TALAM DUA MUKA DALAM UMNO PERLU DIPECAT
Hampir tiga suku Bahagian UMNO di seluruh negara sudah menunaikan tanggungjawab mereka mengadakan mesyuarat agung tahunan. Walaupun tiada pertandingan tahun ini, UMNO dilihat sibuk memberikan penjelasan dan maklumat terperinci menepis tuduhan yang dibuat oleh bekas Presiden mereka.
Walaupun pucuk pimpinan tertinggi UMNO menafikan adanya perpecahan di dalam parti, ianya tidak diendahkan oleh ahli-ahlinya di peringkat cawangan dan bahagian untuk membicarakan kemelut dalaman parti. Ada yang berpihak kepada kepimpinan sekarang dan tidak kurang juga masih menjunjung kepimpinan terdahulu.
Sememangnya parti UMNO mengamalkan konsep demokrasi di dalam organisasi mereka. Namun masih terdapat suara-suara sumbang yang mempertikaikan keupayaan dan keikhlasan kepimpinan Pak Lah. Bukanlah bermaksud mengenepikan terus sumbangan Tun Mahathir dalam perjuangan UMNO, tetapi seeloknya berilah peluang kepada Presiden sekarang menjalankan tugasnya tanpa diganggu-gugat. Memang jauh bezanya jika hendak dibandingkan sumbangan pemimpin yang baru berkhidmat hampir tiga tahun dengan pemimpin yang sudah menabur khidmat selama 22 tahun. Tidak adil sebenarnya membuat perbandingan begitu.
Polemik di antara pemimpin dan bekas pemimpin UMNO ini sebenarnya telah diambil kesempatan yang sangat serius oleh ahli UMNO sendiri yang suka melihat parti bergolak sepanjang masa. Sikap ahli UMNO yang bacul ini perlu tangani dan sepatutnya dipecat dari UMNO. Ahli yang bersikap seperti lalang ini adalah racun perosak yang sangat bahaya kepada parti berbanding dengan parti pembangkang yang sememang sejak azali lagi kerjanya asyik membangkang.
Ahli yang tidak setia kepada parti ini gemar mengambil kesempatan apabila berlaku krisis dalaman parti dengan bertujuan untuk menunjuk dan menonjolkan diri mereka sebagai penyelamat parti. Sikap bermuka-muka ini ketara sejak akhir-akhir ini. Mereka sanggup mengiringi pemimpin tertentu yang merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian di mana-mana sahaja sebagai menunjukkan kesetiaan dan taat mereka kepada pemimpin tersebut.
Dalam pada itu mereka jugalah yang memecah-belahkan UMNO dengan memburukkan pemimpin tertentu kepada pemimpin yang lain. Cakap lidah bercabang ini sangat merbahaya di dalam parti UMNO. Tujuan golongan seperti ini tidak lain daripada mencari jalan yang paling selamat untuk menyelamatkan jawatan politik mereka sendiri tanpa memikirkan perpaduan parti.
Apabila si polan jatuh dalam politik, ia masih ada tongkat yang lain untuk menjamin jawatan dan kuasanya terus berkekalan kerana ia telah mengampu kedua-dua pemimpin tersebut.Yang menghairankan kegiatan golongan ini sudahpun dihidu oleh pemimpin berkenaan namun masih mendapat tempat lagi dalam parti.
Gaya politik yang suka mengampu dan membodek dalam UMNO perlulah dihakiskan jika mahu melihat UMNO kekal gagah dan kuat sepanjang masa. Pengakhir gaya politik sebegini ialah menikam dari belakang pemimpin tertentu dalam apa jua keadaan sekali pun.
Walaupun cerita sebegini tidak mendapat tempat di dalam akhbar arus perdana (mungkin belum waktunya), tetapi golongan "pemusnah" parti UMNO ini sudah mula berkeliaran ke seluruh pelusuk negara untuk memasang "pasak" di peringkat cawangan dan bahagian. Strategi dan taktik mereka begitu halus dan licik sekali. Matlamat mereka ialah pemilihan cawangan, bahagian dan majlis tertinggi di tahun hadapan.
Malah mereka sudah ada senarai bayangan siapa yang perlu dinaikkan dan siapa pula yang perlu diturunkan. Pencacai politik sebegini sudah lama ada dalam UMNO. Mereka ini bijak berpidato dan tersusun kata-katanya sehinggakan ramai perwakilan yang tergoda.
Sambil pemimpin yang mereka "kipas" berucap merasmikan mesyuarat UMNO bahagian, "gurkha" golongan talam dua muka ini mula memasang umpan di kalangan perwakilan dan ketua cawangan memburuk-burukkan pemimpin tertentu. Niat mereka tidak lain semata-mata untuk menjatuhkan maruah pemimpin tertentu dan klimaks penentuannya di tahun hadapan.
Sikap ahli UMNO sebegini perlulah dihapuskan segera. Mentaliti ahli seperti inilah yang akan menjatuhkan UMNO. Golongan ini sebenarnya masih tidak serik dengan peristiwa tahun 1987 dan 1998 dahulu. Malah ada yang berkata memecah-belahkan UMNO adalah "periuk nasi" mereka kerana mereka ini boleh mendapat "upah" politik dari kedua-dua belah pihak yang bertelagah. Seolah-olah sudah menjadi mata pencarian tetap mereka dalam berpolitik.
Buktinya untuk memilih 7 wakil bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO tahun ini, ramai yang "sukarela" menarik diri dari dicalonkan. Alasan mereka ialah "memberi peluang kepada jawatankuasa bahagian yang belum pernah ke PWTC". Hakikat sebenarnya tahun ini tiada pemilihan Majlis Tertinggi dan "rating" perhimpunan kali ini tidak "berbaloi" kerana tiada "duit minyak" bila balik nanti.
Yang menghairankan ahli yang tidak jujur berpolitik sebegini boleh bertahan lama dalam UMNO. Mereka ini jugalah yang mendapat tempat di dalam parti. Yang jujur dan ikhlas dalam perjuangan politik orang Melayu selalunya tidak dapat pergi jauh kerana awal-awal lagi sudah "dicantas" oleh golongan seperti ini.
Inilah mungkin satu sebab mengapa ramai golongan muda yang berpelajaran dan berkelulusan profesional tidak berminat untuk menjadi ahli UMNO. Mereka lebih suka melihat perkembangan parti dari luar sahaja. Secara tidak langsung ia merugikan UMNO untuk jangka masa panjang.
Mungkin ada yang berkata pandangan saya ini agak keras dan membuka pekung di dada UMNO sendiri. Tetapi inilah yang perlu diketahui oleh orang ramai tentang sikap buruk segelintir ahli UMNO yang berpolitik bukan bertujuan untuk memperkasa dan membela orang Melayu malah menghancurkan orang Melayu dan mempunyai agenda peribadi tersendiri.
Kini dengan simpanan sebanyak 1GB
http://my.mail.yahoo.com/
No comments:
Post a Comment