Tuesday, September 19, 2006

PUTERA UMNO BUKAN HERO MAT REMPIT

PUTERA UMNO BUKAN HERO MAT REMPIT
 
Telah banyak diperkatakan tentang Putera UMNO Malaysia yang menganjurkan Ekspedisi Merdeka Putera Bermotor Kuala Lumpur - Teluk Batik baru-baru ini. Daripada komen Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Daerah Manjung, sehinggalah pandangan jujur daripada Cawangan Trafik Pasukan Bukit Aman, semuanya memberikan komen yang negatif terhadap aktiviti Putera Umno. 
 
Walaupun secara bertulis di atas kertas kerja, aktiviti itu diadakan untuk memberi kesedaran kepada golongan pemuda bermotor atau sekarang ini popular dipanggil Mat Rempit, namun ianya telah tersasar jauh dari matlamat yang hendak dicapai.
 
Putera Umno perlulah melakukan post mortem dengan ikhlas dan telus mengapa program yang mereka laksanakan bersama-sama Mat Rempit mendapat tohmahan dan pandangan yang buruk dari semua pihak.
 
Putera Umno perlu kembali kepada tujuan asal penubuhannya. Perlu diingat Putera Umno bukannya sebuah sayap Umno yang diiktiraf. Sayap Umno hanyalah Wanita, Puteri dan Pemuda. Putera hanyalah sebahagian daripada biro di bawah Pemuda Umno yang fungsi utamanya merapatkan diri dengan remaja berumur 17 hingga 25 tahun untuk hampir kepada parti Umno dan seterusnya menggalakkan mereka menjadi ahli Umno.
 
Kebanyakan Mat Rempit adalah golongan remaja bermasalah, suka melanggar peraturan dan undang-undang, dan gemar bersuka ria daripada memikirkan masa depan mereka. Kesemua sifat ini adalah tergolong di dalam aspek gejala sosial yang bukan mudah untuk kita tangani.
 
Rata-rata pemimpin Putera Umno adalah golongan muda dan mereka kurang berpengalaman untuk membasmi mahupun mengurangkan masalah sosial remaja. Polis sendiri yang mempunyai kuasa dan sebagai agensi pelaksana undang-undang negara pun pening kepala memikirkan masalah remaja termasuklah masalah Mat Rempit ini.
 
Amat menghairankan program yang diatur oleh Putera baru-baru ini hanya melibatkan 80 orang sukarelawan Putera untuk menjaga gelagat 8000 peserta ekspedisi tersebut. Jelas menunjukkan Putera hanya hebat merencana, mengembar-gembur dan melakukan publisiti murahan tentang aktiviti mereka sedangkan hakikatnya mereka masih lemah di dalam soal mengendalikan sesuatu program.
 
Janganlah hanya suka mengadakan sidang akhbar dan begitu bangga mengariskan pelbagai aktiviti Putera sedangkan hasilnya tidak kemana. Publisiti murahan sebegini amat malang sekali sedangkan kerajaan begitu peka dan prihatin mengatasi masalah gejala sosial di kalangan remaja masa kini.
 
Orang ramai berharap pemimpin Putera jangan asyik mengejar nama dan merit dalam karier politik mereka. Mungkin ada pemimpin tertentu di dalam Putera menyimpan cita-cita tinggi untuk bertanding di pemilihan Pemuda Umno Malaysia tahun depan. Jika Mat Rempit dijadikan batu loncatan dan menonjolkan nama mereka dengan pelbagai aktiviti yang dilakukan, amat malang sekali bagi Umno jika ada pemimpin Putera yang menyimpan cita-cita sebegini. Ianya lebih kepada berkepentingan peribadi untuk menaikkan "saham" diri sendiri supaya dipandang oleh pemimpin tertinggi Umno bahawa beliau boleh bekerja dan program Mat Rempit adalah contohnya.
 
Itulah sebabnya golongan pemimpin di dalam Putera ini bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk mengumpulkan kira-kira 50,000 Mat Rempit pada bulan November ini. Lebih menarik sudah dicanangkan majlis tersebut bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri selaku Presiden Umno. Apakah benar Pak Lah akan datang atau sekadar gimik dan publisiti murahan pemimpin Putera sahaja?.   
 
Putera Umno perlulah berpandangan jauh dan merancang aktiviti untuk suatu jangka masa panjang. Berkonvoi dari Kuala Lumpur ke Teluk Batik bukanlah suatu penyelesaian membasmi Mat Rempit. Saya berpandangan konvoi tersebut sebenarnya menggalakkan lagi Mat Rempit melanggar undang-undang jalan raya dan mencetuskan lebih banyak lagi masalah gejala sosial. Mengapa tidak dikumpulkan Mat Rempit tersebut secara kumpulan yang kecil supaya lebih terus dan fokus untuk menasihati mereka?.
 
Dahulupun sudah ada golongan remaja dan pemuda bermotor tetapi mereka dilihat lebih berdisiplin dan menghormati undang-undang jalan raya. Bukan tidak ada perlumbaan haram di tahun 80an dan 90an tetapi tidak sehebat sekarang ini. Mungkin remaja kini terlalu dimanjakan sehingga yang masih menuntut dan tiada bekerjapun mampu memiliki motorsikal.
 
Putera seharusnya membuka minda dan berfikir dengan waras dan sifat yang terbuka. Masyarakat memandang keinginan Putera Umno untuk mendekati Mat Rempit sesuatu yang perlu disokong. Tetapi cara mereka mengendalikan dan "berbaik" dengan Mat Rempit adalah sesuatu yang diluar dugaan. Apa salahnya mereka melakukan pendekatan dari hati ke hati dan memberikan nasihat sebagai abang kepada adik?.
 
Terfikir juga berapa banyak wang yang telah dibelanjakan oleh Putera Umno untuk"melayan kerenah" 8,000 peserta ekspedisi bermotor tersebut. Jika diperuntukkan perbelanjaan seorang sebanyak sepuluh ringgit, bayangkanlah berapa banyak wang yang telah dibelanjakan?. Alangkah moleknya wang yang sebanyak itu digunakan untuk aktiviti lain yang lebih berfaedah. Janganlah disebabkan untuk mengejar glamor dan publisiti, Putera sanggup membuat aktiviti yang caca-merba dan kelam kabut. Seharusnya Putera menghalusi dengan teliti pro dan kontra sesuatu aktiviti yang ingin dilaksanakan. Jangan disebabkan untuk mencapai sesuatu tujuan, maka aktiviti itu mesti dilakukan segera. Akibatnya, Putera kini menghadapi kritikan dan sindiran yang tajam daripada masyarakat.
 
Bukan Mat Rempit sahaja yang perlu didekati untuk membenteras gejala sosial di kalangan remaja. Masalah malas bekerja, memilih kerja, tidak memikirkan masa depan, penyalahgunaan dadah, sex bebas, keruntuhan nilai budi bahasa adalah contoh keruntuhan akhlak remaja masa kini.
 
Jika benar Putera Umno ikhlas dalam perjuangannya, golongan seperti ini jangan dilupakan. Mat Rempit hanyalah segelintir daripada perosak akhlak remaja masa kini. Mengapa tidak diadakan aktiviti yang melibatkan jabatan-jabatan kerajaan dan NGO lain?. Kerjasama dan berkumpul mengeluarkan buah fikiran lebih afdal daripada membuat sendirian seolah-olah hendak menjadi hero atau pembela Mat Rempit.
 
Perancangan yang teliti amat penting menjamin sesuatu aktiviti berjaya mencapat objektifnya. Apa yang dilihat sekarang ini Putera begitu tergesa-gesa untuk membuat aktiviti. Pujangga ada berkata "apa ada pada nama". Janganlah sibuk mengejar nama dan mendapat "kredit politik" demi kepentingan peribadi dan menggunakan masalah sosial remaja masa kini sebagai "topeng" perjuangan politik kepimpinan Putera Umno.
 
Kadang kala hero tanpa publisiti lebih disanjungi daripada hero yang seperti "masuk bakul angkat sendiri". Mungkin selepas ini Pengerusi Putera Umno, Abdul Azeez Abdul Rahim, boleh menagis teresak-esak di depan Pak Lah atau Ketua Pemuda Umno untuk meraih simpati apabila aktivitinya mendapat teguran, sama seperti beliau menagis teresak-esak di mesyuarat jawatan kuasa tetap tanah dan pembangunan negeri Selangor apabila permit pasir lautnya di Selangor ditarik balik oleh kerajaan negeri pada tahun lepas.Dengan tidak tahu malunya beliau berkata permit itu sangat perlu kepadanya kerana hendak membayar kepada pihak tertentu kerana melaksanakan majlis penubuhan Putera Umno Malaysia.
 
Mudahnya hendak menjadi popular sehingga sanggup menggadaikan maruah diri.
 

Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com

No comments: