Saturday, September 02, 2006

KHAIRY PERLU KURANG BERCAKAP

E-mail dari Raja Y.Mustafa Seremban. (Ketua rombongan Khairy semasa meminang anak Pak Lah, Nori pada tahun 2002)
 
  Suara dan kehebatan Khairy Jamaluddin terserlah kebelakangan ini. Pada dasarnya kita memang mengalu-alukan penyertaan Khairy ke gelanggang politik. Sebenarnya Khairy adalah antara insan yang paling bertuah kerana dapat mencapai kemuncak dengan begitu cepat. Walaupun ada cakap-cakap yang berkata penyertaan Khairy ke dalam Pemuda UMNO pada tahun 2004 adalah kerana kalibernya dan bukan atas tiket menantu Perdana Menteri, pada saya itu semua adalah cakap berlapik orang politik yang tidak mahu menyinggung perasaan ketuanya.
   Kebelakangan ini kehebatan anak muda Rembau ini semakin menyerlah. Setelah menang tanpa bertanding Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, beliau aktif mempromosikan pasukan bola sepak My Team yang berkesudahan menimbulkan kontroversi.
   Kemudian penglibatan beliau secara mendadak ke dunia perniagaan apabila ditawarkan saham dan diberi pula pinjaman wang oleh si penjual saham sebuah syarikat yang berprofail tinggi di kalangan ahli korporat negara, juga berakhir dengan masalah di mana beliau terpaksa menanggung kerugian akibat dari penjualan semula saham yang dimiliki.
   Apabila beliau berkawan baik dengan Jason Lo(seorang artis) beliau mula berkenalan dan bersahabat pula dengan rakan-rakan artis. Juga menimbulkan gosip kerana beliau sendiri yang mendedahkan diri dengan gosip. Cerita gosip Khairy dengan Maya Karin sebenarnya telah lama reda dari bualan orang artis dan politik sebenarnya. Entah macam mana secara tiba-tiba beliau sendiri mengungkitkan hubungan beliau dengan Maya Karin sedangkan orang ramai sudah mula lupa cerita tersebut. Sekali lagi masalah timbul.
   Apabila diberi peluang membuat "road show" politiknya, dengan bangga beliau berkata pada musim persidangan kali ini beliau akan merasmikan 30 mesyuarat Pemuda UMNO bahagian-bahagian di seluruh negara. Platform ini beliau gunakan untuk menjawab dan menangkis serangan Tun Mahathir terhadap beliau. Tetapi beliau lupa bahawa beliau berdebat dengan seorang negarawan yang tinggi falsafah politiknya. Akibatnya terduduk diam Khairy kerana kurang strategi dan pengalaman berpolitik.
   Tukar lagi stategi kali ini dengan mengungkitkan perpaduan dalam BN dengan orang Cina akan mengambil kesempatan akibat masalah dalaman UMNO. Persoalan utamanya siapakah yang memberi masalah kepada UMNO sekarang ini?. Sekali lagi beliau gagal untuk mendapatkan sokongan. Akibatnya tidak tentu pasal Ketua Pemuda UMNO pula yang tolong menjawab bagi pihak Khairy.
   Yang tebaru serangan balas MCA semasa perhimpunan agung parti itu jelas hebat kerana hampir semua pembahas usul semasa persidangan Pemuda MCA mengecam Khairy. Sekali lagi beliau gagal untuk berbaik-baik dengan rakan komponen BN.
   Sebagai seorang veteran dalam UMNO dan Khairy saya anggap seperti anak, saya nasihatkan beliau agar berehat sebentar dalam politik untuk meredakan keadaan. Saya sudah 33 tahun menjadi ahli UMNO dan baru kali ini saya melihat seorang anak muda yang berjiwa besar, tetapi gagal dalam gelanggang politik kerana kurang pengalaman.
   Walaupun Khairy mempunyai back up yang sangat kuat iaitu sebagai menantu kepada Presiden UMNO, tetapi perlu diingat itu bukan batu loncatan untuk mencapai cita-cita besar dalam politik.
   Serang balas Pemuda MCA sebenarnya satu semboyan yang perlu Khairy fikirkan semasak-masaknya. Sebenarnya kritikan dan cemuhan yang dikeluarkan oleh MCA itu juga terdapat dikalangan ahli UMNO sendiri cuma tidak kesampaian untuk disampaikan kerana mengenangkan status anda sebagai menantu kepada Perdana Menteri. Ahli UMNO masih berpegang pada adap sopan berpolitik dan tidak sesekali mengkhianati pemimpin. Mereka sebenarnya membayangkan Pak Lah dibelakang Khairy yang menyebabkan kritikan kepada Khairy disejukkan sementara waktu.
   Akan tetapi orang Melayu juga terkenal dengan sifat pantang dicabar. Kesabaran seseorang itu pula ada hadnya dan sampai satu ketika akan memuncak letupannya bila sampai waktunya.
   Dalam menikmati dan diulit kedudukan sekuat ini, Khairy sebenarnya telah menonjolkan kepada umum bahawa beliau amat cetek pengalaman dalam berpolitik. Sanjungan dan penghargaan yang diberikan kepada anda sekarang ini boleh dipertikaikan sebenarnya. Khairy perlu berfikir secara matang dan terbuka bahawa anda sebenarnya telah mengundang lebih banyak musuh dari kawan sebenarnya.
   Kawan politik disekeliling anda sekarang amat mustahil untuk anda baca niat di hati mereka. Ada yang bertopeng sebagai kawan yang sebenarnya akan menjahanamkan karier politik anda. Yang anda sangka lawan anda itulah sebenarnya yang sayangkan anda kerana mereka memberi nasihat dan komen dengan hati yang ikhlas dan juga berdasarkan pengalaman.
   Jika anda kaji semula penyertaan anda dalam politik nasional pada tahun 2004, ada banyak persoalan yang belum terungkai sehingga kini. Mengapa calon yang lebih berwibawa tiba-tiba memberi laluan mudah kepada anda untuk menang tanpa bertanding? Tidakkah Khairy terfikir mereka itu juga mempunyai cita-cita politik seperti Khairy. Tidakkah juga Khairy terfikir jika tiada lagi Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, bolehkah anda kekal kekudukan politik anda seperti sekarang?. Fikirkanlah.
    Kesimpulannya saya berpendapat buat masa sekarang ini Khairy perlu kurangkan bercakap dan berehat seketika dalam politik. Mungkin agak keterlaluan saya yang sudah tua dalam UMNO ini berkata bahawa masalah Pak Lah sekarang adalah kerana masalah yang dibawa oleh anda. Saya amat mengenali peribadi Pak Lah. Sekarang ini sebenarnya Pak Lah sedang sibuk menyelesaikan masalah yang bukan ditimbulkan oleh beliau. Pantai Holding dan ECM-Libra sudah cukup memeningkan kepala Pak Lah.
    Kepada Khairy, jika anda sayangkan bapa mertua anda, berundurlah dari politik. Sengsara dan beban yang ditanggung oleh Pak Lah adalah ciptaan anda. Saya percaya Pak Lah akan lebih menghormati anda jika anda tidak lagi aktif dalam politik.
 
  


Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/

No comments: