Saturday, September 23, 2006

KERAJAAN PERLU AMBIL ALIH KILANG GULA

(Artikel ini telah disiarkan di Buletin 1.30 dan Buletin Utama 8 malam TV3 pada 25 September 2006 atas nama Siti Nurazizah)

KERAJAAN PERLU AMBIL ALIH KILANG GULA

Jika kerajaan melalui Khazanah Nasional boleh mengambil alih kepentingan pihak tertentu di dalam Pantai Holding dengan alasan menjamin kepentingan negara kerana syarikat tersebut juga menjalankan perkhidmatan perbekalan sektor perubatan negara mengapa tidak pengambilalihan terhadap kilang gula?

Mungkin pendapat saya ini agak tidak relevan. Tetapi untuk menjamin bekalan gula di pasaran yang masih tidak di jual oleh peruncit kerana tiada bekalan, eloklah kerajaan mengambil suatu tindakan yang drastik untuk mententeramkan kegelisahan masyarakat lebih-lebih lagi beberapa musim perayaan akan menjelang tiba.

Rakyat sebenarnya sudah muak dengan alasan demi alasan, kenyataan akhbar demi kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang sebenarnya beliau sendiri tidak tahu bagaimana untuk mengatasi masalah bekalan gula.

Bermula dengan kesukaran untuk mendapatkan bekalan gula kasar, pengilang dengan bijak mengeluarkan gula halus dengan kapasiti pengeluaran yang tinggi ketika itu dengan tujuan untuk meraih untung berlipat kali ganda dari biasa kerana harga ditentukan oleh kilang dan bukannya oleh kerajaan.

Apabila gula halus dijadikan salah satu item barang kawalan negara, pengilang masih berdolak dalik tentang bekalan dengan mengatakan bekalan gula ke seluruh negara mencukupi. Walhal gula kasar masih dicatu untuk pasaran tempatan kerana permintaan yang tinggi dari negara jiran. Untuk eksport, harga ditetapkan oleh pengilang dan bukannya oleh kerajaan.

Beberapa persoalan timbul di fikiran rakyat jelata. Apakah menteri dan kementeriannya melindungi dan menjaga kepentingan pengilang atau menjaga hal ehwal rakyat sebagai pengguna?. Mengapa kerajaan tidak menyekat eksport gula kasar ke negara jiran yang begitu ketara seolah-olah tidak adanya kawalan dan had tertentu?. Apakah agensi kerajaan yang lain dan pihak yang berkuasa tiada kuasa untuk menyekat penjualan gula yang melampau ke negara jiran?.

Untuk maklumat gula sekilo dijual Rupiah 5,300 bersamaan RM2.20 pada harga runcit di Indonesia. Sedangkan harga jualan borong di pelabuhan sekitar RM1.65 sekilo. Bayangkan urusan perdagangan ini boleh meraih 55 sen untung sekilo yang diagihkan antara pengeksport di Malaysia, pengimport di Indonesia, pemborong dan peruncit di negara jiran.

Itulah sebabnya pengilang gula tempatan lebih rela menjual gula ke luar negara kerana harga belian di kilang sahaja sudah jauh lebih menguntungkan dari harga jualan runcit kepada pengguna yang berharga RM1.45. Apakah mereka merasakan tidak bersalah menjalankan kegiatan perniagaan sebegitu sedangkan mereka diberikan subsidi, galakan pekilang dan taraf monopoli kerana kerajaan menjangkakan hasil tindakan kerajaan itu boleh mengawal dan memberi kelegaan kos pengeluaran kepada pekilang gula demi kebaikan rakyat supaya tidak dibebankan dengan harga runcit yang tinggi.

Tidakkah kementerian tahu hal sebegini?. Jika tahu menggapa tidak diambil tindakan kepada pekilang gula?. Apakah kementerian takut dengan boikot dan ugutan pekilang gula yang mendakwa harga gula tidak berubah sejak 10 tahun?. Sedangkan selama 10 tahun itu juga pekilang telah mendapat faedah hasil dari semakan kadar dan insentif subsidi, galakan pekilang dan taraf monopoli yang memihak kepada pekilang.

Kerajaan sepatutnya mengambil tindakan yang drastik untuk "mengajar" kilang-kilang gula ini supaya lebih berhati perut dan lebih bersemangat patiotik. Apakah susah sangat untuk mengawal hanya 4 buah kilang gula di seluruh negara?.

Dicadangkan kepada kerajaan untuk mengambil tindakan seperti berikut :-

1. Mengambil alih kesemua syarikat kilang gula untuk menjadikan kerajaan sebagai pemegang saham utama dan berhak memegang kuasa eksekutif.

2. Mewujudkan kilang gula milik penuh kerajaan. Masalah bekalan tidak menjadi masalah kerana terdapat beberapa ladang tebu di Perlis dan Kedah adalah milik agensi kerajaan dan syarikat milik kerajaan negeri.

3. Mengenakan tindakan undang-undang kepada kilang gula kerana lebih mementingkan keuntungan jualan ke luar negara dan "menganak tirikan" pengguna tempatan.

4. Mengenakan tindakan yang tegas dan keras kepada pemborong yang menyorok gula dengan harapan harga gula akan naik satu masa nanti. Mereka tahu barang keperluan ini boleh bertahan lama walaupun di simpan kerana tidak mudah busuk.

Sekali sekala kerajaan kena "tunjukkan taring" dan keluarkan arahan ala "kuku besi" sebagai pengajaran kepada pekilang gula yang sehingga kini masih bersikap membisu walaupun telah beberapa kali ditegur dan didesak oleh kementerian dan persatuan pengguna supaya memberikan kenyataan rasmi kepada rakyat mengapa sukar mendapatkan gula di pasaran sekarang.

Jaminan menteri berkenaan diibaratkan seperti melepaskan batuk ditangga sahaja kerana hakikatnya gula masih kurang di pasaran. Malah di beberapa tempat seperti Tampin, Alor Gajah, Senawang dan Mantin masih lagi berlaku senario papan tanda "gula habis" ditampal di kedai runcit.

Harapan rakyat, kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih drastik untuk melindungi berpuluh juta pengguna gula diseluruh negara daripada melindungi kepentingan 4 buah kilang gula sahaja. Tentulah tidak adil untuk memberi keutamaan kepada minoriti sedangkan majoriti tersepit begitu sahaja.







SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN

KEPADA SELURUH KELUARGA TERAJU


SELAMAT MENYAMBUT BULAN PUASA SEMOGA IBADAH DI BULAN RAMADAN DIBERKATI ALLAH.

DARI SEPOL SEKELUARGA.

Tuesday, September 19, 2006

KUMPULAN TIGA CALIT MEROSAK REMAJA SEKOLAH

(Artikel daripada seorang ibu kepada Menteri Pelajaran..tetapi tiada respond..apakah 3 calit sudah kontrol kerajaan..kerana mereka mendakwa sebagai hulubalang Pak Lah..tapi ramai yang menyalah gunakan aktiviti kumpulan NGO ini)
 
   Apabila akhbar hari ini menyiarkan berita samseng di sekolah seperti kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pelajaran di Jerantut, saya terpanggil untuk memberikan pendapat dan berkongsi pengalaman. Apa yang akan saya perkatakan ini adalah pengalaman saya sendiri dan bukannya orang lain. Anak saya telah diperdaya oleh kumpulan yang menyamar sebagai pertubuhan kebajikan, sosial dan rakan sukan untuk membantu menyelesaikan masalah persekolahan, peribadi dan keluarga. Malah saya sendiri turut diugut dan diganggu oleh kumpulan samseng ini.
   Saya mempunyai seorang anak perempuan yang berumur 16 tahun yang pernah bersekolah di SMK Seksyen 7, Shah Alam. Anak remaja kini amat cerdik dan pandai menipu ibu bapa. Kawalan kita yang agak ketat pun boleh dibolosi. Walaupun jarak rumah ke sekolah tidak sampai 500 meter, saya tetap menghantar dan mengambil anak ke sekolah.
   Selalunya anak remaja ini akan mengambil kesempatan untuk berpeleseran dengan rakan-rakan semasa aktiviti ko kurikulum di sebelah petang. Mereka akan mendaftar untuk kedatangan ko kurikulum dan akan ponteng bersama rakan-rakan ke tempat lain. Pada pukul 5 atau 6 petang ibu bapa akan mengambil mereka yang sudahpun menunggu di pintu masuk sekolah. 
   Jarak waktu antara 3 dan 4 jam inilah digunakan oleh anak saya untuk membuat perkara-perkara yang tidak sopan dan di luar disiplin sebagai seorang pelajar. Mereka akan melepak di kedai mamak, kafe siber dan kompleks beli belah semata-mata untuk menghabiskan masa sebelum pulang ke rumah.
   Terdapat satu kejadian yang amat mengaibkan saya sekeluarga apabila anak perempuan saya tiada di sekolah pada waktu petang dan tidak balik ke rumah. Saya dan suami amat risau dan kami membuat aduan polis.
   Suami saya dan rakan-rakannya dapat menangkap anak saya bersama rakan sekolahnya dan dua orang muda sedang lepak di dalam kereta di Tasik Shah Alam jam 2 pagi. Yang menghairankan dua pemuda tersebut berkata dua remaja tersebut adalah ahli mereka dan dibawah jagaan mereka. Mereka mendakwa mereka ahli PEKIDA dan dua remaja tersebut adalah ahli mereka. Sedangkan mereka tidak tahu bahawa yang membuat serbuan tersebut adalah ayah kepada salah seorang remaja tersebut. Maka berlaku pertengkaran dan pergaduhan kecil. Polis dipanggil untuk menyelesaikan masalah tersebut. Kesemuanya di bawa ke balai polis. Dua pemuda tersebut ditangkap dan didakwa.
    Polis mengakui memang terdapat orang muda yang menyamar sebagai ahli PEKIDA yang mendekati pelajar untuk menganggotai kumpulan haram mereka. Mereka akan memperdaya pelajar supaya masuk kumpulan mereka yang digelar "Kumpulan Tiga Calit". Kumpulan ini bertopengkan PEKIDA dan pada awalnya konon ingin membantu masalah remaja, akan tetapi kumpulan ini pula yang merosakkan remaja.
   Apabila saya menyoal anak saya, dia mengaku pada mulanya ahli kumpulan ini memang baik. Mereka kerap berkumpul di kedai mamak dan kafe siber. Duit dan kad tambah nilai pra bayar adalah umpan mereka. Saya bernasib baik kerana anak saya masih baru mengenali kumpulan ini. Mengikut cerita anak saya seperti yang disampaikan oleh ahli "Kumpulan Tiga Calit" kepadanya, ada rakan sebaya seperti anak saya telah diberi peluang "pekerjaan" di Kuala Lumpur. Remaja lelaki akan mengikut mereka meronda mencari ahli baru. Mereka juga diajar merokok, cara melakukan seks dan mengambil dadah.
   Malah anak saya mendakwa kumpulan ini mendapat naungan daripada polis dan mereka tidak akan ditangkap kerana mereka sahabat polis. Untuk meyakinkan anak saya, mereka telah diperkenalkan dengan apa yang didakwa "polis" itu di pejabat operasi mereka, sebuah rumah teres yang tidak jauh dari sekolah Seksyen 7 Shah Alam. Anak saya diajar cara bersalam dengan memegang kuat tangan sambil jari telunjuk ditekan pada pergelangan tangan. Jika orang yang bersalam itu memberikan gaya yang sama, maka itu adalah "saudara ahli" mereka. Pengenalan "Kumpulan Tiga Calit" ini boleh juga dikenalpasti pada kereta yang mempunyai pelekat warna hijau,kuning dan merah yang melintang.
   Tidak habis di situ sahaja, saya sendiri pernah dihalang kereta saya semasa pulang menghantar anak saya sekolah oleh kumpulan ini. Mereka mendakwa mereka ahli PEKIDA dan suami saya telah "mengganggu tugas mereka". Saya amat marah dan memberitahu saya akan melaporkan perkara ini kepada polis. Mereka dengan angkuh berkata "semua polis di Shah Alam adalah rakan mereka". Saya terus memecut kereta ke Balai Polis Seksyen 11 dan membuat laporan.
   Hasil kerjasama dan maklumat polis, orang muda yang menahan kereta saya itu adalah bekas polis bantuan BSN dan memangnya dikehendaki kerana memperdaya remaja perempuan dan menyamar sebagai anggota polis. Syabas polis Shah Alam. 
    Saya berharap sesiapa yang membaca tulisan ini berwaspadalah dengan kumpulan menyamar yang memperdayakan remaja tidak kira lelaki dan perempuan. Mereka akan menyamar sebagai anggota pertubuhan sukarela dan rakan kepada polis. Anak kita yang masih mentah akan cepat terpedaya oleh golongan yang tidak berhati perut ini. Awasilah anak anda dan periksa beg sekolah mereka. Anak saya sendiri telah diberi pelekat Kumpulan Tiga Calit untuk ditampal di beg sekolah. Bagi saya kumpulan samseng ini amat luas dan besar rangkaiannya. Seolah-olah organisasi mereka terurus dan dibiayai oleh pihak-pihak tertentu.
   Mereka menyamar sebagai ahli PEKIDA yang setahu saya PEKIDA adalah sebuah pertubuhan kebajikan dan dakwah Islamiah, dan bukannya kumpulan samseng dan perosak anak bangsa. Penyamaran sebegini memalukan seluruh ahli PEKIDA. Untuk makluman ayah saya adalah salah seorang pengasas PEKIDA.
   Menangani seorang anak remaja perempuan yang bersekitaran bandar besar amat merunsingkan dan menakutkan. Walaupun kawalan dan jagaan ibu bapa penuh dengan disiplin, namun pergaulan di sekolah dan di luar sekolah kadang-kadang merungsingkan kami.
   Saya berpendapat kita tidak boleh menyalahkan pihak sekolah semata-mata apabila anak-anak kita terlibat dengan masalah sosial remaja. Semua pihak harus bertanggung jawab dan bekerjasama. Didikan dan pemantauan ibu bapa mestilah dibuat semaksima yang mungkin. Pengaruh dan muslihat dari rakan sebaya anak-anak kita akan membohongi kita untuk membolehkan mereka bergaul dengan kumpulan samseng dan tidak bermoral.
 
 

Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com

PELANCONGAN MELAKA TIDAK SEIMBANG

PELANCONGAN MELAKA TIDAK SEIMBANG
 
Nama Melaka sememangnya terkenal di seluruh dunia sejak beratus tahun dahulu lagi. Terpahatnya nama Selat Melaka di peta dunia menjadikan Melaka suatu tempat yang sangat terkenal sehinggakan menutupi nama Malaysia di kalangan pelancong asing.
 
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2007, pujian seharusnya diberikan kepada kerajaan negeri Melaka kerana telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menarik pelabur di dalam industri pelancongan ke Melaka. Beberapa hotel baru bertaraf lima bintang sedang dibina di Bandaraya Melaka selain beberapa kemudahan dan tarikan pelancongan yang juga sedang pesat di bina seperti Melaka Mall, Dataran Pahlawan dan Masjid Selat Melaka.
 
Usaha murni kerajaan negeri dan pelabur industri pelancongan dilihat hanya bertumpu ke kawasan Bandaraya Melaka sahaja. Walaupun ada promosi dan galakan pelancongan seperti di daerah Alor Gajah dan Jasin, namun ianya seolah-olah seperti tiada usaha yang serius untuk memajukan lagi tarikan pelancongan di kawasan luar bandar Melaka.
 
Seperti wujud ketidakseimbangan di dalam membangunkan industri pelancongan secara menyeluruh ke seluruh pelusuk negeri Melaka. Mungkin ada yang berkata tiada pelabur industri pelancongan yang ingin membina hotel di Jasin, Selandar atau Alor Gajah misalnya, tetapi jika ada usaha kerajaan negeri dan agensi yang berkaitan memberi galakan dan sokongan di samping promosi dan pemasaran yang hebat, saya percaya bandar-bandar tersebut tidak kurang penting dan boleh maju di dalam industri pelancongan.
 
Tarikan pelancongan yang sememangnya telah sedia ada di luar kawasan Bandaraya Melaka perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Mungkin ramai yang sudah lupa Asahan juga salah satu tempat untuk mendaki ke Gunung Ledang selain daripada Sagil di Tangkak, Johor. Cuma kurang promosi dari semua pihak menjadikan Asahan telah dilupakan. Begitu juga Muzium Jasin yang menyimpan dokumen dan pengkisahan Sultan Mahmud Shah meminang Puteri Gunung Ledang yang dijadikan pameran tetap di muzium tersebut. Makam Tun Teja di Merlimau dan Rumah Tradisional Melayu di Sungai Rambai, mempunyai tarikan sejarah yang unik tetapi kurang ditonjolkan.
 
Kerajaan negeri sepatutnya mendesak dan mengarahkan syarikat ajen pelancongan "in bound" memasukkan pakej lawatan pelancong yang
merangkumi tarikan pelancongan di luar Bandaraya Melaka. Apa yang dilihat sekarang ini, ajen pelancongan "in bound" yang menguruskan lawatan dan pakej pelancong asing lebih tertumpu kepada aspek tarikan pelancongan berasaskan sejarah yang sememangnya banyak terdapat di Bandaraya Melaka seperti Stadthuys, A' Famosa, Christ Church, St. Paul Church, Perigi Hang Li Po dan lain-lain lagi.
 
Tiada usaha dan galakan yang bersungguh-sungguh untuk membawa pelancong ke kawasan luar bandar negeri Melaka. Pengendali dan pengusaha pusat tarikan pelancongan di luar bandar kebanyakannya adalah Bumiputera. Mereka terpaksa mempromosikan tarikan pelancongan mereka dengan sendiri. Risalah pelancongan yang diterbitkan oleh Pelancongan Malaysia, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Melaka dan Unit Promosi Pelancongan di Jabatan Ketua Menteri kurang memberikan tumpuan kepada aspek pelancongan di sekitar Alor Gajah dan Jasin. Jika ada pun maklumat yang diberikan tidak lengkap.
 
Pengusaha Chalet di pantai Tanjung Bidara misalnya seperti menagih simpati kepada orang ramai yang datang supaya menginap di chalet mereka. Walaupun pemandangan dan suasana pantai menarik dikunjungi, namun kurang promosi dan sokongan daripada ajen pelancongan, mengakibatkan perniagaan mereka seperti hidup segan mati tak mahu sahaja.
 
Akibatnya ramai yang tidak tahu termasuk pelancong tempatan sendiri bahawa negeri Melaka juga kaya dengan keindahan alam semula jadi dan suasana kampung tradisional Melayu yang begitu cantik dan unik. Walaupun terdapat program "homestay" seperti di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah dan Anjung Bonda di Jasin, namun akibat kurang promosi dan tiada saranan dan desakan daripada pihak kerajaan kepada operator dan ajen pelancong, mengakibatkan kampung tradisi yang mempunyai nilai kebersihan dan suasana kampung yang cemerlang dilupakan begitu sahaja.
 
Usaha semua pihak haruslah digembeling untuk sama-sama memajukan sektor pelancongan di seluruh pelusuk negeri Melaka. Gandingan pihak kerajaan, dewan perniagaan Melayu, pengusaha pelancongan Bumiputera, ajen pelancongan dan masyarakat setempat perlu diwujudkan untuk tujuan promosi hebat sebagai satu agenda baru bahawa melancong ke Melaka tidak hanya tertumpu di Ayer Keroh dan Bandaraya Melaka sahaja.
 
Walaupun usaha penduduk tempatan seperti di Kampung Tehel bersatu padu memajukan kampung mereka sebagai satu destinasi pelancongan di Melaka, hakikat kurangnya aspek pemasaran dan promosi menjadikan tarikan pelancongan pertanian dan alam semulajadi pudar begitu sahaja.
 
Dicadangkan kerajaan negeri Melaka membina hotel bajet di setiap bandar kecil dan pekan di negeri Melaka untuk menampung penginapan pelancong. Sebagai contoh tiada hotel di Jasin, Selandar dan Merlimau, sedangkan bandar kecil ini mempunyai banyak tarikan pelancongan berasaskan pertanian, alam semulajadi dan rekreasi. Kerajaan negeri sepatutnya mencontohi Indonesia yang mempunyai hotel walaupun kecil di hampir setiap bandar kecil. Sebagai contoh perjalanan dari Semarang ke Jepara melalui sembilan pekan yang kesemuanya mempunyai sekurang-kurangnya se buah hotel.  
 
Apabila wujud hotel di sesuatu kawasan tersebut, industri pelancongan dapat di jana dengan lebih serius dan berwibawa. Ini sekurang-kurangnya memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat di samping boleh mewujudkan lebih banyak industri hiliran berasaskan pelancongan seperti makanan, kraftangan dan hasil-hasil pertanian. 
 
Operator dan ajen pelancongan yang membawa pelancong asing perlulah memberikan sedikit ruang di dalam pakej mereka untuk melancong ke kawasan di luar Bandaraya Melaka. Setidak-tidaknya pelancong asing mengetahui bahawa Melaka juga kaya dengan nilai pelancongan selain daripada aspek sejarah sahaja. Mereka tidak rugi untuk membawa pelancong asing melawat ke luar bandar Melaka kerana itu semua termasuk harga pakej yang dibayar oleh pelancong.
 
Jika alasan tempat-tempat menarik di luar Bandaraya Melaka jauh dan tidak selesa, ia boleh disanggah kerana kemudahan awam seperti jalan raya di Melaka adalah yang terbaik sebenarnya di Malaysia. Jarak dan jangka masa juga tidaklah begitu jauh kerana untuk sampai ke Merlimau misalnya tidak sampai 25 minit dari Bandaraya Melaka dan di sepanjang jalan ajen boleh membawa pelancong menikmati dan membeli makanan tradisi orang Melayu seperti kerepek dan lemang di Umbai.
 
Pelbagaikan aturcara pelancongan ini boleh dianggap melancong ke Melaka sudah menjadi pelengkap kepada semua jenis sub sektor pelancongan negara, dari sejarah sehinggalah ke sub sektor pelancongan belia. Cuma galakan, sokongan dan desakan dari kerajaan negeri amat ditagih agar seluruh rakyat Melaka dapat menikmati limpahan industri pelancongan. Selepas ini mereka bukan lagi menjadi pemerhati, malah menjadi pengusaha dan peserta industri pelancongan yang sebenarnya tiada had untuk menjana keuntungan jika diusahakan bersungguh-sungguh.


Kini dengan simpanan sebanyak 1GB
http://my.mail.yahoo.com/

PUTERA UMNO BUKAN HERO MAT REMPIT

PUTERA UMNO BUKAN HERO MAT REMPIT
 
Telah banyak diperkatakan tentang Putera UMNO Malaysia yang menganjurkan Ekspedisi Merdeka Putera Bermotor Kuala Lumpur - Teluk Batik baru-baru ini. Daripada komen Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Daerah Manjung, sehinggalah pandangan jujur daripada Cawangan Trafik Pasukan Bukit Aman, semuanya memberikan komen yang negatif terhadap aktiviti Putera Umno. 
 
Walaupun secara bertulis di atas kertas kerja, aktiviti itu diadakan untuk memberi kesedaran kepada golongan pemuda bermotor atau sekarang ini popular dipanggil Mat Rempit, namun ianya telah tersasar jauh dari matlamat yang hendak dicapai.
 
Putera Umno perlulah melakukan post mortem dengan ikhlas dan telus mengapa program yang mereka laksanakan bersama-sama Mat Rempit mendapat tohmahan dan pandangan yang buruk dari semua pihak.
 
Putera Umno perlu kembali kepada tujuan asal penubuhannya. Perlu diingat Putera Umno bukannya sebuah sayap Umno yang diiktiraf. Sayap Umno hanyalah Wanita, Puteri dan Pemuda. Putera hanyalah sebahagian daripada biro di bawah Pemuda Umno yang fungsi utamanya merapatkan diri dengan remaja berumur 17 hingga 25 tahun untuk hampir kepada parti Umno dan seterusnya menggalakkan mereka menjadi ahli Umno.
 
Kebanyakan Mat Rempit adalah golongan remaja bermasalah, suka melanggar peraturan dan undang-undang, dan gemar bersuka ria daripada memikirkan masa depan mereka. Kesemua sifat ini adalah tergolong di dalam aspek gejala sosial yang bukan mudah untuk kita tangani.
 
Rata-rata pemimpin Putera Umno adalah golongan muda dan mereka kurang berpengalaman untuk membasmi mahupun mengurangkan masalah sosial remaja. Polis sendiri yang mempunyai kuasa dan sebagai agensi pelaksana undang-undang negara pun pening kepala memikirkan masalah remaja termasuklah masalah Mat Rempit ini.
 
Amat menghairankan program yang diatur oleh Putera baru-baru ini hanya melibatkan 80 orang sukarelawan Putera untuk menjaga gelagat 8000 peserta ekspedisi tersebut. Jelas menunjukkan Putera hanya hebat merencana, mengembar-gembur dan melakukan publisiti murahan tentang aktiviti mereka sedangkan hakikatnya mereka masih lemah di dalam soal mengendalikan sesuatu program.
 
Janganlah hanya suka mengadakan sidang akhbar dan begitu bangga mengariskan pelbagai aktiviti Putera sedangkan hasilnya tidak kemana. Publisiti murahan sebegini amat malang sekali sedangkan kerajaan begitu peka dan prihatin mengatasi masalah gejala sosial di kalangan remaja masa kini.
 
Orang ramai berharap pemimpin Putera jangan asyik mengejar nama dan merit dalam karier politik mereka. Mungkin ada pemimpin tertentu di dalam Putera menyimpan cita-cita tinggi untuk bertanding di pemilihan Pemuda Umno Malaysia tahun depan. Jika Mat Rempit dijadikan batu loncatan dan menonjolkan nama mereka dengan pelbagai aktiviti yang dilakukan, amat malang sekali bagi Umno jika ada pemimpin Putera yang menyimpan cita-cita sebegini. Ianya lebih kepada berkepentingan peribadi untuk menaikkan "saham" diri sendiri supaya dipandang oleh pemimpin tertinggi Umno bahawa beliau boleh bekerja dan program Mat Rempit adalah contohnya.
 
Itulah sebabnya golongan pemimpin di dalam Putera ini bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk mengumpulkan kira-kira 50,000 Mat Rempit pada bulan November ini. Lebih menarik sudah dicanangkan majlis tersebut bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri selaku Presiden Umno. Apakah benar Pak Lah akan datang atau sekadar gimik dan publisiti murahan pemimpin Putera sahaja?.   
 
Putera Umno perlulah berpandangan jauh dan merancang aktiviti untuk suatu jangka masa panjang. Berkonvoi dari Kuala Lumpur ke Teluk Batik bukanlah suatu penyelesaian membasmi Mat Rempit. Saya berpandangan konvoi tersebut sebenarnya menggalakkan lagi Mat Rempit melanggar undang-undang jalan raya dan mencetuskan lebih banyak lagi masalah gejala sosial. Mengapa tidak dikumpulkan Mat Rempit tersebut secara kumpulan yang kecil supaya lebih terus dan fokus untuk menasihati mereka?.
 
Dahulupun sudah ada golongan remaja dan pemuda bermotor tetapi mereka dilihat lebih berdisiplin dan menghormati undang-undang jalan raya. Bukan tidak ada perlumbaan haram di tahun 80an dan 90an tetapi tidak sehebat sekarang ini. Mungkin remaja kini terlalu dimanjakan sehingga yang masih menuntut dan tiada bekerjapun mampu memiliki motorsikal.
 
Putera seharusnya membuka minda dan berfikir dengan waras dan sifat yang terbuka. Masyarakat memandang keinginan Putera Umno untuk mendekati Mat Rempit sesuatu yang perlu disokong. Tetapi cara mereka mengendalikan dan "berbaik" dengan Mat Rempit adalah sesuatu yang diluar dugaan. Apa salahnya mereka melakukan pendekatan dari hati ke hati dan memberikan nasihat sebagai abang kepada adik?.
 
Terfikir juga berapa banyak wang yang telah dibelanjakan oleh Putera Umno untuk"melayan kerenah" 8,000 peserta ekspedisi bermotor tersebut. Jika diperuntukkan perbelanjaan seorang sebanyak sepuluh ringgit, bayangkanlah berapa banyak wang yang telah dibelanjakan?. Alangkah moleknya wang yang sebanyak itu digunakan untuk aktiviti lain yang lebih berfaedah. Janganlah disebabkan untuk mengejar glamor dan publisiti, Putera sanggup membuat aktiviti yang caca-merba dan kelam kabut. Seharusnya Putera menghalusi dengan teliti pro dan kontra sesuatu aktiviti yang ingin dilaksanakan. Jangan disebabkan untuk mencapai sesuatu tujuan, maka aktiviti itu mesti dilakukan segera. Akibatnya, Putera kini menghadapi kritikan dan sindiran yang tajam daripada masyarakat.
 
Bukan Mat Rempit sahaja yang perlu didekati untuk membenteras gejala sosial di kalangan remaja. Masalah malas bekerja, memilih kerja, tidak memikirkan masa depan, penyalahgunaan dadah, sex bebas, keruntuhan nilai budi bahasa adalah contoh keruntuhan akhlak remaja masa kini.
 
Jika benar Putera Umno ikhlas dalam perjuangannya, golongan seperti ini jangan dilupakan. Mat Rempit hanyalah segelintir daripada perosak akhlak remaja masa kini. Mengapa tidak diadakan aktiviti yang melibatkan jabatan-jabatan kerajaan dan NGO lain?. Kerjasama dan berkumpul mengeluarkan buah fikiran lebih afdal daripada membuat sendirian seolah-olah hendak menjadi hero atau pembela Mat Rempit.
 
Perancangan yang teliti amat penting menjamin sesuatu aktiviti berjaya mencapat objektifnya. Apa yang dilihat sekarang ini Putera begitu tergesa-gesa untuk membuat aktiviti. Pujangga ada berkata "apa ada pada nama". Janganlah sibuk mengejar nama dan mendapat "kredit politik" demi kepentingan peribadi dan menggunakan masalah sosial remaja masa kini sebagai "topeng" perjuangan politik kepimpinan Putera Umno.
 
Kadang kala hero tanpa publisiti lebih disanjungi daripada hero yang seperti "masuk bakul angkat sendiri". Mungkin selepas ini Pengerusi Putera Umno, Abdul Azeez Abdul Rahim, boleh menagis teresak-esak di depan Pak Lah atau Ketua Pemuda Umno untuk meraih simpati apabila aktivitinya mendapat teguran, sama seperti beliau menagis teresak-esak di mesyuarat jawatan kuasa tetap tanah dan pembangunan negeri Selangor apabila permit pasir lautnya di Selangor ditarik balik oleh kerajaan negeri pada tahun lepas.Dengan tidak tahu malunya beliau berkata permit itu sangat perlu kepadanya kerana hendak membayar kepada pihak tertentu kerana melaksanakan majlis penubuhan Putera Umno Malaysia.
 
Mudahnya hendak menjadi popular sehingga sanggup menggadaikan maruah diri.
 

Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com

Friday, September 15, 2006

KAKAK KPD BUDAK " I SOUND STUPID WHEN I SPEAK MALAY"


Ni gambar kakak kepada budak "I sound stupid when i speak Malay"..translate ke cakap Melayu "Aku memang bangang bila cakap Melayu"..Bukan tak boleh cakap English, tapi kena tengok majlis lah..Kita memang digalakkan mahir berbahasa Inggeris ni.. Gambar ni from sorang mamat tu..nama dia "I 'kena' sound stupid when i speak English". Mintak-mintak anak-anak TERAJU jangan jadi cam ni ye..InsyaAllah tak jadi cam ni..

NEW ISSUE PLAYBOY INDONESIA


Kalau cam ni punya cover page, mesti ada jual kat kedai buku...mesti tak kene ban punya..hehe..gurau-gurau aje..asyik text serius pun boring jugak..nak jugak blog ni ada gambar-gambar..kan..kan..

Wednesday, September 13, 2006

KOMIK MELAYU PERSENDA ISLAM

Salinan gambar ini kiriman Auntie Jean yang dikirimkan ke email saya. Terima kasih banyak-banyak





Tuesday, September 12, 2006

ANGGAPAN PELANCONGAN SUATU KEMEWAHAN PERLU DIHAKIS

Anggapan Melancong Suatu Kemewahan Perlu Dihakis
 
Sebut sahaja pelancongan atau melancong, segelintir dari kita akan terbayangkan menaiki kapal terbang melancong ke luar negara. Jika terbayangkan melancong dalam negeri, kebanyakannya akan terbayangkan bercuti di tepi pantai seperti Port Dickson, tempat bersejarah seperti bandaraya Melaka, kawasan pergunungan seperti Genting Highlands dan bandar-bandar besar untuk membeli belah seperti Kuala Lumpur.
 
Itulah persepsi tentang pelancongan di fikiran sebahagian dari kita. Lebih dangkal pemikiran kita apabila mengaitkan pelancongan dengan sesuatu yang memerlukan belanja yang besar, lambang kemewahan dan untuk orang-orang kaya sahaja.
 
Tanggapan kuno sebegini sepatutnya sudah tiada lagi di hati kita sekarang ini. Kepada yang masih muda dan bujang, inilah masa yang paling sesuai untuk melancong di dalam negeri sambil melihat dan menimba pengalaman yang lain dari tempat kita sendiri. Kepada yang berkeluarga, eloklah membawa keluarga berjalan-jalan menikmati keindahan negara kita yang masih banyak lagi yang belum dijelajahi.
 
Pelancongan jimat boleh dilakukan dengan berbagai cara. Pokok pangkalnya diri kita sendiri yang mentafsirkan melancong itu untuk apa dan bagaimana. Ada diantara kita apabila hendak melancong, segala seginya baru. Perlu baju baru, seluar baru malah beg baru. Mengapa harus terjadi sebegini?. Mentalititi kita sudah diterapkan bahawa melancong itu untuk menunjuk-nunjuk kemewahan dan keistimewaan diri yang "ada kelas". Tidakkah ini hipokrit namanya?. Malah menipu diri sendiri. Malukah penampilan diri itu menunjukkan diri kita yang sebenar tanpa tampalan imej orang lain?.
 
Inilah yang terjadi kepada seorang pemuda yang masih bujang berusia 32 tahun yang tinggal di Bangi, dan paling jauh dia berjalan makan angin ialah ke Ipoh di utara, Melaka di selatan dan Genting Highlands di timur. Sedangkan ia mempunyai kereta sendiri dan bergaji agak selesa sebagai orang bujang. Mengapa hendak menjadi "katak dalam tempurung" diri sedangkan masa yang terluang sangat banyak?.
 
Alasannya ialah melancong memerlukan perbelanjaan yang besar. Apabila saya berkata beliau boleh melancong sendiri dengan berkereta ke Pulau Pinang selama 3 hari 2 malam dengan dengan hanya tiga ratus ringgit termasuk tol, minyak, makan, minum dan penginapan, beliau amat terkejut sekali. Saya berkata mengapa perlu menginap di hotel berbintang sedangkan beliau seorang dan chalet dan motel memang telah sedia ada untuk "budget traveller"?.
 
Beliau berkata mungkin beliau tergoda dan telah disogokkan dengan iklan pelancongan yang memaparkan melancong itu dalam keadaan mewah, hotel lima bintang dan makanan yang mahal di hotel dan restoran besar. Beliau adalah satu contoh orang muda yang takut melancong kerana beranggapan melancong itu suatu perbelanjaan yang mahal dan mewah.
 
Satu keluarga sahabat saya tidak pernah langsung melancong bersama-sama keluarga kerana tidak mampu. Beliau berkata bagaimana hendak bercuti untuk membawa kesemua anaknya yang seramai lima orang kerana tiada baju, kasut dan beg baru. Malah katanya isterinya segan untuk pergi bercuti kerana semua bajunya sudah lama dan tiada baju fesyen baru.
 
Siapakah yang menanamkan mentaliti sebegini ke dalam keluarga ini?. Apabila saya bertanya apa rasionalnya jika hendak melancong mesti berbaju dan beg baru?. Jawabnya nanti segan orang pandang dia sekeluarga tiada kelas dan nanti malu di tempat orang jika memakai baju lama.
 
Itulah dua contoh rakan-rakan saya yang sehingga kini masih beranggapan melancong walaupun di dalam negeri adalah suatu yang memerlukan perbelanjaan yang besar. Mentaliti dan sikap mereka amat tebal dengan anggapan melancong itu suatu perkara kemewahan dan hanya orang kaya sahaja yang boleh melakukannya. Memang sukar dipercayai tetapi inilah hakikat sebahagian dari masyarakat kita yang masih "takut' untuk melancong.
 
Orang Melayu terutamanya perlulah mengikiskan tanggapan bahawa melancong itu suatu yang tidak berfaedah dan membazir. Tiada ada penekanan terhadap melancong itu suatu aktiviti menambah ilmu pengetahuan, mengembangkan minda, merehatkan fikiran dan merapatkan sayang antara keluarga. Masih ada remaja di Kuala Lumpur yang datang ke tempat saya dan bertanya mengapa kawasan ini banyak sangat "lalang". Apabila dikatakan pokok "lalang" itu ialah pokok padi, remaja itu terkejut. Rupanya selama ini beliau tidak pernah melihat pokok padi.
 
Promosi dan galakan daripada kerajaan amat perlu untuk mempromosikan pelancongan berbentuk agro, tradisional dan homestay kerana pelancongan sebegini tidak memerlukan perbelanjaan yang besar. Masih ramai di antara kita yang tidak pernah mengalami kehidupan sebenar di kampung dan melihat sendiri hasil pertanian dan komoditi seperti padi, getah dan kelapa sawit. Masih ramai yang tiada pengalaman makan bersila di tikar mengkuang di wakaf tepi sawah dengan tiupan angin yang mengasyikkan.
 
Ini kerana bagi orang bandar, melancong bermakna pergi ke tepi pantai, kawasan bukit atau pulau untuk beristirehat dan bercuti. Bagi yang di luar bandar pula apabila di sebut melancong akan terbayang Menara Berkembar KLCC ataupun Jambatan Pulau Pinang dan menginap di hotel mewah dan makan di coffee house.
 
Kurangnya usaha dan sokongan kerajaan selain pelabur industri pelancongan yang takut melabur untuk pelancongan berkonsep agro, tradisional dan homestay menyebabkan nilai pelancongan yang tinggi dan berharga ini dilupai begitu sahaja.
 
Tidak ramai yang tahu perkampungan Melayu di daerah Jasin, Melaka antara yang terbersih dan terbaik di negara kita. Walaupun ada  pengusaha tempatan mengusahakan program homestay, namun ianya kurang mendapat sambutan. Sedangkan nilai dan keindahan kampung dan dusun buah-buahan amat memikat sesiapa sahaja yang mengunjunginya.
 
Begitu juga kolam air panas di Trolak, Perak yang sangat terurus dan cantik resortnya tetapi ramai yang masih belum tahu. Mujurlah pihak Felda telah melihat ini sebagai suatu tarikan pelancongan yang berharga. Jika tidak kolam air panas Trolak terabai begitu sahaja. 
 
Semua pihak harus memainkan peranan untuk memajukan industri pelancongan yang berasas dan berkonsep perkampungan, pertanian dan inapan secara tradisional. Pihak bank janganlah memandang rendah potensi industri sebegini dan hanya mengutamakan pelancongan berbentuk mewah sahaja.
 
Jika hendak menggalakkan orang tempatan melancong di dalam negeri sendiri, tanggapan,mentaliti dan sikap melancong itu satu kemewahan haruslah dikikis dahulu. Anggaplah pelancongan ini suatu industri yang dimiliki dan boleh disertai oleh semua peringkat rakyat di negara ini. Jangan membeza-beza dan meletakkan garis pemisah yang sangat ketara dalam industri ini.    
 
Tiada gunanya mengagung-agungkan pelancong luar negara sehingga segala apa yang diinginkan harus kita turuti, sedangkan rakyat kita sendiri masih ramai yang belum mengenali negara mereka sendiri.
 


Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/

Sunday, September 10, 2006

Banjir Shah Alam - Skrip lama berulang kembali


(Artikel ini telah disiarkan oleh Buletin Utama TV3 8 malam 10 September 2006 yang lalu dengan nama Zuraidah Amir Hamzah)


Banjir Shah Alam - Skrip lama berulang kembali

Jika bulan depan pilihan raya umum, saya rasa masalah banjir di Shah Alam terutamanya di Seksyen 13, Taman TTDI Jaya dan Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga akan segera diselesaikan. Kerja-kerja pembaikan akan segera dilaksanakan dan mereka akan bekerja 24 jam tanpa henti.

Apakah pihak-pihak yang terbabit perlu diketuk kepalanya baru hendak membuat kerja?. Walaupun banjir berlaku di kawasan yang saya sebutkan tadi, namun kesannya secara keseluruhan adalah semua penduduk Shah Alam. Ini kerana semua jalan keluar dan masuk adalah melalui dan melibatkan kawasan yang dilanda banjir. Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya KESAS, Lebuhraya PLUS, Lebuhraya NKVE, semuanya berakhir dan akan melalui kawasan Batu Tiga.

Amat sedih sekali melihat penduduk Kampung Kebun Bunga yang terpaksa mengharungi banjir di paras dada untuk menyelamatkan barangan berharga. Perlu diingat kampung ini bukannya kamping setinggan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Ianya kampung lama dan asal sebelum wujudnya Shah Alam. Semenjak Shah Alam bernama Sungai Renggam lagi kampung ini sudah wujud dan 100 peratus adalah orang Melayu.

Skrip lama yang tersimpan sebelum ini dikeluarkan semula untuk menjawab pertanyaan wartawan dan penduduk terbabit. Cuma ditukarkan tarikh sahaja. Sehinggakan masyarakat kampung tersebut sudah boleh tahu dan mengagak apakah jawapan daripada jabatan kerajaan dan orang tertentu. Sungguh mudah untuk menangani krisis apabila berlaku.

Mana janji untuk menaikkan dan meninggikan paras jalan lebuh raya oleh PLUS? Mana janji JPS untuk mendalamkan Sungai Damansara? Mana janji MBSA untuk untuk melebar dan meninggikan jalan lama Batu Tiga di depan jalan masuk ke Kampung Kebun Bunga?. Mana janji Kerajaan Negeri Selangor untuk menaikkan taraf jalan Batu Tiga Lama di depan kilang gula? Mana janji Kerajaan Negeri Selangor untuk pampasan banjir pada 26 Februari 2006 yang lalu yang masih tertunggak?. Janji menaik taraf jalan masuk ke kampung pun tidak dilaksanakan lagi.

Yang pasti skrip lama tuding menuding masih berlaku. PLUS berkata tanya Kementerian Kerja Raya. Kementerian Datuk Seri Samy Vellu pula menuding kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kerana JPS dibawah kementerian terbabit dan melebarkan sungai Damansara adalah kerja JPS.

Apakah susah untuk duduk semeja untuk membincangkan masalah yang melanda penduduk yang malang ini?. Apakah apabila kena tegur oleh Pak Lah barulah semuanya menggelabah untuk bekerja dan menunjuk-nunjuk pula siapa lebih hebat bekerja?.

Inilah bukti sistem penyampaian sangat lemah di dalam jabatan kerajaan dan agensi yang berkaitan. Janganlah berbangga dengan angka peruntukan yang berpuluh juta ringgit tetapi tiada kerja dilakukan.

Pihak terbabit janganlah menganggap penduduk Kampung Kebun Bunga sebagai warga kelas kedua Bandaraya Shah Alam. Mereka adalah penduduk asal Shah Alam sebelum wujudnya Shah Alam seperti yang ada sekarang.

Rakyat bertanya susah sangatkah untuk melakukan kerja-kerja mendalamkan sungai dan membina tembok pencegah banjir?. Janganlah mengeluarkan kenyataan yang hanya untuk menyedapkan hati penduduk yang malang itu dan dikaburi dengan bantuan wang ringgit. Bukan itu yang mereka kehendaki. Mereka mahukan tindakan yang segera dan jaminan banjir tidak akan berulang lagi.

Walaupun kita boleh berkata banjir adalah suatu bencana alam semula jadi, namun kelalaian manusia dan ketidak cekapan bekerja juga menjadi punca mengapa banjir terjadi. Akibat kerakusan pembangunan di hulu Sungai Damansara, mangsanya adalah penduduk kampung di hiliran sungai seperti yang terjadi kepada penduduk Kampung Kebun Bunga.

Janji untuk di bina kolam tebatan banjir selepas banjir besar bulan Februari lalu masih tidak nampak lagi projek berkenaan. Walaupun ada dilihat kerja-kerja pengorekan berlaku di Sungai Damansara berhampiran dengan kilang Calsberg dan pasa raya Makro, tetapi ianya hanya membersihkan semak dan lalang yang telah menutupi tebing sungai dan bukannya mendalamkan sungai. (Pihak tuan boleh melawat untuk kepastian).

Sampai bila masalah ini boleh diselesaikan? Inilah pertanyaan yang kerap ditanya oleh penduduk Shah Alam setiap kali banjir berlaku.




Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com

KUBANG PASU PETUNJUK SEBENAR PENDIRIAN AKAR UMBI

KUBANG PASU PETUNJUK SEBENAR PENDIRIAN AKAR UMBI
 
Seluruh negara telahpun mengetahui keputusan pemilihan tujuh perwakilan (G7) dari UMNO Kubang Pasu sebagai wakil bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia akan datang. Walaupun bermacam-macam teori, analisa dan pandangan diberikan oleh pemerhati dan ahli politik, keputusannya adalah muktamad.
 
Mungkin selepas ini akan timbul cerita-cerita sensasi politik yang akan mempertikaikan bagaimana Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh kalah di dalam pemilihan tersebut, namun ini semua adalah lumrah orang politik seperti rumah sudah siap, tetapi pahat masih lagi berbunyi.
 
Tidak hairan juga akan ada tuduhan kononnya wujudnya konspirasi golongan tertentu untuk menggagalkan usaha Tun ke PWTC. Namun hak dan kuasa yang telah ditunjukkan oleh perwakilan di mesyuarat tersebut tidak harus dipertikaikan dan diungkit kembali. Tiada siapapun boleh mempertikaikan hak dan keputusan yang telah dibuat. Apakah mereka tidak percaya kepada sistem demokrasi di dalam UMNO?. 
 
Sebelum pemilihan Sabtu yang lalu, berbagai cara dilakukan oleh berbagai pihak untuk memujuk Tun supaya menarik diri dari perebutan tempat G7 tersebut. Namun semua usaha itu menemui kegagalan apabila Tun tetap dengan pendiriannya. Cubaan Datuk Mohd. Johari Baharum, Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, memujuk Tun dengan memainkan peranan seperti anak menasihati bapa juga menemui kegagalan.
 
Kesemuanya mempunyai satu niat yang baik, iaitu inginkan perpaduan dan kestabilan politik UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terus berkekalan. Pada mereka titik tolak pemilihan G7 inilah yang akan menjadi penentu sama ada masalah "bergesel bahu" dua pemimpin ulung orang Melayu ini akan reda atau semakin memuncak.
 
Pada mereka bukannya hendak meyekat hak Tun, tetapi mereka menghormati Tun sebagai negarawan dan bukat "tarafnya" bertanding dengan ahli peringkat bawahan untuk "mendapatkan kerusi" ke Dewan Merdeka nanti.
 
Mereka juga berpendapat masih ada platfom yang lain untuk Tun melakukan "proses penyesuaian" dengan Pak Lah selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO terkini.
 
Namun begitu, UMNO Kubang Pasu masih tetap menghormati Tun dengan meletakkan namanya sebagai calon pertama dalam senarai 15 calon pemilihan tersebut. Walaupun UMNO Kubang Pasu boleh melakukan kedudukan senarai 15 calon itu mengikut undian sesama calon seperti kelaziman yang dilakukan, mereka masih meletakkan keistimewaan sebagai menghormati Tun sebagai negarawan dan tokoh UMNO yang disayangi dan dihormati.
 
Begitulah adat kita orang Melayu. Walaupun berlainan pendapat, namun perasaan hormat tetap wujud kerana tidak mahu dikatakan kacang lupakan kulit atau orang yang tidak tahu mengenang budi. Pada mereka kritikan Tun terhadap Pak Lah adalah bersifat peribadi.
 
Tumpuan pemerhati dan peminat politik ke Kubang Pasu Sabtu lepas sebenarnya untuk melihat satu sejarah dalam politik tanah air di mana seorang negarawan ulung negara bertanding bersama-sama pemimpin dan ahli akar umbi untuk mendapatkan tujuh tempat mewakili bahagian ke PWTC. Walaupun ada pertandingan di bahagian-bahagian lain di seluruh negara, namun pertandingan G7 di Kubang Pasu cukup istimewa.
 
Ini kerana bekas Ketua Bahagiannya, bekas Presiden UMNO dan juga bekas Perdana Menteri bertanding bersama 14 lagi calon untuk meraih undi daripada perwakilan bahagian agar mereka disokong untuk menjadi wakil bahagian. Lebih istimewa anak Tun sendiri pun bertanding bersama bapanya.
 
Kedudukan di nombor sembilan dengan 227 undi atau 48 peratus daripada 472 wakil dari 138 cawangan yang layak hadir dan mengundi, telah memberikan satu isyarat kepada UMNO bahawa pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi memilih perpaduan parti sebagai keutamaan kepada kekuatan UMNO. Mereka menolak unsur-unsur perpecahan dalaman parti yang akhirnya akan melemahkan UMNO.
 
Seolah-olah keputusan di Kubang Pasu adalah mewakili keseluruhan pandangan dan impian ahli UMNO di peringkat akar umbi yang mahukan topik "bergesel bahu" antara Pak Lah dan Tun dapat diselesaikan dengan segera. Kematangan berpolitik perwakilan Kubang Pasu seharusnya dipuji bagi mengelakkan beberapa lagi "kejutan sejarah UMNO" daripada berlaku.
 
Jika Tun menang di pemilihan G7 tersebut, kemungkinan ada pihak tertentu pula akan melobi Perhubungan UMNO Negeri Kedah agar dibenarkan Tun berucap sebagai wakil perhubungan negeri di Perhimpunan Agung UMNO nanti. Itulah yang dikatakan oleh pemerhati yang hadir di Dewan Wawasan, Jitra yang rata-rata bersetuju bahawa "kejutan sejarah UMNO" akan terus berlaku jika Tun menang pemilihan G7.
 
Sekalung tahniah dan pujian harus diberikan kepada 472 wakil yang mengundi kerana telah berjaya menyekat kejutan tersebut yang bakal menular ke Dewan Merdeka, PWTC pula. Sekurang-kurangnya ini dapat meredakan keadaan yang berkocak di hati orang Melayu yang masih sayangkan UMNO dan tidak rela melihat berlakunya lagi perpecahan besar di dalam parti.
 
Sekurang-kurangnya dengan keputusan tersebut, orang UMNO di Kubang Pasu dapat kembali mengerjakan tugas harian mereka dengan perasan yang lega daripada sibuk dan berdebar-debar kerana asyik berpolitik sepanjang masa. Hakikatnya selepas ini orang Melayu bolehlah menumpukan perhatian kepada soal-soal meningkatkan ekonomi keluarga dan menaikkan martabat orang Melayu yang lebih bermaruah. 
 
Saya amat kerdil jika hendak dibandingkan dengan Tun apabila berbicara tentang politik. Namun hati kecil ini tetap ingin bersuara, sama seperti berjuta-juta ahli UMNO dan orang Melayu yang amat kerdil dalam berpolitik. Rata-rata golongan kerdil politik seperti saya ini ingin melihat UMNO stabil, kuat dan masih berpengaruh di dalam memperjuangkan masa depan orang Melayu. Sengketa yang wujud tidak akan selesai sampai bila-bila pun jika tiadanya sikap berkompromi, muafakat dan saling maaf memaafkan antara satu sama lain. Perbincangan dari hati ke hati dan bermuhasabah dengan mengambil yang jernih dan buang yang keruh, nescaya ada hikmahnya.
 
Inilah kesimpulan yang didapati selepas selesai mesyuarat tahunan di Kubang Pasu. Mereka mahukan "bergesel bahu" kedua-dua pemimpin ulung orang Melayu dan negara ini ditangani dengan segera. Jika masih berlanjutan ia akan merugikan orang Melayu sendiri. Yang untung adalah orang yang sememangnya gemar melihat UMNO sering bertelagah sesama sendiri sepanjang masa kerana ada golongan yang akan mengambil kesempatan dan menjadikan ketidakstabilan politik UMNO sebagai agenda mereka. Puak inilah perosak utama di dalam UMNO. Oportunis sebegini perlu ditangani segera kerana mereka banyak "perancangan" di dalam fikiran mereka.Gagal "pelan A", mereka ada "pelan B". Gagal "pelan B", "pelan C" sudah sedia untuk direncanakan.
 
Pucuk pimpinan UMNO perlu bertindak dan mengambil tindakan dengan segera kepada ahli yang menjadi "batu api" ini yang gemar melaga-lagakan pemimpin-pemimpin negara. Jika tidak dibenteras dengan segera, kita bimbang nanti puak "batu api" ini akan merasa selesa dan mereka merasakan kerja mereka itu tidak menyalahi disiplin parti.
 
Harapan golongan akar umbi UMNO di seluruh negara amat tinggi dan menebal untuk melihat isu dua tokoh ini dapat diselesaikan dengan segera. Kubang Pasu sudah memberi isyarat yang sangat jelas yang mewakili sebahagian besar suara ahli parti di seluruh negara.
 
Pucuk pimpinan seharusnya lebih peka dan berusaha bersungguh-sungguh agar kemelut dua pemimpin ulung ini diselesaikan segera dengan memikirkan harapan tinggi menggunung seluruh ahli UMNO dan ketepikanlah pertelagahan pendapat peribadi itu untuk diselesaikan oleh pemimpin yang berkaitan sahaja tanpa melibatkan UMNO dan orang Melayu secara keseluruhannya. 
 
 


Kini dengan simpanan sebanyak 1GB
http://my.mail.yahoo.com/

Thursday, September 07, 2006

SAWAH PADI & SUNSET SEKINCHAN





Kawan lama from Penang ambik gambar ni kat Sekinchan..tak sangka cantik jugak gambar Sekinchan ni..

Wednesday, September 06, 2006

GAMBAR LINA JOY


Ini gambar Lina Joy yang sedang hangat dipasaran pasal kes murtad. Nama sebenar Azlina Jailani asal dari Kg. Kancong Darat, Banting - orang Jawa ni...

HUBUNGAN BAIK WAKIL RAKYAT DAN PENJAWAT AWAM DITAGIH RAKYAT

HUBUNGAN BAIK WAKIL RAKYAT DAN PENJAWAT AWAM DITAGIH RAKYAT
 
Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mula menerajui negara, salah satu pendekatan corak pentadbirannya yang dialu-alukan oleh orang ramai ialah memberi kebebasan kepada wakil rakyat membahaskan apa sahaja yang berkaitan dengan rakyat walaupun pendapat dan perbahasan itu berbentuk kritikan kepada kerajaan.
 
Pendekatan ini telah dimanfaatkan dengan penuh tanggung jawab dan berhemah oleh sebahagian besar wakil rakyat Barisan Nasional. Perkembangan terbaru sebegini terutamanya di Dewan Rakyat telah melonjakkan lagi mutu perbahasan Ahli Parlimen. Lebih menarik lagi untuk tontonan rakyat, kerajaan telah membenarkan siaran perbahasan disiarkan di RTM dan TV3.
 
Keberanian Ahli Parlimen memberikan pandangan yang bernas dan mengkritik untuk kebaikan bersama telah menenggelamkan suara pembangkang di Dewan Rakyat. Sebelum ini wakil pembangkang terkenal dengan kritikan pedas kepada kerajaan, kini peranan tersebut telah diambil oleh penyokong pihak kerajaan sendiri.
 
Rakyat sebenarnya amat berbangga dengan perubahan sebegini. Sekurang-kurangnya ia telah menolak dakyah pembangkang selama ini bahawa wakil rakyat kerajaan sebagai Pak Turut, "Yes Man" ataupun "Rubber Stamp" sahaja.
 
Namun teguran, pandangan, kritikan membina dan pendedahan terhadap segelintir jabatan kerajaan telah menimbulkan suasana konflik dan "perang dingin" antara wakil rakyat dan kakitangan kerajaan terutamanya penjawat awam tertinggi sesuatu jabatan. Mereka telah membuat kenyataan balas dan "serangan individu" kepada wakil rakyat melalui media massa.
 
Kebaikan untuk rakyat untuk menyuarakan masalah mereka melalui wakil mereka di Parlimen seolah-olah dinafikan oleh pihak kerajaan sendiri. Maka timbullah "perang dingin" antara segelintir wakil rakyat dengan jabatan-jabatan tertentu.
 
Di satu pihak yang tidak gemar kepada suara lantang wakil kerajaan di Parlimen, mereka mula mempertikaikan pendekatan baru yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri sendiri. Seolah-olah pandangan sinis pihak ini kepada wakil rakyat telah lupa fungsi wakil rakyat itu sendiri yang mewakili suara dan keluhan rakyat untuk disampaikan dan diperbincangkan di peringkat tertinggi hairaki demokrasi berparlimen yang kita amalkan selama ini.
 
Malah telah timbul jenaka di Parlimen bahawa pihak pembangkang kini menaruh simpati kepada jabatan kerajaan dan pegawainya yang dikritik hebat oleh wakil kerajaan dengan menyebelahi "nasib" yang dialami oleh pegawai kerajaan tersebut. Fenomena yang terbalik sudah berlaku. Malah ada wakil pembangkang yang tolong "cover" jabatan kerajaan yang teruk dikritik oleh penyokong kerajaan.
 
Soal imuniti ahli parlimen juga dibangkitkan dan mula dipersoalkan sehingga timbul cadangan oleh bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk mengkaji dengan Peguam Negara hak dan imuniti wakil rakyat sedangkan perkara itu sudah termaktub di dalam Perlembagaan negara. Tidakkah ini membuang masa dan menambah beban kerja sedangkan penyelesaian boleh dibuat dengan perbincangan kedua-dua belah pihak?.
 
Harapan kita kepada KSN yang baru dilantik amat tinggi agar beliau dapat merapatkan kembali jurang yang telah mula ada di antara kakitangan kerajaan dan wakil rakyat. Rekahan yang wujud perlulah dicantumkan semula demi kepentingan rakyat negara ini secara keseluruhannya.
 
Kedua-dua belah pihak perlulah memahami fungsi, tugas dan tanggungjawab masing-masing. Jika tidak faham disebabkan tidak tahu atau terlupa, perlulah ada penyaluran maklumat untuk memaklumkan dan mengingakan semula seluruh jentera kerajaan tentang peranan masing-masing. Pertelegahan dan pertikaian antara kedua pihak ini sebenarnya akan memburukkan lagi nama kerajaan kerana secara dasarnya kedua pihak ini masih lagi berpayung di bawah sistem kerajaan yang sedia ada yang diterajui oleh BN.
 
Jika penyelesaian tidak ditangani dengan segera, rakyat yang akan sengsara. Kerana asyik bertelagah dan mengadu-domba siapa yang lebih "power", hasilnya rakyat akan kurang kepercayaan terhadap kerajaan dan ini akan memburukkan lagi keadaan apabila tiba musim pilihan raya umum. Mungkin ketika itu sudah terlambat untuk membuat "semak semula" perhubungan rapuh wakil rakyat dan kakitangan kerajaan yang boleh mengakibatkan undi majoriti BN berkurangan.
 
Kedua-dua pihak haruslah bersatu dan bermuafakat di dalam melaksanakan tugas sebagai agen pelaksana Misi Nasional. Jika asyik menuding jari dan berlagu "bangau oh bangau" sesama sendiri, boleh mengakibatkan wawasan dan misi kerajaan akan terbantut kerana sibuk menyelesaikan isu dalaman sahaja.
 
Semua pihak mestilah menanamkan iltizam slogan "Berkhidmat Untuk Negara" itu mestilah dipraktikkan dan bukan setakat tulisan di baris akhir surat rasmi kerajaan. Slogan tersebut seeloknya dihayati dan diamati dengan sehalus-halusnya.
 
Kepada pegawai tinggi kerajaan yang hebat dikritik di Parlimen, anggaplah itu sebagai satu teguran daripada abang kepada adiknya. Teguran sebegitu tidak bermakna wakil rakyat begitu benci kepada penjawat awam. Mereka masing sayang dan memerlukan kakitangan awam. Anggaplah teguran sebegitu sebagai pandangan ikhlas dalam konteks satu keluarga yang memerlukan muafakat kerana muafakat akan membawa berkat.
 
Walaupun teguran dan pendedahan dilakukan oleh ahli parlimen itu "menyakitkan" hati penjawat awam, saya rasa niat wakil rakyat tidak lain dari untuk menambahbaikan sistem dan fungsi jabatan kerajaan itu sendiri. Penjawat awam perlu faham bahawa wakil rakyat akan dinilai oleh rakyat setiap lima tahun sekali. Sememangnya setiap hari rakyat akan membuat urusan dengan pihak kerajaan. Jika tiada kecekapan dan maslah yang timbul, rakyat akan membuat aduan kepada wakil rakyat dan wakil rakyat akan menimbulkan masalah ini di parlimen untuk diselesaikan oleh kementerian yang berkaitan. Inilah rutin dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi oleh wakil rakyat.
 
Penjawat awam juga adalah rakyat biasa dan akan memerlukan bantuan dan sokongan wakil rakyat suatu hari nanti. Begitu juga dengan wakil rakyat yang sememangnya memerlukan sokongan penuh kakitangan kerajaan di semua peringkat untuk memudahkan tugas mereka. Jadi, masing-masing bergantung harap antara satu sama lain. Lebih baiklah bersatu dan bersepadu demi menjalankan tanggungjawab murni untuk berbakti kepada negara, agama dan bangsa.
 
Anggaplah segala teguran, kritikan dan pandangan wakil rakyat itu sebagai asam garam dalam melaksanakan tugas perkhidmaran awam. Mungkin ada yang nipis cuping telinga dan ada juga yang seperti "siapa makan cili dialah yang merasa pedas".
 
Di sinilah kesabaran dan hemah penjawat awam diuji. Jika cepat melatah mungkin akan menimbulkan kemudaratan. Oleh itu gunakanlah pengalaman dan kewarasan fikiran sebelum bertindak. Hiraki dan carta organisasi telahpun ada dan perlulah dipatuhi dan jangan seperti lebih sudu dari kuah apabila tugas anda dibicarakan oleh masyarakat umum.
 
Kepada penjawat awam, tingkatkanlah kredibiliti dan produktiviti di dalam menjalankan tugas agar rakyat terus hargai jasa anda. Kepada wakil rakyat pula, bahaskanlah kepentingan rakyat sebagai agenda utama dan ketepikanlah persoalan kepentingan peribadi semasa berbahas. 
 
 


Kini dengan simpanan sebanyak 1GB
http://my.mail.yahoo.com/

Tuesday, September 05, 2006

OPORTUNIS DALAM PARTI BUKAN PERKARA BARU

OPORTUNIS DALAM PARTI BUKAN PERKARA BARU
 
Kenyataan Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik semasa ucapan Presiden di Persidangan Perwakilan Kebangsaan Tahunan parti Gerakan bukanlah perkara baru dalam arena politik tanah air. Sebagai orang lama dalam politik dan di dalam proses peralihan kuasa kepimpinan tertinggi Gerakan, ucapan Dr. Lim sesungguhnya jujur dan berterus terang berkaitan suasana baru yang melanda parti Gerakan.
 
Sudah berpuluh tahun Gerakan meneraju Pulau Pinang dan sememangnya golongan oportunis dalam Gerakan wujud kerana adanya sikap dan sifat menjadi ahli politik bertujuan untuk mendapatkan sesuatu. Fenomena seperti yang dibangkitkan oleh Dr. Lim ini bukannya suatu perkara baru malah sudah lama wujud. Malah tidak boleh dinafikan golongan oportunis dalam parti telah ada sejak wujudnya mana-mana parti politik sekali pun.
 
Dr. Lim sebenarnya mengingatkan ahli Gerakan akan tidak memberikan tekanan yang keterlaluan kepada anak didiknya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang bakal memimpin Gerakan tahun hadapan. Dengan jawatan Presiden yang bakal disandang dan Ketua Menteri yang sedia ada, Dr. Koh mungkin akan menjadi seperti gula yang amat mudah dan disukai oleh semut yang gemar mengharungi manisan kegemarannya. Sekarang ini pun Dr. Koh memang sudah diharungi oleh semut-semut yang laparkan projek dan jawatan oleh ahli-ahli Gerakan sendiri. Amaran awal Dr. Lim ini sebenarnya akan membantu Dr. Koh untuk mudah menjalankan kerja disamping budaya oportunis dalam parti ini perlu dihindari.
 
Golongan oportunis dalam parti gemar mendesak dan meminta sesuatu untuk kepentingan peribadi. Mereka mengambil peluang sebagai ahli parti untuk meminta projek, tanah, jawatan dan malah upah kerja politik. Lebih dari itu mereka juga akan menggunakan kesempatan yang ada sebagai orang politik untuk meminta bantuan kepada pemimpin yang berjawatan dalam kerajaan untuk mempermudahkan sesuatu urusan seperti permohonan lesen PBT.
 
Sasaran utama puak yang suka mengambil peluang dan kesempatan kerana politik ini ialah wakil rakyat, ahli EXCO kerajaan negeri, menteri besar, ketua menteri, menteri malah Perdana Menteri sendiri. Pada mereka jika permohonan mereka tidak dilayan dan diperolehi, mereka akan bertindak seperti menikam dari belakang, memburukkan karier politik pemimpin tertentu malah ada yang menyimpan dendam.
 
Akibat tidak dilayan kerenah golongan oportunis ini, pemimpin berkenaan akan "dikenakan tindakan" seperti tidak diberi undi semasa pemilihan parti. Malah ada yang sanggup menentang pemimpin yang sedia ada semata-mata kerana permohonan mereka tidak diluluskan.
 
Golongan oportunis inilah yang menggalakkan penggunaan politik wang semasa pemilihan pucuk pimpinan parti. Mereka sanggup menjatuhkan pemimpin tertentu dengan memberikan sogokan wang kepada perwakilan supaya jangan mengundi pemimpin berkenaan. Senario ini telah berlaku di dalam UMNO.
 
Perosak parti ini sebenarnya golongan yang tamak haloba dan mementingkan perniagaan mereka sahaja dari perjuangan dalam politik. Golongan ini menggunakan kelebihan sebagai ahli parti semata-mata untuk tujuan perniagaan. Bagi mereka menjadi ahli parti adalah satu cara untuk meluaskan empayar perniagaan dan meraih sebanyak mungkin kesenangan dan kekayaan.
 
Semasa PAS memerintah Terengganu dahulu, wujud juga golongan orpotunis ini dan mereka menjadi ahli PAS sebaik sahaja PAS memerintah Terengganu. Tujuannya ialah untuk memudahkan mendapat kerja-kerja kontraktor kelas F dan memohon tanah kerajaan negeri untuk menjadi jutawan segera. Tanah yang dipohon jika berjaya bukannya diusahakan tetapi akan dijual kepada pihak ketiga. Apabila PAS kalah, golongan ini akan bergegas untuk keluar dari PAS dan menjadi ahli UMNO. Mereka ini hanya "salin kulit" sahaja, tujuan tetap sama walau siapa pun yang memerintah.
 
Semasa pemimpin itu ada kuasa, mereka menatangnya umpama minyak yang penuh. Bila tiada jawatan dan kuasa, pemimpin itu akan dicemuh. Kehadiran pemimpin baru yang menggantikan yang lama akan segera dikerumuni sedangkan suatu ketika dahulu pemimpin ini ditentang begitu kuat sekali. Mereka sanggup menebalkan muka malah sehingga sanggup menjilat ludah mereka sendiri. Sifat golongan ini sememangnya orang yang tidak tahu malu. Janji mereka mendapat habuan hasil berpolitik.
 
Sifat buruk golongan oportunis ini sangat bahaya. Mereka sanggup membuat ugutan dan gertak politik jika permohonan mereka tidak dilayan. Malah ada yang sanggup berhabis duit semata-mata untuk menang jawatan ketua cawangan dengan tujuan apabila ada jawatan itu, mudah baginya untuk mendekati wakil rakyat dan pemimpin politik yang lain. Apabila sudah ada jawatan, ahli dan aktiviti cawangan diabaikan. Golongan ini akan ke hulu ke hilir menjaja jawatan ketua cawangannya. Apabila berjumpa wakil rakyat, mereka akan menggunakan kapasiti sebagai ketua cawangan untuk meraih projek-projek kelas F untuk kepentingan peribadi. Malah perbekalan pinggan mangkuk dan khemah untuk kariah kampung pun diperolehi.
 
Mungkin di dalam Gerakan, golongan oportunis ini masih baru dan masih ada kesempatan untuk dicegah. Bagi saya, golongan oportunis paling ramai di dalam parti UMNO. Mereka sudah tiada segan silu dan adat sopan lagi. Pernah terjadi di sebuah pejabat wakil rakyat UMNO, seorang ketua pemuda cawangan mengungkitkan jasa dan kerjanya yang telah dibuat untuk parti.Oleh itu katanya, wakil rakyat kena membalas balik dengan memberikan kerja-kerja penyelenggaraan kepada syarikatnya. Jelas tiada keikhlasan dan jujur dalam berpolitik.
 
Pemimpin politik seperti wakil rakyat diharap jangan dilayan golongan seperti ini. Mereka ini adalah ajen perosak yang sangat merbahaya. Walaupun ada wakil rakyat yang takut tidak mendapat sokongan dan kerjasama jika tidak dilayan kerenah golongan oportunis ini, hakikatnya kepentingan parti dan rakyat keseluruhan perlu diutamakan.
 
Cerita dan sikap golongan oportunis ini sebenarnya telah lama diketahui umum. Kemungkinan inilah sebab mengapa golongan muda kurang berminat untuk menjadi ahli parti politik. Yang berminatpun akan bertanya "apa yang aku dapat jika menjadi ahli?". Inilah tanda-tanda awal akan wujud golongan orpotunis kerana belum menjadi ahli lagi sudah bertanya apa faedah yang akan diperolehi. Mereka lupa menjadi ahli parti politik adalah suatu aktiviti sukarela demi bangsa, agama dan negara, dan bukannya pertubuhan perniagaan. Jika mereka berminat dalam perniagaan, mengapa tidak menjadi ahli dewan perniagaan yang ada disetiap negeri.
 
Parti politik pula bukan mudah untuk menggenakan tindakan disiplin kepada golongan oportunis ini. Mereka sebenarnya bijak dan licik dalam berpolitik. Berbagai alasan akan diberikan jika kita bertanya mengapa mereka mengambil kesempatan untuk tujuan peribadi dengan mendesak pemimpin untuk memberikan sesuatu kepentingan perniagaan kepada mereka. Bukan mudah untuk menghapuskan orang seperti ini kerana hilang satu, berpuluh akan muncul. Dalam politik suasana ini sudah menjadi lumrah dan kebiasaan.
 
Namun sesuatu perlu dilakukan kerana golongan oportunis ini sanggup menggunakan wang untuk meraih simpati dan mendapatkan sokongan dan kelulusan. Sifat manusia yang mudah tewas dengan sogokan akan menyukarkan usaha membenteras puak oportunis dalam parti.   
 
Amaran Dr. Lim itu sepatutnya menjadi panduan kepada semua parti politik di Malaysia dan bukan terhad kepada Gerakan sahaja. Kita tidak mahu generasi yang mendatang sudah tiada parti politik yang boleh membela mereka kerana semuanya sudah bertukar menjadi parti peluang perniagaan yang membela peniaga lebih dari rakyat jelata.
 


Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/

Saturday, September 02, 2006

PERANAN ISTANA YANG SEMAKIN DILUPAKAN - DIRGAHAYU SULTAN SELANGOR

PERANAN ISTANA YANG SEMAKIN DILUPAKAN - DIRGAHAYU SULTAN SELANGOR.
 
Saya amat tersentuh apabila membaca Utusan Malaysia hari ini (31 Ogos)melalui Keluaran Khas Sempena Hari Kemerdekaan Ke-49. Iklan khas di muka surat lima ada keistimewaannya. Saya bangga kerana daripada berpuluh-puluh iklan ucap tahniah dan kesyukuran hari kemerdekaan, terdapat satu iklan ucapan tahniah daripada Tuanku Sultan Selangor.
 
Tersentuh hati apabila Tuanku sanggup membenarkan potret baginda semuka penuh dengan titah ucapan,"menzahirkan titah tahniah dan kesyukuran kepada seluruh rakyat negeri Selangor Darul Ehsan khususnya dan rakyat Malaysia amnya sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-49. Semoga semua rakyat jelata hidup bersatu padu, aman damai, harmoni dan makmur".
 
Teladan murni yang ditunjukkan oleh Sultan Selangor dengan ucap tahniah dan harapan baginda terhadap semua rakyat, sebenarnya telah mengembalikan nostalgia tentang peranan istana bersama-sama rakyat jelata menuntut kemerdekaan daripada British. Pada pandangan saya iklan ucap tahniah Tuanku sungguh simbolik dan terungkap bahawa peranan istana juga penting dan akan berterusan mengekalkan kemerdekaan negara.
 
Mungkin ramai yang telah lupa jasa dan pegorbanan golongan istana tetutamanya Raja-Raja Melayu berganding bahu dengan pejuang kemerdekaan untuk memerdekakan Tanah Melayu ketika itu. Tanpa sokongan padu daripada golongan istana, mungkin proses mendapatkan kemerdekaan boleh menimbulkan masalah.
 
Peranan Raja-Raja Melayu dan pembesar-pembesar istana bermula sebelum Perang Dunia Kedua apabila mereka mendesak British menubuhkan satu pasukan askar yang terdiri daripada orang Melayu untuk sama-sama mempertahankan dan menjaga keamanan negara.
 
Hasil desakan dan beberapa pertemuan dari wakil istana seperti Undang Luak Rembau dan Panglima Bukit Gantang, British akhirnya bersetuju menubuhkan satu pasukan askar Melayu yang kini dikenali dengan nama Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD). Jasa askar Melayu sangat besar dan terbukti darjah kepahlawanannya semasa Perang Dunia Kedua menentang Jepun dan zaman darurat menentang komunis.
 
Mungkin ramai yang beranggapan golongan istana lebih banyak bertindak sebagai penasihat dan di belakang tabir sahaja. Atau mungkin kerana darjat sebagai raja pemerintah sesebuah negeri, rakyat seolah-olah lupa dan mengenepikan peranan istana di dalam kedaulatan negara.
 
Penulisan, rencana dan buku sejarah amat kurang menonjolkan peranan istana bersama-sama menuntut kemerdekaan. Buku-buku sejarah amat kurang menghuraikan sumbangan golongan istana malah hampir tiada diperingkat sekolah rendah dan menengah. Kebanyakannya hanya beberapa baris perkataan sahaja tanpa diberikan suatu topik khusus dan lengkap tentang peranan golongan istana di dalam sama-sama menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan.
 
Banyak hasil karya sejarah ditulis oleh orang Inggeris yang masih digunapakai sebagai rujukan ilmiah pelajar dan sarjana sejarah. Penulisan orang Inggeris kebanyakannya menyindir sinis golongan istana dan amat malang sekali memberikan gambaran buruk terhadap istana. Inilah psikologi dalam bentuk penulisan orang British untuk merubah pemikiran orang Melayu kerana orang Inggeris tahu orang Melayu amat taat dan setia kepada Raja. Mereka amat takut jika pihak istana akan mengetuai seluruh orang Melayu menentang British. Kesan merosak minda oleh British ini amat berhasil sehingga kini kerana generasi selepas merdeka telah dihidangkan oleh buku-buku sejarah yang diterjemahkan dari karya asal oleh orang Inggeris.
 
Pihak istana juga memainkan peranan yang amat besar dalam penubuhan UMNO di mana bermulanya titik tolak menuntut kemerdekaan negara. Sultan Johor telah membenarkan istana baginda digunakan sebagai tempat pertemuan pemimpin-pemimpin Melayu dari seluruh Tanah Melayu.
 
Pada 26 Mei 1950, Sultan Selangor telah membenarkan istananya digunakan sebagai tempat upacara rasmi pengibaran buat pertama kalinya bendera Malaya yang turut dihadiri oleh semua Raja-Raja Melayu dan pembesar Inggeris. Begitu sinonim perjuangan orang Melayu sebelum merdeka dengan penglibatan secara langsung golongan istana.
 
Kini peranan sebegitu agak sepi dan mungkin kerana konsep pentadbiran negara kita yang berasaskan demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan. Namun rakyat tidak seharusnya lupa akan perjuangan dan sumbangan yang begitu besar oleh pihak istana dan pembesar-pembesarnya.
 
Ada yang berkata apabila Al-Marhum Tunku Abdul Rahman menjadi Presiden UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri yang pertama, itulah petunjuk penghargaan seluruh rakyat terhadap sumbangan dan sokongan kuat pihak istana kerana Al Marhum Tunku sendiri adalah anak raja dari Kedah.
 
Masa berlalu dan pemimpin negara silih berganti. Institusi Raja-Raja Melayu seperti telah dipinggirkan peranannya dalam masyarakat dan negara. Penyelidik, sarjana dan ahli falsafah sejarah perlulah menghasilkan suatu buku yang menyanjung tinggi pengorbanan, sumbangan dan isi hati golongan istana dalam perjuangan kemerdekaan negara.
 
Saya cadangkan kepada kerajaan agar sambutan merdeka ke-50 pada tahun hadapan perlulah dijemput semua Raja-Raja Melayu berhimpun bersama pemimpin negara sebagai mengembalikan kenangan manis 1957 di mana Al Marhum Tunku melaungkan "merdeka" dengan disaksikan oleh barisan Raja-Raja Melayu dibelakangnya.
 
Dirgahayu kepada Tuanku Sultan Selangor kerana iklan ucap tahniah dan kesyukuran kemerdekaan negara itu telah menjadi seperti suatu simbol bahawa golongan istana tidak terkecuali dari mengenal erti kemerdekaan dan mereka juga berperanan besar dalam menuntut kemerdekaan. Mungkin ini akan menjadi suatu titik permulaan jika ada pihak yang terlupa. Mungkin ini sebagai ingatan bahawa Tuanku juga rakyat Malaysia yang menyambut dengan bangga kemerdekaan negara. Ampun Tuanku.


Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/

PENJAJAHAN BENTUK BARU MULA BERTAPAK

Penjajahan Bentuk Baru Mula Bertapak
 
Mungkin kehebatan sambutan kemerdekaan tahun ini sebagai satu latihan dan menyimpan bajet untuk menyambutnya secara besar-besaran pada tahun hadapan. Mungkin sambutan besar-besaran tahun hadapan akan lebih bermakna kerana angka keramat 50 itu memberi satu makna yang cukup besar kepada negara.
 
Kemerdekaan sebenar dalam erti kata merdeka dan bebas untuk mentadbir negara dengan sendiri dan lepas dari kongkongan penjajah sememangnya besar maknanya kepada pejuang kemerdekaan dan warga pasca merdeka. Hakikat sebenar generasi selepas merdeka benar-benar menghayati erti kemerdekaan amat dituntut oleh warga emas yang telah bertungkus lumus dan berjuang berhabis-habisan untuk memerdekakan negara.
 
Namun setelah 49 tahun negara merdeka, kita tidak boleh lalai dan leka bahawa masih ada anasir-anasir luar yang cuba merobek kemerdekaan yang telah kita kecapi. Anasir luar ini akan menggunakan pelbagai cara dan bentuk untuk menjajah semula dalam bentuk yang lebih canggih dan moden.
 
Kepada negara yang terdedah kelemahannya akibat rapuh perpaduan rakyatnya yang asyik bergaduh sesama sendiri walaupun seagama seperti Iraq dan Afghanistan, sangat mudah penjajahan semula dilakukan iaitu dengan cara ketenteraan dan perang saraf kepada rakyat supaya bercakaran sesama sendiri. Walaupun Afghanistan telah merdeka lebih 80 tahun dahulu, namun akibat tiada muafakat dan sifat bertolak-ansur rakyatnya menyebabkan suntikan ancaman luar dengan meracuni satu puak yang bertelegah telah berjaya mencabuli kemerdekaan yang telah dicapai.
 
Apakah negara kita tidak terdedah kepada anasir luar yang ingin menjajah semula negara?. Mungkin dengan kekerasan dan ketenteraan amat sukar untuk menggugat negara kita kerana anasir luar bukan calang-calang perisikan dan informasi yang mereka ada mengenai negara kita. Mereka tahu kekuatan politik yang bersatu-padu dan amalan toleransi antara kaum cukup kuat di negara kita.
 
Mereka telah mengkaji dan melakukan peyelidikan bertahun-tahun lamanya tentang kelemahan dan kesukaan orang Melayu. Mereka tahu orang Melayu suka kepada hiburan, gosip, mengumpat, boros berbelanja, suka dibodek dan lemah dengan wang. Rasuah yang kini sudah diibaratkan sebagai "consultation fees" telah meminggirkan nilai agama dalam diri orang Melayu.
 
Sasaran mereka kepada orang Melayu berbanding dengan kaum lain ialah kerana orang Melayu memegang tampuk kuasa politik dan pentadbiran negara. Pada anasir luar kumpulan inilah yang perlu dilemahkan dahulu.
 
Cara lain ialah penjajahan dalam bentuk merombak minda, gaya hidup dan budaya kita. Penerapan secara halus dan memakan masa ini amat licik dan sukar dikesan. Ini disebabkan penjajahan alaf baru ini bergerak secara senyap dan menggunakan orang tempatan sendiri sebagai "tentera upahannya". Mungkin orang tempatan tersebut tidak meyedari mereka telah diperalatkan oleh anasir luar ini kerana mereka akan bertopengkan perniagaan, agama, sosial dan kebudayaan untuk menjalar masuk meracuni masyarakat kita.
 
Sasaran utamanya ialah golongan muda dan golongan "atas pagar" yang kadang-kadang menyokong kerajaan dan kadang-kadang menentang kerajaan. Lebih ketara ialah suntikan menjajah dalam bentuk budaya dan gaya hidup yang akan meminggirkan budaya timur dan pegangan agama rakyat kita. Telah wujud golongan yang mula mengagung-agungkan apa sahaja yang dihidangkan oleh Barat dan negara luar itu baik dan terpuji.
 
Pernah penulis "terjebak" dengan kumpulan yang "pro Singapura" semasa minum petang di Johor Bahru yang secara terang-terangan mengutuk negara sendiri dan mengagungkan negara jiran. Kumpulan ini asyik mengagungkan Singapura lebih baik dan bagus dari negara kita sedangkan mereka itu adalah rakyat Malaysia sendiri. Mereka berhujah kerajaan Singapura lebih liberal dari segi kebebasan bersuara dan hak rakyat. Tetapi apabila saya katakan demonstrasi amanpun tidak boleh dibuat di Singapura, mereka terdiam. 
 
Anasir luar juga telah menyelinap ke dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan diberikan bantuan kewangan untuk melakukan pelbagai aktiviti. Telah wujud NGO yang mula mempertikaikan hak ketuanan orang Melayu dan Islam sebagai agama rasmi negara. Mereka cerdik berhujah dengan mengatakan mereka ada hak menyuarakan pendapat kerana merekapun rakyat Malaysia. Tetapi apakah rasionalnya berhujah dan menegakkan pendapat mereka mengenai perkara yang telah lama termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang sudah berpuluh tahun kita luhurkan dan telah dirangka oleh wakil semua kaum sebelum perlembagaan itu termaktub?. Mengapa sekarang perlu diungkitkan dan tidakkah kita terfikir siapakah yang menyuruh mereka melakukan sebegini?.
 
Apakah persamaan hak dan kuasa yang mula dibangkitkan sekarang ini bermirip seperti suatu revolusi persamaan hak yang telah berjaya di Barat?. Telah wujud kumpulan NGO yang dikatakan mengamalkan liberalisasi Islam lebih memperjuangkan hak dan kesaksamaan kaum wanita dan memburukkan undang-undang Islam dan para ulama. Mereka dikatakan jaguh dalam memperjuangkan undang-undang keluarga Islam. Mereka mempersendakan hadis dan al-Quran kerana menjatuhkan martabat wanita tetapi NGO mereka menggunakan nama Islam sebagai nama organisasi mereka.
 
Ini belum dikira gejala sosial yang dirasuk oleh Barat kepada rakyat negara kita terutamanya di bandar-bandar besar seperti gejala gay, lesbian, hidup bersama tanpa nikah, "moderation youth" dan penggunaan dadah sintetik. Terdapat beberapa kelab gay dan lesbian di Kuala Lumpur yang diketuai oleh diplomat Barat dan pengikutnya adalah rakyat tempatan.
 
Kumpulan gay dan lesbian sedang giat "merekrut" ahli-ahli baru terutamanya orang Melayu. Kehebatan mereka mencari ahli baru lebih "sistematik dan berjaya" daripada kempen ahli baru UMNO sendiri. Siapakah yang membiayai dan sponsor kegiatan mereka ini?. Sehinggakan mereka ada kelab persendirian dan pusat spa mereka sendiri?. Tidakkah ini akan merosakkan generasi muda negara dan untuk jangka masa panjang akan musnah negara kita jika perbuatan jijik ini tidak dibenteras.
 
"Moderation youth" pula telah lama merasuk ke jiwa anak muda kita sebenarnya. Mereka telah diserapkan dengan nilai-nilai budaya Barat. Pernah seorang remaja berkata agama dan bangsa hanya formaliti seseorang insan sahaja. "One World" adalah pegangan mereka yang telah diracuni melalui laman web remaja. Kebebasan sex adalah suatu keindahan hidup "One World" dan ia seperti rutin harian seperti makan dan minum. Tidakkah kita terkejut dengan "wawasan" baru remaja sekarang?. Malah kumpulan ini bertukar-tukar fikiran dan pengalaman melalui laman blog mereka.
 
Tidak mustahil jika penceroboh yang merasuk ke dalam negara kita ini jika tidak dibendung akan menghancurkan bangsa Malaysia dan musnahlah nilai kemerdekaan negara. Kita tidak mahu menjadi seperti negara Bosnia yang rosak nilai jati diri dan pegangan agama rakyatnya terutamanya generasi muda akibat terlampau bebas dan tiada kawalan nilai hidup bebas dikalangan rakyatnya. Walaupun mereka berugama Islam, tetapi agama sudah menjadi seperti keturunan sahaja yang perlu tulis semasa mengisi borang.
 
Islam di Bosnia suatu ketika dahulu hanya tinggal pada nama individu sahaja. Akibat Islam sebagai keturunan mengakibatkan generasi muda Bosnia hancur kerana tidak tahu langsung apa itu Islam. Jangan ditanyalah soal sembahyang dan rukun Islam yang lain kerana mereka telah dirosakkan oleh pengaruh Barat yang sangat ketara. Selepas kehancuran negaranya barulah kesedaran timbul.
 
Kita tidak mahu negara kita menjadi seperti Bosnia jika tidak dikawal anasir-anasir luar yang mula meracuni rakyat negara kita dan matlamat utamanya ialah merobek dan menjajah semula negara dengan ideologi negatif mereka.  
 
Penjajah alaf baru tahu kelemahan kita terutamanya orang Melayu. Mereka hendak menghancurkan kemerdekaan agama, bangsa, budaya dan nilai murni kita. Kekerasan tidak mungkin dilakukan dan sebagai pilihan suntikan secara halus dan wang ringgit amat berjaya untuk meruntuhkan sebuah negara seperti Malaysia. Jika tidak dibendung awal, ia akan merebak seperti barah dan kita sudah hilang kawalan.    


Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/

TALAM DUA MUKA DALAM UMNO PERLU DIPECAT

TALAM DUA MUKA DALAM UMNO PERLU DIPECAT
 
Hampir tiga suku Bahagian UMNO  di seluruh negara sudah menunaikan tanggungjawab mereka mengadakan mesyuarat agung tahunan. Walaupun tiada pertandingan tahun ini, UMNO dilihat sibuk memberikan penjelasan dan maklumat terperinci menepis tuduhan yang dibuat oleh bekas Presiden mereka.
 
Walaupun pucuk pimpinan tertinggi UMNO menafikan adanya perpecahan di dalam parti, ianya tidak diendahkan oleh ahli-ahlinya di peringkat cawangan dan bahagian untuk membicarakan kemelut dalaman parti. Ada yang berpihak kepada kepimpinan sekarang dan tidak kurang juga masih menjunjung kepimpinan terdahulu.
 
Sememangnya parti UMNO mengamalkan konsep demokrasi di dalam organisasi mereka. Namun masih terdapat suara-suara sumbang yang mempertikaikan keupayaan dan keikhlasan kepimpinan Pak Lah. Bukanlah bermaksud mengenepikan terus sumbangan Tun Mahathir dalam perjuangan UMNO, tetapi seeloknya berilah peluang kepada Presiden sekarang menjalankan tugasnya tanpa diganggu-gugat. Memang jauh bezanya jika hendak dibandingkan sumbangan pemimpin yang baru berkhidmat hampir tiga tahun dengan pemimpin yang sudah menabur khidmat selama 22 tahun. Tidak adil sebenarnya membuat perbandingan begitu.
 
Polemik di antara pemimpin dan bekas pemimpin UMNO ini sebenarnya telah diambil kesempatan yang sangat serius oleh ahli UMNO sendiri yang suka melihat parti bergolak sepanjang masa. Sikap ahli UMNO yang bacul ini perlu tangani dan sepatutnya dipecat dari UMNO. Ahli yang bersikap seperti lalang ini adalah racun perosak yang sangat bahaya kepada parti berbanding dengan parti pembangkang yang sememang sejak azali lagi kerjanya asyik membangkang.
 
Ahli yang tidak setia kepada parti ini gemar mengambil kesempatan apabila berlaku krisis dalaman parti dengan bertujuan untuk menunjuk dan menonjolkan diri mereka sebagai penyelamat parti. Sikap bermuka-muka ini ketara sejak akhir-akhir ini. Mereka sanggup mengiringi pemimpin tertentu yang merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian di mana-mana sahaja sebagai menunjukkan kesetiaan dan taat mereka kepada pemimpin tersebut.
 
Dalam pada itu mereka jugalah yang memecah-belahkan UMNO dengan memburukkan pemimpin tertentu kepada pemimpin yang lain. Cakap lidah bercabang ini sangat merbahaya di dalam parti UMNO. Tujuan golongan seperti ini tidak lain daripada mencari jalan yang paling selamat untuk menyelamatkan jawatan politik mereka sendiri tanpa memikirkan perpaduan parti.
 
Apabila si polan jatuh dalam politik, ia masih ada tongkat yang lain untuk menjamin jawatan dan kuasanya terus berkekalan kerana ia telah mengampu kedua-dua pemimpin tersebut.Yang menghairankan kegiatan golongan ini sudahpun dihidu oleh pemimpin berkenaan namun masih mendapat tempat lagi dalam parti.  
 
Gaya politik yang suka mengampu dan membodek dalam UMNO perlulah dihakiskan jika mahu melihat UMNO kekal gagah dan kuat sepanjang masa. Pengakhir gaya politik sebegini ialah menikam dari belakang pemimpin tertentu dalam apa jua keadaan sekali pun.
 
Walaupun cerita sebegini tidak mendapat tempat di dalam akhbar arus perdana (mungkin belum waktunya), tetapi golongan "pemusnah" parti UMNO ini sudah mula berkeliaran ke seluruh pelusuk negara untuk memasang "pasak" di peringkat cawangan dan bahagian. Strategi dan taktik mereka begitu halus dan licik sekali. Matlamat mereka ialah pemilihan cawangan, bahagian dan majlis tertinggi di tahun hadapan.
 
Malah mereka sudah ada senarai bayangan siapa yang perlu dinaikkan dan siapa pula yang perlu diturunkan. Pencacai politik sebegini sudah lama ada dalam UMNO. Mereka ini bijak berpidato dan tersusun kata-katanya sehinggakan ramai perwakilan yang tergoda.
 
Sambil pemimpin yang mereka "kipas" berucap merasmikan mesyuarat UMNO bahagian, "gurkha" golongan talam dua muka ini mula memasang umpan di kalangan perwakilan dan ketua cawangan memburuk-burukkan pemimpin tertentu. Niat mereka tidak lain semata-mata untuk menjatuhkan maruah pemimpin tertentu dan klimaks penentuannya di tahun hadapan.
 
Sikap ahli UMNO sebegini perlulah dihapuskan segera. Mentaliti ahli seperti inilah yang akan menjatuhkan UMNO. Golongan ini sebenarnya masih tidak serik dengan peristiwa tahun 1987 dan 1998 dahulu. Malah ada yang berkata memecah-belahkan UMNO adalah "periuk nasi" mereka kerana mereka ini boleh mendapat "upah" politik dari kedua-dua belah pihak yang bertelagah. Seolah-olah sudah menjadi mata pencarian tetap mereka dalam berpolitik.
 
Buktinya untuk memilih 7 wakil bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO tahun ini, ramai yang "sukarela" menarik diri dari dicalonkan. Alasan mereka ialah "memberi peluang kepada jawatankuasa bahagian yang belum pernah ke PWTC". Hakikat sebenarnya tahun ini tiada pemilihan Majlis Tertinggi dan "rating" perhimpunan kali ini tidak "berbaloi" kerana tiada "duit minyak" bila balik nanti.
 
Yang menghairankan ahli yang tidak jujur berpolitik sebegini boleh bertahan lama dalam UMNO. Mereka ini jugalah yang mendapat tempat di dalam parti. Yang jujur dan ikhlas dalam perjuangan politik orang Melayu selalunya tidak dapat pergi jauh kerana awal-awal lagi sudah "dicantas" oleh golongan seperti ini.
 
Inilah mungkin satu sebab mengapa ramai golongan muda yang berpelajaran dan berkelulusan profesional tidak berminat untuk menjadi ahli UMNO. Mereka lebih suka melihat perkembangan parti dari luar sahaja. Secara tidak langsung ia merugikan UMNO untuk jangka masa panjang.
 
Mungkin ada yang berkata pandangan saya ini agak keras dan membuka pekung di dada UMNO sendiri. Tetapi inilah yang perlu diketahui oleh orang ramai tentang sikap buruk segelintir ahli UMNO yang berpolitik bukan bertujuan untuk memperkasa dan membela orang Melayu malah menghancurkan orang Melayu dan mempunyai agenda peribadi tersendiri.
 
 


Kini dengan simpanan sebanyak 1GB
http://my.mail.yahoo.com/

KHAIRY PERLU KURANG BERCAKAP

E-mail dari Raja Y.Mustafa Seremban. (Ketua rombongan Khairy semasa meminang anak Pak Lah, Nori pada tahun 2002)
 
  Suara dan kehebatan Khairy Jamaluddin terserlah kebelakangan ini. Pada dasarnya kita memang mengalu-alukan penyertaan Khairy ke gelanggang politik. Sebenarnya Khairy adalah antara insan yang paling bertuah kerana dapat mencapai kemuncak dengan begitu cepat. Walaupun ada cakap-cakap yang berkata penyertaan Khairy ke dalam Pemuda UMNO pada tahun 2004 adalah kerana kalibernya dan bukan atas tiket menantu Perdana Menteri, pada saya itu semua adalah cakap berlapik orang politik yang tidak mahu menyinggung perasaan ketuanya.
   Kebelakangan ini kehebatan anak muda Rembau ini semakin menyerlah. Setelah menang tanpa bertanding Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, beliau aktif mempromosikan pasukan bola sepak My Team yang berkesudahan menimbulkan kontroversi.
   Kemudian penglibatan beliau secara mendadak ke dunia perniagaan apabila ditawarkan saham dan diberi pula pinjaman wang oleh si penjual saham sebuah syarikat yang berprofail tinggi di kalangan ahli korporat negara, juga berakhir dengan masalah di mana beliau terpaksa menanggung kerugian akibat dari penjualan semula saham yang dimiliki.
   Apabila beliau berkawan baik dengan Jason Lo(seorang artis) beliau mula berkenalan dan bersahabat pula dengan rakan-rakan artis. Juga menimbulkan gosip kerana beliau sendiri yang mendedahkan diri dengan gosip. Cerita gosip Khairy dengan Maya Karin sebenarnya telah lama reda dari bualan orang artis dan politik sebenarnya. Entah macam mana secara tiba-tiba beliau sendiri mengungkitkan hubungan beliau dengan Maya Karin sedangkan orang ramai sudah mula lupa cerita tersebut. Sekali lagi masalah timbul.
   Apabila diberi peluang membuat "road show" politiknya, dengan bangga beliau berkata pada musim persidangan kali ini beliau akan merasmikan 30 mesyuarat Pemuda UMNO bahagian-bahagian di seluruh negara. Platform ini beliau gunakan untuk menjawab dan menangkis serangan Tun Mahathir terhadap beliau. Tetapi beliau lupa bahawa beliau berdebat dengan seorang negarawan yang tinggi falsafah politiknya. Akibatnya terduduk diam Khairy kerana kurang strategi dan pengalaman berpolitik.
   Tukar lagi stategi kali ini dengan mengungkitkan perpaduan dalam BN dengan orang Cina akan mengambil kesempatan akibat masalah dalaman UMNO. Persoalan utamanya siapakah yang memberi masalah kepada UMNO sekarang ini?. Sekali lagi beliau gagal untuk mendapatkan sokongan. Akibatnya tidak tentu pasal Ketua Pemuda UMNO pula yang tolong menjawab bagi pihak Khairy.
   Yang tebaru serangan balas MCA semasa perhimpunan agung parti itu jelas hebat kerana hampir semua pembahas usul semasa persidangan Pemuda MCA mengecam Khairy. Sekali lagi beliau gagal untuk berbaik-baik dengan rakan komponen BN.
   Sebagai seorang veteran dalam UMNO dan Khairy saya anggap seperti anak, saya nasihatkan beliau agar berehat sebentar dalam politik untuk meredakan keadaan. Saya sudah 33 tahun menjadi ahli UMNO dan baru kali ini saya melihat seorang anak muda yang berjiwa besar, tetapi gagal dalam gelanggang politik kerana kurang pengalaman.
   Walaupun Khairy mempunyai back up yang sangat kuat iaitu sebagai menantu kepada Presiden UMNO, tetapi perlu diingat itu bukan batu loncatan untuk mencapai cita-cita besar dalam politik.
   Serang balas Pemuda MCA sebenarnya satu semboyan yang perlu Khairy fikirkan semasak-masaknya. Sebenarnya kritikan dan cemuhan yang dikeluarkan oleh MCA itu juga terdapat dikalangan ahli UMNO sendiri cuma tidak kesampaian untuk disampaikan kerana mengenangkan status anda sebagai menantu kepada Perdana Menteri. Ahli UMNO masih berpegang pada adap sopan berpolitik dan tidak sesekali mengkhianati pemimpin. Mereka sebenarnya membayangkan Pak Lah dibelakang Khairy yang menyebabkan kritikan kepada Khairy disejukkan sementara waktu.
   Akan tetapi orang Melayu juga terkenal dengan sifat pantang dicabar. Kesabaran seseorang itu pula ada hadnya dan sampai satu ketika akan memuncak letupannya bila sampai waktunya.
   Dalam menikmati dan diulit kedudukan sekuat ini, Khairy sebenarnya telah menonjolkan kepada umum bahawa beliau amat cetek pengalaman dalam berpolitik. Sanjungan dan penghargaan yang diberikan kepada anda sekarang ini boleh dipertikaikan sebenarnya. Khairy perlu berfikir secara matang dan terbuka bahawa anda sebenarnya telah mengundang lebih banyak musuh dari kawan sebenarnya.
   Kawan politik disekeliling anda sekarang amat mustahil untuk anda baca niat di hati mereka. Ada yang bertopeng sebagai kawan yang sebenarnya akan menjahanamkan karier politik anda. Yang anda sangka lawan anda itulah sebenarnya yang sayangkan anda kerana mereka memberi nasihat dan komen dengan hati yang ikhlas dan juga berdasarkan pengalaman.
   Jika anda kaji semula penyertaan anda dalam politik nasional pada tahun 2004, ada banyak persoalan yang belum terungkai sehingga kini. Mengapa calon yang lebih berwibawa tiba-tiba memberi laluan mudah kepada anda untuk menang tanpa bertanding? Tidakkah Khairy terfikir mereka itu juga mempunyai cita-cita politik seperti Khairy. Tidakkah juga Khairy terfikir jika tiada lagi Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, bolehkah anda kekal kekudukan politik anda seperti sekarang?. Fikirkanlah.
    Kesimpulannya saya berpendapat buat masa sekarang ini Khairy perlu kurangkan bercakap dan berehat seketika dalam politik. Mungkin agak keterlaluan saya yang sudah tua dalam UMNO ini berkata bahawa masalah Pak Lah sekarang adalah kerana masalah yang dibawa oleh anda. Saya amat mengenali peribadi Pak Lah. Sekarang ini sebenarnya Pak Lah sedang sibuk menyelesaikan masalah yang bukan ditimbulkan oleh beliau. Pantai Holding dan ECM-Libra sudah cukup memeningkan kepala Pak Lah.
    Kepada Khairy, jika anda sayangkan bapa mertua anda, berundurlah dari politik. Sengsara dan beban yang ditanggung oleh Pak Lah adalah ciptaan anda. Saya percaya Pak Lah akan lebih menghormati anda jika anda tidak lagi aktif dalam politik.
 
  


Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/