Saturday, September 02, 2006

PENJAJAHAN BENTUK BARU MULA BERTAPAK

Penjajahan Bentuk Baru Mula Bertapak
 
Mungkin kehebatan sambutan kemerdekaan tahun ini sebagai satu latihan dan menyimpan bajet untuk menyambutnya secara besar-besaran pada tahun hadapan. Mungkin sambutan besar-besaran tahun hadapan akan lebih bermakna kerana angka keramat 50 itu memberi satu makna yang cukup besar kepada negara.
 
Kemerdekaan sebenar dalam erti kata merdeka dan bebas untuk mentadbir negara dengan sendiri dan lepas dari kongkongan penjajah sememangnya besar maknanya kepada pejuang kemerdekaan dan warga pasca merdeka. Hakikat sebenar generasi selepas merdeka benar-benar menghayati erti kemerdekaan amat dituntut oleh warga emas yang telah bertungkus lumus dan berjuang berhabis-habisan untuk memerdekakan negara.
 
Namun setelah 49 tahun negara merdeka, kita tidak boleh lalai dan leka bahawa masih ada anasir-anasir luar yang cuba merobek kemerdekaan yang telah kita kecapi. Anasir luar ini akan menggunakan pelbagai cara dan bentuk untuk menjajah semula dalam bentuk yang lebih canggih dan moden.
 
Kepada negara yang terdedah kelemahannya akibat rapuh perpaduan rakyatnya yang asyik bergaduh sesama sendiri walaupun seagama seperti Iraq dan Afghanistan, sangat mudah penjajahan semula dilakukan iaitu dengan cara ketenteraan dan perang saraf kepada rakyat supaya bercakaran sesama sendiri. Walaupun Afghanistan telah merdeka lebih 80 tahun dahulu, namun akibat tiada muafakat dan sifat bertolak-ansur rakyatnya menyebabkan suntikan ancaman luar dengan meracuni satu puak yang bertelegah telah berjaya mencabuli kemerdekaan yang telah dicapai.
 
Apakah negara kita tidak terdedah kepada anasir luar yang ingin menjajah semula negara?. Mungkin dengan kekerasan dan ketenteraan amat sukar untuk menggugat negara kita kerana anasir luar bukan calang-calang perisikan dan informasi yang mereka ada mengenai negara kita. Mereka tahu kekuatan politik yang bersatu-padu dan amalan toleransi antara kaum cukup kuat di negara kita.
 
Mereka telah mengkaji dan melakukan peyelidikan bertahun-tahun lamanya tentang kelemahan dan kesukaan orang Melayu. Mereka tahu orang Melayu suka kepada hiburan, gosip, mengumpat, boros berbelanja, suka dibodek dan lemah dengan wang. Rasuah yang kini sudah diibaratkan sebagai "consultation fees" telah meminggirkan nilai agama dalam diri orang Melayu.
 
Sasaran mereka kepada orang Melayu berbanding dengan kaum lain ialah kerana orang Melayu memegang tampuk kuasa politik dan pentadbiran negara. Pada anasir luar kumpulan inilah yang perlu dilemahkan dahulu.
 
Cara lain ialah penjajahan dalam bentuk merombak minda, gaya hidup dan budaya kita. Penerapan secara halus dan memakan masa ini amat licik dan sukar dikesan. Ini disebabkan penjajahan alaf baru ini bergerak secara senyap dan menggunakan orang tempatan sendiri sebagai "tentera upahannya". Mungkin orang tempatan tersebut tidak meyedari mereka telah diperalatkan oleh anasir luar ini kerana mereka akan bertopengkan perniagaan, agama, sosial dan kebudayaan untuk menjalar masuk meracuni masyarakat kita.
 
Sasaran utamanya ialah golongan muda dan golongan "atas pagar" yang kadang-kadang menyokong kerajaan dan kadang-kadang menentang kerajaan. Lebih ketara ialah suntikan menjajah dalam bentuk budaya dan gaya hidup yang akan meminggirkan budaya timur dan pegangan agama rakyat kita. Telah wujud golongan yang mula mengagung-agungkan apa sahaja yang dihidangkan oleh Barat dan negara luar itu baik dan terpuji.
 
Pernah penulis "terjebak" dengan kumpulan yang "pro Singapura" semasa minum petang di Johor Bahru yang secara terang-terangan mengutuk negara sendiri dan mengagungkan negara jiran. Kumpulan ini asyik mengagungkan Singapura lebih baik dan bagus dari negara kita sedangkan mereka itu adalah rakyat Malaysia sendiri. Mereka berhujah kerajaan Singapura lebih liberal dari segi kebebasan bersuara dan hak rakyat. Tetapi apabila saya katakan demonstrasi amanpun tidak boleh dibuat di Singapura, mereka terdiam. 
 
Anasir luar juga telah menyelinap ke dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan diberikan bantuan kewangan untuk melakukan pelbagai aktiviti. Telah wujud NGO yang mula mempertikaikan hak ketuanan orang Melayu dan Islam sebagai agama rasmi negara. Mereka cerdik berhujah dengan mengatakan mereka ada hak menyuarakan pendapat kerana merekapun rakyat Malaysia. Tetapi apakah rasionalnya berhujah dan menegakkan pendapat mereka mengenai perkara yang telah lama termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang sudah berpuluh tahun kita luhurkan dan telah dirangka oleh wakil semua kaum sebelum perlembagaan itu termaktub?. Mengapa sekarang perlu diungkitkan dan tidakkah kita terfikir siapakah yang menyuruh mereka melakukan sebegini?.
 
Apakah persamaan hak dan kuasa yang mula dibangkitkan sekarang ini bermirip seperti suatu revolusi persamaan hak yang telah berjaya di Barat?. Telah wujud kumpulan NGO yang dikatakan mengamalkan liberalisasi Islam lebih memperjuangkan hak dan kesaksamaan kaum wanita dan memburukkan undang-undang Islam dan para ulama. Mereka dikatakan jaguh dalam memperjuangkan undang-undang keluarga Islam. Mereka mempersendakan hadis dan al-Quran kerana menjatuhkan martabat wanita tetapi NGO mereka menggunakan nama Islam sebagai nama organisasi mereka.
 
Ini belum dikira gejala sosial yang dirasuk oleh Barat kepada rakyat negara kita terutamanya di bandar-bandar besar seperti gejala gay, lesbian, hidup bersama tanpa nikah, "moderation youth" dan penggunaan dadah sintetik. Terdapat beberapa kelab gay dan lesbian di Kuala Lumpur yang diketuai oleh diplomat Barat dan pengikutnya adalah rakyat tempatan.
 
Kumpulan gay dan lesbian sedang giat "merekrut" ahli-ahli baru terutamanya orang Melayu. Kehebatan mereka mencari ahli baru lebih "sistematik dan berjaya" daripada kempen ahli baru UMNO sendiri. Siapakah yang membiayai dan sponsor kegiatan mereka ini?. Sehinggakan mereka ada kelab persendirian dan pusat spa mereka sendiri?. Tidakkah ini akan merosakkan generasi muda negara dan untuk jangka masa panjang akan musnah negara kita jika perbuatan jijik ini tidak dibenteras.
 
"Moderation youth" pula telah lama merasuk ke jiwa anak muda kita sebenarnya. Mereka telah diserapkan dengan nilai-nilai budaya Barat. Pernah seorang remaja berkata agama dan bangsa hanya formaliti seseorang insan sahaja. "One World" adalah pegangan mereka yang telah diracuni melalui laman web remaja. Kebebasan sex adalah suatu keindahan hidup "One World" dan ia seperti rutin harian seperti makan dan minum. Tidakkah kita terkejut dengan "wawasan" baru remaja sekarang?. Malah kumpulan ini bertukar-tukar fikiran dan pengalaman melalui laman blog mereka.
 
Tidak mustahil jika penceroboh yang merasuk ke dalam negara kita ini jika tidak dibendung akan menghancurkan bangsa Malaysia dan musnahlah nilai kemerdekaan negara. Kita tidak mahu menjadi seperti negara Bosnia yang rosak nilai jati diri dan pegangan agama rakyatnya terutamanya generasi muda akibat terlampau bebas dan tiada kawalan nilai hidup bebas dikalangan rakyatnya. Walaupun mereka berugama Islam, tetapi agama sudah menjadi seperti keturunan sahaja yang perlu tulis semasa mengisi borang.
 
Islam di Bosnia suatu ketika dahulu hanya tinggal pada nama individu sahaja. Akibat Islam sebagai keturunan mengakibatkan generasi muda Bosnia hancur kerana tidak tahu langsung apa itu Islam. Jangan ditanyalah soal sembahyang dan rukun Islam yang lain kerana mereka telah dirosakkan oleh pengaruh Barat yang sangat ketara. Selepas kehancuran negaranya barulah kesedaran timbul.
 
Kita tidak mahu negara kita menjadi seperti Bosnia jika tidak dikawal anasir-anasir luar yang mula meracuni rakyat negara kita dan matlamat utamanya ialah merobek dan menjajah semula negara dengan ideologi negatif mereka.  
 
Penjajah alaf baru tahu kelemahan kita terutamanya orang Melayu. Mereka hendak menghancurkan kemerdekaan agama, bangsa, budaya dan nilai murni kita. Kekerasan tidak mungkin dilakukan dan sebagai pilihan suntikan secara halus dan wang ringgit amat berjaya untuk meruntuhkan sebuah negara seperti Malaysia. Jika tidak dibendung awal, ia akan merebak seperti barah dan kita sudah hilang kawalan.    


Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/

No comments: