Saturday, September 23, 2006

KERAJAAN PERLU AMBIL ALIH KILANG GULA

(Artikel ini telah disiarkan di Buletin 1.30 dan Buletin Utama 8 malam TV3 pada 25 September 2006 atas nama Siti Nurazizah)

KERAJAAN PERLU AMBIL ALIH KILANG GULA

Jika kerajaan melalui Khazanah Nasional boleh mengambil alih kepentingan pihak tertentu di dalam Pantai Holding dengan alasan menjamin kepentingan negara kerana syarikat tersebut juga menjalankan perkhidmatan perbekalan sektor perubatan negara mengapa tidak pengambilalihan terhadap kilang gula?

Mungkin pendapat saya ini agak tidak relevan. Tetapi untuk menjamin bekalan gula di pasaran yang masih tidak di jual oleh peruncit kerana tiada bekalan, eloklah kerajaan mengambil suatu tindakan yang drastik untuk mententeramkan kegelisahan masyarakat lebih-lebih lagi beberapa musim perayaan akan menjelang tiba.

Rakyat sebenarnya sudah muak dengan alasan demi alasan, kenyataan akhbar demi kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang sebenarnya beliau sendiri tidak tahu bagaimana untuk mengatasi masalah bekalan gula.

Bermula dengan kesukaran untuk mendapatkan bekalan gula kasar, pengilang dengan bijak mengeluarkan gula halus dengan kapasiti pengeluaran yang tinggi ketika itu dengan tujuan untuk meraih untung berlipat kali ganda dari biasa kerana harga ditentukan oleh kilang dan bukannya oleh kerajaan.

Apabila gula halus dijadikan salah satu item barang kawalan negara, pengilang masih berdolak dalik tentang bekalan dengan mengatakan bekalan gula ke seluruh negara mencukupi. Walhal gula kasar masih dicatu untuk pasaran tempatan kerana permintaan yang tinggi dari negara jiran. Untuk eksport, harga ditetapkan oleh pengilang dan bukannya oleh kerajaan.

Beberapa persoalan timbul di fikiran rakyat jelata. Apakah menteri dan kementeriannya melindungi dan menjaga kepentingan pengilang atau menjaga hal ehwal rakyat sebagai pengguna?. Mengapa kerajaan tidak menyekat eksport gula kasar ke negara jiran yang begitu ketara seolah-olah tidak adanya kawalan dan had tertentu?. Apakah agensi kerajaan yang lain dan pihak yang berkuasa tiada kuasa untuk menyekat penjualan gula yang melampau ke negara jiran?.

Untuk maklumat gula sekilo dijual Rupiah 5,300 bersamaan RM2.20 pada harga runcit di Indonesia. Sedangkan harga jualan borong di pelabuhan sekitar RM1.65 sekilo. Bayangkan urusan perdagangan ini boleh meraih 55 sen untung sekilo yang diagihkan antara pengeksport di Malaysia, pengimport di Indonesia, pemborong dan peruncit di negara jiran.

Itulah sebabnya pengilang gula tempatan lebih rela menjual gula ke luar negara kerana harga belian di kilang sahaja sudah jauh lebih menguntungkan dari harga jualan runcit kepada pengguna yang berharga RM1.45. Apakah mereka merasakan tidak bersalah menjalankan kegiatan perniagaan sebegitu sedangkan mereka diberikan subsidi, galakan pekilang dan taraf monopoli kerana kerajaan menjangkakan hasil tindakan kerajaan itu boleh mengawal dan memberi kelegaan kos pengeluaran kepada pekilang gula demi kebaikan rakyat supaya tidak dibebankan dengan harga runcit yang tinggi.

Tidakkah kementerian tahu hal sebegini?. Jika tahu menggapa tidak diambil tindakan kepada pekilang gula?. Apakah kementerian takut dengan boikot dan ugutan pekilang gula yang mendakwa harga gula tidak berubah sejak 10 tahun?. Sedangkan selama 10 tahun itu juga pekilang telah mendapat faedah hasil dari semakan kadar dan insentif subsidi, galakan pekilang dan taraf monopoli yang memihak kepada pekilang.

Kerajaan sepatutnya mengambil tindakan yang drastik untuk "mengajar" kilang-kilang gula ini supaya lebih berhati perut dan lebih bersemangat patiotik. Apakah susah sangat untuk mengawal hanya 4 buah kilang gula di seluruh negara?.

Dicadangkan kepada kerajaan untuk mengambil tindakan seperti berikut :-

1. Mengambil alih kesemua syarikat kilang gula untuk menjadikan kerajaan sebagai pemegang saham utama dan berhak memegang kuasa eksekutif.

2. Mewujudkan kilang gula milik penuh kerajaan. Masalah bekalan tidak menjadi masalah kerana terdapat beberapa ladang tebu di Perlis dan Kedah adalah milik agensi kerajaan dan syarikat milik kerajaan negeri.

3. Mengenakan tindakan undang-undang kepada kilang gula kerana lebih mementingkan keuntungan jualan ke luar negara dan "menganak tirikan" pengguna tempatan.

4. Mengenakan tindakan yang tegas dan keras kepada pemborong yang menyorok gula dengan harapan harga gula akan naik satu masa nanti. Mereka tahu barang keperluan ini boleh bertahan lama walaupun di simpan kerana tidak mudah busuk.

Sekali sekala kerajaan kena "tunjukkan taring" dan keluarkan arahan ala "kuku besi" sebagai pengajaran kepada pekilang gula yang sehingga kini masih bersikap membisu walaupun telah beberapa kali ditegur dan didesak oleh kementerian dan persatuan pengguna supaya memberikan kenyataan rasmi kepada rakyat mengapa sukar mendapatkan gula di pasaran sekarang.

Jaminan menteri berkenaan diibaratkan seperti melepaskan batuk ditangga sahaja kerana hakikatnya gula masih kurang di pasaran. Malah di beberapa tempat seperti Tampin, Alor Gajah, Senawang dan Mantin masih lagi berlaku senario papan tanda "gula habis" ditampal di kedai runcit.

Harapan rakyat, kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih drastik untuk melindungi berpuluh juta pengguna gula diseluruh negara daripada melindungi kepentingan 4 buah kilang gula sahaja. Tentulah tidak adil untuk memberi keutamaan kepada minoriti sedangkan majoriti tersepit begitu sahaja.







No comments: