Thursday, January 18, 2007

MENJUNJUNG KASIH TUANKU SULTAN SELANGOR

Dengan perasaan terharu dan rendah diri, saya ingin merakamkan sembah takzim dan berterima kasih kepada Tuanku Sultan Selangor kerana sudi membaca artikel saya di Berita Harian pada 29 Disember 2006 yang lalu. (Artikel penuh saya boleh dilihat di blog saya http://shaifulbahri.blogspot.com dan klik archive Disember 2006)-saya siarkan kembali artikel penuh tersebut di bawah.
Saya merasakan begitu terkejut apabila membaca akhbar Berita Harian pada 17 Januari 2007 apabila disiarkan surat dari Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor yang merakamkan ucapan terima kasih kepada saya. Sesungguhnya sebagai rakyat jadi negeri Selangor di bawah payung naungan Tuanku Sultan Selangor, saya begitu terharu apabila Tuanku juga menunjukkan minat membaca artikel saya.
Ianya menambahkan lagi semangat saya untuk terus menulis walaupun ketika ini agak subuk dengan tugasan baru. Berita ini saya juga ingin berkongsi dengan seluruh kerabat TERAJU kerana banyak memberi semangat dan dorongan untuk saya terus menulis. Pada saya kegembiraan dan perasaan bangga ini dengan ikhlas saya kongsi bersama TERAJU.
Di bawah ini disiarkan sepenuhnya titah Baginda Sultan Selangor melalui surat Dato' Mohamad Munir Bani, Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor.
MENJUNJUNG KASIH TUANKU.
Sultan Selangor mahu ilmuwan diketengah

ADALAH saya dengan hormatnya menjunjung titah DYMM Sultan Selangor merujuk kepada rencana akhbar Berita Harian, 29 Disember 2006 bertajuk "Raja Haji Pejuang Ilmuwan Melayu Terhebat" yang ditulis oleh saudara Shaiful Bahri Saidin.

Sultan Selangor berasa sukacita dan mengucapkan terima kasih kepada Berita Harian dan saudara Shaiful Bahri Saidin yang menulis dan memaparkan satu rencana mengenai seorang ilmuwan Melayu iaitu Raja Haji yang dianggap setaraf dengan ilmuwan Islam pada zamannya yang sepatutnya dikenang serta disanjung oleh generasi sekarang.

Sultan Selangor sebagai seorang raja yang telah mengelilingi dunia dengan kapal layar, amat bersetuju dengan penulis bahawa berdasarkan fakta sejarah yang ada, Raja Haji adalah peneroka pertama Melayu yang menggunakan peralatan moden dalam ilmu pelayaran, astronomi, pengembaraan dan geografi.

Mungkin ramai di kalangan masyarakat Melayu khasnya di Selangor yang tidak mengetahui bahawa Raja Haji adalah pahlawan Melayu yang hebat pada abad ke-18 di samping sebagai seorang pelayar, pengembara dan pakar berkaitan ilmu maritim, mempunyai hubungan rapat dengan sejarah Kesultanan Selangor.

Almarhum Raja Haji Fisabilillah adalah saudara kandung kepada Sultan Selangor yang pertama, Almarhum Sultan Salehuddin (Raja Lumu).Almarhum Raja Haji Fisabilillah dan Almarhum Raja Lumu banyak meningalkan warisan sejarah di Kepulauan Melayu.Sultan Selangor juga bersetuju sekiranya keagungan Raja Haji diketengahkan di Pameran Kegemilangan Sains Dalam Tamadun Islam yang bertemakan ‘Sains Islam Mendahului Zaman’ yang akan berlangsung di Kuala Lumpur nanti.

Pameran ini kelak akan dapat memberi pengetahuan kepada masyarakat bahawa terdapat ilmuwan Islam Melayu yang terkenal dan dikagumi oleh bangsa lain yang sezaman dengannya.Selain itu juga, Raja Haji adalah pahlawan Melayu yang sanggup menentang penjajahan Belanda dan mangkat sebagai syahid fisabilillah pada 1784 Masihi.

Sultan Selangor secara peribadi telah menjejaki Keturunan Kesultanan Selangor dan menziarahi makam-makam diraja di Kepulauan Riau, Indonesia, termasuk Makam Diraja Opu Daeng Chelak, Opu Daeng Merewah di Hulu Riau dan Makam Almarhum Raja Haji Fisabilillah di Pulau Penyengat.

Baru-baru ini, iaitu pada 21 dan 22 November 2006, baginda menziarahi makam berkenaan, termasuk juga makam keturunan Raja Haji, iaitu Raja Ali Haji yang sangat terkenal dengan karyanya ‘Tuhfat Al-Nafis’ dan Gurindam Dua Belas.

Baginda berangkat bersama adinda baginda dan juga Menteri Besar Selangor dan diberi taklimat berhubung asal usul salasilah Kesultanan Selangor serta sejarah yang berhubung dengan Kepulauan Riau.

Baginda amat mengambil berat salasilah keturunan baginda dan juga hubungannya dengan Almarhum Raja Haji Fisabilillah serta berharap agar makam berkenaan dapat dijaga dan diabadikan dengan baik.

Baginda juga menitahkan supaya adinda-adinda baginda dan kerabat negeri Selangor dapat menziarahi makam berkenaan bagi mengingati salasilah keturunan Kesultanan Selangor.Baginda berharap agar usaha untuk menghargai tokoh ilmuwan Islam, termasuk ilmuwan Melayu yang dibuat oleh pihak yang berkenaan, diteruskan supaya dapat memberikan pengetahuan kepada masyarakat di samping dapat memberikan satu motivasi dan semangat kepada generasi muda untuk terus memajukan diri demi mencapai kecemerlangan.

DATO' MOHAMAD MUNIR BANI,Dato' Lela Bakti, Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor.

2 comments:

Anonymous said...

Tahniah Along Saiful atas penulisan anda. Bukan senang nak mendapatkan perhatian ramai, lagi-lagi seperti pemimpin/pemerintah tersohor DYMM Sultan Selangor. Teruskan usaha anda untuk berjaya dalam bidang ini. And Good Luck for your new job too. Insyaallah Teraju akan pergi bercuti di sana satu hari nanti.

Regards,
Ella

Anonymous said...

Tahniah saudara Saiful atas artikel anda yang menjadi panduan untuk saya membentangkan kertas kerja bertajuk "Manuskrip Pandu Arah Falak Bugis" di Seminar Astronomi sempena Konvensyen Astronomi di USM Penang pada 19 Julai 2008 ini.