Tuesday, July 18, 2006

Peribadi Siti Nurhaliza Bukan Hak Masyarakat

PERIBADI SITI NURHALIZA BUKAN HAK MASYARAKAT
 
Akhirnya Siti Nurhaliza telah mengumumkan kedudukan sebenarnya dan seluruh negara memberikan perhatian kepadamajlis pengumuman yang dibuat sejajar dengan taraf Siti sebagai artis nombor satu Malaysia. 
 
Niat suci murni Siti dan pasangannya Datuk Khalid Mohamad Jiwa seharusnya diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak termasuklah pihak wartawan hiburan  sendiri. Restu yang diperolehi dari ibu bapa Siti dan persetujuan kedua belah pihak keluarga seharusnya kita sambut dengan syukur Alhamdulillah.
 
Namun sikap kurang biadap semasa sidang akhbar tersebut yang disiarkan secara langsung dengan soalan sensitif dan kebudak-budakan amat memalukan sekali. Kita tidak pasti soalan seperti 'apa Siti hendak panggil Datuk Khalid - sayang atau ayang' dan 'kenapa memilih duda sedangan Siti anak dara dan ramai lagi teruna di negara ini' adalah contoh soalan yang tidak bermoral dan seperti budak sekolah sahaja.
 
Kehadiran di dewan yang sempit itu sememangnya diketahui dipenuhi oleh pihak wartawan. Dan tidak kurang juga dihadiri oleh orang ramai yang bukan wartawan. Saya berharap soalan biadap seperti di atas itu bukannya disoal oleh wartawan yang setahu saya mempunyai etika kewartawanan dan tidak boleh mengajukan soalan dengan tujuan mengaibkan peribadi seseorang semasa sesi "press conference".
 
Akibat keghairahan itulah boleh terpacul soalan yang sebegitu rupa. Siti hanya manusia biasa dan kita adalah masyarakat disekelilingnya, sama ada peminat, pemerhati mahupun pembenci. Soal jodoh, ajal maut semuanya di tangan Tuhan. Kita hanya layak merancang, segalanya telah ditentukan oleh Tuhan. Hakikat ini perlulah kita pegang, jika tidak larilah akidah kita terhadap agama Islam.
 
Sepatutnya siapa bakal suami Siti biarlah Siti sendiri yang menentukan. Janganlah pula kita lebih pandai dari tuan punya badan yang hendak mendirikan masjid sehinggakan awal-awal lagi sudah memberi komen bahawa pilihan Siti tidak tepat dan Siti tidak sepatutnya berkahwin dengan Datuk K. Siapakah mereka itu kepada Siti sehinggakan peribadinya pun hendak diceroboh oleh orang lain.
 
Masyarakat harus faham Siti hanyalah penyanyi dan bukannya anak kita, adik kita mahupun saudara mara kita yang boleh kita campuri urusan perkahwinannya.
 
Cubalah kita bayangkan jika kita menjadi Siti?. Atau sesiapapun pasti akan melenting apabila ada orang hendak menjadi "match maker" atau penentu jodoh kita. Apa hak kita hendak menjadi "match maker" Siti?. Apakah kerana terlampau taksub dan sayang peminat kepada Siti sehinggakan segalanya kita hendak tentukan termasuk soal peribadi?.
 
Kita ini orang Melayu tetapi apabila melibatkan sektor hiburan, kita kadang-kadang lebih hebat dan "gila" dari Hollywood dan Bollywood. Mengapakah mentaliti sebegini terjadi kepada orang Melayu?. 
 
Begitulah hebatnya dan istemewanya insan bernama artis yang mendapat liputan dan perhatian dari semua lapisan masyarakat dan pihak media. Namun begitu, kita janganlah terlalu mensensasikan dan terlampau fanatik sangat apabila memperkatakan berita artis tersebut seolah-olah peribadi artis pun hendak kita miliki.
 
Cukuplah mereka itu kita anggap milik masyarakat daripada bakat dan anugerah tuhan kepada mereka. Peribadi mereka biarlah mereka selesaikan sendiri. Kita sebagai peminat cukuplah sekadar pemerhati.
 
Inilah masalah mentaliti orang Melayu yang yang terlampau mengambil berat sangat artis kegemaran mereka. Apa yang kita dapat daripada komen dan cadangan kita terhadap peribadi artis tersebut sedangkan mereka itu bukan anak-anak kecil lagi?.
 
Begitulah lumrahnya menjadi artis popular dan terkenal. Setiap pergerakan mendapat perhatian ramai, sehinggakan hal peribadi turut disentuh dan menjadi bualan.
 
Walaupun mereka ini "public figure", mereka juga manusia biasa seperti kita. Siapa yang mahu soal peribadi mereka diketahui oleh umum dan menjadi bualan ramai?
 
Siti yang begitu hampir dengan gerbang perkahwinan sudah tentunya akan mendapat publisiti dan perhatian dari seluruh rakyat Malaysia. Sebagai artis paling terkenal masa kini, kita seharusnya mendoakan agar niat suci beliau untuk berumah tangga termakbul dan aman damai sehingga akhir hayat.
 
Janganlah pula kita mendoakan sebaliknya dan menimbulkan pelbagai fitnah. Jika Tuhan sudah menetapkan jodohnya dengan Datuk Khalid, tiada siapa boleh menghalang Nya. Soal Datuk Khalid itu duda sepatutnya tidak timbul di kalangan peminat.
 
Soal bagaimana Siti bercinta dan mengapa memilih Datuk Khalid, adalah terlalu peribadi untuk diketahui umum. Walaupun peminat ingin tahu, tetapi berilah tembok pemisah antara peribadi dan karier artis tersebut.
 
Kita sepatutnya tumpang gembira jika suratan takdir Siti akan bernikah dengan Datuk Khalid pada 21 Ogos akan datang. Perkara baik seperti ini sepatutnya dialu-alukan oleh orang ramai. Berilah sedikit ruang kepada artis paling popular ini agar soal peribadinya tidak disensasikan.
 
 
 
 
 


Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/

No comments: