Anggapan Melancong Suatu Kemewahan Perlu Dihakis
Sebut sahaja pelancongan atau melancong, segelintir dari kita akan terbayangkan menaiki kapal terbang melancong ke luar negara. Jika terbayangkan melancong dalam negeri, kebanyakannya akan terbayangkan bercuti di tepi pantai seperti Port Dickson, tempat bersejarah seperti bandaraya Melaka, kawasan pergunungan seperti Genting Highlands dan bandar-bandar besar untuk membeli belah seperti Kuala Lumpur.
Itulah persepsi tentang pelancongan di fikiran sebahagian dari kita. Lebih dangkal pemikiran kita apabila mengaitkan pelancongan dengan sesuatu yang memerlukan belanja yang besar, lambang kemewahan dan untuk orang-orang kaya sahaja.
Tanggapan kuno sebegini sepatutnya sudah tiada lagi di hati kita sekarang ini. Kepada yang masih muda dan bujang, inilah masa yang paling sesuai untuk melancong di dalam negeri sambil melihat dan menimba pengalaman yang lain dari tempat kita sendiri. Kepada yang berkeluarga, eloklah membawa keluarga berjalan-jalan menikmati keindahan negara kita yang masih banyak lagi yang belum dijelajahi.
Pelancongan jimat boleh dilakukan dengan berbagai cara. Pokok pangkalnya diri kita sendiri yang mentafsirkan melancong itu untuk apa dan bagaimana. Ada diantara kita apabila hendak melancong, segala seginya baru. Perlu baju baru, seluar baru malah beg baru. Mengapa harus terjadi sebegini?. Mentalititi kita sudah diterapkan bahawa melancong itu untuk menunjuk-nunjuk kemewahan dan keistimewaan diri yang "ada kelas". Tidakkah ini hipokrit namanya?. Malah menipu diri sendiri. Malukah penampilan diri itu menunjukkan diri kita yang sebenar tanpa tampalan imej orang lain?.
Inilah yang terjadi kepada seorang pemuda yang masih bujang berusia 32 tahun yang tinggal di Bangi, dan paling jauh dia berjalan makan angin ialah ke Ipoh di utara, Melaka di selatan dan Genting Highlands di timur. Sedangkan ia mempunyai kereta sendiri dan bergaji agak selesa sebagai orang bujang. Mengapa hendak menjadi "katak dalam tempurung" diri sedangkan masa yang terluang sangat banyak?.
Alasannya ialah melancong memerlukan perbelanjaan yang besar. Apabila saya berkata beliau boleh melancong sendiri dengan berkereta ke Pulau Pinang selama 3 hari 2 malam dengan dengan hanya tiga ratus ringgit termasuk tol, minyak, makan, minum dan penginapan, beliau amat terkejut sekali. Saya berkata mengapa perlu menginap di hotel berbintang sedangkan beliau seorang dan chalet dan motel memang telah sedia ada untuk "budget traveller"?.
Beliau berkata mungkin beliau tergoda dan telah disogokkan dengan iklan pelancongan yang memaparkan melancong itu dalam keadaan mewah, hotel lima bintang dan makanan yang mahal di hotel dan restoran besar. Beliau adalah satu contoh orang muda yang takut melancong kerana beranggapan melancong itu suatu perbelanjaan yang mahal dan mewah.
Satu keluarga sahabat saya tidak pernah langsung melancong bersama-sama keluarga kerana tidak mampu. Beliau berkata bagaimana hendak bercuti untuk membawa kesemua anaknya yang seramai lima orang kerana tiada baju, kasut dan beg baru. Malah katanya isterinya segan untuk pergi bercuti kerana semua bajunya sudah lama dan tiada baju fesyen baru.
Siapakah yang menanamkan mentaliti sebegini ke dalam keluarga ini?. Apabila saya bertanya apa rasionalnya jika hendak melancong mesti berbaju dan beg baru?. Jawabnya nanti segan orang pandang dia sekeluarga tiada kelas dan nanti malu di tempat orang jika memakai baju lama.
Itulah dua contoh rakan-rakan saya yang sehingga kini masih beranggapan melancong walaupun di dalam negeri adalah suatu yang memerlukan perbelanjaan yang besar. Mentaliti dan sikap mereka amat tebal dengan anggapan melancong itu suatu perkara kemewahan dan hanya orang kaya sahaja yang boleh melakukannya. Memang sukar dipercayai tetapi inilah hakikat sebahagian dari masyarakat kita yang masih "takut' untuk melancong.
Orang Melayu terutamanya perlulah mengikiskan tanggapan bahawa melancong itu suatu yang tidak berfaedah dan membazir. Tiada ada penekanan terhadap melancong itu suatu aktiviti menambah ilmu pengetahuan, mengembangkan minda, merehatkan fikiran dan merapatkan sayang antara keluarga. Masih ada remaja di Kuala Lumpur yang datang ke tempat saya dan bertanya mengapa kawasan ini banyak sangat "lalang". Apabila dikatakan pokok "lalang" itu ialah pokok padi, remaja itu terkejut. Rupanya selama ini beliau tidak pernah melihat pokok padi.
Promosi dan galakan daripada kerajaan amat perlu untuk mempromosikan pelancongan berbentuk agro, tradisional dan homestay kerana pelancongan sebegini tidak memerlukan perbelanjaan yang besar. Masih ramai di antara kita yang tidak pernah mengalami kehidupan sebenar di kampung dan melihat sendiri hasil pertanian dan komoditi seperti padi, getah dan kelapa sawit. Masih ramai yang tiada pengalaman makan bersila di tikar mengkuang di wakaf tepi sawah dengan tiupan angin yang mengasyikkan.
Ini kerana bagi orang bandar, melancong bermakna pergi ke tepi pantai, kawasan bukit atau pulau untuk beristirehat dan bercuti. Bagi yang di luar bandar pula apabila di sebut melancong akan terbayang Menara Berkembar KLCC ataupun Jambatan Pulau Pinang dan menginap di hotel mewah dan makan di coffee house.
Kurangnya usaha dan sokongan kerajaan selain pelabur industri pelancongan yang takut melabur untuk pelancongan berkonsep agro, tradisional dan homestay menyebabkan nilai pelancongan yang tinggi dan berharga ini dilupai begitu sahaja.
Tidak ramai yang tahu perkampungan Melayu di daerah Jasin, Melaka antara yang terbersih dan terbaik di negara kita. Walaupun ada pengusaha tempatan mengusahakan program homestay, namun ianya kurang mendapat sambutan. Sedangkan nilai dan keindahan kampung dan dusun buah-buahan amat memikat sesiapa sahaja yang mengunjunginya.
Begitu juga kolam air panas di Trolak, Perak yang sangat terurus dan cantik resortnya tetapi ramai yang masih belum tahu. Mujurlah pihak Felda telah melihat ini sebagai suatu tarikan pelancongan yang berharga. Jika tidak kolam air panas Trolak terabai begitu sahaja.
Semua pihak harus memainkan peranan untuk memajukan industri pelancongan yang berasas dan berkonsep perkampungan, pertanian dan inapan secara tradisional. Pihak bank janganlah memandang rendah potensi industri sebegini dan hanya mengutamakan pelancongan berbentuk mewah sahaja.
Jika hendak menggalakkan orang tempatan melancong di dalam negeri sendiri, tanggapan,mentaliti dan sikap melancong itu satu kemewahan haruslah dikikis dahulu. Anggaplah pelancongan ini suatu industri yang dimiliki dan boleh disertai oleh semua peringkat rakyat di negara ini. Jangan membeza-beza dan meletakkan garis pemisah yang sangat ketara dalam industri ini.
Tiada gunanya mengagung-agungkan pelancong luar negara sehingga segala apa yang diinginkan harus kita turuti, sedangkan rakyat kita sendiri masih ramai yang belum mengenali negara mereka sendiri.
Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/
No comments:
Post a Comment