WUJUDKAN HALL OF FAME BOLA SEPAK MALAYSIA
Apabila membaca rencana sisipan Utusan Malaysia hari Sabtu 15 Julai yang mengimbau kembali 15 tahun pemergian ke Rahmatullah Allahyarham Mokhtar Dahari, hati begitu tersentuh dan mengingatkan kembali nostalgia kehebatan bola sepak negara suatu ketika dahulu.
Masih teringat lagi kelibat legenda bola sepak negara ketika saya meyaksikan pertandingan akhir Pesta Bola Merdeka pada tahun 1976 di mana di akhir pertandingan saya telah mendapatkan tanda tangan Allahyarham Mokhtar dan Santokh Singh di buku cenderamata pesta bola tersebut. Walaupun sudah 30 tahun, namun buku cenderamata tersebut masih tersimpan baik di koleksi pustaka mini saya.
Ditambah pula dengan Piala Dunia yang baru sahaja berlabuh, dan cadangan pembinaan pusat kecemerlangan sukan di London, sukan negara terutama bola sepak sebenarnya sudah jauh sangat ketinggalan.
Jika dibuat perbandingan mutu permainan dan disiplin pemain bola sepak era 70an dan 80an, dengan perkembangan bola sepak masa kini, ibarat langit dengan bumi. Dahulu tanpa pemain import pun, liga Piala Malaysia begitu hebat dan bermutu tinggi skil permainannya dan mendapat sokongan padu penonton. Mereka bukan pemain profesional dan tiada gaji bulanan beribu ringgit. Malah tiada tajaan kepada pasukan yang mencecah jutaan ringgit setiap tahun.
Kini bola sepak negara gah dari segi kelibat pemain import yang tidak terkenal yang juga sedikit sebanyak menenggelamkan bakat pemain tempatan. Gaji yang beribu ringgit tidak setimpal dengan persembahan di padang. Liga Malaysia hanya hebat dari segi nama dan penganjurannya sahaja. Pemain yang bermutu dan skil yang tinggi gagal dilahirkan. Akibatnya pasukan negara kini menjadi pasukan belasahan negara lain.
Dahulu taraf bola sepak negara setaraf dengan empat wakil Asia yang bertanding di Piala Dunia. Perlawanan bola sepak menentang Korea Selatan pada masa itu mendapat perhatian daripada peminat tempatan dan Korea sendiri, walaupun hanya perlawanan persahabatan. Malaysia-Korea Selatan sudah dikenali sebagai musuh tradisi bola sepak Asia. Walaupun ada kalanya kalah, peminat ketika itu pasti terhibur dengan corak permainan yang bermutu dan bersemangat yang ditunjukkan oleh pemain negara.
Kini semuanya itu tinggal kenangan dan menjadi peristiwa paling manis kepada mereka yang pernah menyaksikannya secara langsung. Generasi muda hanya dapat mendengar cerita kehebatan wira bola sepak era 70an dan awal 80an.
Alangkah baiknya jika syarikat gergasi negara yang begitu megah dan gagah menaja pasukan tertentu yang mencecah puluhan juta ringgit setahun dapat memperuntukkan sedikit wang tersebut untuk membina dan mewujudkan "hall of fame" atau dewan kemasyhuran bola sepak negara sebagai satu cara untuk meniupkan kembali semangat menaikkan mutu bola sepak negara.
Mungkin ada yang bertanya apa faedahnya mewujudkan hall of fame ini. Jawabnya negara masih tiada satu bangunan khas yang menyimpan segala khazanah bola sepak negara sebagai pedoman dan penaik semangat generasi muda, sedangkan sukan bola sepak adalah sukan nombor satu negara dan paling ramai pengikutnya. Ia juga sebagai usaha menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh pemain bola sepak dulu supaya kita mengenang jasa mereka sebagai wira bola sepak negara.
Kewujudan "hall of fame" ini sebagai bukti bahawa bola sepak Malaysia pernah mencapai kecemerlangan yang begitu tinggi suatu masa dahulu. Malah ianya akan menjadi koleksi berharga untuk seluruh rakyat sebagai suatu tempat untuk mengenang kembali peristiwa lama kehebatan bola sepak negara.
Sementara wira bola sepak era 70an dan awal 80an ini masih hidup, eloklah "hall of fame" ini diwujudkan supaya kita mudah mendapat maklumat, bahan penceritaan dan pengalaman mereka semasa negara di kemuncak kegemilangan.
Datuk Soh Chin Aun, Shukor Salleh, James Wong, Rashid Hassan, Santokh Singh, Riduan Abdullah dan Hassan Sani adalah beberapa nama wira bola sepak yang masih hidup untuk kita manfaatkan pengalaman berharga mereka untuk diabadikan di "hall of fame".
Allahyarham Mokhtar sudah tentunya mempunyai identiti tersendiri sehingga dinobatkan lagenda bola sepak negara. Arthur Koh dan Ghani Minhat juga tidak kurang hebatnya dan merupakan pemain bola sepak yang amat baik mutu permainannya di era 50an dan 60an. Sebenarnya ramai lagi bintang bola sepak dahulu yang sudah dilupakan jasa dan pengorbanan mereka terhadap sujkan negara. Jika ada "hall of fame", inilah tempat yang paling sesuai dikumpalkan segala maklumat, data, visual untuk tatapan seluruh rakyat.
Kementerian Belia dan Sukan mungkin boleh memikirkan sesuatu untuk menjadi peneraju mewujudkan "hall of fame" bola sepak negara. Mungkin kerjasama erat dengan pihak RTM, media cetak seperti Utusan Malaysia, Arkib Negara, Perpustakaan Negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM), malah fakulti sejarah universiti-universiti tempatan dapat mengumpulkan semula semua bahan sejarah bola sepak negara dari bentuk penulisan, fotografi, audio visual, filem, video dan lain-lain lagi sebagai pengumpulan koleksi sejarah berharga bola sepak negara. Pendapat seperti dari Profesor Datuk Khoo Kay Kim juga amat penting dan berharga jika ada usaha yang serius untuk mewujudkan dewan kemasyhuran ini.
Pengumpulan koleksi sejarah bola sepak negara boleh juga dirangkumkan dalam bentuk vcd sebagai tatapan dan tontonan generasi sekarang dan akan datang untuk menilai akan kehebatan dan kelincahan pemain bola sepak negara suatu ketika dahulu sebagai pembakar semangat kepada anak-anak muda yang bercita-cita untuk mewakili negara. Tidak mustahil kegemilangan itu akan berulang kembali malah mungkin akan lebih hebat lagi.
Kita sebenarnya sudah lama merindui untuk bercerita sesama kita tentang kehebatan bola sepak negara. Yang ada sekarang ialah perbualan mengagungkan kehebatan pasukan bola sepak negara luar. Sampai bilakah kita hendak memakai jersi pasukan seperti England dan Brazil sebagai menunjukkan kita gila bola sepak?. Sampai bila kita hendak mengagungkan kehebatan pasukan negara lain seolah-olah seperti negara tersebut negara kita?.
Tidak mustahil suatu hari nanti orang Thailand dan Singapura pula akan memakai jersi negara kita apabila kita layak ke pusingan akhir Piala Dunia. Sepatutnya selepas tamat Piala Dunia kita mengambil sikap "mencemburui" negara yang lebih mundur dan miskin dari kita seperti Angola, tetapi atas semangat yang membara, mereka layak ke Piala Dunia.
Mungkin pendapat saya ini sukar untuk diterima dan membuang masa sahaja. Akan tetapi apabila kita bijak menghargai sejarah dan mengabadikan kecemerlangan yang pernah berlaku, ia sebenarnya boleh menjadi pencetus dan dorongan kepada generasi mendatang supaya berusaha untuk menempatkan diri mereka juga sebagai insan yang dikenang dan dihargai sejarah.
The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com
No comments:
Post a Comment