Sunday, July 16, 2006

AKADEMIK BUKAN JAMINAN SISWAZAH DAPAT KERJA

AKADEMIK BUKAN JAMINAN SISWAZAH DAPAT KERJA
 
Apabila Jawatankuasa Khas Mengenai Siswazah Menganggur bermesyuarat semalam yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, barulah kita tahu sebegitu banyak jawatan kosong di sektor perkhidmatan awam untuk para graduan universiti.
 
Selain daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam melakukan kerja mereka untuk mempercepatkan pengambilan tenaga kerja siswazah untuk mengisi jawatan kosong di sektor kerajaan, graduan juga perlu menyediakan diri mereka untuk memenuhi cita rasa kerajaan untuk melantik mereka.
 
Persedian diri untuk menghadiri temuduga adalah amat penting sekali membolehkan keyakinan dan kelainan graduan tersebut berbeza dan istimewa dari graduan lain yang memohon jawatan yang sama. Ini kerana terdapat 60,000 siswazah menganggur di seluruh negara untuk mengisi 30,000 jawatan kosong di sektor perkhidmatan awam.
 
Cemerlang dari segi akademik sahaja sebenarnya tidak memberikan jaminan graduan tersebut berkualiti untuk di terima bekerja, sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta. Siswazah perlu juga melengkapkan diri dengan pengetahuan asas, kemahiran komunikasi, penguasaan dan penulisan dalam bahasa Inggeris, disamping penampilan fizikal diri sendiri.
 
Faktor seperti inilah yang menjadi kelebihan kepada seseorang graduan untuk bersaing dengan rakan yang lain. Kelainan dan kelebihan seperti inilah yang dicari oleh penemuduga untuk mengisi jawatan kosong.
 
Majikan tidak mahu mengambil pekerja yang lembik, tiada daya fikir yang tinggi, lemah penguasaan bahasa, tiada sifat berdikari dan kurang daya kesungguhan bekerja.
 
Masa yang terluang sebagai penganggur inilah yang paling sesuai kepada siswazah untuk memperbaiki diri sendiri, menambah pengatahuan dengan cara membaca, melayari internet, menambahbaik semua dokumen sokongan, kemaskini "resume" dan cuba bergaul dengan masyarakat untuk menambah kemahiran berkominikasi.
 
Perbaiki dan lebihkan kemahiran menguasai bahasa Inggeris dengan cara pertuturan dan penulisan. Ini penting kerana apabila siswazah memasuki alam pekerjaan, terdapat tugasan yang memerlukan anda berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
 
Saya pernah mengalami pengalaman sebagai pelajar IPTA, sebagai graduan mencari kerja, bekerja atas kapasiti siswazah dan menjadi majikan untuk mencari pekerja yang berkelulusan tinggi untuk menjawat jawatan dalam syarikat.
 
Suasananya amat berbeza sekali. Mungkin disebabkan perubahan persekitaran ataupun sifat siswazah sendiri yang saya sifatkan graduan sekarang tidak berkualiti. Mereka gagal menyediakan perubahan pada diri untuk memasuki alam pekerjaan. Tanpa persediaan dan ilmu diluar bidang pengajiaan mereka menyebabkan mereka gagal semasa temuduga dan lebih malang lagi gagal memenuhi kriteria jawatan yang ditawarkan.
 
Anggapan mereka apa yang dipelajari sudah cukup dan penuh ilmu di dada sehinggakan soalan pengetahuan am pun tidak boleh dijawab, adalah malang sekali sebagai insan yang bergelar graduan universiti. Inilah pengalaman saya apabila menemuduga siswazah IPTA untuk jawatan pegawai penyelidik apabila diajukan soalan nama ibu negeri Selangor, dan jawapan yang diberikan ialah Putrajaya.
 
Akademik dianggap formal seperti selalu kita faham sedangkan kokurikulum, pengetahuan am dan sivik dilihat sebagai tidak formal tetapi ianya juga sebahagian daripada penilaian akademik. Pentafsiran kita mengenai kecemerlangan sudah meluas dan tidak bermakna kita tidak mementingkan kecemerlangan akademik.
 
Kecemerlangan perlu ditafsir dengan lebih luas iaitu memasukkan komponen kokurikulum, pengetahuan am, gelagat peribadi (individual behaviour) dan kekuatan sivik selain komponen yang berbentuk akademik tetapi bukan dalam bentuk formal.
 
Jika kita hendak mendapatkan modal insan yang menyeluruh, kita perlu beri tumpuan kepada kecerdasan yang lain seperti sukan, seni dan nilai-nilai kemanusiaan. Kita boleh menambil contoh seperti Universiti Oxford yang menetapkan empat kriteria tetapi hanya satu kriteria menekankan aspek akademik. Selebihnya menuntut keupayaan dalam bidang lain termasuk sukan, seni dan tanggungjawab sosial. Ini bermakna akademik hanya 25 peratus sahaja dan bakinya adalah ciri lain.
 
Tidak semestinya orang yang tidak berijazah itu tidak pandai. Kita kadang-kadang mengiktiraf maksud kepandaian itu tidak tepat. Ini perkara yang perlu diperbetulkan. Berijazah dan berilmu adalah dua perkara yang berbeza. Jangan ingat orang yang berijazah itu berilmu. Mentaliti sebeginilah yang perlu diubah oleh pelajar IPT dan graduan. Ramai graduan beranggapan apabila sudah memiliki segulung ijazah, mereka sudah pandai segala-galanya.
 
Graduan yang sedang mencari kerja janganlah merasakan tercabar apabila gaji yang ditawarkan tidak setimpal dengan kelulusan yang ada. Pengorbanan bekerja tanpa pengetahuan dengan gaji yang rendah sebenarnya tidak mengina siswazah tersebut. Graduan perlulah tahu mengukur kemampuan mereka sendiri dalam persaingan mendapatkan pekerjaan.
 
Kepada mereka yang masih berada di universiti, timbalah ilmu sebanyak mungkin selain memenuhi kewajipan mata pelajaran kursus masing-masing. Janganlah seperti katak di bawah tempurung yang hanya tahu suasana dan aktiviti di kampus sahaja. Campurilah masyarakat di luar kampus untuk mendapatkan pengalaman dari segi pergaulan dan bertukar-tukar pendapat.
 
Proses pendewasaan ini sebenarnya berkembang semasa bergelar pelajar universiti. Dalam peringkat umur seperti inilah yang menjadi penentu corak bagaimana ketahanan diri pelajar tersebut. Peringkat pembelajaran di IPT inilah yang bakal mencorakkan gelagat pelajar apabila tamat pengajian dan mula menempuh kehidupan yang lebih mencabar.
 
Majikan mahukan pekerjanya yang bukan sahaja baik dari segi pencapaian akademik, tetapi juga mempunyai keyakinan dan ketahanan diri yang tinggi. Apa guna berkelulusan baik yang hanya menghafal dan memahami subjek yang diajar untuk menjawab soalan peperiksaan tetapi tidask tahu mempraktikkannya apabila keluar dari universiti?. Akal fikiran, pertimbangan logik dan ilmu yang dipelajari amat penting apabila siswazah memasuki alam pekerjaan.
 
Berusahalah untuk menjadi seorang graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga cemerlang dari segi sahsiah diri, akhlak, berpengetahuan dan berilmu. Belajarlah hidup bermasyarakat kerana ia suatu aset yang penting apabila anda mula bekerja di dalam suasana persekitaran yang amat baru dan berbeza dari yang dialami sekarang.


Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/

No comments: