Wednesday, September 06, 2006

HUBUNGAN BAIK WAKIL RAKYAT DAN PENJAWAT AWAM DITAGIH RAKYAT

HUBUNGAN BAIK WAKIL RAKYAT DAN PENJAWAT AWAM DITAGIH RAKYAT
 
Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mula menerajui negara, salah satu pendekatan corak pentadbirannya yang dialu-alukan oleh orang ramai ialah memberi kebebasan kepada wakil rakyat membahaskan apa sahaja yang berkaitan dengan rakyat walaupun pendapat dan perbahasan itu berbentuk kritikan kepada kerajaan.
 
Pendekatan ini telah dimanfaatkan dengan penuh tanggung jawab dan berhemah oleh sebahagian besar wakil rakyat Barisan Nasional. Perkembangan terbaru sebegini terutamanya di Dewan Rakyat telah melonjakkan lagi mutu perbahasan Ahli Parlimen. Lebih menarik lagi untuk tontonan rakyat, kerajaan telah membenarkan siaran perbahasan disiarkan di RTM dan TV3.
 
Keberanian Ahli Parlimen memberikan pandangan yang bernas dan mengkritik untuk kebaikan bersama telah menenggelamkan suara pembangkang di Dewan Rakyat. Sebelum ini wakil pembangkang terkenal dengan kritikan pedas kepada kerajaan, kini peranan tersebut telah diambil oleh penyokong pihak kerajaan sendiri.
 
Rakyat sebenarnya amat berbangga dengan perubahan sebegini. Sekurang-kurangnya ia telah menolak dakyah pembangkang selama ini bahawa wakil rakyat kerajaan sebagai Pak Turut, "Yes Man" ataupun "Rubber Stamp" sahaja.
 
Namun teguran, pandangan, kritikan membina dan pendedahan terhadap segelintir jabatan kerajaan telah menimbulkan suasana konflik dan "perang dingin" antara wakil rakyat dan kakitangan kerajaan terutamanya penjawat awam tertinggi sesuatu jabatan. Mereka telah membuat kenyataan balas dan "serangan individu" kepada wakil rakyat melalui media massa.
 
Kebaikan untuk rakyat untuk menyuarakan masalah mereka melalui wakil mereka di Parlimen seolah-olah dinafikan oleh pihak kerajaan sendiri. Maka timbullah "perang dingin" antara segelintir wakil rakyat dengan jabatan-jabatan tertentu.
 
Di satu pihak yang tidak gemar kepada suara lantang wakil kerajaan di Parlimen, mereka mula mempertikaikan pendekatan baru yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri sendiri. Seolah-olah pandangan sinis pihak ini kepada wakil rakyat telah lupa fungsi wakil rakyat itu sendiri yang mewakili suara dan keluhan rakyat untuk disampaikan dan diperbincangkan di peringkat tertinggi hairaki demokrasi berparlimen yang kita amalkan selama ini.
 
Malah telah timbul jenaka di Parlimen bahawa pihak pembangkang kini menaruh simpati kepada jabatan kerajaan dan pegawainya yang dikritik hebat oleh wakil kerajaan dengan menyebelahi "nasib" yang dialami oleh pegawai kerajaan tersebut. Fenomena yang terbalik sudah berlaku. Malah ada wakil pembangkang yang tolong "cover" jabatan kerajaan yang teruk dikritik oleh penyokong kerajaan.
 
Soal imuniti ahli parlimen juga dibangkitkan dan mula dipersoalkan sehingga timbul cadangan oleh bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk mengkaji dengan Peguam Negara hak dan imuniti wakil rakyat sedangkan perkara itu sudah termaktub di dalam Perlembagaan negara. Tidakkah ini membuang masa dan menambah beban kerja sedangkan penyelesaian boleh dibuat dengan perbincangan kedua-dua belah pihak?.
 
Harapan kita kepada KSN yang baru dilantik amat tinggi agar beliau dapat merapatkan kembali jurang yang telah mula ada di antara kakitangan kerajaan dan wakil rakyat. Rekahan yang wujud perlulah dicantumkan semula demi kepentingan rakyat negara ini secara keseluruhannya.
 
Kedua-dua belah pihak perlulah memahami fungsi, tugas dan tanggungjawab masing-masing. Jika tidak faham disebabkan tidak tahu atau terlupa, perlulah ada penyaluran maklumat untuk memaklumkan dan mengingakan semula seluruh jentera kerajaan tentang peranan masing-masing. Pertelegahan dan pertikaian antara kedua pihak ini sebenarnya akan memburukkan lagi nama kerajaan kerana secara dasarnya kedua pihak ini masih lagi berpayung di bawah sistem kerajaan yang sedia ada yang diterajui oleh BN.
 
Jika penyelesaian tidak ditangani dengan segera, rakyat yang akan sengsara. Kerana asyik bertelagah dan mengadu-domba siapa yang lebih "power", hasilnya rakyat akan kurang kepercayaan terhadap kerajaan dan ini akan memburukkan lagi keadaan apabila tiba musim pilihan raya umum. Mungkin ketika itu sudah terlambat untuk membuat "semak semula" perhubungan rapuh wakil rakyat dan kakitangan kerajaan yang boleh mengakibatkan undi majoriti BN berkurangan.
 
Kedua-dua pihak haruslah bersatu dan bermuafakat di dalam melaksanakan tugas sebagai agen pelaksana Misi Nasional. Jika asyik menuding jari dan berlagu "bangau oh bangau" sesama sendiri, boleh mengakibatkan wawasan dan misi kerajaan akan terbantut kerana sibuk menyelesaikan isu dalaman sahaja.
 
Semua pihak mestilah menanamkan iltizam slogan "Berkhidmat Untuk Negara" itu mestilah dipraktikkan dan bukan setakat tulisan di baris akhir surat rasmi kerajaan. Slogan tersebut seeloknya dihayati dan diamati dengan sehalus-halusnya.
 
Kepada pegawai tinggi kerajaan yang hebat dikritik di Parlimen, anggaplah itu sebagai satu teguran daripada abang kepada adiknya. Teguran sebegitu tidak bermakna wakil rakyat begitu benci kepada penjawat awam. Mereka masing sayang dan memerlukan kakitangan awam. Anggaplah teguran sebegitu sebagai pandangan ikhlas dalam konteks satu keluarga yang memerlukan muafakat kerana muafakat akan membawa berkat.
 
Walaupun teguran dan pendedahan dilakukan oleh ahli parlimen itu "menyakitkan" hati penjawat awam, saya rasa niat wakil rakyat tidak lain dari untuk menambahbaikan sistem dan fungsi jabatan kerajaan itu sendiri. Penjawat awam perlu faham bahawa wakil rakyat akan dinilai oleh rakyat setiap lima tahun sekali. Sememangnya setiap hari rakyat akan membuat urusan dengan pihak kerajaan. Jika tiada kecekapan dan maslah yang timbul, rakyat akan membuat aduan kepada wakil rakyat dan wakil rakyat akan menimbulkan masalah ini di parlimen untuk diselesaikan oleh kementerian yang berkaitan. Inilah rutin dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi oleh wakil rakyat.
 
Penjawat awam juga adalah rakyat biasa dan akan memerlukan bantuan dan sokongan wakil rakyat suatu hari nanti. Begitu juga dengan wakil rakyat yang sememangnya memerlukan sokongan penuh kakitangan kerajaan di semua peringkat untuk memudahkan tugas mereka. Jadi, masing-masing bergantung harap antara satu sama lain. Lebih baiklah bersatu dan bersepadu demi menjalankan tanggungjawab murni untuk berbakti kepada negara, agama dan bangsa.
 
Anggaplah segala teguran, kritikan dan pandangan wakil rakyat itu sebagai asam garam dalam melaksanakan tugas perkhidmaran awam. Mungkin ada yang nipis cuping telinga dan ada juga yang seperti "siapa makan cili dialah yang merasa pedas".
 
Di sinilah kesabaran dan hemah penjawat awam diuji. Jika cepat melatah mungkin akan menimbulkan kemudaratan. Oleh itu gunakanlah pengalaman dan kewarasan fikiran sebelum bertindak. Hiraki dan carta organisasi telahpun ada dan perlulah dipatuhi dan jangan seperti lebih sudu dari kuah apabila tugas anda dibicarakan oleh masyarakat umum.
 
Kepada penjawat awam, tingkatkanlah kredibiliti dan produktiviti di dalam menjalankan tugas agar rakyat terus hargai jasa anda. Kepada wakil rakyat pula, bahaskanlah kepentingan rakyat sebagai agenda utama dan ketepikanlah persoalan kepentingan peribadi semasa berbahas. 
 
 


Kini dengan simpanan sebanyak 1GB
http://my.mail.yahoo.com/

No comments: