Sunday, September 10, 2006

Banjir Shah Alam - Skrip lama berulang kembali


(Artikel ini telah disiarkan oleh Buletin Utama TV3 8 malam 10 September 2006 yang lalu dengan nama Zuraidah Amir Hamzah)


Banjir Shah Alam - Skrip lama berulang kembali

Jika bulan depan pilihan raya umum, saya rasa masalah banjir di Shah Alam terutamanya di Seksyen 13, Taman TTDI Jaya dan Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga akan segera diselesaikan. Kerja-kerja pembaikan akan segera dilaksanakan dan mereka akan bekerja 24 jam tanpa henti.

Apakah pihak-pihak yang terbabit perlu diketuk kepalanya baru hendak membuat kerja?. Walaupun banjir berlaku di kawasan yang saya sebutkan tadi, namun kesannya secara keseluruhan adalah semua penduduk Shah Alam. Ini kerana semua jalan keluar dan masuk adalah melalui dan melibatkan kawasan yang dilanda banjir. Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya KESAS, Lebuhraya PLUS, Lebuhraya NKVE, semuanya berakhir dan akan melalui kawasan Batu Tiga.

Amat sedih sekali melihat penduduk Kampung Kebun Bunga yang terpaksa mengharungi banjir di paras dada untuk menyelamatkan barangan berharga. Perlu diingat kampung ini bukannya kamping setinggan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Ianya kampung lama dan asal sebelum wujudnya Shah Alam. Semenjak Shah Alam bernama Sungai Renggam lagi kampung ini sudah wujud dan 100 peratus adalah orang Melayu.

Skrip lama yang tersimpan sebelum ini dikeluarkan semula untuk menjawab pertanyaan wartawan dan penduduk terbabit. Cuma ditukarkan tarikh sahaja. Sehinggakan masyarakat kampung tersebut sudah boleh tahu dan mengagak apakah jawapan daripada jabatan kerajaan dan orang tertentu. Sungguh mudah untuk menangani krisis apabila berlaku.

Mana janji untuk menaikkan dan meninggikan paras jalan lebuh raya oleh PLUS? Mana janji JPS untuk mendalamkan Sungai Damansara? Mana janji MBSA untuk untuk melebar dan meninggikan jalan lama Batu Tiga di depan jalan masuk ke Kampung Kebun Bunga?. Mana janji Kerajaan Negeri Selangor untuk menaikkan taraf jalan Batu Tiga Lama di depan kilang gula? Mana janji Kerajaan Negeri Selangor untuk pampasan banjir pada 26 Februari 2006 yang lalu yang masih tertunggak?. Janji menaik taraf jalan masuk ke kampung pun tidak dilaksanakan lagi.

Yang pasti skrip lama tuding menuding masih berlaku. PLUS berkata tanya Kementerian Kerja Raya. Kementerian Datuk Seri Samy Vellu pula menuding kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kerana JPS dibawah kementerian terbabit dan melebarkan sungai Damansara adalah kerja JPS.

Apakah susah untuk duduk semeja untuk membincangkan masalah yang melanda penduduk yang malang ini?. Apakah apabila kena tegur oleh Pak Lah barulah semuanya menggelabah untuk bekerja dan menunjuk-nunjuk pula siapa lebih hebat bekerja?.

Inilah bukti sistem penyampaian sangat lemah di dalam jabatan kerajaan dan agensi yang berkaitan. Janganlah berbangga dengan angka peruntukan yang berpuluh juta ringgit tetapi tiada kerja dilakukan.

Pihak terbabit janganlah menganggap penduduk Kampung Kebun Bunga sebagai warga kelas kedua Bandaraya Shah Alam. Mereka adalah penduduk asal Shah Alam sebelum wujudnya Shah Alam seperti yang ada sekarang.

Rakyat bertanya susah sangatkah untuk melakukan kerja-kerja mendalamkan sungai dan membina tembok pencegah banjir?. Janganlah mengeluarkan kenyataan yang hanya untuk menyedapkan hati penduduk yang malang itu dan dikaburi dengan bantuan wang ringgit. Bukan itu yang mereka kehendaki. Mereka mahukan tindakan yang segera dan jaminan banjir tidak akan berulang lagi.

Walaupun kita boleh berkata banjir adalah suatu bencana alam semula jadi, namun kelalaian manusia dan ketidak cekapan bekerja juga menjadi punca mengapa banjir terjadi. Akibat kerakusan pembangunan di hulu Sungai Damansara, mangsanya adalah penduduk kampung di hiliran sungai seperti yang terjadi kepada penduduk Kampung Kebun Bunga.

Janji untuk di bina kolam tebatan banjir selepas banjir besar bulan Februari lalu masih tidak nampak lagi projek berkenaan. Walaupun ada dilihat kerja-kerja pengorekan berlaku di Sungai Damansara berhampiran dengan kilang Calsberg dan pasa raya Makro, tetapi ianya hanya membersihkan semak dan lalang yang telah menutupi tebing sungai dan bukannya mendalamkan sungai. (Pihak tuan boleh melawat untuk kepastian).

Sampai bila masalah ini boleh diselesaikan? Inilah pertanyaan yang kerap ditanya oleh penduduk Shah Alam setiap kali banjir berlaku.




Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com

No comments: