang-undang ini diharap akan memperbetulkan lagi struktur pengurusan dan pentadbiran kontraktor pemungut sampah dan pemilik pusat pelupusan sampah agar mereka lebih menjurus kepada perkhidmatan mesra alam.
 
Mungkin kerajaan juga dapat mengeluarkan garis panduan agar lori kompaktor sampah perlu berusia tidak lebih 5 tahun. Ini disebabkan kebanyakan kontraktor menggunakan lori kompaktor sampah yang sudah usang kerana mereka membeli lori "recondition" yang di import dari luar negera. Keadaan fizikal lori ini sememangnya sudak teruk dan banyak kerosakan. Cuma dicat baru agar nampak menarik dan seperti baru.
 
Undang-undang yang diperkenalkan nanti lebih membabitkan kontraktor pemungut sampah dan pengurusan pusat pelupusan sampah bagi memastikan mereka menepati tahap kebersihan, selain merawat air larut resap.
 
Kita berharap dengan adanya undang-undang ini, kerajaan mempunyai kuasa untuk menutup pusat pelupusan yang tidak selamat kerana jangka hayat pusat pelupusan sedia ada dan merumus kaedah altenatif melupus sampah. Perlu ada keseragaman pusat pelupusan sampah dan juga kategori atau jenis pusat pelupusan sama ada sampah basah, tempat pengumpulan kitar semula atau sampah sektor perkilangan.
 
Rakyat berharap jika undang-undang ini diluluskan akan dapat mewujudkan budaya baru membuang sampah yang bermula dari rumah. Ia juga sejajar dengan Seminar Kebangsaan Pengurangan Bahan Buangan pada 1 Jun yang lalu. Seminar ini anjuran bersama Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
 
Begitulah usaha kerajaan yang merangka dan menggunakan pelbagai kaedah untuk memastikan sampah tidak menjadi beban kepada rakyat.
 
Namun kesedaran sivik orang ramai amat ditagih agar kita perlu mewujudkan budaya membuang sampah dengan lebih teratur. Segalanya bermula dari rumah kita sendiri.
 
 



The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com

Sunday, July 09, 2006

PUSAT HIBURAN BUKAN DAYA TARIKAN UTAMA PELANCONG KE MALAYSIA

PUSAT HIBURAN BUKAN DAYA TARIKAN UTAMA PELANCONG KE MALAYSIA

Apabila cadangan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang mahukan pusat hiburan di buka sehingga pukul 5 pagi dengan tujuan untuk menarik minat pelancong asing bercuti di negara ini, beliau sebenarnya memuncakkan lagi kritikan orang ramai terhadap kementeriannya.
Kenyataan yang dibuat di Vietnam itu sebenarnya telah membuka pekung di dada kementeriannya sendiri bahawa sebenarnya masih tiada arah untuk memasarkan pelancongan Malaysia. Seolah-olah beliau telah terdesak bagaimana hendak menarik minat pelancong datang ke negara kita.
Tidak keterlaluan jika dikatakan kementerian masih tercari-cari apakah identiti daya tarikan utama pelancongan negara untuk dijadikan sebagai satu penyebab utama pelancong asing datang.
Jika di Masir, India dan Indonesia, daya tarikan utamanya ialah nilai kesan sejarah dan kraftangan, Hong Kong terkenal dengan pusat membeli belah, Thailand dengan hiburan dan aktiviti pantainya, Vietnam dengan kesan peninggalan perang, Malaysia pula bagaimana?.
Pelancong asing mahukan sesuatu yang berlainan dengan apa yang ada di tempat mereka. Jika hendak disogokkan kepada pelancong Eropah, Amerika dan Australia tentang kehebatan hutan batu di Kuala Lumpur, negara mereka lagi hebat.
Jika hendak ditampilkan pusat membeli belah sebagai daya tarikan utama pelancongan, lebih baik pelancong asing pergi ke Bangkok, Hong Kong, Dubai, London, Rome atau Paris. Bandar tersebut lebih hebat promosi pemasarannya, sudah lama terkenal dan juga menjadi idaman orang Malaysia sendiri untuk membeli belah.
Alasan Tengku Adnan pusat hiburan di buka sehingga pukul 5 pagi kerana keadaan yang sedia ada di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Langkawi seakan 'bandar tidak bernyawa" pada waktu malam dibandingkan dengan Singapura dan Thailand, tidak logik sama sekali.
Berapa peratus pelancong asing akan berkunjung ke pusat hiburan semasa berada di bandar-bandar besar?. Tidakkah beliau tahu pelancong asing lebih berminat untuk melawat tempat sejarah, alam semulajadi seperti di Taman Negara, pulau-pulau yang indah seperti Tioman, Sibu dan Kapas, dan kehidupan sebenar masyarakat desa seperti di Sarawak dan Sabah?. Inilah produk pelancongan yang perlu ditekankan oleh kementerian beliau.
Kementerian Pelancongan perlu memperkasakan pelancongan agro, pelancongan eko, kebudayaan dan homestay. Sub sektor pelancongan seperti ini seakan diabaikan oleh kementerian sedangkan identiti dan kelainan sebeginilah yang dicari oleh pelancong asing. terutamanya dari Barat. Kementerian lebih terarah untuk mempromosikan tarikan pelancongan di bandar berbanding dengan di desa dan luar bandar.
Pelancong asing yang sudah lali dengan hiburan dan arak seperti yang dicadangkan oleh Tengku Adnan. Hidangan promosi sebegini sebenarnya tidak diendahkan oleh pelancong Barat. Jika mereka hendak berhibur semasa berada di bandar-bandar besar, sudah memadai hiburan yang telahpun sedia ada di hotel penginapan mereka.
Pervayalah jika cadangan ini diluluskan dengan alasan menarik pelancong asing yang "boring" seperti kata Tengku Adnan, ia sebenarnya akan dipenuhi oleh rakyat tempatan sahaja. Sedangkan kebenaran pusat hiburan dibuka sehingga pukul 2 pagi pun pengusaha pusat ini melanjutkan sehingga pukul 4 pagi, bayangkan lah jika ditutup pukul 5 pagi. Tentu ada yang mengambil kesempatan untuk ditutup lebih lewat lagi. Gejala sosial akan lebih meningkat dan pihak berkuasa akan lebih pening lagi.
Jelas menunjukkan beliau ketandusan idea bagaimana hendak memasarkan Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM07) dan juga seolah-olah kementerian tiada pelan pemasaran yang jitu. Mungkin juga beliau masih tercari-cari kaedah promosi yang berkesan untuk menarik minat pelancong asing datang ke negara kita.
Strategi pemasaran perlulah hebat untuk mencapai cita-cita sasaran 20 juta pelancong tahun hadapan. Kementerian harus menetapkan golongan sasaran untuk menarik pelancong. Risalah pelancongan perlulah dikemaskini dan lebih terpeinci dalam membekalkan maklumat kepada pelancong.
Galakan dan promosi perlu juga dipasarkan terhadap pelancong tempatan. Masih ramai rakyat di negara ini yang masih belum menjelajah ke seluruh pelusuk negara. Masih ramai yang tidak tahu keindahan alam semulajadi air panas di Trolak, nilai kesan sejarah yang hebat di Bukit Malawati, Kuala Selangor, kehidupan unik rumah panjang di Baram, Sarawak dan kedinginan Kundasang di Sabah.
Kita tahu beliau tertekan dengan promosi pelancongan yang hebat oleh negara jiran sehinggakan kementerian mengadakan usahasama dengan Thailand untuk "bertukar-tukar" pelancong dengan negara kita. Seolah-olah kita meminta belas kasihan Thailand agar pelancong asing yang datang ke negara mereka diminta "tolong" melawat Malaysia.
Janganlah meniru gaya tarikan hiburan oleh negara jiran sebagai daya tarikan utama pelancong berkunjung ke negara kita. Ianya akan mengundang persaingan dan sudah tentu kita tewas kerana negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Vietnam sudah lama terkenal dengan hiburan dan sex sebagai daya tarikan utama mereka.
Saya percaya cadangan Tengku Adnan tidak disokong oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Mungkin menteri berkenaan membandingkan dengan Thailand dan Vietnam yang baru beliau lawati untuk menagih simpati rakyat negara tersebut untuk melancong ke negara kita. Walaupun Bangkok di gelar "syurga malam" oleh pelancong Barat, namun pusat hiburannya di buka tidak lebih dari pukul 2 pagi.
Sedarilah hiburan sebagai daya tarikan utama ke Thailand adalah termasuk perkhidmatan sex yang sudah diiktiraf sebagai satu industri di negara tersebut. Vietnam kini sudah menjadi pesaing Thailand sebagai kota hiburan. Apakah Tengku Adnan hendak menjadi peneraju industri sebegini di Malaysia?

Wednesday, July 05, 2006

Peribadi Artis Janganlah Disensasikan

PERIBADI ARTIS JANGANLAH DISENSASIKAN

Beberapa minggu kebelakangan ini berita artis popular telah mendapat tempat di akhbar tanah air. Ada yang suka dan ada yang duka.

Bermula dengan perceraian Yusry dengan Erra Fazira, Siti Nurhaliza bakal bertunang dan yang terbaru bakal putus tunang Mawi dan Ina.

Begitulah hebatnya dan istemewanya insan bernama artis yang mendapat liputan dan perhatian dari semua lapisan masyarakat dan pihak media. Namun begitu, kita janganlah terlalu mensensasikan dan terlampau fanatik sangat apabila memperkatakan berita artis tersebut seolah-olah peribadi artis pun hendak kita miliki.

Cukuplah mereka itu kita anggap milik masyarakat daripada bakat dan anugerah tuhan kepada mereka. Peribadi mereka biarlah mereka selesaikan sendiri. Kita sebagai peminat cukuplah sekadar pemerhati.

Inilah masalah mentaliti orang Melayu yang yang terlampau mengambil berat sangat artis kegemaran mereka. Apa yang kita dapat daripada komen dan cadangan kita terhadap peribadi artis tersebut sedangkan mereka itu bukan anak-anak kecil lagi?.

Cerita Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Jiwa yang telah mendapat perhatian dan liputan daripada semua akhbar tempatan, dari yang berbahasa Melayu hinggakan ke akhbar bahasa Tamil.

Begitulah lumrahnya menjadi artis popular dan terkenal. Setiap pergerakan mendapat perhatian ramai, sehinggakan hal peribadi turut disentuh dan menjadi bualan.

Walaupun mereka ini "public figure", mereka juga manusia biasa seperti kita. Siapa yang mahu soal peribadi mereka diketahui oleh umum dan menjadi bualan ramai?

Siti yang begitu hampir dengan gerbang perkahwinan sudah tentunya akan mendapat publisiti dan perhatian dari seluruh rakyat Malaysia. Sebagai artis paling terkenal masa kini, kita seharusnya mendoakan agar niat suci beliau untuk berumah tangga termakbul dan aman damai sehingga akhir hayat.

Janganlah pula kita mendoakan sebaliknya dan menimbulkan pelbagai fitnah. Jika Tuhan sudah menetapkan jodohnya dengan Datuk Khalid, tiada siapa boleh menghalang Nya. Soal Datuk Khalid itu duda anak tiga sepatutnya tidak timbul dikalangan peminat.

Soal bagaimana Siti bercinta dan mengapa memilih Datuk Khalid, adalah terlalu peribadi untuk diketahui umum. Walaupun peminat ingin tahu, tetapi berilah tembok pemisah antara peribadi dan karier artis tersebut.

Kita sepatutnya yumpang gembira jika suratan takdir Siti akan bernikah dengan Datuk Khalid. Perkara baik seperti ini sepatutnya dialu-alukan oleh orang ramai. Berilah sedikit ruang kepada artis paling popular ini agar soal peribadinya tidak disensasikan.

Hubunga Erra dan Yusry pula sudah pun berakhir dengan perceraian amat sedih dan pilu bila mendengarnya. Kepada peminat kedua artis popular ini doakanlah juga agar mereka kembali bersama seperti sebelumnya.

Perceraian adalah perkara yang sangat tidak dikehendaki oleh setiap insan. Kita tidak mahu tahu punca pergolakan rumah tangga mereka. Biarlah mereka berdua sahaja yang mengetahuinya. Peminat pula janganlah menokok tambah dengan cerita yang tidak berasas dan berunsur fitnah seolah-olah menggalakkan perceraian.

Cuba kita bayangkan kedudukan kita seperti Erra dan Yusry. Soal peribadi dan dalaman sebolehnya tidak mahu orang lain mengetahuinya. Peminat harus memahami kedudukan genting mereka ini. Janganlah melemparkan fitnah kepada mereka berdua kerana anda tidak tahu masalah mereka sebenarnya. Berikanlah mereka peluang untuk terus hidup sebagai insan biasa.

Sebagai peminat Erra dan Yusry, dan juga atas sifat sebagai kakak, saya nasihatkan mereka berdua ini supaya bersabar dan cuba dekatkan diri dengan Tuhan. Mintalah petunjuk dengan bersembahyang sunat Istikharah.

Allah swt ada berfirman yang maksudnya :
"Boleh jadi apa yang tidak kamu sukai itulah yang baik bagi kamu dan boleh jadi yang kamu suka itulah sebenarnya tidak baik bagi kamu. Allah swt mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui."
Surah Al-Baqarah : 216

Pengalaman telah mengajar saya betapa peritnya dan peningnya apabila perkahwinan itu di ambang perceraian. Syukur kepada Tuhan kerana perceraian dapat dihindari dan saya kembali kepada keharmonian berumah tangga.

Kepada Mawi pula, berbanyaklah bersabar dan jangan dengan kata orang kerana anda yang hendak mendirikan rumah tangga bukannya peminat dan orang disekeliling anda. Dugaan dan cabaran mendatang sebagai siami anda sahaja yang mengalaminya. Eloklah berbincang semula dengan tunang anda agar yang keruh menjadi jernih semua.

Ini baru cerita anda hampir putus pertunangan belum lagi cerita sesudah mendirikan rumah tangga. Jagalah peribadi anda dan muliakanlah kehidupan sebagai artis kerana anda sudah memilih bidang tersebut.

Selamat maju jaya kepada mereka semua.

__________________________________________________
Anda Ber-Yahoo!?
Bosan dengan spam? Mel Yahoo! mempunyai perlindungan spam yang paling baik
http://my.mail.yahoo.com

Saturday, July 01, 2006

KEBEBASAN DAN KEMEWAHAN ORANG MUDA DITAHAP MEMBIMBANGKAN

KEBEBASAN DAN KEMEWAHAN ORANG MUDA DITAHAP MEMBIMBANGKAN

Pada peringkat umur seperti saya ini yang dikira generasi ketiga selepas merdeka, saya terpanggil untuk meluahkan perasaan kebimbangan terhadap generasi keempat, yang saya takrifkan generasi kategori peringkat umur 25 tahun ke bawah, iaitu yang lahir pada tahun 1980 dan ke atas.

Tiada apa kuasa dan kudrat yang ada pada saya kecuali menyampaikan kerisauan melalui nasihat dan juga bentuk tulisan, sebagai wadah dan niat di hati agar generasi keempat ini mengambil pedoman dan pengalaman generasi sebelumnya sebagai pembakar semangat golongan muda ini untuk mewarisi keutuhan dan kecemerlangan bangsa Melayu berterusan selama-lamanya.

Kerisauan ini timbul kerana kita tidak mahu generasi di peringkat anak-anak kita ini terlalu leka disebabkan zaman kini adalah zaman kebebasan segala segi sebenarnya. Bebas untuk melampaui batas sempadan melalui internet ke seluruh pelusuk dunia, bebas bersuara sehingga memberi pandangan dan kritikan lebih bersifat mengutuk dan mengumpat.

Mereka juga bebas untuk meluahkan perasaan melalui SMS yang diinteraktifkan dan dipaparkan di muka tv, bebas berpakaian menjolok mata walaupun bertudung, bebas pergaulan tanpa batasan antara lelaki dan perempuan dan juga bebas untuk mencari wang walaupun rezeki itu haram dari segi syarak.

Mereka ini leka dan mudah lupa tentang diri mereka sendiri. Lupa bahawa mereka seorang yang bernama orang Melayu, beragama Islam dan tinggal di negara bernama Malaysia. Hari ini golongan remaja ini telah diresapkan kebebasan mutlak sebenarnya. Siapa yang memulakannya tidaklah diketahui. Apakah kita hendak persalahkan teknologi maklumat?. Atau adakah golongan muda ini sudah menjadi mangsa kemodenan teknologi maklumat?.

Mereka dilihat lebih kepada berubah dari segi pemikiran yang menjurus kepada persembahan dan penampilan diri masing-masing dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk siapa yang lebih hebat. Siapa lebih hebat dan pendahulu antara rakan sebaya mereka kepada perkembangan fesyen, kecanggihan telefon bimbit, pakaian berjenama, dan yang paling menarik sekali ialah bersaing kehebatan pengaruh siapa yang lebih kuat dan perlu didengar untuk menjadi ketua sesuatu kelompok.

Mereka bersaing untuk menunjukkan siapa lebih hebat penampilan kemewahan dan kecanggihan. Jika seseorang itu mempunyai sifat hebat sebegitu, beliaulah ketua.Ketua pula akan memaksa ahli atau orang bawahannya mengikut gaya dan penampilan beliau agar dapat bersaing pula dengan kumpulan yang lain.

Akibatnya remaja ini akan merengek-rengek dan meminta-minta dari ibu bapanya untuk membeli barangan seperti telefon bimbit berkamera, pakaian mahal yang berjenama untuk melayakkan remaja ini diterima sebagai ahli kumpulan. Jika tidak mereka akan disisihkan oleh rakan mereka.

Yang menjadi masalah ialah ibu bapa. Sama ada hendak mengikut atau tidak kehendak anak-anak. Kepada yang berduit sudah tentu tidask menjadi masalah untuk menunaikan kehendak anak, tetapi bagaimana ibu bapa yang tidak berkemampuan untuk memenuhi permintaan tersebut?. Di sinilah kebijaksanaan ibu bapa teruji.

Generasi keempat yang sudah bekerja pula di lihat tidak dapat melawan nafsu mereka untuk berbelanja mewah yang sebenarnya di bawah kemampuan mereka. Kemungkinan faktor imej kemewahan yang disajikan kepada mereka setiap hari mendorong mereka terjerumus kepada hidup bermegah dengan kemewahan.

Sudah wujud sikap dan sifat golongan muda kini yang mengamalkan dan mengimpikan kehidupan mewah dengan jalan yang singkat. Setiap hari mereka melihat iklan, program tv dan drama yang menampilkan golongan sebaya dengan mereka berpakaian cantik, berkereta mewah, aksesori perhiasan diri yang mahal dan "life style" yang eksklusif. Sedangkan mereka belum mampu untuk memiliki semua itu.

Akibatnya mereka terdorong oleh kegiatan yang tidak bermoral seperti menjadi GRO, merompak, berzina, memeras ugut, menjual maruah dan menculik. Terdapat laporan dari pihak berkuasa yang menunjukkan golongan muda ini sanggup melakukan perbatan sebegitu akibat pengaruh materialistik dan ingin mengecapi hidup bermewah dengan segera. Gejala seperti ini amat menyedihkan lebih-lebig lagi melibatkan orang Melayu.

Inilah akibat tidak sabar dalam kehidupan dan menggunakan jalan pintas untuk mencapai matlamat mereka. Mereka mengabaikan pendidikan ke peringkat tertinggi sekali kerana pengaruh kebebasan dan rakan-rakan yang dilihat tanpa pendidikan yang tinggi pun boleh bermewah. Mereka lupa pendidikanlah yang bakal menjamin masa depan mereka.

Segelintir golongan seperti ini akan cepat melenting apabila di tegur oleh orang yang lebih tua dari mereka. Sikap sopan dan berbudi bahasa juga telah mula terhakis. Pernah saya menegur remasa yang sedang berasmara di dalam kereta di tempat letak kereta awam di siang hari. Remaja lelaki itu dengan garang dan biadap memaki hamun saya dengan mengatakan itu bukan urusan saya. Apabila saya katakan bapa remaja berkenaan adalah rakan saya, dan kereta yang digunakan untuk membuat maksiat itu milik bapanya, terus berubah air muka remaja berkenaan dan memohon maaf.

Tidak dinafikan generasi terdahulu juga tidak terkecuali di dalam fenomena kebebasan yang melampau ini. Bezanya sekarang ini kebebasan yang ada sudah seperti sukar untuk diatasi dan dilakukan secara terang-terangan. Orang muda yang menjadi jiran kita hidup tanpa ikatan pernikahan yang sah seolah-olah tiada siapa yang boleh melarangnya lagi. Konsep kejiranan telah mula dilupakan. Kita sekarang ini lebih kepada sikap mementingkan diri sendiri dan norma kehidupan bermasyarakat telah mula diketepikan.

Mungkin ada yang berkata pendapat seperti ini seperti sudah ketinggalan zaman dan kuno, tetapi adakah kita hendak biarkan ianya berlarutan sehingga suatu hari nanti ia akan menjadi suatu budaya?. Sama-samalah kita membendung agar kebebasan dan kemewahan melampau ini diatasi segera.



The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com