Monday, September 25, 2006

KUAN YEW BUKAN HERO CINA ASIA TENGGARA

KUAN YEW BUKAN HERO CINA ASIA TENGGARA
 
Apabila Lee Kuan Yew berkata orang Cina di Indonesia dan Malaysia mula dipinggirkan secara sistematik, beliau sebenarnya mengundang padah dan mengembalikan perasaan kebencian orang Melayu di Malaysia khasnya terhadap beliau. Mungkin beliau ingin namanya disebut semula dan sentiasa bermain di bibir orang ramai sebagai jaguh orang Cina di Asia Tenggara sementara menanti nikmat hayat di hujung usia.
 
Mungkin Kuan Yew ingin menguji popularitinya seperti semasa usia mudanya di awal tahun 60-an dan 70-an di mana ketika itu nama Kuan Yew adalah nama yang paling di benci oleh orang Melayu.
 
Namun beliau lupa bahawa Cina di Malaysia dan Indonesia amat berbeza dengan Cina di Singapura. Apakah kerana telah berjaya memerdekakan singapura melalui Malaysia dan kemudian berpisah dan memerintah sendiri sebagai negara bermajoriti orang Cina yang tunggal di Asia Tenggara, maka beliau sebenarnya sejak dulu lagi bercita-cita menjadi jurucakap dan ketua kepada orang Cina di seluruh Asia Tenggara.
 
Tanggapan Kuan Yew itu disebut di dalam buku karya Lynn Pan berjuduk " Son of the Yellow Emperor : The Story of the Overseas Chinese " (1990). Penulis buku tersebut menyatakan Kuan Yew seorang Cina kelahiran Melaka yang menjadi pemerintah Singapura seumur hidup, bercita-cita untuk menjadi hero orang Cina di Asia Tenggara. Ini kerana pada pendapat Kuan Yew tiada seorangpun pemimpin besar bangsa Cina yang sehebat beliau.
 
Mungkin benar tuduhan Kuan Yew orang Cina di Malaysia dan Indonesia mula dipinggirkan secara sistematik. Dengan kata lain orang Cina di Malaysia dan Indonesia seolah ditindas oleh golongan majoriti dan pemerintah negara tersebut.
 
Namun kita juga mesti pandai membaca muslihat kata-kata Kuan Yew ini. Beliau memang terkenal dengan muslihat politik dan cakap yang berbelit-belit sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman lagi. Mungkin muslihatnya mahukan lebih ramai lagi orang Cina Malaysia dan Indonesia menambahkan tabungan di bank-bank yang sedia ada di Singapura dan melabur di bursa sahamnya. Pandangan saya ini mungkin ada logiknya apabila krnyataan Kuan Yew itu di buat semasa persidangan Bank Dunia dan IMF di Singapura baru-baru ini.
 
Syabas patut kita ucapkan kepada pemimpin parti politik kaum Cina termasuk pembangkang di negara kita yang menunjukkan sikap kenegaraan yang tinggi dimana mereka tidak melayan dan mengkritik pula kenyataan Kuan Yew itu. Pendirian mereka sepatutnya kita sanjung kerana mereka juga faham niat Kuan Yew yang sebenarnya iri hati dengan perkembangan ekonomi yang berkembang baik di Malaysia dan Indonesia.
 
Mungkin Kuan Yew boleh meneliti semula satu kajian oleh United State Institute of Peace bertajuk "Minorities at Risk : A Global View of Ethnopolitical Conflicts (1993), telah dijalankan terhadap 200 orang ahli politik di seluruh dunia berkaitan diskriminasi golongan minoriti dalam sektor ekonomi. Penilaian dibuat dengan skala empat mata. Satu mata menunjukkan paling teruk diskriminasi dan empat mata menunjukkan tiada diskriminasi dan perpaduan tinggi.
 
Kajian tersebut menunjukkan orang Cina Malaysia mendapat 4 mata dan Melayu Singapura mendapat 2 mata. Penjelasan untuk orang Cina Malaysia ialah polisi kerajaan yang cemerlang disamping agihan dan peluang ekonomi yang seimbang yang boleh dinikmati oleh semua kaum. Manakala Melayu Singapura pula, tiada amalan perpaduan dan sosial antara kaum dan juga tiada polisi kerajaan untuk membantu golongan minoriti terutamanya peluang ekonomi.
 
Fikirkanlah keistimewaan Cina di bawah negara majoriti Melayu dan bandingkanlah dengan apa yang terjadi kepada Melayu yang menjadi minoriti di negara majoriti Cina seperti di Singapura.
 
Ye Lin-Sheng dalam bukunya " The Chinese Dilemma ", (East West Publising Australia - 2003), memberi pendapat orang Cina Malaysia sememangnya beruntung jika dibandingkan dengan orang Cina di negara lain yang menjadi minoriti di negara tersebut. Mentaliti orang Cina di abad ke 21 di Malaysia amat jauh bezanya dengan semasa peringkat awal penghijrahan orang cina ke Malaya. Penulis buku tersebut juga ada mengatakan bahawa pemimpin Cina di Singapura tidak pernah berterima kasih kepada keluarga Kesultanan Johor-Riau suatu ketika dahulu yang "rela" memberikan penempatan baru kepada orang Cina untuk berniaga di Temasik.
 
Hakikatnya pengaruh dan idealogi Kuan Yew sebenarnya sudahpun berakhir. Beliau sememangnya layak menjadi mentor di negaranya sendiri tetapi bukannya di negara jiran. Provokasi beliau sudah dapat di baca oleh masyarakat yang masih belum lupa sikap kurang ajarnya semasa Singapura berada di dalam Malaysia. Mungkin pemimpin Cina di Singapura boleh beliau "cuci pemikiran"nya tetapi tidak di Malaysia kerana pemimpin kaum Cina di Malaysia lebih matang dan terbuka sifat berpolitik mereka.
 
Jangan cuba bermain api dengan mengemukakan soal kaum sebagai umpan. Rakyat kini lebih matang dan lebih tinggi sikap kenegaraan dan semangat cinta terhadap negara. Suasana sekarang tidak sama semasa era beliau menjadi Perdana Menteri Singapura. Kebimbangan beliau terhadap ekonomi Singapura yang jelas dicabar hebat oleh Indonesia dan Malaysia membuatkan beliau tidak tenteram sebenarnya.
 
Walaupun pedagang dan peniaga besar di Malaysia dan Indonesia kebanyakannya berbangsa Cina, namun mereka tidak mudah diperkotak-katikkan dengan suapan agenda berbentuk provokasi dan penghinaan. Mereka masih berbangga menjadi rakyat Malaysia yang lebih harmoni dan bebas dari Singapura sebenarnya.


Kini dengan simpanan sebanyak 1GB
http://my.mail.yahoo.com/

No comments: