Monday, January 08, 2007

ARKIB NEGARA - MPAJA

Ada yang mempertikaikan artikel yang saya tulis di bawah dengan mengatakan bahawa semua itu pembohongan orang Melayu dengan menafikan pengorbanan orang Cina dalam menuntut kemerdekaan. Mereka berkata MPAJA adalah wira orang Cina kerana berani melawan Jepun dengan senjata.

Saya tak nafikan peranan orang Cina juga ada dalam proses menuntut kemerdekaan seperti Dr. Too Chee Chew, yang berperanan melakukan perang saikologi dan mastermind memujuk komunis meletak senjata. Dan juga Koo Chong Kong, pegawai polis yang dibunuh oleh komunis kerana bertugas untuk meminta mereka menyerah diri.

Namun fakta sejarah tidak boleh diubah. MPAJA tetap komunis dan tidak layak untuk di gelar hero atau wira negara. Mengapa sekarang timbul isu sebegini? Bacalah rencana saya ANTI KOMUNIS AGENDA MELAYU seperti di bawah dan juga data sahih dari Arkib Negara yang menjelaskan siapa sebenarnya MPAJA. Terima kasih.

Sumber : http://arkib.gov.my/bm/programkhas/kisahsejarah1.htm
Perang Dunia Kedua dan Pendudukan Jepun di Tanah Melayu mulai 8 Disember 1941 telah memberi peluang kepada Parti Komunis Malaya untuk memperkuatkan organisasinya. Parti Komunis Malaya yang ditubuhkan pada 20 April 1930 telah bekerjasama dengan pihak British untuk menentang Jepun melalui Tentera Anti-Jepun Rakyat Tanah Melayu (MPAJA) berdasarkan perjanjian yang dibuat pada 8 Disember 1940.

Menerusi MPAJA, bantuan senjata, latihan, kewangan, bekalan lojistik dan perubatan telah diperolehi dari British. Dalam tempoh 3 tahun kekuatan tentera MPAJA dianggarkan sebanyak 7,000 anggota dan tidak hairanlah apabila darurat berlaku pihak British dan anggota pasukan keselamatan terpaksa berhadapan dengan kesukaran menghapuskan sekumpulan tentera yang telah dilatih untuk berperang.

Selepas Jepun menyerah kalah, Parti Komunis Malaya telah mengambil kesempatan untuk berkuasa menerusi gerila-gerila MPAJA. Beberapa siri keganasan dan rusuhan serta pergaduhan antara kaum telah berlaku di Tanah Melayu, terutamanya di bahagian selatan Tanah Melayu.

Akibatnya, orang-orang Melayu mulai bertindak-balas terhadap kekejaman anggota komunis Bintang Tiga, seperti pasukan yang diketuai oleh Panglima Salleh Selempang Merah. Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang singkat menyebabkan komunis Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh mereka. Akibat kegagalan komunis Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan bersenjata, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan perletakan senjata api disamping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila terbabit.

Bagi meraih simpati, mengindoktrinasi fahaman komunis dan mendapatkan sokongan orang-orang Melayu, pihak Parti Komunis Malaya telah mengasaskan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diasaskan oleh Ahmad Boestamam berfahaman kebangsaan dan Mokhtaruddin Lasso (MPAJA) berfahaman komunis pada 17 Oktober 1945. Parti Komunis Malaya telah menguasai Parti Kebangsaan Melayu Malaya melalui tokoh-tokoh jawatankuasanya yang terdiri daripada Mokhtaruddin Lasso (Presiden), Arshad Ashaari (bendahari), Rashid Maidin, Abdullah C.D. Parti Kebangsaan Melayu Malaya lebih cenderung bagi Tanah Melayu menyertai Indonesia bagi mendapat kemerdekaan pada 1949.

Terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 merupakan kekalahan kepada Parti Komunis Malaya kerana golongan ini telah diketepikan oleh British. Parti Komunis Malaya telah menukar strategi dan mula mencetuskan kegagasan melalui mogok dan rusuhan. Pihak British bertindak balas dengan mengharamkan pemimpin politik daripada mengetuai kesatuan pekerja, dengan itu melemahkan kedudukan komunis Bintang Tiga.
Pihak komunis Bintang Tiga kemudiannya mulai mengangkat senjata dan beberapa siri serangan dan serangan telah berlaku. Bagaimana pun, insiden pada 16 Jun 1948 iaitu pembunuhan tiga orang pengurus estet berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak telah membawa kepada pengistiharan darurat oleh Sir Edward Gent.

Apabila keadaan bertambah teruk, pada 12 Julai 1948, darurat diistiharkan ke seluruh negara. Parti Komunis Malaya telah diharamkan pada 23 Julai 1948. Seluruh angkatan bersenjata telah digerakkan termasuk Senoi Praaq bagi menentang komunis.

Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat, pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. Rundingan Baling ini yang diadakan pada 28-29 Disember 1955 tidak membawa apa-apa keputusan drastik. Ini disebabkan kerajaan menawarkan pengampunan dengan syarat Parti Komunis Malaya dibubarkan, tetapi Chin Peng pula meminta Parti Komunis Malaya dibenarkan untuk bergerak sebagai sebuah parti politik. Pihak kerajaan yang telahpun mencapai kemajuan dalam membasmikan Parti Komunis Malaya, dan menimbangkan kekejaman Parti Komunis Malaya terhadap rakyat sebelumnya, menolak usul membenarkan Parti Komunis Malaya dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik. Tunku kemudiannya menegaskan kepada rakyat bahawa Parti Komunis Malaya bertindak menentang kerajaan sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka daripada penjajahan British.

Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 ketika darurat masih lagi berkuatkuasa. Pada 31 Julai 1960, darurat ditamatkan setelah ancaman komunis semakin berkurangan dan pengunduran mereka ke sempadan Tanah Melayu dan Thailand. Penempatan baru komunis di sempadan telah membolehkan mereka mengumpul dan memulihkan kekuatannya.
Selepas sekian lama dan atas kesedaran pucuk pimpinan Parti Komunis Malaya, maka pada 2 Disember 1989, Perjanjian Damai (Perjanjian Haadyai) telah ditandatangani di antara Parti Komunis Malaya dengan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand. Perjanjian bersejarah itu telah menamatkan perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya selama 41 tahun dan mengembalikan taat setianya kepada Yang DiPertuan Agung dan patuh kepada Perlembagaan dan undang-undang negara.

No comments: