Tuesday, July 18, 2006

BANTU BEKAS PENAGIH DADAH DAPATKAN PEKERJAAN

BANTU BEKAS PENAGIH DADAH DAPATKAN PEKERJAAN
 
Pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlulah terlebih dahulu menunjukkan teladan membantu dan menerima bekas penagih dadah daripada menggesa sektor swasta dan masyarakat menerima bekas penagih dadah sebagai pekerja.
 
Kerajaan sama ada di peringkat pusat mahupun negeri, melalui berpuluh agensinya termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) perlulah menunjukkan contoh kepada masyarakat dengan menerima bekas penagih sebagai pekerja mereka. Melalui jawatan kosong sama ada tetap, kontrak atau sementara eloklah diberikan peratusan tertentu kekosongan jawatan kepada bekas penagih sesuai dengan kelulusan akademik mereka.
 
NGO pula bolehlah menggunakan khidmat sukarela mereka dengan melantik bekas penagih menjadi sukarelawan.Segelintir bekas penagih amat berminat untuk melakukan kerja-kerja sosial dan kebajikan. Ada diantara mereka menganggapkan apabila mereka berkhidmat secara sukarela, inilah satu cara mereka menebus kembali dosa mereka dan menunjukkan keinginan ikhlas mereka untuk berbakti kepada masyarakat dengan harapan masyarakat menerima mereka kembali.
 
Mungkin ada yang berkata, mereka ini akan kembali menagih dadah apabila sudah ada wang di tangan mudah untuk membeli kembali dadah. Namun percubaan berani dan telus perlulah ada di pihak kerajaan dan NGO untuk memastikan mereka tidak kembali menagih.
 
Memang benar kerajaan dibebankan dengan perbelanjaan beratus juta ringgit setahun untuk menyelenggarakan pusat serenti dan membuat berbagai kempen anti dadah di seluruh negara. Namun siapa yang akan menyambut bekas penagih ini apabila keluar dari pusat serenti?.
 
Statistik menunjukkan hanya 20 hingga 25 peratus sahaja penagih dadah yang dirawat di pusat serenti di seluruh negara benar-benar dapat dipulihkan. Manakala selebihnya kembali menagih kerana disisih oleh keluarga sendiri dan masyarakat. Hakikatnya kita semua seharusnya memberikan sokongan dan harapan untuk mereka hidup menempuh alam kehidupan yang baru.
 
Apa yang dilihat sekarang, kebanyakkan agensi kerajaan dan NGO hanya sibuk untuk memerangi dadah. Mungkin mereka terlupa untuk memastikan bekas penagih dadah tidak kembali menagih semula.
 
Walaupun kenyataan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berkata usaha memerangi dadah tnggungjawab semua dan bukan beban agensi kerajaan dan NGO semata-mata, namun segala usaha ini lebih menjurus kepada kempen menjauhi dadah kepada golongan sasar yang belum lagi menagih dadah seperti pelajar sekolah dan belia.
 
Jadi apakah tanggungjawab kita untuk membantu bekas penagih tidak kembali semula menagih?. Kita sendiri yang menyisihkan dan memencilkan mereka sedangkan jiwa mereka meronta untuk kembali kepada masyarakat.
 
Memang benar usaha mencegah adalah lebih berkesan untuk memastikan bilangan penagih tidak bertambah. Tetapi daripada statistik pihak kerajaan sendiri menunjukkan bilangan penagih meningkat saban tahun.
 
Mungkinkah juga kaedah rawatan di pusat serenti perlu dikaji semula kerana tidak sampai separuh penagih dadah yang di rawat betul-betul dapat dipulihkan. Secara tidak langsung menunjukkan kurang keberkesanan rawatan yang di terima oleh penagih di pusat serenti.
 
Pada pendapat saya Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) perlulah diberikan peranan yang lebih besar dan diiktiraf oleh kerajaan. Dicadangkan Pengasih diberikan geran tahunan oleh kerajaan untuk membantu aktiviti mereka mengendalikan bekas penagih yang baru keluar dari pusat serenti.
 
Kebanyakan yang keluar dari pusat serenti hilang arah tujuan ke mana mereka hendak membawa diri mereka. Mereka tiada pekerjaan sebagai hasil pendapatan untuk terus hidup dan apabila mereka di beri peluang bekerja, ia satu cara supaya mereka tekun kepada pekerjaan dan dapat melupakan dadah.
 
Jika tiada siapa yang menerima mereka, Pengasih lah tempat yang paling sesuai bagi mereka untuk berteduh seketika sementara ada laluan baru penghidupan baru yang selalunya amat gelap di hadapan mereka. Untuk kembali kepada keluarga mereka amat malu dan balasannya sudah mereka ketahui, iaitu dipinggirkan oleh keluarga sendiri.
 
Hanya bekas penagih dadah sahaja yang tahu betapa susah dan jerihnya untuk masyarakat menerima mereka kembali. Pengasih mempunyai kepakaran dan pengalaman yang amat berharga untuk memastikan peratusan pelatih pusat serenti yang pulih meningkat semula.
 
Kerajaan perlulah memberikan lebih ruang dan tanggungjawab selain mengiktiraf  Pengasih sebagai suatu badan yang mengorientasikan semula pelatih yang baru keluar dari pusat serenti. Mungkin dengan diberikan galakan dan bantuan menubuhkan cawangan Pengasih di setiap negeri, akan memberikan harapan dan nafas baru kepada bekas pelatih pusat serenti.
 
Kerajaan dan agensinya bolehlah mendapatkan khidmat nasihat dan keperluan tenaga kerja bekas penagih yang betul-betul telah dikenal pasti oleh Pengasih telah pulih 100 peratus. Pengasih boleh juga diberikan peranan pembekal tenaga kerja bekas penagih dadah yang pulih sepenuhnya. Cara ini mungkin dapat menyelesaikan sedikit sebanyak masalah bekas penagih yang tiada pekerjaan disamping membantu mereka membina semula kehidupan yang telah hancur suatu ketika dahulu.
 
Usaha murni Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Pengasih mewujudkan Bazaria Larut Malam di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur dengan 385 gerai seharusnya dipuji. Galakan kepada bekas penagih untuk mencari tapak berniaga yang sebelum ini sukar, telah berjaya membuktikan golongan ini juga ingin turut serta dalam memacukan ekonomi negara selain memberikan sumber pendapatan.
 
Sememangnya sukar untuk mengubah kembali kerosakan akhlak yang melanda diri penagih. Sesiapa pun agak sukar untuk memberikan jaminan bahawa seseorang penagih itu tidak akan kembali menagih. Pandangan negatif seperti ini haruslah diubah. Jika kita sendiri tidak membantu mereka dan melorongkan semula erti kehidupan yang sebenarnya kepada mereka, siapa lagi?.
 
Berilah mereka peluang kedua untuk hidup bersama-sama dengan kita. Mereka juga amat merindui kehidupan bermasyarakat. Mereka juga sudah jemu dan menanggung azab sengsara yang amat hebat sebelum pulih. Kita perlu bantu mereka dengan mengenepikan pandangan negatif. Mereka juga manusia biasa seperti kita. 



The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com

No comments: