Sunday, January 07, 2007

SERBUAN DI SEKINCHAN BUKTI KELEMAHAN PENGUATKUASAAN PBT DAN POLIS

Syabas diucapkan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee dan anggotanya di atas serbuan ke atas empat pusat perjudian di Sekinchan malam minggu lalu (Sabtu 6 Januari,2007 jam 10 malam). Walaupun masyarakat Sekinchan merasakan operasi berkenaan sangat baik dan berjaya, namun terdapat beberapa persoalan yang berlegar di fikiran masing-masing selepas kejayaan polis itu.

Antara persoalannya ialah apa tugas sebenar Ketua Balai Polis Sekinchan sehinggakan pusat perjudian terbuka itu bermaharaja lela? Bukan satu malah empat pusat perjudian yang diserbu oleh polis Bukit Aman pada malam itu. Persepsi kami di sini ialah pegawai berkenaan tidak menjalankan tugas sehinggakan pasukan dari Kuala Lumpur terpaksa datang untuk melakukan operasi khas.

Keduanya di manakah tugas dan perlaksanaannya oleh penguatkuasa Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dalam pengeluaran lesen premis perniagaan sehinggakan penyelewengan lesen perniagaan atas nama pusat hiburan keluarga disalahgunakan menjadi pusat perjudian?.

Tidak cerdik jika kita hendak menyalahkan pihak polis sahaja dalam membasmi jenayah dan gejala sosial seperti judi tanpa melibatkan semua pihak terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT). Malah sebelum ini terdapat keluhan dari pihak polis yang mengatakan PBT mengeluarkan lesen sewenang-wenangnya tanpa pengawalan dan pengawasan selepas lesen dikeluarkan.

Ini bukan cerita baharu malah cerita sebegini sudah berpuluh tahun lamanya berlaku di negara kita. Seolah-olah tidak ada kerjasama yang erat dan muafakat antara PBT dan polis dalam menangani masalah jenayah dan sosial.

Inilah yang dapat dirumuskan apabila serbuan ke empat pusat judi di Sekinchan yang telah berjaya menahan 11 pekerja dan 241 mesin slot di 4 pusat perjudian di Sekinchan yang bernilai RM723,000.

Serbuan besar ini telah membuka mata semua pihak. Paling menarik pusat perjudian tersebut terletak berhampiran dengan balai polis Sekinchan iaitu di seberang jalan sahaja. Persoalannya apakah pegawai di balai polis itu tidak tahu?. Jika sudah mengetahui mengapa tidak diambil tindakan?.

Begitu juga dengan MDSB, mengapa tidak diambil tindakan menarik balik lesen premis tersebut kerana sudah terang-terang menyeleweng tujuan perniagaan yang dijalankan?. Mustahil MDSB tidak mengetahuinya kerana pusat perjudian tersebut bukannya tersorok, malah terletak di jalan utama di Sekinchan dan boleh dikunjungi oleh semua orang.

Malah sebelum ini sudah ada aduan dan maklumat diajukan kepada MDSB dan polis, tetapi tiada tindakan tegas diambil. Walaupun ada dilihat pihak polis dan PBT datang ke pusat perjudian berkenaan, tetapi ianya seperti "lawatan muhibah" dan tiada langkah susulan dilakukan selepas itu.

Ini seharusnya mengundang pandangan negatif dari masyarakat seperti apakah sudah berlaku "sogokan" untuk melindungi pusat perjudian tersebut?. Saya juga difahamkan pihak UMNO telah menyuarakan perkara ini di mesyuaratnya, namun aktiviti negatif ini masih lagi berleluasa.

Mungkin inilah contoh kepincangan pengurusan dan pelaksanaan tugas dengan jujur dan amanah seperti yang sentiasa di tekankan oleh Perdana Menteri. Akan tetapi anggota penguatkuasa seperti tidak mengendahkan kegiatan perosak bangsa dan negara yang berlaku di depan mata mereka sendiri. Sungguh menyedihkan.

Secara jujurnya pihak MDSB dan polis seharusnya bermuafakat bersama untuk membenteras gejala sosial dan negatif yang boleh menjalar menjadi jenayah di kawasan mereka. Jangan pula akan ada sindrom tuding-menuding antara jabatan kerajaan yang mula menyalahkan antara satu sama lain. Budaya sebegini tidak sepatutnya berlaku dalam sistem kerajaan berteknologi dan bermaklumat masa kini.

MDSB harus segera mengikis persepsi negatif pembayar cukai taksiran akibat daripada kelemahan melaksanakan undang-undang. Akan wujud tohmahan dan fitnah jika perkara seperti ini tidak ditangani dengan jujur dan bijaksana. Rakyat mahukan penguatkuasa PBT bertugas dengan lebih dedikasi dan tegas dalam mendaulatkan undang-undang.

Jika alasan kekurangan anggota menjadi penyebab mengapa perlaksanaan undang-undang tidak dijalankan secara menyeluruh, saya rasa boleh dipertikaikan kerana tahun lepas kerajaan negeri telah meluluskan sejumlah besar perjawatan pembantu penguatkuasa di seluruh PBT di Selangor.

Sebenarnya saya sendiri sudah bosan untuk mengadu dan memberikan aduan terhadap beberapa kepincangan sosial yang belaku di sini. Kebanyakan aduan kepada PBT mahupun pihak polis dipandang ringan sahaja. Malah acap kali pertubuhan bukan kerajaan(NGO), parti politik, ibu bapa pelajar dan masyarakat sendiri melaporkan kegitan perjudian yang bertopengkan lesen hiburan keluarga berlaku di Sekinchan.

Bukannya satu, malah empat buah pusat perjudian di serbu oleh pihak polis Bukit Aman pada malam tersebut. Kredibiliti pegawai dan anggota polis di Balai Polis Sekinchan kini mula dipertikaikan oleh masyarakat. Malah ianya bukan perkara baru kerana masih ada pusat hiburan dan pub beroperasi sehingga dini hari tanpa "gangguan" dari pihak berkuasa.

Suatu ketika dahulu, Sekinchan pernah menjadi pusat pelacuran yang dijalankan secara sembunyi-sembunyi di hotel murah dan tingkat atas bangunan kedai. Walaupun ianya bermusim, namun hakikatnya tiada ketegasan dari pihak berkuasa menjadikan aktiviti sosial yang haram ini tetap berlaku mengikut musim.

Juga pusat biliad dan snooker yang bertopengkan dengan lesen kelab sukan dan sosial persendirian yang mempunyai ahli, menjadi pusat budaya lepak remaja suatu masa dahulu. Ini juga penyelewengan lesen perniagaan yang 'bertopengkan' persatuan atau kelab sukan dan sosial yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengaut keuntungan dengan penipuan lesen perniagaan.

Bukannya PBT tidak tahu aktiviti dan modus operandi sebegini, tetapi masyarakat ingin tahu sampai bila akan diambil tindakan?. Apakah ada 'kekebalan' tertentu kepada pemilik pusat perjudian sebegini?.

Masyarakat di Sekinchan mahukan MDSB membenteras segera penipuan lesen perniagaan dengan bertopengkan lesen hiburan keluarga, tetapi menjalankan aktiviti perjudian. Siapa lagi kita boleh harapkan untuk membenteras jenayah dan gejala sosial kalau bukan pihak berkuasa?.

Pihak polis suatu masa dahulu pernah mengeluh kerana pihak PBT tiada kawalan dan pemeriksaan susulan yang kerap terhadap lesen premis perniagaan yang mereka sendiri keluarkan. Antara contoh lesen perniagaan yang kerap diseleweng oleh peniaga rakus ini ialah lesen rumah urut, hotel, spa, pusat kecantikan dan mandi wap yang menjadi pusat pelacuran. Manakala lesen kafe siber, pusat internet, lesen pusat hiburan keluarga dan pusat snooker ditipu menjadi pusat perjudian mesin slot.

Rakyat berharap serbuan di Sekinchan akan membuka mata pihak polis dan PBT untuk bekerjasama dengan lebih erat untuk melaksanakan undang-undang negara. Ketepikanlah sikap ego jabatan masing-masing jika niatnya untuk memastikan seluruh rakyat di negara ini dapat hidup dengan aman, tenteram, berbudaya sihat dan sifar jenayah dan gejala sosial.

Gunakanlah kuasa yang ada untuk menarik balik lesen jika didapati ianya telah meyeleweng daripada permohonan sebenar. Tanpa ketegasan PBT, perakus perniagaan akan lebih berani untuk melanggar undang-undang. Masyarakat akan menganggap PBT bersubahat dengan perakus perniagaan ini kerana membenarkan mereka melakukan aktiviti dan perniagaan haram.

Harapan rakyat juga amat tinggi kepada pihak polis untuk menjaga dan menjamin ketenteraman awam terpelihara dan aktiviti jenayah dihapuskan. Walaupun Sekinchan agak jauh dari Bukit Aman, ianya tidak bermakna pegawai dan anggota di balai polis 'tertidur' dan 'lupa' dalam melaksanakan amanah agama, bangsa dan negara untuk menjadikan Malaysia terpelihara dengan undang-undang.

2 comments:

Anonymous said...

Ala... biasalah bang... masa bila lagi nak makan duit haram... perut dah boroi, tambahkan boroi lagi dengan duit haram... sebab tu anak dia orang ni memang bebal sangat bila ke sekolah... bakal mewarisi bapak dia makan duit tak berkat ni...

Anonymous said...

Pernah terjadi surat komplen tentang ada xtvt perjudian kat premis tersebut yang dihantar
ke Balai Polis... dengan bangga tokeh judi boleh pamer salinan surat itu kat premis tersebut untuk dibaca oleh pelanggan.
Macammana tokeh tu boleh dapat surat itu...kalau tidak ada orang
dalam polis yang beri...