ATASI MASALAH GENERASI BUTA SEJARAH
Nilai sejarah sebenarnya terlalu rendah di hati kebanyakan individu di negara ini. Banyak sebab mengapa aspek sejarah terutamanya sejarah negara tidak dihayati oleh setiap rakyat Malaysia. Istilah "buta sejarah" seperti yang diperkatakan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim minggu lepas amat tepat sekali di kala negara bakal menyambut ulang tahun ke 50 kemerdekaan negara tahun depan.
Pengisian sejarah di hati setiap insan yang bernama rakyat Malaysia amat rendah sekali. Ketepikanlah sejarah zaman batu dan sejarah sebelum 1900an, yang sememangnya kabur dan ramai yang tidak tahu. Sejarah negara moden mulai bermulanya abad ke 20 pun masih ramai yang tidak tahu.
Jika ramai yang tidak tahu sejarah negara sendiri, bagaimana pula kita mahu berharapkan rakyat negara memahami dan menghayati sejarah negara?
Sejarah negara mencakumi berbagai aspek dan liputan sejarahnya. Dari soal agama, budaya, pendidikan, sosial, ekonomi, politik, bangsa, warisan dan institusi raja, masing-masing mempunyai peristiwa menarik untuk dikenang dan menjadi podoman kita dan generasi yang mendatang.
Akibat buta sejarahlah, perkembangan semasa masa kini sebenarnya telah membuktikan masih ramai yang tidak tahu dan memahami erti sejarah. Sejarah tidak boleh menipu kita. Walaupun ada peristiwa sejarah mengambarkan nilai negatif sesuatu pihak, namun ia tidak boleh dipadam begitu sahaja kerana perkara tersebut telah berlaku dan kini sudah menjadi suatu lipatan sejarah negara.
Tidak hairanlah masih ada lagi mereka yang mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan terutamanya yang berkaitan dengan kedudukan istimewa agama Islam. Para cendikiawan di dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempertikaikannya seolah-olah tidak tahu sejarah penubuhan negara kita yang lebih mementingkan perpaduan, persefahaman dan toleransi antara kaum dan agama rakyatnya.Mengapakah setelah 49 tahun negara merdeka, baru sekarang timbul persoalan tersebut?.
Aspek sejarah di hati setiap insan negara kita sebenarnya telah dipinggirkan dan seolah-olah menjadi tidak penting. Mata pelajaran sejarah di sekolah telah menjadi mata pelajaran kelas ketiga. Saya teringat semasa di sekolah ramai pelajar tidak minat sejarah kerana ia memerlukan daya ingatan yang kuat seperti mengingati tarikh dan tahun berlakunya sesuatu peristiwa penting sejarah.Disebabkan inilah maka mata pelajaran sejarah kurang diminati oleh para pelajar.Pelajar memandang mata pelajaran sejarah sesuatu yang paling tidak diminati dan membosankan.
Kesannya, ramai daripada kita buta sejarah dan tidak mampu mengingati dan memahami peristiwa penting negara. Masih ramai yang tidak tahu untuk bercerita secara ringkas bagaimana negara kita merdeka. Juga ramai yang tidak tahu bagaimana Singapura menganggotai dan kemudian keluar dari Malaysia. Masih ramai yang buta sejarah bagaimana Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia. Jika dibandingkan dengan negara jiran ASEAN, rakyat negara kita masih ketinggalan jauh di dalam aspek menghayati dan mengetahui sejarah terutamanya sejarah bangsa dan negara.
Akibat lupa dan leka tentang sejarah bangsa, orang Melayu kini merasakan mereka sudah selesa sehinggakan orang lain boleh mempertikaikan hak kita sebagai Bumiputera. Ramai yang lupa sejarah, akibat terlaku leka dan bersikap sambil lewa kerana memikirkan sudah kuat, Melaka tumpas di tangan Portugis.
Akibat lupa dan kurang menghayati sejarah agama Islam, ramai yang ambil mudah dan mula jauh daripada menyembah Allah. Kita lupa sejarah kejatuhan Islam di Sepanyol dan hampir pupusnya etnik Bosnia beragama Islam. Semuanya itu kerana terlalu alpa dan merasakan kedudukan selesa sehinggakan di negara kita sekarang orang bukan Islam sudah boleh berdebat dan mempertikaikan agama Islam sebagai agama rasmi negara. Tiada pengetahuan dan ambil peduli tentang sejarah lah yang mengakibatkan pihak lain boleh mengambil kesempatan.
Di Indonesia contohnya, sesuatu yang bukan luar biasa apabila kanak-kanak sekolah rendah boleh bercerita bagaimana negara mereka merdeka dan apa yang dimaksudkan dengan Pancasila. Jati diri mereka begitu tinggi sehinggakan penjual jamu di kaki lima boleh bercerita bagaimana Belanda memerintah Indonesia suatu ketika dahulu.
Mengapa kurang menghargai dan memahami sejarah terjadi di kalangan rakyat negara kita?. Apakah sejarah negara hanya perlu diketahui dan dihargai oleh orang Melayu sahaja?. Siapakah yang harus dipersalahkan?. Masih ramai anak muda kaum Cina dan India yang tidak berpelajaran tinggi dan keciciran tidak tahu langsung bila negara merdeka. Cubalah tanya anak muda India yang mencuci kereta dan anak muda Cina yang menjual aksesori telefon, siapa nama tokoh bangsa mereka yang sama-sama berjuang untuk mencapai kemerdekaan negara?. Yang pasti jawapannya "saya tidak tahu".
Sejarah telah diklasifikasikan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia sebagai tidak penting dan tidak bernilai. Disebabkan mentaliti sebegini, ramai di antara kita tidak dapat menceritakan sejarah dan susun galur salasilah keluarga sendiri. Paling tinggi pun mengetahui sedikit sebanyak latar belakang datuk mereka. Malah ada yang tidak tahu nama moyangnya sendiri apatah lagi mengetahui asal usul keturunannya.
Disebabkan mentaliti dan "benci" kepada sejarah yang sudah meresap sejak dibangku sekolah lagi, maka kini ramailah yang buta sejarah negara, bangsa, agama malah sejarah diri sendiri. Mereka ini meletakkan sejarah sesuatu yang paling tidak penting dalam hidup mereka. Sedangkan melalui aspek sejarahlah kita dapat mengenal diri kita sendiri dan menganalisa tingkah laku dan gelagat diri sendiri.
Semua pihak harus mengambil sikap kesedaran mengembalikan nilai dan minat terhadap sejarah. Persatuan sejarah yang telah wujud disetiap negeri perlulah diperkasakan dan diberi nafas baru. Ramai yang tidak tahu tentang kewujudannya dan jika ada yang tahupun masih kabur tentang fungsi dan aktivitinya. Malah kepada yang minat dengan sejarah pun tidak tahu bagaimana untuk menjadi ahli.
Pihak yang bertanggung jawab dengan sejarah perlulah mengambil iktibar bahawa nilai dan aspek sejarah di hati dan jiwa rakyat Malaysia masih rendah. Daya usaha perlu dilakukan untuk mengembalikan aspek sejarah sesuatu yang diminati dan menarik minat semua golongan.
Dicadangkan pakej pelancongan melawat tempat sejarah bersama keluarga dipromosikan secara besar-besaran. Selain persatuan sejarah yang perlu "dipulihkan semangatnya", kementerian perlu mewujudkan "Rakan Sejarah" sebagai usaha menarik minat semua peringkat usia meganggotainya. Diadakan aktiviti yang menarik dan ceria mengenai sejarah supaya orang ramai melihat sejarah sesuatu yang menarik untuk dikenali seperti aktiviti berkonsep relaks dan ala bersantai apabila mengunjungi tempat-tempat sejarah.
Juga boleh diadakan wacana sejarah dengan penceritaan dan pengkisahan sesuatu topik secara bersahaja dan tidak terlalu menekankan ilmiah dan akademik. Gaya penyampaian sama ada melalui rancangan khas di tv atau radio, dan penulisan dan gambar menarik di akhbar dan majalah, boleh menyuntik dan menerapkan minat dan suka orang ramai kepada aspek sejarah.
Mewujudkan unit dokumentasi sejarah di setiap jabatan, agensi dan kementerian kerajaan boleh menyuntik semangat menghargai dan menyanjung tinggi aspek sejarah. Jabatan kerajaan yang telah wujud sekian lamamya, boleh menyimpan dan merekodkan kenangan dan peristiwa menarik sesuatu jabatan kerajaan sebagai pedoman, rujukan dan menghargai sejarah itu sendiri.
Apabila pihak kerajaan telah mula serius dalam aspek pensejarahan, maka bolehlah dikempenkan kepada orang ramai dan pihak swasta untuk menghargai dan menyanjungi aspek sejarah dalam kehidupan seharian. Konsep kerajaan menunjukkan teladan dahulu sebelum ianya menjadi ikutan dijangka akan menyuntik semangat baru menghargai apa itu sejarah.
Kepada NGO yang kononnya pejuang hak asasi sesuatu kaum, eloklah menghampirkan diri anda kepada orang ramai untuk sama-sama menanam semangat ambil tahu sejarah dan tingkatkan jati diri sebagai warga Malaysia daripada hanya sibuk menjadi jaguh "isu perkauman dan agama". Mereka (NGO) sepatutnya mengekalkan dan memupuk semangat toleransi dan perpaduan antara kaum, dan bukannya memecah belahkan keharmonian yang ada kini.Salah satu caranya ialah aspek sejarah.
Semua pihak harus menanamkan sifat ingin mengetahui dan meminati sejarah disamping mengambil kira sejarah sebagai elemen penting dalam kehidupan di samping ekonomi. Kerana sejarahlah yang akan mengambarkan siapa kita sebenarnya.
Kini dengan simpanan sebanyak 1GB
http://my.mail.yahoo.com/
No comments:
Post a Comment