Friday, July 21, 2006

TRAGEDI PANGANDARAN - TELADAN DAN RENUNGAN KEPADA KEMENTERIAN PELANCONGAN

Tragedi Pangandaran - Teladan dan renungan kepada Kementerian Pelancongan Malaysia.

Saya bukan seorang alim ulama dan juga bukan seorang terlampau ekstrim terhadap agama. Saya hanya seorang yang gemar melancong keseluruh dunia dan secara kebetulan tragedi tsunami di Pangandaran, Pulau Jawa memberi suatu inspirasi kepada saya untuk memberi pendapat.

Kementerian Pelancongan yang masih seperti tidak mahu mengalah dengan cadangan untuk membuka pusat hiburan sehingga jam 5 pagi, harus melihat kepada tragedi Pangandaran sebagai pengajaran dan renungan bersama. Walaupun kita boleh menganggap tragedi tsunami itu adalah bencana alam dan bukannya bencana yang di buat oleh manusia, akan tetapi hakikat utamanya iaitu kebesaran dan kuasa Ilahi tiada siapa yang dapat menghalangnya.

Daripada menteri sehingga ke pegawai tinggi kementerian yang majoritinya orang Islam, seharusnyalah mengakui hakikat Tuhan tidak suka insanNya melakukan perkara yang dilarang. Apakah cadangan membuka pusat hiburan sehingga pukul 5 pagi itu sebenarnya menggalakkan manusia leka dan lalai untuk melakukan maksiat seperti minum arak dan berpeleseran sehingga memangkinkan perlakuan seks?.

Tragedi Pangandaran selain disebabkan faktor bencana alam, faktor kemurkaan Allah dengan menurunkan musibah tidak harus dipandang ringan dan diketepikan.

Pangandaran adalah sebuah kecamatan(daerah) di dalam kabupaten Ciamis. Ia juga termasuk di dalam pemerintahan provinsi Jawa Barat. Pangandaran adalah pusat pelancongan menarik di Pulau Jawa yang berasaskan keindahan pantai dan paling popular dengan aktiviti surfing (meluncur air). Permainan layang-layang juga popular di sini terutama di bulan Julai dan Ogos. Pangandaran juga tempat pelancongan popular penduduk tempatan terutama dari Bandung untuk beristirehat dan beriadah di pantai pada hujung minggu.

Kawasan di Jalan Kidang Pananjung dan Jalan Pamugaran adalah kawasan hiburan yang mempunyai beratus kafe, gerai dan warung yang menyajikan hiburan dan khidmat seks bermula jam 7 malam sehingga jam 5 pagi. Kawasan ini cukup terkenal kepada pelancong Barat dan Australia. Keadaan kawasan ini tidak ubah seperti di Jalan P. Ramlee dan Bangsar, Kuala Lumpur.

Selain minuman keras, pub dan kafe menyediakan bilik kecil untuk perkhidmatan seks sebagai aktiviti sampingan pengusaha pusat hiburan tersebut. Perkhidmatan seks ini dilakukan secara "part-time" oleh pelayan wanita di pub dan kafe.

Malang sekali kebanyakan wanita dari kawasan berhampiran seperti Tasikmalaya, Banjarnegara, Garut, Bandung dan Indramayu adalah orang Islam dan seolah-olah terdesak untuk mencari wang untuk menyara hidup seharian.

Aktiviti seperti ini sudah lama berlaku, malah kunjungan saya yang terakhir pada Disember 2005, semakin rancak dan hebat kegiatan hiburan malam di Pangandaran. Walaupun ada tentangan dari penduduk Islam dan mahasiswa universiti, namun disebabkan "sokongan dari pemerintah" maka kegiatan maksiat dan keruntuhan moral anak muda semakin berluasa di sana.

Sebagai rakyat Malaysia yang sering melancong di dalam negeri dan luar negera, amat malang dan kecewa jika ada cadangan Kementerian Pelancongan untuk melanjutkan masa berhibur di pusat hiburan sehingga 5 pagi. Pengalaman saya menunjukkan amalan atau "lesen maksiat" yang diberikan oleh kerajaan lebih mengundang kepada masalah gejala sosial dan keruntuhan akhlak sebenarnya.

Kelulusan jika diberikan untuk menutup pusat hiburan sehingga pukul 5 pagi sebenarnya mengundang aktiviti dan perniagaan sampingan akibat kebenaran kerajaan itu.(mudah-mudahan tidak diluluskan oleh Pak Lah). Apakah Kementerian Pelancongan hendak menanggung masalah munculnya kegiatan ekonomi hiliran seperti pelacuran dan dadah akibat dibenarkan pusat hiburan ditutup lewat?.

Akibat terlalu "memanjakan pelancong Barat" lah, Pangandaran yang suatu ketika dahulu terkenal dengan pengajian pondok telah bertukar wajah. Apakah "kemurkaan" Tuhan telah ditunjukkan dengan dilandakan bencana alam tsunami ke atas Pangandaran?.

Apakah disebabkan terlampau hendak mengejar sasaran 20 juta pelancong asing pada tahun hadapan sehingga sanggup menggadaikan maruah dan menjadi penggalak kepada aktiviti negatif?. Apakah ada jaminan pengunjung pusat hiburan hanya dikunjungi oleh 100 peratus pelancong asing?. Pusat hiburan yang sedia adapun sudah dalam keadaan tenat dan menyusahkan pihak berkuasa seperti polis, inikan pula hendak dilanjutkan masa perniagaan mereka. Apakah kementerian hendak menambahkan lagi kerja pasukan polis?.

Kita kena mengakui untuk mengejar kemajuan dan keuntungan semata-mata janganlah sampai mengabaikan pegangan agama majoriti rakyat negara ini. Masalah sosial yang ada pun masih susah hendak ditangani, inikan pula cadangan mengarut dari kerajaan sendiri yang seolah-olah hendak mengalakkan aktiviti kurang sihat.

Kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, fikirkan dan renungkanlah tragedi Pangandaran. Pergilah ke sana dan tanyalah masyarakat Islam di sana. Ambillah iktibar daripada petunjuk awal yang Tuhan beri. Walaupun tidak terjadi kepada kita, namun petunjuk di Pangandaran patut menjadi teladan bahawa selain kerana faktor bencana alam akibat gempa bumi, kuasa dan kebenaran Tuhan yang Maha Esa jangan pula kita nafikan.



Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com

1 comment:

Anonymous said...

malezyada turkce bilen birini bul
ananida al yanina
bi gidin bi sohbet edin...
olm yumusak insan
ne girion lan elin sitesine anlasilmadik seyler yazion
bide bilmem hatirlarmsin nasi koymustuk malezyaya zamanin da kupada..hehee
olm bak annesi guzel..hadi canm hadi canm..hehe (ii bise dedim zannedion demi pezevenk gulucuu gorunce)