Ketika kecil-kecil dahulu selalu sahaja saya dengar orang tua berpantun :
Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.
Sehingga sekarang pantun ini tetap dituturkan orang. Malah dalam sebuah lagu P. Ramlee yang berjudul "Kwek Mambo" pantun ini dijadikan lirik. Sungguh menarik.
Sehingga sekarang pantun ini tetap dituturkan orang. Malah dalam sebuah lagu P. Ramlee yang berjudul "Kwek Mambo" pantun ini dijadikan lirik. Sungguh menarik.
Pembayang maksud pantun ini dikarang dari bahan-bahan geografi daerah Nusantara, seperti Pulau Pandan dan Gunung Daik. Gunung Daik terletak di Pulau Lingga yang di selatannya terletak Pulau Singkep. Pulau Singkep ini dipercayai adalah tempat lahirnya Hang Tuah lima bersaudara.
Kini saatnya musim kerinduan itu tiba.
Sejarah menjemput kita berkampung di tanah besar Daik Lingga.
Nyanyian kerinduan dan puncak Gunung Daik mengalun sepanjang musim kalam menulis pantun dan sejarah.
Daik bonda Tanah Melayu.
Ia mendalamkan tikaman kerinduan.
Masih ada yang tersisa di Daik.
Dari Mepar nampak tilas itu bermula.
Dermaga panjang membentang.
Sungai Tande bukti perhentian.
Istana Damnah kejayaan yang telah sudah.
Bilik 44, Makam Merah, Makam Bukit Cengkeh, Benteng Bukit Cening.
Masjid Raya Jamek melahirkan misteri tiada henti.
Di sinilah aku rancang berkampung para kerabat TERAJU.
Untuk mencari punca serumpun bakal dilaksanakan.
Kita kokah kembali kejayaan masa lalu.
Jangan sisakan kertas di Daik ketika jiwa berkaca dan tinta berkata-kata.
Sebab jiwa lebih haus dari bayangan dahaga.
Sebab kata-kata lebih panjang dari yang terbayang.
Sebab Bukit Gajah, sebab Getah Merah, sebab Kampung Mentuk.
Sebab jemputan ini mengajak kita menagih bukti.
Sebab Sungai Resun meninggalkan jejak baru untuk kita datang lagi.
Sebab sayang bonda Tanah Melayu Daik Lingga sepanjang musim merajut kenangan.
Daik tapak Sejarah Melayu, tapak penulis Melayu berhimpun.
Tempat kita mengungkai kenangan, menikam rasa.
Ayuh kita menuju dimensi alam kurun ke - 19, bilamana Daik Lingga pertama kali menjadi pusat pemerintahan Sultan Mahmud sebagai Sultan Lingga pertama. Sultan memerintah di Daik, Pulau Lingga dari tahun 1801 hingga 1812. Sebelum itu baginda memangku jawatan Sultan dari tahun 1761 dan bertakhta di Hulu Riau.
Menurut sejarah, Raja Mahmud masih berusia setahun ketika dinobatkan sebagai Sultan menggantikan Sultan Ahmad Riayat Shah ( Marhum Tengah ) yang mangkat tahun 1761, dengan gelaran Sultan Mahmud Syah III. Yamtuan Muda Daeng Kemboja membuat perlantikan dengan meriba Raja Mahmud.
Semasa perlantikan, Daeng Kemboja berucap yang maksudnya, "Barang diketahui kiranya oleh suku - suku sebelah Melayu dan Bugis, bahawa sesungguhnya Raja Mahmud inilah Raja Johor dan segala daerah takluknya yang dilantik oleh Bugis sebagaimana melantik nendanya Sultan Sulaiman, iapun demikian jualah. Maka barang siapa yang tiada mematuhi aturan ini, maka pada hari dan waktu inilah kita berhabis - habisan ."
Daeng Kemboja menghunus pedangnya. Dan tidak ada seorang pun yang hadir berani membantah keinginan Daeng Kemboja. Lalu Raja Mahmud pun dilantik menjadi Yang Dipertuan Besar atau Sultan Johor - Riau - Lingga - Pahang. Oleh karena baginda masih bayi maka pemerintahannya dipangku oleh Yamtuan Muda Daeng Kemboja dengan dibantu oleh penolongnya Raja Haji.
Daeng Kemboja menunjukkan kekuatan melantik Raja Mahmud sebagai Sultan kerana wujudnya perebutan kuasa antara pembesar Bugis dengan pembesar Melayu. Pembesar Melayu mahukan salah seorang daripada saudara - saudara Al Marhum Sultan Abdul Jalil ( Raja di Baroh ), sama ada Tengku Abdul Kadir atau Tengku Buang, dilantik Sultan. Sedangkan pembesar Bugis yang dipimpin Yamtuan Muda Daeng Kemboja mahukan adinda Al Marhum Sultan Ahmad Riayat Shah yang baru mangkat, iaitu Raja Mahmud.
Semasa pemerintahan Sultan Mahmud keadaan daerah takluk Baginda di Riau-Johor-Lingga-Pahang tidak aman kerana masalah perebutan kuasa antara puak Melayu dan Bugis berterusan. Pergolakan politik yang hebat berlaku yang melibatkan pihak Belanda. Dalam satu pertempuran antara Belanda dengan angkatan lanun dari Tempasok, Sultan Mahmud pura - pura membantu Belanda tetapi meriam yang digunakan untuk menyerang lanun tidak berpeluru. Akhirnya Belanda menyerah kalah di Tanjung Pinang dan terpaksa meninggalkan Tanjung Pinang tanpa membawa satu barang pun kembali ke Melaka.
Oleh kerana khuatir Belanda datang semula untuk menyerang balas, maka Sultan Mahmud beserta pembesar - pembesar baginda berangkat meninggalkan Riau ( Tanjung Pinang ) menuju Pulau Lingga ( Daik ). Baginda menitahkan agar pusat pemerintahan baru dibangunkan di tempat baru ini. Sejumlah 200 perahu mengiringi Baginda ke Pulau Lingga. Sementara itu Bendahara Abdul Majid yang ketika itu berada di Riau ( Tanjung Pinang ) bertolak meninggalkan tempat itu bersama 150 buah perahu, pulang ke Pahang.
Setelah itu ramailah orang - orang Melayu meninggalkan Riau menuju Bulang, Selangor, Terengganu, Kalimantan dan pulau - pulau lain di daerah Riau.
Yang tinggal hanya orang - orang Cina yang bekerja di ladang gambir dan lada hitam. Kebanyakan ladang yang ditinggalkan oleh tuan punya yang terdiri daripada orang Melayu dan Bugis diambil alih oleh orang - orang Cina. Sejak itu semakin ramailah orang Cina tinggal di pulau itu.
Tidak lama kemudian orang Belanda datang semula ke Tanjung Pinang untuk memperkuatkan semula pertahanan mereka. Kompeni Belanda menempatkan 312 orang tenteranya. Belanda berpendapat jika mereka tidak menguasai Riau ( Tanjung Pinang ) Kedudukan mereka akan terancam, tambahan pula ketika itu Inggeris telah membuka Pulau Pinang.
Pada tahun 1795 Belanda telah mengembalikan semula semua wilayah takluk Sultan Mahmud seperti Riau, Johor dan Pahang kepada Baginda. Pada tahun 1803, Sultan Mahmud berkahwin dengan Raja Hamidah atau Engku Puteri anak Al Marhum Raja Haji ( Marhum Teluk Ketapang ). Kata sesetengah orang, Pulau Penyengat yang berhampiran Pulau Bintan dijadikan emas kahwinnya. Pulau ini diperindah dan digelar Pulau Penyengat Indera Mulia. Baginda menyerahkan pulau itu kepada Raja Hamidah sebagai hakmilik peribadinya sementara Pulau Lingga diserahkan hakmiliknya kepada putera baginda bernama Tengku Abdul Rahman yang baginda panggil Si Komeng.
Sultan Mahmud tetap bersemayam di Lingga dan mangkat pada 12 Januari 1812, setelah bertakhta selama 50 tahun. Baginda digantikan oleh Tengku Abdul Rahman.
Semasa menjadi Sultan Riau - Johor - Lingga - Pahang, Sultan Mahmud mempunyai beberapa orang isteri. Sultan beristerikan anak Bendahara Abdul Majid di Pahang. Isteri ini mangkat pada tahun 1803 tanpa beroleh anak. Seorang lagi isteri baginda bernama Cik Makuh, anak pembesar Bugis Daeng Maturang, yang juga dikenali dengan nama Encik Jaafar. Dari perkawinan ini lahir seorang putera bernama Tengku Hussain atau Tengku Long. Seorang lagi isteri baginda bernama Cik Mariam anak pembesar Bugis bernama Bandar Hassan. Mereka beroleh seorang putera bernama Tengku Abdul Rahman ( Raja Jumaat atau Si Komeng ). Isteri baginda seorang lagi ialah Raja Hamidah atau Engku Puteri anak Raja Haji ( Marhum Teluk Ketapang ). Mereka mempunyai cahaya mata perempuan tetapi meninggal dunia tidak lama setelah dilahirkan.
Sultan Mahmud membuka Lingga dan menjadikannya pusat pemerintahan Riau-Johor-Lingga-Pahang. Namun akhirnya dengan campur tangan penjajah dan musuh-musuh politik dalaman maka akhirnya pusat kesultanan di Lingga mengecil untuk hanya berkuasa di Riau-Lingga sahaja di bawah naungan kuasa Belanda, manakala Johor-Pahang bernaung pula di bawah kuasa Inggeris.
Peninggalan sejarah di Lingga tetap meredum kerinduan kepada sejarah gemilang kesultanan silam sejak Sultan Mahmud membuka negeri. Peserta rombongan akan melihat masjid peninggalan yang didirikan oleh Sultan Mahmud pada tahun 1801. Menurut cerita, masjid ini pernah dipindahkan ke Pahang, tetapi cuma digunakan untuk sekali sembahyang Jumaat. Setelah itu masjid dipindahkan semula ke Lingga. Keistimewaannya, masjid ini tidak menggunakan tiang tengah.
Lain - lain tapak bersejarah yang bakal dikunjungi nanti ialah Benteng Bukit Cening, Makam Raja - Raja di Bukit Cengkeh, Makam Merah dan permandian Puteri Lubuk Pelawan.
Dan semestinya akan ada yang mahu melihat apakah Gunung Daik yang dikatakan bercabang tiga seperti dalam lirik pantun popular itu betul - betul mempunyai tiga cabang!
5 comments:
Terima Kasih... Menarik Informasi
Gunung Daik Bercabang Tiga... I nak dodoikan baby Humaira.. lupa rangkap pantun.. mmm dah dapat rangkap pulau padan... and info.. thanks... Wish You Luck!
'92 bernikah dengan org Singkep. Kampung org rumah berdepan dengan selat pulau lingga. Jika cuaca baik dapat melihat di kejauhan puncak gunung daik. sayang cuma ada dua aje puncaknya sementara satu lagi sudah patah. Ingatkan hanya sekadar pantun aje. Rupanya kenyataan. Hebat org-org zaman dahulu, pantun di ilhamkan melalui keadaan semasa. Dulu kita hanya belajar di sekolah saja tapi kini saya bertuah di kalangan org yg dapat menyaksikan sendiri gunung daik bercabang 3.
trime kaseh banyak pakcik.gunung daik ni berade di kampung halaman saye,daik lingge riau,saye jadi terharu melihat postingan pakcik ni,kalau sudi sile berkunjong ke blog saye yg sederhane di http://anjasdaik.blogspot.com
Hancur badan di kandung tanah
budi yang baik di kenang juga
walau pun jumpa kita belum pernah
budi Mu tetapa di kenang walau di dalam mimpi atau terjaga....
@salam sayang dari Abang Zainal Ahmad..
Hancur badan di kandung tanah
budi yang baik di kenang juga
walau pun jumpa kita belum pernah
budi Mu tetapa di kenang walau di dalam mimpi atau terjaga....
@salam sayang dari Abang Zainal Ahmad..
Post a Comment