Apabila Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat pada 28 September lalu menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti kepada 18 bulan daripada September 2007, iaitu selewat-lewatnya Mac 2009, ia sebenarnya memberikan banyak kelegaan kepada pemimpin UMNO sama ada di peringkat cawangan, bahagian mahupun peringkat kepimpinan tertinggi.
Lega dalam erti kata masih banyak lagi kerja-kerja pentadbiran yang perlu diselesaikan kerana sebelum ini terlampau sibuk berpolitik. Paling melegakan ialah ahli UMNO yang bergelar Yang Berhormat kerana mereka masih mempunyai masa yang secukupnya untuk membuktikan khidmat mereka kepada masyarakat tidak menimbulkan masalah dan komplen daripada rakyat. Sekurang-kurangnya mereka sudah boleh merencanakan aktiviti dan tugas sebagai wakil rakyat yang "terbengkalai" sebelum ini dan mempunyai masa sekurang-kurangnya setahun enam bulan lagi untuk berbakti kepada masyarakat disamping harapan untuk dicalonkan semula.
Akan tetapi MT UMNO sebenarnya ingin memperkemaskan parti dengan sebaik yang mungkin menjelang pilihan raya umum dan pemilihan pucuk pimpinan parti. Sewajarnyalah kenyataan penangguhan pemilihan parti di buat sekarang sebagai persediaan semua pihak supaya ruang masa yang diberikan betul-betul dimanfaatkan.
Kepada pihak pengurusan parti UMNO, penangguhan ini bukan bermakna mereka mempunyai banyak masa untuk berehat ekoran pemilihan pucuk pimpinan parti dilanjutkan 18 bulan daripada September 2007. Apa yang ketara dilihat sekarang ini ialah kegagalan kempen 'Keluargaku Ahli UMNO' yang dilancarkan pada 21 Januari lalu oleh Presiden UMNO. Kempen tersebut mensasarkan dalam masa enam bulan, UMNO boleh menambah ahli baru berjumlah 320,000 orang iaitu 10 peratus daripada 3.2 juta ahli UMNO.
Namun apabila kempen berakhir pada 30 Jun lalu, hanya 85,296 ahli baru berjaya didaftarkan. UMNO perlu memandang serius kegagalan kempen tersebut kerana ia menjejaskan nama parti. Jika sudah menjangka ada masalah untuk mendapatkan ahli baru, lebih baik jangan diwar-warkan melalui pelancaran kempen secara besar-besaran. Asasnya apabila gagal mencapai matlamat, alasan "stereo type" pun muncul. Alasan-alasan lapuk yang sudah terpahat di fikiran mudah sahaja dikeluarkan sebagai petanda kempen tersebut gagal. Alasan seperti orang muda tidak minat politik dan tidak cukup masa berkempen sewajarnya tidak keluar dari mulut pemimpin UMNO. Alasan sebegitu jelas menunjukkan mereka tidak membuat kerja sebenarnya.
Lebih pilu lagi ada bahagian yang "memerap" borang ahli baru yang sepatutnya dihantar ke ibu pejabat parti. Seolah-olah ada saringan dan tapisan pihak tertentu di bahagian yang tidak suka dan mungkin "cemas" jika individu tertentu menjadi ahli UMNO di bahagiannya.
Sewajarnyalah pengurusan dan pentadbiran UMNO memperkasakan semula penambahan ahli baru parti dan juga diserentakkan dengan pendaftaran sebagai pengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Agak mengejutkan apabila Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata, seramai 660,000 ahli UMNO belum mendaftar sebagai pemilih dengan SPR. Dari segi peratusannya 20.6 peratus ahli UMNO yang seramai 3.2 juta orang tidak berdaftar sebagai pengundi. Ini juga satu angka yang besar yang seperti tidak munasabah sebuah parti politik yang memerintah masih "terabai" soal remeh temeh dalam sesuatu organisasi sahsiah. Sepatutnya UMNO yang sudah berusia 60 tahun menjadi parti politik contoh di negara ini.
Masih belum terlambat UMNO menggerakkan seluruh jenteranya untuk mendapatkan sebanyak mungkin ahli baru. Janganlah menetapkan suatu angka kerana kegagalannya nanti akan menjadi bahan ketawa. Ini kerana untuk mendapatkan 320,000 ahli dalam masa 6 bulan pun menemui kesukaran walaupun pelancaran kempennya dibuat secara besar-besaran. Eloklah ukur baju di badan sendiri dalam usaha menambah ahli baru parti.
Sistem pendaftaran ahli baru sepatutnya diubah bersesuaian dengan peredaran masa dan situasi masa kini. Kaedah sekarang ialah seseorang yang mahu menjadi ahli UMNO perlu mencari cawangan mana untuk beliau memohon dan mengisi borang permohonan ahli. Ketua cawangan pula akan menyerahkan borang tersebut ke peringkat bahagian untuk pengesahan dan ulasan. Di sinilah nanti banyak permohonan yang ditolak dengan berbagai alasan. Tujuan untuk menyatukan orang Melayu melalui UMNO gagal di peringkat ini.
Antara alasan penolakan ialah individu tersebut bekas ahli politik pembangkang ataupun "orang luar kawasan". Alasan sebegini tidak masuk akal sebenarnya. Mengapa tidak diberikan alasan yang sebenar-benarnya iaitu "takut kena cabar" semasa pemilihan cawangan atau bahagian?. Inilah yang menyebabkan ramai orang Melayu "tawar hati" untuk menjadi ahli UMNO lebih-lebih lagi orang muda dan golongan profesional. Budaya mencantas sebelum menjadi ahli adalah suatu yang memalukan UMNO dan memperlihatkan adanya politik berkepentingan diri sendiri terutamanya yang berjawatan di peringkat cawangan dan bahagian.
Adalah diharap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang juga Pengerusi Biro Latihan dan Keahlian UMNO melihat senario ini sebagai sesuatu yang perlu dibenteras demi imej parti. Jika ada golongan seperti ini, sampai bila pun UMNO akan gagal untuk mensasarkan 320,000 ahli baru menjelang akhir tahun ini. Kehebatan UMNO akan terserlah jika tiada pilih kasih di dalam menerima orang Melayu sebagai ahli.
Semoga tempoh sebelum pilihan raya umum dan pemilihan parti ini UMNO dapat membuat sesuatu untuk memperkasakan jentera parti disamping mengukuhkan kedudukan akar umbi menjelang pilihan raya akan datang dengan bertambahnya ahli dan mengurangkan jumlah ahli yang masih belum menjadi pengundi. Amat rugi dan pilu rasanya masih ramai ahli UMNO yang masih tidak berdaftar sebagai pemilih dengan SPR.
Mungkin kekuatan dan keselesaan suasana politik sekarang ini tidak menggugat UMNO walaupun 20.6 peratus ahlinya tidak mendaftar sebagai pemilih. Tetapi jika sebaliknya, jangan salahkan orang lain jika kegagalan itu disebabkan kelemahan pentadbiran dan pengurusan UMNO sendiri.
No comments:
Post a Comment