Thursday, January 18, 2007

RAJA HAJI - TOKOH ISLAM NUSANTARA ABAD KE 18

(Artikel di bawah terdapat dalam blog ini dalam achieve Disember 2006. Saya siarkan kembali sebagai rujukan surat seperti di atas. - Terima Kasih)


RAJA HAJI – TOKOH ILMUWAN ISLAM NUSANTARA ABAD KE 18

Usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menganjurkan Pameran Kegemilangan Sains Dalam Tamadun Islam yang bertemakan Sains Islam Mendahului Zaman sememangnya harus dipuji dan dihargai. Ia membolehkan semua lapisan masyarakat melihat sendiri dengan lebih dekat peralatan yang dihasilkan oleh ilmuwan Islam terdahulu.

Apa yang menarik, ianya seperti pembuka tirai tahun baru 2007 dengan sajian pameran yang berprestij yang julung kali diadakan di Malaysia dan rantau Asia. Kehebatan pameran ini lebih sinonim dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke 50.

Walaupun pameran ini akan menampilkan pencapaian ilmuwan Islam dari seluruh dunia, namun adalah penting bagi masyarakat menyedari bahawa ilmu wahyu dan ilmu akal seperti sains merupakan suatu gabungan elemen penting untuk menghasilkan sesuatu yang mampu meningkatkan ketamadunan sesuatu bangsa.

Terdapat empat kategori konsep pameran tersebut iaitu:-
i. Astronomi Islam, Geografi dan Navigasi
ii. Penemuan dan Reka Cipta Perubatan
iii. Matematik, Seni dan Arkitek
iv. Teknologi dan Reka Cipta.

Masyarakat Melayu dan dunia amnya masih ramai belum mengetahui bahawa di gugusan Nusantara Melayu pernah melahirkan seorang insan yang bernama Raja Haji bin Upu Daeng Chelak, Yang Di Pertuan Muda Riau yang ke Empat.

Atas sebab kategori pertama konsep pameran, saya mengambil kesempatan untuk menekankan peranan Raja Haji sebagai peneroka pertama orang Melayu menggunakan peralatan moden dalam ilmu pelayaran dan geografi.

Raja Haji merupakan pahlawan Melayu yang hebat di abad ke 18 disamping merupakan seorang pelayar, pengembara dan pakar ilmu maritim yang terhandal. Malah penjajah Belanda ketika itu sangat mengagumi beliau seperti yang dinyatakan oleh sarjana sejarah Leonard Y. Andaya dalam bukunya “The Kingdom of Johor 1641-1788: Economic and Political Development”,1975.

Sesetengah tokoh ilmuan berpendapat bahawa Raja Haji ialah pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat semacam Hang Tuah memandangkan daerah operasinya di daratan dan maritim yang amat luas. Jika dipandang dari sudut sebelah ayahnya, beliau berasal daripada keturunan raja-raja di tanah Bugis, negeri Luwuk, manakala sebelah ibunya pula, berketurunan raja-raja Melayu. Raja Haji lahir di Kota Lama, di Hulu Sungai Riau, pada tahun 1139 H/1725 M dan wafat pada hari Rabu di Teluk Ketapang, Melaka, 19 Rejab 1198 H/18 Jun 1784 M dan disemadikan di Masjid Tengkera Melaka sebelum jasadnya dikebumikan semula di Pulau Penyengat, Kepulauan Riau.

Sejajar dengan pameran keagungan dan tamadun Islam yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur dari 8 hingga 14 Januari 2007, wajarlah Al Marhum Raja Haji turut juga dikenang sebagai antara tokoh Melayu Islam yang sangat masyhur dengan dunia astronomi, pengembaraan dan geografinya.

Dalam keadaan orang Melayu yang masih daif ilmu, Raja Haji telah berjaya mempelajari dan manfaatkan ilmu pengembaraan dan penggunaan peralatan astronomi dan pengembaraan dalam pelayaran ke seluruh pelusuk Nusantara dengan maklumat bertulis Abu Said Al Sijzi yang beliau perolehi dari pedagang Arab. Penjajah Belanda amat mengagumi beliau kerana telah mengunakan teknologi hebat ketika itu yang amat jarang digunakan oleh pelayar Melayu.

Dengan ilmu yang tinggi dan tidak jemu untuk belajar dan membaca, Raja Haji juga antara pengguna terawal dan mengaplikasikan sepenuhnya peralatan Balistilha dan Staf Ya’qub di alam Nusantara, iaitu alat yang digunakan oleh pelayar-pelayar Arab untuk menentukan altitud kutub. Ia digunakan bagi menggantikan astrolab yang tidak dapat menentukan pengiraan minit semasa berada di dalam kapal disebabkan gangguan terhadapnya dalam perjalanan di lautan.

Walaupun bukan berlatar belakangkan sebagai seorang ulama yang giat berdakwah secara ilmuwan tetapi beliau diakui kewibawaannya sebagai ulama dan strategis Islam yang agak handal pada abad tersebut. Beliau adalah seorang yang gemar bergaul dengan para ulama dengan tujuan untuk mendalami ilmu. Dipercayai beliau sempat berjumpa dengan Syed Husein al-Qadri di Mempawah.

Di samping itu, beliau juga amat terkenal sebagai pahlawan ulung menurut sumber sejarah R.O Winsted, sarjana Inggeris kerana banyak bergiat dalam mempertahankan institusi ilmuwan tradisi Islam beserta ulamanya dari menjadi ancaman kepada kolonialisme yang silih berganti dari Portugis, Belanda dan juga Inggeris pada ketika itu, maka beliau diakui kewibawaannya sebagai pemimpin dan tokoh yang disegani.

Syed Husein al-Qadri ialah guru kepada ayah saudaranya yang bernama Upu Daeng Menambon. Putera Upu Daeng Menambon bernama Gusti Jamiril adalah sangat intim dengan Raja Haji dan mereka kerap meluangkan masa bersama-sama. Gusti Jamiril adalah seorang yang menitik beratkan soal keagamaan, jadi tidak hairanlah sekiranya ilmu yang beliau telah dipelajari dipraktikkan bersama-sama dengan Raja Haji. Dengan tatacara pergaulan Islam yang sedemikian, sekali gus telah berjaya mempengaruhi pemikiran Raja Haji.

Raja Haji dan Gusti Jamiril juga sempat berguru dengan Syeikh Ali bin Faqih yang berasal dari Patani. Syeikh Ali bin Faqih ialah mufti Mempawah yang kedua, menggantikan Saiyid Husein al-Qadri.

Ramai ulama yang berasal daripada keturunan Raja Haji, antaranya ialah Raja Ali Haji (cucu beliau) yang sangat terkenal dengan karya Tuhfat Al-Nafis dan Gurindam Dua Belas. Antara keturunan beliau yang turut menjadi ulama ialah Raja Haji Umar bin Raja Hasan bin Raja Ali Haji.

Malah Kesultanan Sultan Selangor sehingga hari ini ada hubungkait dengan Raja Haji kerana Sultan Selangor yang pertama, Raja Lumu adalah saudara kandung se bapa dengan Raja Haji. Malah sewaktu pertempuran hebat dengan Belanda pada 1784, beliau berpadu tenaga dengan anak saudaranya (anakanda Raja Lumu), Sultan Ibrahim menyerang Belanda di Melaka.

Raja Haji menyandang pelbagai gelaran. Antaranya ialah Engku Kelana (1747M -1777M), Pangeran Sutawijaya, Yang Dipertuan Muda Riau-Johor IV (1777M - 1784M), Raja Api, Marhum Teluk Ketapang dan Marhum Asy-Syahid Fisabilillah. Yang terakhir, secara rasmi dari kerajaan Indonesia, Raja Haji dianugerahi gelaran Pahlawan Nasional lndonesia, dan dikurniakan Bintang Mahaputera Adipradana oleh Presiden Republik Indonesia di Jakarta pada 11 Ogos 1997.

Tahun 1756M -1758M, Raja Haji bersama sepupunya Daeng Kemboja memimpin Perang Linggi melawan Belanda. Peperangan ini telah melibatkan pasukan-pasukan Melayu yang berasal dari Linggi, Rembau, Klang, Selangor dan Siak.

Sewaktu Syarif Abdur Rahman al-Qadri memerangi Sanggau, Raja Haji memainkan peranan sebagai panglima perang. Perang berlaku pada 26 Muharam 1192H/24 Februari 1778 M sehingga 11 Safar 1192H/11 Mac 1778 M. Setelah peperangan tamat, Raja Haji melantik Syarif Abdur Rahman al-Qadri sebagai sultan yang pertama Kerajaan Pontianak sekali gus Raja Haji menyusun kerangka pentadbiran kerajaan itu.

Raja Haji merupakan satu-satunya pahlawan Nusantara yang pemah menjejak kakinya hampir ke seluruh negeri-negeri Melayu. Di antaranya Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Muntok/Bangka, Pontianak, Mempawah dan lain-lain. Jika kita bandingkan dengan semua pahlawan di Nusantara, seperti Pangeran Diponegoro dan Imam Bonjol, mereka hanya beroperasi di daratan sahaja dan tidak mengalami perang maritim. Jika kita bandingkan dengan Sultan Hasanuddin Brunei, beliau ialah seorang pahlawan maritim, tetapi masih banyak menguasai pengalaman dalam peperangan di daratan.

Perbandingan bukan bererti memperkecil-kecilkan pejuang yang lain, tetapi sejarah mencatatkan bahawa ramai pejuang ada yang menyerah diri kepada penjajah. Ada yang tertangkap kerana ditipu secara licik dan tidak kurang juga tunduk kerana godaan wang ringgit dan habuan tanah.

Semua ini berbeza dengan keperibadian Raja Haji. Beliau lebih rela mati di medan juang daripada menyerah ataupun tertipu oleh pihak musuh. Pada 18 Jun 1784 M, Raja Haji terbunuh sebagai syahid fisabilillah dalam peperangan melawan Belanda pimpinan Jacob Pieter Van Braam di Melaka. Bilangan pasukan Melayu yang syahid dibawah pimpinan Raja Haji termasuk beliau sendiri dianggarkan sekitar 500 orang.

Malah Van Braam sendiri dalam laporan admiral kepada Governor General Batavia bertarikh 15 September 1784 (J.P Van Braam Collection), menegaskan jika angkatan perang beliau lewat tiba ke Melaka, nescaya Melaka kembali kepada pemerintahan kerajaan Melayu. Kehebatan Raja Haji dengan taktik peperangan dan penggunaan peralatan moden (ketika itu), dengan tambahan ilmu astronomi, geografi, ilmu pelayaran dan maritim yang hebat, berjaya mengalahkan Belanda pada peringkat awal peperangan.

Sebagaimana pada mukadimah Tuhfat al-Nafis yang telah dinyatakan, "... Raja Haji bin Upu Daeng Chelak merupakan pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat sesudah Hang Tuah…". Walaubagaimanapun, haruslah kita sedar bahawa kisah Hang Tuah lebih bercorak mitos. Berbeza dengan Raja Haji, kisah beliau telah tercatat sebagai sejarah yang dibuktikan dengan data dan fakta disamping penggunaan ilmu yang sangat ketara yang tidak dapat ditolak atau dipersoalkan.

Tuhfat al-Nafis meriwayatkan kejadian aneh terhadap jenazah Raja Haji setelah mangkat dalam keadaan syahid fisabilillah seperti berikut, "Sah dan adalah aku dapat khabar daripada itu daripada orang tua-tua yang mutawatir, adalah sebelum lagi ditanamnya mayat Yang Dipertuan Muda Raja Haji, al-Marhum itu maka ditaruhnya di dalam peti hendak dibawanya ke Betawi, sudah sedia kapal akan membawa jenazah al-Marhum itu.

Maka menantikan keesokan harinya sahaja, maka pada malam itu keluar memancar ke atas seperti api daripada peti jenazah al-Marhum Raja Haji itu. Maka gaduhlah orang Melaka itu melihatkan hal yang demikian itu. Di dalam tengah bergaduh itu kapal yang akan membawa jenazah al-Marhum itu pun meletup, terbakar, terbang ke udara segala isinya serta orang-orangnya. Seorang pun tiada yang lepas.

Syahdan kata qaul yang mutawatir, tiadalah jadi dibawa jenazah al-Marhum itu pindah ke negeri yang lain. Maka ditanamkan jua di Melaka itu, hingga datang diambil dari negeri Riau adanya. Dan kata setengah qaul yang mutawatir sebab itulah digelar oleh Holanda yang dahulu-dahulu dengan nama Raja Api adanya "

Riwayat di atas mencerminkan kemuliaan seseorang yang wafat dalam syahid fisabilillah kerana berjuang untuk kepentingan agama Islam atau memperjuangkan bangsanya iaitu bangsa Melayu yang dicintainya serta patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.

Raja Haji bin Daeng Chelak adalah contoh teladan semangat seorang pahlawan yang harus kita contohi dalam melihat kembali warisan kepahlawanan Islam disamping seorang yang sangat tinggi ilmu wahyu dan ilmu akalnya. Adalah wajar Raja Haji turut dikenang sempena pameran kegemilangan dan tamadun Islam yang bakal berlangsung sebagai bukti tamadun Melayu tidak kurang kehebatannya selari dengan kehebatan tamadun Islam itu sendiri.

No comments: