Tuesday, September 19, 2006

PELANCONGAN MELAKA TIDAK SEIMBANG

PELANCONGAN MELAKA TIDAK SEIMBANG
 
Nama Melaka sememangnya terkenal di seluruh dunia sejak beratus tahun dahulu lagi. Terpahatnya nama Selat Melaka di peta dunia menjadikan Melaka suatu tempat yang sangat terkenal sehinggakan menutupi nama Malaysia di kalangan pelancong asing.
 
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2007, pujian seharusnya diberikan kepada kerajaan negeri Melaka kerana telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menarik pelabur di dalam industri pelancongan ke Melaka. Beberapa hotel baru bertaraf lima bintang sedang dibina di Bandaraya Melaka selain beberapa kemudahan dan tarikan pelancongan yang juga sedang pesat di bina seperti Melaka Mall, Dataran Pahlawan dan Masjid Selat Melaka.
 
Usaha murni kerajaan negeri dan pelabur industri pelancongan dilihat hanya bertumpu ke kawasan Bandaraya Melaka sahaja. Walaupun ada promosi dan galakan pelancongan seperti di daerah Alor Gajah dan Jasin, namun ianya seolah-olah seperti tiada usaha yang serius untuk memajukan lagi tarikan pelancongan di kawasan luar bandar Melaka.
 
Seperti wujud ketidakseimbangan di dalam membangunkan industri pelancongan secara menyeluruh ke seluruh pelusuk negeri Melaka. Mungkin ada yang berkata tiada pelabur industri pelancongan yang ingin membina hotel di Jasin, Selandar atau Alor Gajah misalnya, tetapi jika ada usaha kerajaan negeri dan agensi yang berkaitan memberi galakan dan sokongan di samping promosi dan pemasaran yang hebat, saya percaya bandar-bandar tersebut tidak kurang penting dan boleh maju di dalam industri pelancongan.
 
Tarikan pelancongan yang sememangnya telah sedia ada di luar kawasan Bandaraya Melaka perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Mungkin ramai yang sudah lupa Asahan juga salah satu tempat untuk mendaki ke Gunung Ledang selain daripada Sagil di Tangkak, Johor. Cuma kurang promosi dari semua pihak menjadikan Asahan telah dilupakan. Begitu juga Muzium Jasin yang menyimpan dokumen dan pengkisahan Sultan Mahmud Shah meminang Puteri Gunung Ledang yang dijadikan pameran tetap di muzium tersebut. Makam Tun Teja di Merlimau dan Rumah Tradisional Melayu di Sungai Rambai, mempunyai tarikan sejarah yang unik tetapi kurang ditonjolkan.
 
Kerajaan negeri sepatutnya mendesak dan mengarahkan syarikat ajen pelancongan "in bound" memasukkan pakej lawatan pelancong yang
merangkumi tarikan pelancongan di luar Bandaraya Melaka. Apa yang dilihat sekarang ini, ajen pelancongan "in bound" yang menguruskan lawatan dan pakej pelancong asing lebih tertumpu kepada aspek tarikan pelancongan berasaskan sejarah yang sememangnya banyak terdapat di Bandaraya Melaka seperti Stadthuys, A' Famosa, Christ Church, St. Paul Church, Perigi Hang Li Po dan lain-lain lagi.
 
Tiada usaha dan galakan yang bersungguh-sungguh untuk membawa pelancong ke kawasan luar bandar negeri Melaka. Pengendali dan pengusaha pusat tarikan pelancongan di luar bandar kebanyakannya adalah Bumiputera. Mereka terpaksa mempromosikan tarikan pelancongan mereka dengan sendiri. Risalah pelancongan yang diterbitkan oleh Pelancongan Malaysia, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Melaka dan Unit Promosi Pelancongan di Jabatan Ketua Menteri kurang memberikan tumpuan kepada aspek pelancongan di sekitar Alor Gajah dan Jasin. Jika ada pun maklumat yang diberikan tidak lengkap.
 
Pengusaha Chalet di pantai Tanjung Bidara misalnya seperti menagih simpati kepada orang ramai yang datang supaya menginap di chalet mereka. Walaupun pemandangan dan suasana pantai menarik dikunjungi, namun kurang promosi dan sokongan daripada ajen pelancongan, mengakibatkan perniagaan mereka seperti hidup segan mati tak mahu sahaja.
 
Akibatnya ramai yang tidak tahu termasuk pelancong tempatan sendiri bahawa negeri Melaka juga kaya dengan keindahan alam semula jadi dan suasana kampung tradisional Melayu yang begitu cantik dan unik. Walaupun terdapat program "homestay" seperti di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah dan Anjung Bonda di Jasin, namun akibat kurang promosi dan tiada saranan dan desakan daripada pihak kerajaan kepada operator dan ajen pelancong, mengakibatkan kampung tradisi yang mempunyai nilai kebersihan dan suasana kampung yang cemerlang dilupakan begitu sahaja.
 
Usaha semua pihak haruslah digembeling untuk sama-sama memajukan sektor pelancongan di seluruh pelusuk negeri Melaka. Gandingan pihak kerajaan, dewan perniagaan Melayu, pengusaha pelancongan Bumiputera, ajen pelancongan dan masyarakat setempat perlu diwujudkan untuk tujuan promosi hebat sebagai satu agenda baru bahawa melancong ke Melaka tidak hanya tertumpu di Ayer Keroh dan Bandaraya Melaka sahaja.
 
Walaupun usaha penduduk tempatan seperti di Kampung Tehel bersatu padu memajukan kampung mereka sebagai satu destinasi pelancongan di Melaka, hakikat kurangnya aspek pemasaran dan promosi menjadikan tarikan pelancongan pertanian dan alam semulajadi pudar begitu sahaja.
 
Dicadangkan kerajaan negeri Melaka membina hotel bajet di setiap bandar kecil dan pekan di negeri Melaka untuk menampung penginapan pelancong. Sebagai contoh tiada hotel di Jasin, Selandar dan Merlimau, sedangkan bandar kecil ini mempunyai banyak tarikan pelancongan berasaskan pertanian, alam semulajadi dan rekreasi. Kerajaan negeri sepatutnya mencontohi Indonesia yang mempunyai hotel walaupun kecil di hampir setiap bandar kecil. Sebagai contoh perjalanan dari Semarang ke Jepara melalui sembilan pekan yang kesemuanya mempunyai sekurang-kurangnya se buah hotel.  
 
Apabila wujud hotel di sesuatu kawasan tersebut, industri pelancongan dapat di jana dengan lebih serius dan berwibawa. Ini sekurang-kurangnya memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat di samping boleh mewujudkan lebih banyak industri hiliran berasaskan pelancongan seperti makanan, kraftangan dan hasil-hasil pertanian. 
 
Operator dan ajen pelancongan yang membawa pelancong asing perlulah memberikan sedikit ruang di dalam pakej mereka untuk melancong ke kawasan di luar Bandaraya Melaka. Setidak-tidaknya pelancong asing mengetahui bahawa Melaka juga kaya dengan nilai pelancongan selain daripada aspek sejarah sahaja. Mereka tidak rugi untuk membawa pelancong asing melawat ke luar bandar Melaka kerana itu semua termasuk harga pakej yang dibayar oleh pelancong.
 
Jika alasan tempat-tempat menarik di luar Bandaraya Melaka jauh dan tidak selesa, ia boleh disanggah kerana kemudahan awam seperti jalan raya di Melaka adalah yang terbaik sebenarnya di Malaysia. Jarak dan jangka masa juga tidaklah begitu jauh kerana untuk sampai ke Merlimau misalnya tidak sampai 25 minit dari Bandaraya Melaka dan di sepanjang jalan ajen boleh membawa pelancong menikmati dan membeli makanan tradisi orang Melayu seperti kerepek dan lemang di Umbai.
 
Pelbagaikan aturcara pelancongan ini boleh dianggap melancong ke Melaka sudah menjadi pelengkap kepada semua jenis sub sektor pelancongan negara, dari sejarah sehinggalah ke sub sektor pelancongan belia. Cuma galakan, sokongan dan desakan dari kerajaan negeri amat ditagih agar seluruh rakyat Melaka dapat menikmati limpahan industri pelancongan. Selepas ini mereka bukan lagi menjadi pemerhati, malah menjadi pengusaha dan peserta industri pelancongan yang sebenarnya tiada had untuk menjana keuntungan jika diusahakan bersungguh-sungguh.


Kini dengan simpanan sebanyak 1GB
http://my.mail.yahoo.com/

No comments: