(Artikel daripada seorang ibu kepada Menteri Pelajaran..tetapi tiada respond..apakah 3 calit sudah kontrol kerajaan..kerana mereka mendakwa sebagai hulubalang Pak Lah..tapi ramai yang menyalah gunakan aktiviti kumpulan NGO ini)
Apabila akhbar hari ini menyiarkan berita samseng di sekolah seperti kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pelajaran di Jerantut, saya terpanggil untuk memberikan pendapat dan berkongsi pengalaman. Apa yang akan saya perkatakan ini adalah pengalaman saya sendiri dan bukannya orang lain. Anak saya telah diperdaya oleh kumpulan yang menyamar sebagai pertubuhan kebajikan, sosial dan rakan sukan untuk membantu menyelesaikan masalah persekolahan, peribadi dan keluarga. Malah saya sendiri turut diugut dan diganggu oleh kumpulan samseng ini.
Saya mempunyai seorang anak perempuan yang berumur 16 tahun yang pernah bersekolah di SMK Seksyen 7, Shah Alam. Anak remaja kini amat cerdik dan pandai menipu ibu bapa. Kawalan kita yang agak ketat pun boleh dibolosi. Walaupun jarak rumah ke sekolah tidak sampai 500 meter, saya tetap menghantar dan mengambil anak ke sekolah.
Selalunya anak remaja ini akan mengambil kesempatan untuk berpeleseran dengan rakan-rakan semasa aktiviti ko kurikulum di sebelah petang. Mereka akan mendaftar untuk kedatangan ko kurikulum dan akan ponteng bersama rakan-rakan ke tempat lain. Pada pukul 5 atau 6 petang ibu bapa akan mengambil mereka yang sudahpun menunggu di pintu masuk sekolah.
Jarak waktu antara 3 dan 4 jam inilah digunakan oleh anak saya untuk membuat perkara-perkara yang tidak sopan dan di luar disiplin sebagai seorang pelajar. Mereka akan melepak di kedai mamak, kafe siber dan kompleks beli belah semata-mata untuk menghabiskan masa sebelum pulang ke rumah.
Terdapat satu kejadian yang amat mengaibkan saya sekeluarga apabila anak perempuan saya tiada di sekolah pada waktu petang dan tidak balik ke rumah. Saya dan suami amat risau dan kami membuat aduan polis.
Suami saya dan rakan-rakannya dapat menangkap anak saya bersama rakan sekolahnya dan dua orang muda sedang lepak di dalam kereta di Tasik Shah Alam jam 2 pagi. Yang menghairankan dua pemuda tersebut berkata dua remaja tersebut adalah ahli mereka dan dibawah jagaan mereka. Mereka mendakwa mereka ahli PEKIDA dan dua remaja tersebut adalah ahli mereka. Sedangkan mereka tidak tahu bahawa yang membuat serbuan tersebut adalah ayah kepada salah seorang remaja tersebut. Maka berlaku pertengkaran dan pergaduhan kecil. Polis dipanggil untuk menyelesaikan masalah tersebut. Kesemuanya di bawa ke balai polis. Dua pemuda tersebut ditangkap dan didakwa.
Polis mengakui memang terdapat orang muda yang menyamar sebagai ahli PEKIDA yang mendekati pelajar untuk menganggotai kumpulan haram mereka. Mereka akan memperdaya pelajar supaya masuk kumpulan mereka yang digelar "Kumpulan Tiga Calit". Kumpulan ini bertopengkan PEKIDA dan pada awalnya konon ingin membantu masalah remaja, akan tetapi kumpulan ini pula yang merosakkan remaja.
Apabila saya menyoal anak saya, dia mengaku pada mulanya ahli kumpulan ini memang baik. Mereka kerap berkumpul di kedai mamak dan kafe siber. Duit dan kad tambah nilai pra bayar adalah umpan mereka. Saya bernasib baik kerana anak saya masih baru mengenali kumpulan ini. Mengikut cerita anak saya seperti yang disampaikan oleh ahli "Kumpulan Tiga Calit" kepadanya, ada rakan sebaya seperti anak saya telah diberi peluang "pekerjaan" di Kuala Lumpur. Remaja lelaki akan mengikut mereka meronda mencari ahli baru. Mereka juga diajar merokok, cara melakukan seks dan mengambil dadah.
Malah anak saya mendakwa kumpulan ini mendapat naungan daripada polis dan mereka tidak akan ditangkap kerana mereka sahabat polis. Untuk meyakinkan anak saya, mereka telah diperkenalkan dengan apa yang didakwa "polis" itu di pejabat operasi mereka, sebuah rumah teres yang tidak jauh dari sekolah Seksyen 7 Shah Alam. Anak saya diajar cara bersalam dengan memegang kuat tangan sambil jari telunjuk ditekan pada pergelangan tangan. Jika orang yang bersalam itu memberikan gaya yang sama, maka itu adalah "saudara ahli" mereka. Pengenalan "Kumpulan Tiga Calit" ini boleh juga dikenalpasti pada kereta yang mempunyai pelekat warna hijau,kuning dan merah yang melintang.
Tidak habis di situ sahaja, saya sendiri pernah dihalang kereta saya semasa pulang menghantar anak saya sekolah oleh kumpulan ini. Mereka mendakwa mereka ahli PEKIDA dan suami saya telah "mengganggu tugas mereka". Saya amat marah dan memberitahu saya akan melaporkan perkara ini kepada polis. Mereka dengan angkuh berkata "semua polis di Shah Alam adalah rakan mereka". Saya terus memecut kereta ke Balai Polis Seksyen 11 dan membuat laporan.
Hasil kerjasama dan maklumat polis, orang muda yang menahan kereta saya itu adalah bekas polis bantuan BSN dan memangnya dikehendaki kerana memperdaya remaja perempuan dan menyamar sebagai anggota polis. Syabas polis Shah Alam.
Saya berharap sesiapa yang membaca tulisan ini berwaspadalah dengan kumpulan menyamar yang memperdayakan remaja tidak kira lelaki dan perempuan. Mereka akan menyamar sebagai anggota pertubuhan sukarela dan rakan kepada polis. Anak kita yang masih mentah akan cepat terpedaya oleh golongan yang tidak berhati perut ini. Awasilah anak anda dan periksa beg sekolah mereka. Anak saya sendiri telah diberi pelekat Kumpulan Tiga Calit untuk ditampal di beg sekolah. Bagi saya kumpulan samseng ini amat luas dan besar rangkaiannya. Seolah-olah organisasi mereka terurus dan dibiayai oleh pihak-pihak tertentu.
Mereka menyamar sebagai ahli PEKIDA yang setahu saya PEKIDA adalah sebuah pertubuhan kebajikan dan dakwah Islamiah, dan bukannya kumpulan samseng dan perosak anak bangsa. Penyamaran sebegini memalukan seluruh ahli PEKIDA. Untuk makluman ayah saya adalah salah seorang pengasas PEKIDA.
Menangani seorang anak remaja perempuan yang bersekitaran bandar besar amat merunsingkan dan menakutkan. Walaupun kawalan dan jagaan ibu bapa penuh dengan disiplin, namun pergaulan di sekolah dan di luar sekolah kadang-kadang merungsingkan kami.
Saya berpendapat kita tidak boleh menyalahkan pihak sekolah semata-mata apabila anak-anak kita terlibat dengan masalah sosial remaja. Semua pihak harus bertanggung jawab dan bekerjasama. Didikan dan pemantauan ibu bapa mestilah dibuat semaksima yang mungkin. Pengaruh dan muslihat dari rakan sebaya anak-anak kita akan membohongi kita untuk membolehkan mereka bergaul dengan kumpulan samseng dan tidak bermoral.
Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com
No comments:
Post a Comment