Wajah ayunya yang menggambarkan kenaifan seorang remaja yang baru mempelajari erti kehidupan sebenar membuatkan Nia Dnata mencipta watak Ming dalam filem sensasi Berbagi Suami khas untuk Dominique Agisca Diyose.
"Pada waktu itu saya berusia 14 tahun apabila pertama kali saya berjumpa dengan Nia. Dia ada meluahkan hasrat untuk mengambil saya berlakon dalam filemnya," ujar model berusia 18 tahun itu ketika ditemui di pra-tonton filem Berbagi Suami baru-baru ini.
Namun pada ketika itu, Nia dikatakan tidak berani memberi watak yang dicipta kepada Dominique kerana usianya yang terlalu muda.
"Hanya waktu saya mencecah 16 tahun baru lah dia memberi skrip Berbagi Suami kepada saya dan lantas saya bersetuju dengannya," ujar gadis berkacukan Cina-Jepun-Jawa ini mengenai pembabitannya menerusi filem lakonannya yang pertama.
Watak Ming yang digambarkan menerusi filem box office itu adalah watak seorang remaja yang ingin mengecapi kekayaan namun bergantung harap kepada kaum lelaki untuk mendapatkan kekayaan tersebut.
"Ming sebenarnya adalah seorang yang bercita-cita tinggi. Oleh kerana dia mempunyai paras rupa yang menawan, dia menggunakan kelebihan tersebut untuk mendapatkan apa yang dia inginkan.
"Namun, Ming sebenar-benarnya takut untuk berdikari serta menunjukkan kebolehannya yang sebenar," tegas Dominique lagi mengenai wataknya yang turut menggambarkan suasana masyarakat Tiong Hua yang turut mempraktikkan poligami.
Namun keberanian Dominique melakukan adegan-adegan berbentuk seksual pada usia yang muda merupakan salah satu faktor yang menarik perhatian ramai pihak media terutamanya di Indonesia.
Semasa penggambaran filem Berbagi Suami, Dominique baru sahaja mencecah usia 16 tahun dan dianggap masih mentah dalam dunia lakonan.
"Adegan-adegan tersebut sememangnya berat untuk saya lakukan kerana aksinya memang taboo dalam masyarakat Indoenesia. Pada awalnya juga saya agak suprise dengan watak yang saya harus lakonkan itu.
"Namun, sebagai pendatang baru, ini merupakan antara peluang yang terbaik untuk menunjukkan kebolehan saya menerusi bidang lakonan ini," tegas kekasih kepada pelakon tampan sinetron, Johnathan Frizzy ini.
Walaupun paparan seksual yang ditunjukkan dalam Berbagi Suami bagaikan benar-benar berlaku, namun Dominique tegas mengatakan bahawa adegan-adegan tersebut sebenarnya "hanya satu cover up."
"Adegan-adegan yang mungkin dianggap keterlaluan sebenarnya tidak berlaku. Kami melakukan cover up agar ianya kelihatan realistik," ujarnya lagi mengenai adegan intimasi berbentuk seksual di atas katil dalam filem itu Walaubagaimanapun, Dominique tidak kisah jika dirinya dilabel sebagai pelakon baru yang berani melakonkan adegan-adegan ghairah.
"Ini merupakan salah satu daripada kehendak dunia lakonan. Adegan seperti ini memang menguji kebolehan seseorang pelakon. Saya ingin dikenali sebagai seorang pelakon serba boleh," ujarnya lagi.
Malah, Dominique turut membuat adegan bercumbuan buat pertama kalinya dengan pelakon filem Arisan Rueben Elishama Hadju dalam Berbagi Suami.
"Nervous banget ya!" ujarnya lagi ketika ditanya perasaannya ketika melakukan adegan cium tersebut.
"Nervous banget ya!" ujarnya lagi ketika ditanya perasaannya ketika melakukan adegan cium tersebut.
Model klip video lagu Mati Bersamamu nyanyian kumpulan Romeo ini kini tidak mempunyai sebarang perancangan untuk berlakon dalam mana-mana filem.
"Saya kini mahu memberi fokus dengan bidang peragaan saya. Mungkin jika saya mempunyai masa terluang, saya akan berlakon dalam filem lagi tapi bukan sinetron," tegasnya yang kini sibuk mengadakan catwalk show di kota Jakarta serta negara-negara Eropah.
No comments:
Post a Comment