Saturday, July 01, 2006

KEBEBASAN DAN KEMEWAHAN ORANG MUDA DITAHAP MEMBIMBANGKAN

KEBEBASAN DAN KEMEWAHAN ORANG MUDA DITAHAP MEMBIMBANGKAN

Pada peringkat umur seperti saya ini yang dikira generasi ketiga selepas merdeka, saya terpanggil untuk meluahkan perasaan kebimbangan terhadap generasi keempat, yang saya takrifkan generasi kategori peringkat umur 25 tahun ke bawah, iaitu yang lahir pada tahun 1980 dan ke atas.

Tiada apa kuasa dan kudrat yang ada pada saya kecuali menyampaikan kerisauan melalui nasihat dan juga bentuk tulisan, sebagai wadah dan niat di hati agar generasi keempat ini mengambil pedoman dan pengalaman generasi sebelumnya sebagai pembakar semangat golongan muda ini untuk mewarisi keutuhan dan kecemerlangan bangsa Melayu berterusan selama-lamanya.

Kerisauan ini timbul kerana kita tidak mahu generasi di peringkat anak-anak kita ini terlalu leka disebabkan zaman kini adalah zaman kebebasan segala segi sebenarnya. Bebas untuk melampaui batas sempadan melalui internet ke seluruh pelusuk dunia, bebas bersuara sehingga memberi pandangan dan kritikan lebih bersifat mengutuk dan mengumpat.

Mereka juga bebas untuk meluahkan perasaan melalui SMS yang diinteraktifkan dan dipaparkan di muka tv, bebas berpakaian menjolok mata walaupun bertudung, bebas pergaulan tanpa batasan antara lelaki dan perempuan dan juga bebas untuk mencari wang walaupun rezeki itu haram dari segi syarak.

Mereka ini leka dan mudah lupa tentang diri mereka sendiri. Lupa bahawa mereka seorang yang bernama orang Melayu, beragama Islam dan tinggal di negara bernama Malaysia. Hari ini golongan remaja ini telah diresapkan kebebasan mutlak sebenarnya. Siapa yang memulakannya tidaklah diketahui. Apakah kita hendak persalahkan teknologi maklumat?. Atau adakah golongan muda ini sudah menjadi mangsa kemodenan teknologi maklumat?.

Mereka dilihat lebih kepada berubah dari segi pemikiran yang menjurus kepada persembahan dan penampilan diri masing-masing dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk siapa yang lebih hebat. Siapa lebih hebat dan pendahulu antara rakan sebaya mereka kepada perkembangan fesyen, kecanggihan telefon bimbit, pakaian berjenama, dan yang paling menarik sekali ialah bersaing kehebatan pengaruh siapa yang lebih kuat dan perlu didengar untuk menjadi ketua sesuatu kelompok.

Mereka bersaing untuk menunjukkan siapa lebih hebat penampilan kemewahan dan kecanggihan. Jika seseorang itu mempunyai sifat hebat sebegitu, beliaulah ketua.Ketua pula akan memaksa ahli atau orang bawahannya mengikut gaya dan penampilan beliau agar dapat bersaing pula dengan kumpulan yang lain.

Akibatnya remaja ini akan merengek-rengek dan meminta-minta dari ibu bapanya untuk membeli barangan seperti telefon bimbit berkamera, pakaian mahal yang berjenama untuk melayakkan remaja ini diterima sebagai ahli kumpulan. Jika tidak mereka akan disisihkan oleh rakan mereka.

Yang menjadi masalah ialah ibu bapa. Sama ada hendak mengikut atau tidak kehendak anak-anak. Kepada yang berduit sudah tentu tidask menjadi masalah untuk menunaikan kehendak anak, tetapi bagaimana ibu bapa yang tidak berkemampuan untuk memenuhi permintaan tersebut?. Di sinilah kebijaksanaan ibu bapa teruji.

Generasi keempat yang sudah bekerja pula di lihat tidak dapat melawan nafsu mereka untuk berbelanja mewah yang sebenarnya di bawah kemampuan mereka. Kemungkinan faktor imej kemewahan yang disajikan kepada mereka setiap hari mendorong mereka terjerumus kepada hidup bermegah dengan kemewahan.

Sudah wujud sikap dan sifat golongan muda kini yang mengamalkan dan mengimpikan kehidupan mewah dengan jalan yang singkat. Setiap hari mereka melihat iklan, program tv dan drama yang menampilkan golongan sebaya dengan mereka berpakaian cantik, berkereta mewah, aksesori perhiasan diri yang mahal dan "life style" yang eksklusif. Sedangkan mereka belum mampu untuk memiliki semua itu.

Akibatnya mereka terdorong oleh kegiatan yang tidak bermoral seperti menjadi GRO, merompak, berzina, memeras ugut, menjual maruah dan menculik. Terdapat laporan dari pihak berkuasa yang menunjukkan golongan muda ini sanggup melakukan perbatan sebegitu akibat pengaruh materialistik dan ingin mengecapi hidup bermewah dengan segera. Gejala seperti ini amat menyedihkan lebih-lebig lagi melibatkan orang Melayu.

Inilah akibat tidak sabar dalam kehidupan dan menggunakan jalan pintas untuk mencapai matlamat mereka. Mereka mengabaikan pendidikan ke peringkat tertinggi sekali kerana pengaruh kebebasan dan rakan-rakan yang dilihat tanpa pendidikan yang tinggi pun boleh bermewah. Mereka lupa pendidikanlah yang bakal menjamin masa depan mereka.

Segelintir golongan seperti ini akan cepat melenting apabila di tegur oleh orang yang lebih tua dari mereka. Sikap sopan dan berbudi bahasa juga telah mula terhakis. Pernah saya menegur remasa yang sedang berasmara di dalam kereta di tempat letak kereta awam di siang hari. Remaja lelaki itu dengan garang dan biadap memaki hamun saya dengan mengatakan itu bukan urusan saya. Apabila saya katakan bapa remaja berkenaan adalah rakan saya, dan kereta yang digunakan untuk membuat maksiat itu milik bapanya, terus berubah air muka remaja berkenaan dan memohon maaf.

Tidak dinafikan generasi terdahulu juga tidak terkecuali di dalam fenomena kebebasan yang melampau ini. Bezanya sekarang ini kebebasan yang ada sudah seperti sukar untuk diatasi dan dilakukan secara terang-terangan. Orang muda yang menjadi jiran kita hidup tanpa ikatan pernikahan yang sah seolah-olah tiada siapa yang boleh melarangnya lagi. Konsep kejiranan telah mula dilupakan. Kita sekarang ini lebih kepada sikap mementingkan diri sendiri dan norma kehidupan bermasyarakat telah mula diketepikan.

Mungkin ada yang berkata pendapat seperti ini seperti sudah ketinggalan zaman dan kuno, tetapi adakah kita hendak biarkan ianya berlarutan sehingga suatu hari nanti ia akan menjadi suatu budaya?. Sama-samalah kita membendung agar kebebasan dan kemewahan melampau ini diatasi segera.



The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com

No comments: