Sunday, July 09, 2006

PUSAT HIBURAN BUKAN DAYA TARIKAN UTAMA PELANCONG KE MALAYSIA

PUSAT HIBURAN BUKAN DAYA TARIKAN UTAMA PELANCONG KE MALAYSIA

Apabila cadangan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang mahukan pusat hiburan di buka sehingga pukul 5 pagi dengan tujuan untuk menarik minat pelancong asing bercuti di negara ini, beliau sebenarnya memuncakkan lagi kritikan orang ramai terhadap kementeriannya.
Kenyataan yang dibuat di Vietnam itu sebenarnya telah membuka pekung di dada kementeriannya sendiri bahawa sebenarnya masih tiada arah untuk memasarkan pelancongan Malaysia. Seolah-olah beliau telah terdesak bagaimana hendak menarik minat pelancong datang ke negara kita.
Tidak keterlaluan jika dikatakan kementerian masih tercari-cari apakah identiti daya tarikan utama pelancongan negara untuk dijadikan sebagai satu penyebab utama pelancong asing datang.
Jika di Masir, India dan Indonesia, daya tarikan utamanya ialah nilai kesan sejarah dan kraftangan, Hong Kong terkenal dengan pusat membeli belah, Thailand dengan hiburan dan aktiviti pantainya, Vietnam dengan kesan peninggalan perang, Malaysia pula bagaimana?.
Pelancong asing mahukan sesuatu yang berlainan dengan apa yang ada di tempat mereka. Jika hendak disogokkan kepada pelancong Eropah, Amerika dan Australia tentang kehebatan hutan batu di Kuala Lumpur, negara mereka lagi hebat.
Jika hendak ditampilkan pusat membeli belah sebagai daya tarikan utama pelancongan, lebih baik pelancong asing pergi ke Bangkok, Hong Kong, Dubai, London, Rome atau Paris. Bandar tersebut lebih hebat promosi pemasarannya, sudah lama terkenal dan juga menjadi idaman orang Malaysia sendiri untuk membeli belah.
Alasan Tengku Adnan pusat hiburan di buka sehingga pukul 5 pagi kerana keadaan yang sedia ada di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Langkawi seakan 'bandar tidak bernyawa" pada waktu malam dibandingkan dengan Singapura dan Thailand, tidak logik sama sekali.
Berapa peratus pelancong asing akan berkunjung ke pusat hiburan semasa berada di bandar-bandar besar?. Tidakkah beliau tahu pelancong asing lebih berminat untuk melawat tempat sejarah, alam semulajadi seperti di Taman Negara, pulau-pulau yang indah seperti Tioman, Sibu dan Kapas, dan kehidupan sebenar masyarakat desa seperti di Sarawak dan Sabah?. Inilah produk pelancongan yang perlu ditekankan oleh kementerian beliau.
Kementerian Pelancongan perlu memperkasakan pelancongan agro, pelancongan eko, kebudayaan dan homestay. Sub sektor pelancongan seperti ini seakan diabaikan oleh kementerian sedangkan identiti dan kelainan sebeginilah yang dicari oleh pelancong asing. terutamanya dari Barat. Kementerian lebih terarah untuk mempromosikan tarikan pelancongan di bandar berbanding dengan di desa dan luar bandar.
Pelancong asing yang sudah lali dengan hiburan dan arak seperti yang dicadangkan oleh Tengku Adnan. Hidangan promosi sebegini sebenarnya tidak diendahkan oleh pelancong Barat. Jika mereka hendak berhibur semasa berada di bandar-bandar besar, sudah memadai hiburan yang telahpun sedia ada di hotel penginapan mereka.
Pervayalah jika cadangan ini diluluskan dengan alasan menarik pelancong asing yang "boring" seperti kata Tengku Adnan, ia sebenarnya akan dipenuhi oleh rakyat tempatan sahaja. Sedangkan kebenaran pusat hiburan dibuka sehingga pukul 2 pagi pun pengusaha pusat ini melanjutkan sehingga pukul 4 pagi, bayangkan lah jika ditutup pukul 5 pagi. Tentu ada yang mengambil kesempatan untuk ditutup lebih lewat lagi. Gejala sosial akan lebih meningkat dan pihak berkuasa akan lebih pening lagi.
Jelas menunjukkan beliau ketandusan idea bagaimana hendak memasarkan Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM07) dan juga seolah-olah kementerian tiada pelan pemasaran yang jitu. Mungkin juga beliau masih tercari-cari kaedah promosi yang berkesan untuk menarik minat pelancong asing datang ke negara kita.
Strategi pemasaran perlulah hebat untuk mencapai cita-cita sasaran 20 juta pelancong tahun hadapan. Kementerian harus menetapkan golongan sasaran untuk menarik pelancong. Risalah pelancongan perlulah dikemaskini dan lebih terpeinci dalam membekalkan maklumat kepada pelancong.
Galakan dan promosi perlu juga dipasarkan terhadap pelancong tempatan. Masih ramai rakyat di negara ini yang masih belum menjelajah ke seluruh pelusuk negara. Masih ramai yang tidak tahu keindahan alam semulajadi air panas di Trolak, nilai kesan sejarah yang hebat di Bukit Malawati, Kuala Selangor, kehidupan unik rumah panjang di Baram, Sarawak dan kedinginan Kundasang di Sabah.
Kita tahu beliau tertekan dengan promosi pelancongan yang hebat oleh negara jiran sehinggakan kementerian mengadakan usahasama dengan Thailand untuk "bertukar-tukar" pelancong dengan negara kita. Seolah-olah kita meminta belas kasihan Thailand agar pelancong asing yang datang ke negara mereka diminta "tolong" melawat Malaysia.
Janganlah meniru gaya tarikan hiburan oleh negara jiran sebagai daya tarikan utama pelancong berkunjung ke negara kita. Ianya akan mengundang persaingan dan sudah tentu kita tewas kerana negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Vietnam sudah lama terkenal dengan hiburan dan sex sebagai daya tarikan utama mereka.
Saya percaya cadangan Tengku Adnan tidak disokong oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Mungkin menteri berkenaan membandingkan dengan Thailand dan Vietnam yang baru beliau lawati untuk menagih simpati rakyat negara tersebut untuk melancong ke negara kita. Walaupun Bangkok di gelar "syurga malam" oleh pelancong Barat, namun pusat hiburannya di buka tidak lebih dari pukul 2 pagi.
Sedarilah hiburan sebagai daya tarikan utama ke Thailand adalah termasuk perkhidmatan sex yang sudah diiktiraf sebagai satu industri di negara tersebut. Vietnam kini sudah menjadi pesaing Thailand sebagai kota hiburan. Apakah Tengku Adnan hendak menjadi peneraju industri sebegini di Malaysia?

No comments: