Sudah seperti lumrah sejak bertahun lamanya, setiap kali tiba Ramadan bermacam-macam harga barangan keperluan harian naik dengan mendadak. Apakah apabila tiba bulan Ramadan para pengilang, penternak, peladang, pemborong dan peniaga (saya gelarkan golongan 5P) seolah-olah berpakat untuk menaikkan harga barangan keperluan asas rakyat?.
Lojiknya pada mereka inilah masa yang sesuai untuk menaikkan barang kerana apa jadi sekali pun, barangan keperluan asas seperti gula, ayam, tepung, sayuran, daging dan barangan kering tetap di beli oleh kita sebagai pengguna. Pada mereka menjelang bulan Ramadanlah orang ramai akan menggandakan perbelanjaan harian untuk membeli barangan untuk persediaan berbuka puasa dan menyambut Syawal.
Pada golongan 5P menjelang Ramadan adalah masa yang paling strategik untuk menaikkan harga barang kerana selepas ini akan disusuli dengan perayaan Hari Raya, Deepavali, Krismas, Tahun Baru dan Tahun Baru Cina. Kadang kala terfikir juga kenapa golongan 5P ini yang sebilangan besarnya bukan orang Melayu dan Islam menaikkan harga barang tatkala kita hendak menyambut bulan puasa dan menjelang Syawal?. Kenapa tidak dinaikkan harga barangan menjelang Tahun Baru Cina?.
Pengguna terutamanya suri rumah yang mempunyai kuasa beli utama untuk seisi keluarga perlulah mengambil langkah berjimat cermat. Bermula dengan kenaikan harga minyak petrol dan disel yang disusuli dengan kenaikan barangan dan perkhidmatan lain yang berkaitan dengan minyak, suri rumah telah dibebankan dengan kesukaran mendapat gula kasar. Sekarang ini pula harga ayam dan cili merah naik mendadak. Terbaru tepung gandum juga telah naik harga.
Terfikir juga seolah-olah seperti pesta kenaikan harga barang keperluan harian yang diraikan bersama oleh golongan 5P ini. Saya berpendapat para suri rumah jangan pula ikut mereka berpesta dengan membeli barangan mengikut nafsu kononnya harga barangan akan naik lagi.
Kita perlu sedar berjimat cermat adalah amalan mulia terutamanya di sepanjang bulan Ramadan ini. Jangan mengikut nafsu dan tamak haloba untuk membeli juadah berbuka puasa. Jika memasak sendiri pun, bukannya masa yang sesuai untuk menyediakan makanan yang lazat dan membazir semata-mata di sebabkan bulan puasa. Apakah makanan tersebut tidak pernah di makan sebelum bulan Ramadan?.
Kawal nafsu adalah dugaan dan ibadah yang hebat dikurniakan oleh Allah sebagai menguji keimanan dan kesabaran kita. Amalkanlah berjimat cermat dan belanja ala kadar kerana wang bukan senang untuk diperolehi waktu ini. Mengapa perlu berbelanja sehingga RM50 untuk menyediakan juadah berbuka puasa sedangkan bilangan isi rumah hanya empat orang sahaja?. Mengapa perlu membeli juadah di bazar Ramadan yang sememangnya diketahui sedap pada mata memandang sedangkan rasanya tidak enak?. Jika membeli juadah pun mengapa pula perlu memasak lagi di rumah?. Tidakkah ini di namakan pembaziran?. Lebih elok hasil berjimat cermat itu digunakan untuk persediakan baju anak-anak ataupun simpan sebagai tabungan untuk masa depan.
Yang menghairankan ada sikap dan mentaliti suri rumah yang bangga dan menunjuk-nunjuk bahawa mereka membeli barang dengan harga yang mahal sedangkan mereka tahu barangan telah naik harga. Contohnya sudah tahu cili merah sudah naik harga, mengapa pula di beli dengan kuantiti yang besar?. Alasannya untuk simpanan stok. Tidakkah membazir namanya. Alangkah elok jika hendak di beli cili merah, cuma beli ikut keperluan dan gunakan dengan kuantiti yang seminimum mungkin.
Jika sebelum ini suri rumah menggunakan 5 kilo gula dan 10 kilo tepung untuk membuat 4 jenis kuih raya, alangkah elok buat kuih dengan ala kadar seperti 2 jenis sahaja kerana untuk mengelakkan perbelanjaan yang besar ekoran kenaikan harga barangan. Janganlah membuat kuih kerana terpaksa untuk menunjuk-nunjuk dengan saudara mara dan sahabat handai sehingga mengakibatkan pembaziran berlaku kerana kuih raya tersebut masih ada lagi sehingga perayaan Hari Raya Korban yang akan datang. Akhirnya apabila kuih raya tidak boleh di makan lagi terus sahaja di buang ke tong sampah.
Apabila sudah tahu harga ayam sudah naik, mengapa perlu untuk membeli ayam setiap hari sedangkan sebelum harga ayam naik, seminggu sekali pun susah untuk membeli ayam. Suri rumah jangan malu untuk berjimat dan jangan pula termakan hasutan jiran-jiran untuk menunjuk-nunjuk siapa yang lebih mewah berbelanja. Akibat buruknya kita sendiri yang tanggung bukannya jiran kita.
Harga makanan di bazar Ramadan sekarang ini pun telah naik dengan begitu mendadak. Jika tahun lepas nasi ayam sebungkus berharga RM4 sekarang ini sudah menjadi RM5.50. Sudahlah mahal, potongan ayam pula dikecilkan. Ada peniaga yang telah mula menjual sebiji kuih karipap dengan harga 50 sen. Jadi apabila kita telah tahu barang-barang makanan yang dijual dengan mahal kenapa perlu di beli?. Bukankah selain bulan Ramadan makanan tersebut juga mudah diperolehi?. Alasan standard peniaga ialah barang keperluan naik harga.
Sememangnya sejak dulu lagi perbelanjaan harian suri rumah meningkat apabila tiba bulan Ramadan berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Kita perlulah mengubah sikap, gaya hidup dan kuasa membeli apabila tiba berbelanja di bulan Ramadan. Tidak salahnya kita berbelanja seperti hari-hari biasa sebelum Ramadan. Mengapa perlu untuk membeli apa sahaja yang sedap dilihat oleh mata sedangkan mutu, harga dan kelazatan makanan tidak seberapa?.
Marilah kita berjihad melawan hawa nafsu syaitan yang menggoda kita begitu kuat sekali di bulan yang mulia ini. Tidak lari pahala puasa kita jika kita berjimat cermat. Malah boleh menimbulkan syak jika kita boros berbelanja dan membazir makanan. Sepatutnya kita diberi kesedaran untuk lebih berjimat cermat ketika harga kebanyakan barang keperluan naik mendadak.
Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/
No comments:
Post a Comment