BUDAYA BUANG SAMPAH BERMULA DARI RUMAH
Cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Parlimen semalam untuk mewajibkan masyarakat mengamalkan kitar semua sejajar dengan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Pengurusan Sisa Pepejal sememangnya dialu-alukan.
Walaubagaimana pun sebelum rang undang-undang diluluskan menjadi undang-undang, kementerian sepatutnya melipat gandakan usaha mendidik orang ramai bagi menggalak dan memperluaskan amalan kitar semula di kalangan rakyat. Ini perlu apabila undang-undang berkuatkuasa dan mewajibkan masyarakat mengikut undang-undang yang sudah diluluskan, mungkin akan menimbulkan masalah kerana orang ramai masih belum bersedia dengan konsep kitar semula.
Tahun lalu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah melancarkan Pelan Strategik Kebangsaan bagi Pengurusan Sisa Pepejal dengan tujuan untuk memupuk kesedaran rakyat mengenai 3R iaitu kurangkan sampah (reduce waste), guna semula (reused) dan kitar semula (recycle).
Saya menampilkan beberapa pendapat untuk memastikan kitar semula dan membuang sampah menjadi suatu amalan dan proses yang sistematik.
Membudayakan rakyat tentang cara membuang sampah yang betul bukanlah suatu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi sisa buangan sampah isi rumah di Malaysia adalah 70 peratus bahan basah. Ditambah pula dengan kurang sambutan dari orang ramai terhadap Kempen Kitar Semula yang bermaksud untuk mendidik rakyat mengasingkan sisa bahan buangan untuk di kitar semula.
Kegagalan kempen ini lebih berpunca daripada sikap orang ramai sendiri yang malas untuk membawa bahan buangan ke pusat kitar semula di samping lokasi pusat tersebut yang terhad dan jauh dari kawasan perumahan.
Cadangan kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Pengurusan Sisa Pepejal yang dijangka tidak lama lagi diharap akan menyediakan garis panduan terperinci bagi mengurangkan kadar sampah selain memantapkan kaedah pelupusan yang mesra alam sekitar.
Walaupun kerajaan tidak mahu menggunakan undang-undang bagi memaksa rakyat mengitar semula atau mengurangkan pembuangan sampah, tetapi undang-undang berkaitan jelas menunjukkan komitmen kerajaan terhadap rakyat dan alam sekitar.
Diharapkan cadangan undang-undang ini akan mengambil kira kelemahan kontraktor pemungut sampah dan pengurusan pusat pelupusan sampah di samping sikap kita sendiri dalam kaedah membuang sampah.
Mungkin kerajaan boleh melakukan perubahan dengan melantik dua jenis kontraktor pemungut sampah. Yang pertama, kontraktor yang sedia ada sekarang memungut sampah basah yang tidak perlu dikitar semula. Jenis kontraktor kedua pula adalah cadangan baru iaitu melantik kontraktor memungut sampah untuk di kitar semula.
Sampah untuk dikitar semula ini boleh dikutip pada hujung minggu di mana ianya sama konsep dengan peniaga "surat khabar lama" yang sering berlegar di kawasan perumahan. Cuma bezanya kontraktor ini mengutip semua jenis sampah untuk dikitar semula seperti plastik, kertas, alumunium, kaca dan kayu. Perkhidmatan ini bukan percuma kerana kontraktor yang dilantik membayar kepada pemilik rumah jumlah sampah yang dikutip. Contohnya sekilo kertas mengikut belian peniaga "surat khabar lama" adalah antara 20 sen hingga 30 sen.
Keadaan ini sekurang-kurangnya mendidik orang ramai bahawa ada jenis sampah yang bernilai dan boleh mendatangkan pendapatan sampingan. Ia juga menggalakkan rakyat untuk belajar mengasingkan sampah dan juga menghargai adanya sampah yang masih bernilai untuk dijual.
Melantik kontraktor memungut sampah kitar semula ini juga diyakini dapat mengurangkan kesesakan di tempat pelupusan sampah dan kawasan sekitarnya yang mana kini dipenuhi oleh pencari sampah kitar semula untuk dijual.
Cadangan ini bukannya hendak menutup mata pencarian mereka, tetapi menjurus kepada "kebersihan" di kawasan pelupusan sampah itu sendiri disamping menggalakkan pencari sampah ini berniaga secara terurus dan membesarkan perniagaannya dengan menjadi kontraktor kerajaan.
Kita mahu rakyat membudayakan kitar semula atas kesedaran masing-masing, baru mereka ada rasa tanggngjawab untuk mengatasi masalah sampah bersama kerajaan dan menjadikannya amalan hidup seharian tanpa tekanan dan paksaan.
Cadangan undang-undang ini diharap akan memperbetulkan lagi struktur pengurusan dan pentadbiran kontraktor pemungut sampah dan pemilik pusat pelupusan sampah agar mereka lebih menjurus kepada perkhidmatan mesra alam.
Mungkin kerajaan juga dapat mengeluarkan garis panduan agar lori kompaktor sampah perlu berusia tidak lebih 5 tahun. Ini disebabkan kebanyakan kontraktor menggunakan lori kompaktor sampah yang sudah usang kerana mereka membeli lori "recondition" yang di import dari luar negera. Keadaan fizikal lori ini sememangnya sudak teruk dan banyak kerosakan. Cuma dicat baru agar nampak menarik dan seperti baru.
Undang-undang yang diperkenalkan nanti lebih membabitkan kontraktor pemungut sampah dan pengurusan pusat pelupusan sampah bagi memastikan mereka menepati tahap kebersihan, selain merawat air larut resap.
Kita berharap dengan adanya undang-undang ini, kerajaan mempunyai kuasa untuk menutup pusat pelupusan yang tidak selamat kerana jangka hayat pusat pelupusan sedia ada dan merumus kaedah altenatif melupus sampah. Perlu ada keseragaman pusat pelupusan sampah dan juga kategori atau jenis pusat pelupusan sama ada sampah basah, tempat pengumpulan kitar semula atau sampah sektor perkilangan.
Rakyat berharap jika undang-undang ini diluluskan akan dapat mewujudkan budaya baru membuang sampah yang bermula dari rumah. Ia juga sejajar dengan Seminar Kebangsaan Pengurangan Bahan Buangan pada 1 Jun yang lalu. Seminar ini anjuran bersama Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Begitulah usaha kerajaan yang merangka dan menggunakan pelbagai kaedah untuk memastikan sampah tidak menjadi beban kepada rakyat.
Namun kesedaran sivik orang ramai amat ditagih agar kita perlu mewujudkan budaya membuang sampah dengan lebih teratur. Segalanya bermula dari rumah kita sendiri.
The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com
1 comment:
TERAJU sangat berbangga pada usaha dan bakat sdr dalam bidang penulisan ini. Idea yang bernas ini jelas menunjukkan kematangan. Kami sentiasa mendoakan sdr dan akan lebih berjaya lagi dalam apa juga bidang diceburi.
Teruskan penulisan sdr dan terokai lebih banyak lagi skop. Insyallah pandangan sdr akan membuahkan hasil satu hari nanti.
Presiden TERAJU
HIDUP TERAJU..!! Jangan lupa layari:
http://www.geocities.com/teraju2000/
Post a Comment