Sunday, September 10, 2006

KUBANG PASU PETUNJUK SEBENAR PENDIRIAN AKAR UMBI

KUBANG PASU PETUNJUK SEBENAR PENDIRIAN AKAR UMBI
 
Seluruh negara telahpun mengetahui keputusan pemilihan tujuh perwakilan (G7) dari UMNO Kubang Pasu sebagai wakil bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia akan datang. Walaupun bermacam-macam teori, analisa dan pandangan diberikan oleh pemerhati dan ahli politik, keputusannya adalah muktamad.
 
Mungkin selepas ini akan timbul cerita-cerita sensasi politik yang akan mempertikaikan bagaimana Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh kalah di dalam pemilihan tersebut, namun ini semua adalah lumrah orang politik seperti rumah sudah siap, tetapi pahat masih lagi berbunyi.
 
Tidak hairan juga akan ada tuduhan kononnya wujudnya konspirasi golongan tertentu untuk menggagalkan usaha Tun ke PWTC. Namun hak dan kuasa yang telah ditunjukkan oleh perwakilan di mesyuarat tersebut tidak harus dipertikaikan dan diungkit kembali. Tiada siapapun boleh mempertikaikan hak dan keputusan yang telah dibuat. Apakah mereka tidak percaya kepada sistem demokrasi di dalam UMNO?. 
 
Sebelum pemilihan Sabtu yang lalu, berbagai cara dilakukan oleh berbagai pihak untuk memujuk Tun supaya menarik diri dari perebutan tempat G7 tersebut. Namun semua usaha itu menemui kegagalan apabila Tun tetap dengan pendiriannya. Cubaan Datuk Mohd. Johari Baharum, Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, memujuk Tun dengan memainkan peranan seperti anak menasihati bapa juga menemui kegagalan.
 
Kesemuanya mempunyai satu niat yang baik, iaitu inginkan perpaduan dan kestabilan politik UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terus berkekalan. Pada mereka titik tolak pemilihan G7 inilah yang akan menjadi penentu sama ada masalah "bergesel bahu" dua pemimpin ulung orang Melayu ini akan reda atau semakin memuncak.
 
Pada mereka bukannya hendak meyekat hak Tun, tetapi mereka menghormati Tun sebagai negarawan dan bukat "tarafnya" bertanding dengan ahli peringkat bawahan untuk "mendapatkan kerusi" ke Dewan Merdeka nanti.
 
Mereka juga berpendapat masih ada platfom yang lain untuk Tun melakukan "proses penyesuaian" dengan Pak Lah selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO terkini.
 
Namun begitu, UMNO Kubang Pasu masih tetap menghormati Tun dengan meletakkan namanya sebagai calon pertama dalam senarai 15 calon pemilihan tersebut. Walaupun UMNO Kubang Pasu boleh melakukan kedudukan senarai 15 calon itu mengikut undian sesama calon seperti kelaziman yang dilakukan, mereka masih meletakkan keistimewaan sebagai menghormati Tun sebagai negarawan dan tokoh UMNO yang disayangi dan dihormati.
 
Begitulah adat kita orang Melayu. Walaupun berlainan pendapat, namun perasaan hormat tetap wujud kerana tidak mahu dikatakan kacang lupakan kulit atau orang yang tidak tahu mengenang budi. Pada mereka kritikan Tun terhadap Pak Lah adalah bersifat peribadi.
 
Tumpuan pemerhati dan peminat politik ke Kubang Pasu Sabtu lepas sebenarnya untuk melihat satu sejarah dalam politik tanah air di mana seorang negarawan ulung negara bertanding bersama-sama pemimpin dan ahli akar umbi untuk mendapatkan tujuh tempat mewakili bahagian ke PWTC. Walaupun ada pertandingan di bahagian-bahagian lain di seluruh negara, namun pertandingan G7 di Kubang Pasu cukup istimewa.
 
Ini kerana bekas Ketua Bahagiannya, bekas Presiden UMNO dan juga bekas Perdana Menteri bertanding bersama 14 lagi calon untuk meraih undi daripada perwakilan bahagian agar mereka disokong untuk menjadi wakil bahagian. Lebih istimewa anak Tun sendiri pun bertanding bersama bapanya.
 
Kedudukan di nombor sembilan dengan 227 undi atau 48 peratus daripada 472 wakil dari 138 cawangan yang layak hadir dan mengundi, telah memberikan satu isyarat kepada UMNO bahawa pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi memilih perpaduan parti sebagai keutamaan kepada kekuatan UMNO. Mereka menolak unsur-unsur perpecahan dalaman parti yang akhirnya akan melemahkan UMNO.
 
Seolah-olah keputusan di Kubang Pasu adalah mewakili keseluruhan pandangan dan impian ahli UMNO di peringkat akar umbi yang mahukan topik "bergesel bahu" antara Pak Lah dan Tun dapat diselesaikan dengan segera. Kematangan berpolitik perwakilan Kubang Pasu seharusnya dipuji bagi mengelakkan beberapa lagi "kejutan sejarah UMNO" daripada berlaku.
 
Jika Tun menang di pemilihan G7 tersebut, kemungkinan ada pihak tertentu pula akan melobi Perhubungan UMNO Negeri Kedah agar dibenarkan Tun berucap sebagai wakil perhubungan negeri di Perhimpunan Agung UMNO nanti. Itulah yang dikatakan oleh pemerhati yang hadir di Dewan Wawasan, Jitra yang rata-rata bersetuju bahawa "kejutan sejarah UMNO" akan terus berlaku jika Tun menang pemilihan G7.
 
Sekalung tahniah dan pujian harus diberikan kepada 472 wakil yang mengundi kerana telah berjaya menyekat kejutan tersebut yang bakal menular ke Dewan Merdeka, PWTC pula. Sekurang-kurangnya ini dapat meredakan keadaan yang berkocak di hati orang Melayu yang masih sayangkan UMNO dan tidak rela melihat berlakunya lagi perpecahan besar di dalam parti.
 
Sekurang-kurangnya dengan keputusan tersebut, orang UMNO di Kubang Pasu dapat kembali mengerjakan tugas harian mereka dengan perasan yang lega daripada sibuk dan berdebar-debar kerana asyik berpolitik sepanjang masa. Hakikatnya selepas ini orang Melayu bolehlah menumpukan perhatian kepada soal-soal meningkatkan ekonomi keluarga dan menaikkan martabat orang Melayu yang lebih bermaruah. 
 
Saya amat kerdil jika hendak dibandingkan dengan Tun apabila berbicara tentang politik. Namun hati kecil ini tetap ingin bersuara, sama seperti berjuta-juta ahli UMNO dan orang Melayu yang amat kerdil dalam berpolitik. Rata-rata golongan kerdil politik seperti saya ini ingin melihat UMNO stabil, kuat dan masih berpengaruh di dalam memperjuangkan masa depan orang Melayu. Sengketa yang wujud tidak akan selesai sampai bila-bila pun jika tiadanya sikap berkompromi, muafakat dan saling maaf memaafkan antara satu sama lain. Perbincangan dari hati ke hati dan bermuhasabah dengan mengambil yang jernih dan buang yang keruh, nescaya ada hikmahnya.
 
Inilah kesimpulan yang didapati selepas selesai mesyuarat tahunan di Kubang Pasu. Mereka mahukan "bergesel bahu" kedua-dua pemimpin ulung orang Melayu dan negara ini ditangani dengan segera. Jika masih berlanjutan ia akan merugikan orang Melayu sendiri. Yang untung adalah orang yang sememangnya gemar melihat UMNO sering bertelagah sesama sendiri sepanjang masa kerana ada golongan yang akan mengambil kesempatan dan menjadikan ketidakstabilan politik UMNO sebagai agenda mereka. Puak inilah perosak utama di dalam UMNO. Oportunis sebegini perlu ditangani segera kerana mereka banyak "perancangan" di dalam fikiran mereka.Gagal "pelan A", mereka ada "pelan B". Gagal "pelan B", "pelan C" sudah sedia untuk direncanakan.
 
Pucuk pimpinan UMNO perlu bertindak dan mengambil tindakan dengan segera kepada ahli yang menjadi "batu api" ini yang gemar melaga-lagakan pemimpin-pemimpin negara. Jika tidak dibenteras dengan segera, kita bimbang nanti puak "batu api" ini akan merasa selesa dan mereka merasakan kerja mereka itu tidak menyalahi disiplin parti.
 
Harapan golongan akar umbi UMNO di seluruh negara amat tinggi dan menebal untuk melihat isu dua tokoh ini dapat diselesaikan dengan segera. Kubang Pasu sudah memberi isyarat yang sangat jelas yang mewakili sebahagian besar suara ahli parti di seluruh negara.
 
Pucuk pimpinan seharusnya lebih peka dan berusaha bersungguh-sungguh agar kemelut dua pemimpin ulung ini diselesaikan segera dengan memikirkan harapan tinggi menggunung seluruh ahli UMNO dan ketepikanlah pertelagahan pendapat peribadi itu untuk diselesaikan oleh pemimpin yang berkaitan sahaja tanpa melibatkan UMNO dan orang Melayu secara keseluruhannya. 
 
 


Kini dengan simpanan sebanyak 1GB
http://my.mail.yahoo.com/

No comments: