Tuesday, September 05, 2006

OPORTUNIS DALAM PARTI BUKAN PERKARA BARU

OPORTUNIS DALAM PARTI BUKAN PERKARA BARU
 
Kenyataan Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik semasa ucapan Presiden di Persidangan Perwakilan Kebangsaan Tahunan parti Gerakan bukanlah perkara baru dalam arena politik tanah air. Sebagai orang lama dalam politik dan di dalam proses peralihan kuasa kepimpinan tertinggi Gerakan, ucapan Dr. Lim sesungguhnya jujur dan berterus terang berkaitan suasana baru yang melanda parti Gerakan.
 
Sudah berpuluh tahun Gerakan meneraju Pulau Pinang dan sememangnya golongan oportunis dalam Gerakan wujud kerana adanya sikap dan sifat menjadi ahli politik bertujuan untuk mendapatkan sesuatu. Fenomena seperti yang dibangkitkan oleh Dr. Lim ini bukannya suatu perkara baru malah sudah lama wujud. Malah tidak boleh dinafikan golongan oportunis dalam parti telah ada sejak wujudnya mana-mana parti politik sekali pun.
 
Dr. Lim sebenarnya mengingatkan ahli Gerakan akan tidak memberikan tekanan yang keterlaluan kepada anak didiknya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang bakal memimpin Gerakan tahun hadapan. Dengan jawatan Presiden yang bakal disandang dan Ketua Menteri yang sedia ada, Dr. Koh mungkin akan menjadi seperti gula yang amat mudah dan disukai oleh semut yang gemar mengharungi manisan kegemarannya. Sekarang ini pun Dr. Koh memang sudah diharungi oleh semut-semut yang laparkan projek dan jawatan oleh ahli-ahli Gerakan sendiri. Amaran awal Dr. Lim ini sebenarnya akan membantu Dr. Koh untuk mudah menjalankan kerja disamping budaya oportunis dalam parti ini perlu dihindari.
 
Golongan oportunis dalam parti gemar mendesak dan meminta sesuatu untuk kepentingan peribadi. Mereka mengambil peluang sebagai ahli parti untuk meminta projek, tanah, jawatan dan malah upah kerja politik. Lebih dari itu mereka juga akan menggunakan kesempatan yang ada sebagai orang politik untuk meminta bantuan kepada pemimpin yang berjawatan dalam kerajaan untuk mempermudahkan sesuatu urusan seperti permohonan lesen PBT.
 
Sasaran utama puak yang suka mengambil peluang dan kesempatan kerana politik ini ialah wakil rakyat, ahli EXCO kerajaan negeri, menteri besar, ketua menteri, menteri malah Perdana Menteri sendiri. Pada mereka jika permohonan mereka tidak dilayan dan diperolehi, mereka akan bertindak seperti menikam dari belakang, memburukkan karier politik pemimpin tertentu malah ada yang menyimpan dendam.
 
Akibat tidak dilayan kerenah golongan oportunis ini, pemimpin berkenaan akan "dikenakan tindakan" seperti tidak diberi undi semasa pemilihan parti. Malah ada yang sanggup menentang pemimpin yang sedia ada semata-mata kerana permohonan mereka tidak diluluskan.
 
Golongan oportunis inilah yang menggalakkan penggunaan politik wang semasa pemilihan pucuk pimpinan parti. Mereka sanggup menjatuhkan pemimpin tertentu dengan memberikan sogokan wang kepada perwakilan supaya jangan mengundi pemimpin berkenaan. Senario ini telah berlaku di dalam UMNO.
 
Perosak parti ini sebenarnya golongan yang tamak haloba dan mementingkan perniagaan mereka sahaja dari perjuangan dalam politik. Golongan ini menggunakan kelebihan sebagai ahli parti semata-mata untuk tujuan perniagaan. Bagi mereka menjadi ahli parti adalah satu cara untuk meluaskan empayar perniagaan dan meraih sebanyak mungkin kesenangan dan kekayaan.
 
Semasa PAS memerintah Terengganu dahulu, wujud juga golongan orpotunis ini dan mereka menjadi ahli PAS sebaik sahaja PAS memerintah Terengganu. Tujuannya ialah untuk memudahkan mendapat kerja-kerja kontraktor kelas F dan memohon tanah kerajaan negeri untuk menjadi jutawan segera. Tanah yang dipohon jika berjaya bukannya diusahakan tetapi akan dijual kepada pihak ketiga. Apabila PAS kalah, golongan ini akan bergegas untuk keluar dari PAS dan menjadi ahli UMNO. Mereka ini hanya "salin kulit" sahaja, tujuan tetap sama walau siapa pun yang memerintah.
 
Semasa pemimpin itu ada kuasa, mereka menatangnya umpama minyak yang penuh. Bila tiada jawatan dan kuasa, pemimpin itu akan dicemuh. Kehadiran pemimpin baru yang menggantikan yang lama akan segera dikerumuni sedangkan suatu ketika dahulu pemimpin ini ditentang begitu kuat sekali. Mereka sanggup menebalkan muka malah sehingga sanggup menjilat ludah mereka sendiri. Sifat golongan ini sememangnya orang yang tidak tahu malu. Janji mereka mendapat habuan hasil berpolitik.
 
Sifat buruk golongan oportunis ini sangat bahaya. Mereka sanggup membuat ugutan dan gertak politik jika permohonan mereka tidak dilayan. Malah ada yang sanggup berhabis duit semata-mata untuk menang jawatan ketua cawangan dengan tujuan apabila ada jawatan itu, mudah baginya untuk mendekati wakil rakyat dan pemimpin politik yang lain. Apabila sudah ada jawatan, ahli dan aktiviti cawangan diabaikan. Golongan ini akan ke hulu ke hilir menjaja jawatan ketua cawangannya. Apabila berjumpa wakil rakyat, mereka akan menggunakan kapasiti sebagai ketua cawangan untuk meraih projek-projek kelas F untuk kepentingan peribadi. Malah perbekalan pinggan mangkuk dan khemah untuk kariah kampung pun diperolehi.
 
Mungkin di dalam Gerakan, golongan oportunis ini masih baru dan masih ada kesempatan untuk dicegah. Bagi saya, golongan oportunis paling ramai di dalam parti UMNO. Mereka sudah tiada segan silu dan adat sopan lagi. Pernah terjadi di sebuah pejabat wakil rakyat UMNO, seorang ketua pemuda cawangan mengungkitkan jasa dan kerjanya yang telah dibuat untuk parti.Oleh itu katanya, wakil rakyat kena membalas balik dengan memberikan kerja-kerja penyelenggaraan kepada syarikatnya. Jelas tiada keikhlasan dan jujur dalam berpolitik.
 
Pemimpin politik seperti wakil rakyat diharap jangan dilayan golongan seperti ini. Mereka ini adalah ajen perosak yang sangat merbahaya. Walaupun ada wakil rakyat yang takut tidak mendapat sokongan dan kerjasama jika tidak dilayan kerenah golongan oportunis ini, hakikatnya kepentingan parti dan rakyat keseluruhan perlu diutamakan.
 
Cerita dan sikap golongan oportunis ini sebenarnya telah lama diketahui umum. Kemungkinan inilah sebab mengapa golongan muda kurang berminat untuk menjadi ahli parti politik. Yang berminatpun akan bertanya "apa yang aku dapat jika menjadi ahli?". Inilah tanda-tanda awal akan wujud golongan orpotunis kerana belum menjadi ahli lagi sudah bertanya apa faedah yang akan diperolehi. Mereka lupa menjadi ahli parti politik adalah suatu aktiviti sukarela demi bangsa, agama dan negara, dan bukannya pertubuhan perniagaan. Jika mereka berminat dalam perniagaan, mengapa tidak menjadi ahli dewan perniagaan yang ada disetiap negeri.
 
Parti politik pula bukan mudah untuk menggenakan tindakan disiplin kepada golongan oportunis ini. Mereka sebenarnya bijak dan licik dalam berpolitik. Berbagai alasan akan diberikan jika kita bertanya mengapa mereka mengambil kesempatan untuk tujuan peribadi dengan mendesak pemimpin untuk memberikan sesuatu kepentingan perniagaan kepada mereka. Bukan mudah untuk menghapuskan orang seperti ini kerana hilang satu, berpuluh akan muncul. Dalam politik suasana ini sudah menjadi lumrah dan kebiasaan.
 
Namun sesuatu perlu dilakukan kerana golongan oportunis ini sanggup menggunakan wang untuk meraih simpati dan mendapatkan sokongan dan kelulusan. Sifat manusia yang mudah tewas dengan sogokan akan menyukarkan usaha membenteras puak oportunis dalam parti.   
 
Amaran Dr. Lim itu sepatutnya menjadi panduan kepada semua parti politik di Malaysia dan bukan terhad kepada Gerakan sahaja. Kita tidak mahu generasi yang mendatang sudah tiada parti politik yang boleh membela mereka kerana semuanya sudah bertukar menjadi parti peluang perniagaan yang membela peniaga lebih dari rakyat jelata.
 


Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/

No comments: