PERANAN ISTANA YANG SEMAKIN DILUPAKAN - DIRGAHAYU SULTAN SELANGOR.
Saya amat tersentuh apabila membaca Utusan Malaysia hari ini (31 Ogos)melalui Keluaran Khas Sempena Hari Kemerdekaan Ke-49. Iklan khas di muka surat lima ada keistimewaannya. Saya bangga kerana daripada berpuluh-puluh iklan ucap tahniah dan kesyukuran hari kemerdekaan, terdapat satu iklan ucapan tahniah daripada Tuanku Sultan Selangor.
Tersentuh hati apabila Tuanku sanggup membenarkan potret baginda semuka penuh dengan titah ucapan,"menzahirkan titah tahniah dan kesyukuran kepada seluruh rakyat negeri Selangor Darul Ehsan khususnya dan rakyat Malaysia amnya sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-49. Semoga semua rakyat jelata hidup bersatu padu, aman damai, harmoni dan makmur".
Teladan murni yang ditunjukkan oleh Sultan Selangor dengan ucap tahniah dan harapan baginda terhadap semua rakyat, sebenarnya telah mengembalikan nostalgia tentang peranan istana bersama-sama rakyat jelata menuntut kemerdekaan daripada British. Pada pandangan saya iklan ucap tahniah Tuanku sungguh simbolik dan terungkap bahawa peranan istana juga penting dan akan berterusan mengekalkan kemerdekaan negara.
Mungkin ramai yang telah lupa jasa dan pegorbanan golongan istana tetutamanya Raja-Raja Melayu berganding bahu dengan pejuang kemerdekaan untuk memerdekakan Tanah Melayu ketika itu. Tanpa sokongan padu daripada golongan istana, mungkin proses mendapatkan kemerdekaan boleh menimbulkan masalah.
Peranan Raja-Raja Melayu dan pembesar-pembesar istana bermula sebelum Perang Dunia Kedua apabila mereka mendesak British menubuhkan satu pasukan askar yang terdiri daripada orang Melayu untuk sama-sama mempertahankan dan menjaga keamanan negara.
Hasil desakan dan beberapa pertemuan dari wakil istana seperti Undang Luak Rembau dan Panglima Bukit Gantang, British akhirnya bersetuju menubuhkan satu pasukan askar Melayu yang kini dikenali dengan nama Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD). Jasa askar Melayu sangat besar dan terbukti darjah kepahlawanannya semasa Perang Dunia Kedua menentang Jepun dan zaman darurat menentang komunis.
Mungkin ramai yang beranggapan golongan istana lebih banyak bertindak sebagai penasihat dan di belakang tabir sahaja. Atau mungkin kerana darjat sebagai raja pemerintah sesebuah negeri, rakyat seolah-olah lupa dan mengenepikan peranan istana di dalam kedaulatan negara.
Penulisan, rencana dan buku sejarah amat kurang menonjolkan peranan istana bersama-sama menuntut kemerdekaan. Buku-buku sejarah amat kurang menghuraikan sumbangan golongan istana malah hampir tiada diperingkat sekolah rendah dan menengah. Kebanyakannya hanya beberapa baris perkataan sahaja tanpa diberikan suatu topik khusus dan lengkap tentang peranan golongan istana di dalam sama-sama menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan.
Banyak hasil karya sejarah ditulis oleh orang Inggeris yang masih digunapakai sebagai rujukan ilmiah pelajar dan sarjana sejarah. Penulisan orang Inggeris kebanyakannya menyindir sinis golongan istana dan amat malang sekali memberikan gambaran buruk terhadap istana. Inilah psikologi dalam bentuk penulisan orang British untuk merubah pemikiran orang Melayu kerana orang Inggeris tahu orang Melayu amat taat dan setia kepada Raja. Mereka amat takut jika pihak istana akan mengetuai seluruh orang Melayu menentang British. Kesan merosak minda oleh British ini amat berhasil sehingga kini kerana generasi selepas merdeka telah dihidangkan oleh buku-buku sejarah yang diterjemahkan dari karya asal oleh orang Inggeris.
Pihak istana juga memainkan peranan yang amat besar dalam penubuhan UMNO di mana bermulanya titik tolak menuntut kemerdekaan negara. Sultan Johor telah membenarkan istana baginda digunakan sebagai tempat pertemuan pemimpin-pemimpin Melayu dari seluruh Tanah Melayu.
Pada 26 Mei 1950, Sultan Selangor telah membenarkan istananya digunakan sebagai tempat upacara rasmi pengibaran buat pertama kalinya bendera Malaya yang turut dihadiri oleh semua Raja-Raja Melayu dan pembesar Inggeris. Begitu sinonim perjuangan orang Melayu sebelum merdeka dengan penglibatan secara langsung golongan istana.
Kini peranan sebegitu agak sepi dan mungkin kerana konsep pentadbiran negara kita yang berasaskan demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan. Namun rakyat tidak seharusnya lupa akan perjuangan dan sumbangan yang begitu besar oleh pihak istana dan pembesar-pembesarnya.
Ada yang berkata apabila Al-Marhum Tunku Abdul Rahman menjadi Presiden UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri yang pertama, itulah petunjuk penghargaan seluruh rakyat terhadap sumbangan dan sokongan kuat pihak istana kerana Al Marhum Tunku sendiri adalah anak raja dari Kedah.
Masa berlalu dan pemimpin negara silih berganti. Institusi Raja-Raja Melayu seperti telah dipinggirkan peranannya dalam masyarakat dan negara. Penyelidik, sarjana dan ahli falsafah sejarah perlulah menghasilkan suatu buku yang menyanjung tinggi pengorbanan, sumbangan dan isi hati golongan istana dalam perjuangan kemerdekaan negara.
Saya cadangkan kepada kerajaan agar sambutan merdeka ke-50 pada tahun hadapan perlulah dijemput semua Raja-Raja Melayu berhimpun bersama pemimpin negara sebagai mengembalikan kenangan manis 1957 di mana Al Marhum Tunku melaungkan "merdeka" dengan disaksikan oleh barisan Raja-Raja Melayu dibelakangnya.
Dirgahayu kepada Tuanku Sultan Selangor kerana iklan ucap tahniah dan kesyukuran kemerdekaan negara itu telah menjadi seperti suatu simbol bahawa golongan istana tidak terkecuali dari mengenal erti kemerdekaan dan mereka juga berperanan besar dalam menuntut kemerdekaan. Mungkin ini akan menjadi suatu titik permulaan jika ada pihak yang terlupa. Mungkin ini sebagai ingatan bahawa Tuanku juga rakyat Malaysia yang menyambut dengan bangga kemerdekaan negara. Ampun Tuanku.
Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/
No comments:
Post a Comment