PERIBADI ARTIS JANGANLAH DISENSASIKAN
Beberapa minggu kebelakangan ini berita artis popular telah mendapat tempat di akhbar tanah air. Ada yang suka dan ada yang duka.
Bermula dengan perceraian Yusry dengan Erra Fazira, Siti Nurhaliza bakal bertunang dan yang terbaru bakal putus tunang Mawi dan Ina.
Begitulah hebatnya dan istemewanya insan bernama artis yang mendapat liputan dan perhatian dari semua lapisan masyarakat dan pihak media. Namun begitu, kita janganlah terlalu mensensasikan dan terlampau fanatik sangat apabila memperkatakan berita artis tersebut seolah-olah peribadi artis pun hendak kita miliki.
Cukuplah mereka itu kita anggap milik masyarakat daripada bakat dan anugerah tuhan kepada mereka. Peribadi mereka biarlah mereka selesaikan sendiri. Kita sebagai peminat cukuplah sekadar pemerhati.
Inilah masalah mentaliti orang Melayu yang yang terlampau mengambil berat sangat artis kegemaran mereka. Apa yang kita dapat daripada komen dan cadangan kita terhadap peribadi artis tersebut sedangkan mereka itu bukan anak-anak kecil lagi?.
Cerita Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Jiwa yang telah mendapat perhatian dan liputan daripada semua akhbar tempatan, dari yang berbahasa Melayu hinggakan ke akhbar bahasa Tamil.
Begitulah lumrahnya menjadi artis popular dan terkenal. Setiap pergerakan mendapat perhatian ramai, sehinggakan hal peribadi turut disentuh dan menjadi bualan.
Walaupun mereka ini "public figure", mereka juga manusia biasa seperti kita. Siapa yang mahu soal peribadi mereka diketahui oleh umum dan menjadi bualan ramai?
Siti yang begitu hampir dengan gerbang perkahwinan sudah tentunya akan mendapat publisiti dan perhatian dari seluruh rakyat Malaysia. Sebagai artis paling terkenal masa kini, kita seharusnya mendoakan agar niat suci beliau untuk berumah tangga termakbul dan aman damai sehingga akhir hayat.
Janganlah pula kita mendoakan sebaliknya dan menimbulkan pelbagai fitnah. Jika Tuhan sudah menetapkan jodohnya dengan Datuk Khalid, tiada siapa boleh menghalang Nya. Soal Datuk Khalid itu duda anak tiga sepatutnya tidak timbul dikalangan peminat.
Soal bagaimana Siti bercinta dan mengapa memilih Datuk Khalid, adalah terlalu peribadi untuk diketahui umum. Walaupun peminat ingin tahu, tetapi berilah tembok pemisah antara peribadi dan karier artis tersebut.
Kita sepatutnya yumpang gembira jika suratan takdir Siti akan bernikah dengan Datuk Khalid. Perkara baik seperti ini sepatutnya dialu-alukan oleh orang ramai. Berilah sedikit ruang kepada artis paling popular ini agar soal peribadinya tidak disensasikan.
Hubunga Erra dan Yusry pula sudah pun berakhir dengan perceraian amat sedih dan pilu bila mendengarnya. Kepada peminat kedua artis popular ini doakanlah juga agar mereka kembali bersama seperti sebelumnya.
Perceraian adalah perkara yang sangat tidak dikehendaki oleh setiap insan. Kita tidak mahu tahu punca pergolakan rumah tangga mereka. Biarlah mereka berdua sahaja yang mengetahuinya. Peminat pula janganlah menokok tambah dengan cerita yang tidak berasas dan berunsur fitnah seolah-olah menggalakkan perceraian.
Cuba kita bayangkan kedudukan kita seperti Erra dan Yusry. Soal peribadi dan dalaman sebolehnya tidak mahu orang lain mengetahuinya. Peminat harus memahami kedudukan genting mereka ini. Janganlah melemparkan fitnah kepada mereka berdua kerana anda tidak tahu masalah mereka sebenarnya. Berikanlah mereka peluang untuk terus hidup sebagai insan biasa.
Sebagai peminat Erra dan Yusry, dan juga atas sifat sebagai kakak, saya nasihatkan mereka berdua ini supaya bersabar dan cuba dekatkan diri dengan Tuhan. Mintalah petunjuk dengan bersembahyang sunat Istikharah.
Allah swt ada berfirman yang maksudnya :
"Boleh jadi apa yang tidak kamu sukai itulah yang baik bagi kamu dan boleh jadi yang kamu suka itulah sebenarnya tidak baik bagi kamu. Allah swt mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui."
Surah Al-Baqarah : 216
Pengalaman telah mengajar saya betapa peritnya dan peningnya apabila perkahwinan itu di ambang perceraian. Syukur kepada Tuhan kerana perceraian dapat dihindari dan saya kembali kepada keharmonian berumah tangga.
Kepada Mawi pula, berbanyaklah bersabar dan jangan dengan kata orang kerana anda yang hendak mendirikan rumah tangga bukannya peminat dan orang disekeliling anda. Dugaan dan cabaran mendatang sebagai siami anda sahaja yang mengalaminya. Eloklah berbincang semula dengan tunang anda agar yang keruh menjadi jernih semua.
Ini baru cerita anda hampir putus pertunangan belum lagi cerita sesudah mendirikan rumah tangga. Jagalah peribadi anda dan muliakanlah kehidupan sebagai artis kerana anda sudah memilih bidang tersebut.
Selamat maju jaya kepada mereka semua.
__________________________________________________
Anda Ber-Yahoo!?
Bosan dengan spam? Mel Yahoo! mempunyai perlindungan spam yang paling baik
http://my.mail.yahoo.com
No comments:
Post a Comment