Saturday, January 06, 2007

ANTI KOMUNIS AGENDA MELAYU

Apa motif sebenar apabila ada pihak tertentu membangkitkan semula peranan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan? Apakah ada agenda tersembunyi di kalangan kaum tertentu apabila mengungkit semula pembinaan sebuah memorial dan tugu peringatan di tanah perkuburan Taman Peringatan Nilai sebagai penghargaan kepada pejuang MPAJA yang dianggap sebagai hero negara semasa pendudukan Jepun?.

Apakah kerana pada tahun ini negara akan menyambut perayaan 50 Tahun Merdeka, golongan oportunis yang bersandarkan kepada perpaduan dan anti perkauman ingin menyemarak dan provokasi terhadap kaum tertentu dengan mengajak mereka memperakui bahawa anggota MPAJA adalah hero negara dan wajar di panggil pejuang kemerdekaan?.

Warga emas mungkin tidak gerun mendengar perkataan MPAJA tetapi mereka akan tersentak dan berbaur kemarahan apabila kita memperkatakan tentang Bintang Tiga. Nama Bintang Tiga akan mengimbau kembali kenangan warga tua tentang kezaliman komunis.

Mungkin generasi kini tidak merasai keperitan Bintang Tiga yang bermaharajalela di Tanah Melayu sebaik peninggalan Jepun. Mereka menyeksa dan membunuh setiap orang disyaki penyokong Jepun. Kemudian, perjuangan itu diteruskan oleh komunis yang berasakan merekalah yang patut mengisi kekosongan peninggalan Jepun. Pejuang kemerdekaan mungkin ramai yang sudah tiada kini. Namun, bagi yang masih ada dan berasakan keperitannya, kekejaman komunis dan kerakusan mereka merampas kuasa dengan senjata menjadi bahan sejarah untuk selama-lamanya.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Parti Komunis Malaya (PKM) telah bekerjasama dengan British untuk memerangi Jepun. PKM berjaya mempengaruhi British membebaskan semua tahanan politik yang berhaluan kiri.

Kerjasama antara PKM dan British telah menghasilkan Sekolah Latihan Khas 101 di Singapura. Latihan yang diberi di sekolah tersebut adalah dalam bentuk perang gerila. PKM lah yang membentuk MPAJA untuk berjuang ala gerila menentang Jepun. Selepas berjaya mengusir tentera Jepun, satu konflik timbul disebabkan polisi tentera British yang sebenarnya anti-komunis.
MPAJA atau Bintang Tiga mendakwa British berjanji untuk menyerahkan negara ini kepada mereka kerana mereka menyokong British tetapi apabila janji ini tidak ditunaikan, gerila MPAJA telah memberontak dan mengganas dengan membunuh ramai orang yang dianggap bersekongkol dengan Jepun yang kebanyakannya orang Melayu.
Menurut ahli akademik Cheah Boon Kheng di dalam buku "Red Star Over Malaysia" konflik perkauman itu mencapai kemuncaknya semasa dan selepas kekosongan kuasa ( interregnum ) dari 15 Ogos hingga 3 September 1945 berikutan dengan pengunduran tentera Jepun.

Ketika tentera Jepun berundur ke bandar-bandar utama, gerila Cina yang dipimpin oleh pergerakan yang diterajui oleh Komunis iaitu MPAJA, keluar daripada hutan dan menguasai 70% kampung dan bandar-bandar kecil. Mereka membalas dendam terhadap individu yang didakwa bersubahat dengan Jepun terutama pegawai Melayu, polis dan ketua kampung sehingga mewujudkan suasana kezaliman ( reign of terror ). Di beberapa bahagian Semenanjung, orang Melayu bertindak balas sehingga ramai orang CIna terbunuh di tangan kumpulan yang diketuai para ulama yang berjihad menentang musuh.

Penentangan tersebut menjadi satu tanda penting permulaan sejarah pembinaan Malaya sebagai satu negara bangsa. Pergaduhan terhenti seketika dengan perwujudan semula undang-undang dan peraturan oleh tentera British pada September 1945, tetapi kemudian ketegangan kembali miningkat sehingga Mac 1946.

Bagaimanapun ia tiba-tiba terhenti apabila orang Melayu mula memberi tumpuan untuk penentangan rancangan British menubuhkan Malayan Union yang bertujuan menghapuskan penguasaan politik Melayu dan memberi hak kerakyatan buat pertama kali kepada bukan Melayu di Malaya.
Cheah Boon Kheng berkata, "konflik antara kaum telah memberikan kemenangan yang jelas kepada orang Melayu. Mereka berjaya menentang dan mengalahkan gerakan Komunis bersenjata yang didominasikan orang Cina dan menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu". (buku Red Star Over Malaya ).

Kepimpinan Melayu tidak menjadi sombong dan bongkak apabila British bersetuju mewujudkan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

Sekalipun UMNO sejak itu berslogankan “UMNO is Melayu and Melayu is UMNO”, tetapi UMNO tidak dibawa oleh arus sentimen perkauman yang sempit.
UMNO menolak konsep PAS yang menentang perkongsian kuasa dengan bukan Melayu. Sindiran paling tajam oleh Pemimpin PAS, Dr. Burhaniddin Hilmi di awal tahun 60an terhadap dasar berbaik-baik dengan bukan Melayu ialah “ayam di kepuk mati kelaparan, kera hutan disusui.” PAS menganggap kemerdekaan Malaya yang diberikan oleh British di atas dulang emas ( tanpa pertumpahan darah ) sebagai kosong kerana masih mengekalkan pengkalan tentera British dan sistem pemerintahan dan perlembagaan ala British.
Bagai tidak mahu mengakui hakikat dan kebenaran fakta sejarah, golongan yang buta sejarah mula mengungkitkan kembali semarak perkauman dengan digambarkan bahawa orang Melayu seperti menidakkan peranan kaum Cina dalam perjuangan menentang penjajah Jepun dan British seperti MPAJA.
Gambar di atas ini adalah bukti terdapat golongan yang masih buta sejarah negara. Dengan bangganya mereka mengagungkan perjuangan MPAJA semasa perang dunia kedua dan selepasnya. Sedangkan mereka seperti susah untuk mengakui hakikat bahawa MPAJA itu adalah komunis.

Kumpulan ini sebenarnya sudah tiada modal untuk berpolitik dan mereka kononnya berpaksikan sempena sambutan 50 tahun negara merdeka dengan memperingati perjuangan MPAJA yang telah dibuktikan sejarahnya adalah konrad dan anggota perisik Parti Komunis Malaya (PKM).

Kononnya perjuangan kemerdekaan sebelum ini adalah berlandaskan perkauman iaitu hanya orang Melayu sahaja yang mendabik dada merekalah pejuang kemerdekaan. Oleh itu golongan buta sejarah ini mengambil perjuangan MPAJA juga adalah pejuang kemerdekaan dan layak dihargai dan disanjungi.

Golongan seperti ini sebenarnya perosak minda bangsa dan generasi muda, dan menafikan fakta sejarah. Mereka seperti sudah hilang akal dengan mengagungkan perjuangan komunis dalam agenda perjuang politik masa kini dan memutar belitkan fakta sejarah.

Sempena 50 tahun kita merdeka, mereka memperjuangkan kononnya merekalah golongan yang memartabatkan perpaduan nasional sedangkan slogan mereka "Henti main sentimen perkauman untuk kepentingan politik" yang kononnya ditujukan kepada kerajaan, sebenarnya mereka tujukan kepada diri mereka sendiri yang memprovokasi isu perkauman dengan melaga-lagakan orang Melayu dan Cina dan mengungkitkan kembali perjuangan MPAJA yang mereka anggap juga sebagai pejuang kemerdekaan negara.

Topik ini cukup panas ketika ini akhbar bahasa Cina, laman web dan blog yang mirip dan gemar membangkang kerajaan. Mereka seolah-olah tidak berpuas hati dengan sentimen orang Melayu sahaja yang berjuang, sedangkan mereka juga berperanan sama.

Kita tidak marah jika mereka mengagungkan pemimpin kemerdekaan negara dari parti MCA dan saudagar Cina kerana sejarah telah membuktikan MCA yang mewakili kaum Cina juga terlibat sama dengan aktif menuntut kemerdekaan negara.

Seperti sudah trend terkini, perdebatan dan pandangan secara terbuka sudah mula bergerak aktif di media cetak dan internet. Jika tidak dipandang serius perkara ini, ia lambat laun akan menyemarakkan isu perkauman antara Melayu dan Cina. Kumpulan sebegini amat membahayakan keselamatan negara.

Mesti ada matlamat tertentu golongan ini mengungkitkan kembali kezaliman Bintang Tiga ketika negara menuju kemuncak sambutan 50 Tahun Merdeka. Yang amat dikesali, golongan muda yang tidak mendalami sejarah negara akan terpengaruh dengan dakyah negatif ini. Mereka mula disemai dengan perasaan anti kerajaan dan secara tidak langsungnya anti orang Melayu juga kerana kerajaan dan kakitangannya majoriti disandang oleh orang Melayu.

Kehadiran bukan Melayu di negara ini dipandang dari sudut positif. Kepimpinan Melayu berpendapat sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi negara akan memberi faedah bagi pembangunan Melayu disamping akan mempengaruhi orang Melayu kearah bersikap rajin dan berkerja keras. Tuntutan dan tentangan terhadap kedaulatan Melayu oleh bukan Melayu telah diberikan jawapan yang rasional dan logik.

Umpamanya terhadap tuntutan bukan Melayu sebelum Merdeka supaya British menyerahkan kemerdekaan negara ini kepada Malayan, Al Marhum Tunku Abdul Rahman pernah bertanya siapakah yang dirujukkan sebagai Malayan.
Kata Tunku, “apabila orang Melayu menentang Malayan Union, bukan Melayu tidak menyertainya kerana menganggap ini adalah masalah orang Melayu. Mereka juga menunjukkan kesetiaan kepada negara asal mereka dan kerana itu menentang Barne Report untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara”.
“Maka banyak masalah yang akan dihadapi jika kemerdekaan negara ini diserahkan kepada mereka yang dikatakan Malayan sedangkan kerakyatan mereka belum didefinasikan,” kata Tunku. (buku Political Awakening oleh Tunku Abdul Rahman).
Sekalipun Tunku dilihat sebagai seorang yang sangat liberal dan banyak bertolak ansur dengan bukan Melayu tetapi ketajaman penglihatannya tentang bahaya kepada masa depan Melayu adalah melampaui pejuang-pejuang Melayu yang lain seperti Ibrahim Yaacob, Ahmad Bustaman, Ishak Hj. Mohamad dan Dr. Burhanudin yang menerima komunis sebagai rakan seperjuangan dalam menentang penjajahan Barat, tetapi Tunku melihat kuasa China di belakang PKM yang jika ditakdirkan menang dalam perjuangan bersenjatanya pasti akan mengatasi kuasa kepimpinan Melayu.
Sekalipun nasionalis Melayu yang pro Indonesia percaya kepada konsep Nusantara akan mempertahankan kuasa Melayu tetapi kekuatan persenjataan dan kemajuan teknologi negara China Komunis sebagai kuasa besar tidak mungkin akan dapat disaingi oleh Nusantara Melayu sebaliknya akan berakhir di bawah telunjuk China Komunis atau Soviet Union.
Sifat perkauman PKM dapat dilihat dengan jelas apabila Setiausaha Agung parti itu, Chin Peng menyifatkan sokongannya kepada pendaratan tentera Indonesia di bumi Malaysia pada tahun 1963 dalam masa konfrantasi hanyalah sebagai "lip service" sahaja. PKM sebenarnya tidak begitu menyokong kempen ganyang Malaysia yang dijuarai oleh PKI ( Parti Komunis Indonesia ) kerana kejayaannya akan meletakkan PKM di bawah PKI yang didukung oleh orang Melayu. ( Aloysius Chin, buku The Communist Party of Malaya).
Jelas sekali apabila isu Bintang Tiga dibangkitkan oleh golongan tertentu, pasti ia akan menarik minat orang Melayu untuk menentang kembali fakta songsang tentang MPAJA yang menaikkan marah orang Melayu.

Fakta sejarah seperti yang dinyatakan di atas tidak diambil serius oleh golongan oportunis perpaduan. Mereka telahpun ada skrip baru sejarah negara yang kononnya lebih liberal dan mendokong perpaduan dan menafikan hanya Melayu sahaja sebagai pejuang kemerdekaan.

Maka dengan sentimen sebegitu, timbullah isu tugu peringatan dan memorial 'hero negara' yang menonjolkan anggota MPAJA yang terbunuh semasa pendudukan Jepun sebagai wira negara. Sedangkan sejarah telah membuktikan Bintang Tiga adalah agen komunis yang terlibat secara langsung dengan PKM.

Apakah kerana majoriti anggota MPAJA adalah kaum Cina, maka golongan oportunis perpaduan ini mengambil kesempatan menonjolkan semula bahawa kaum Cina diabaikan dalam lipatan sejarah negara dalam soal menuntut kemerdekaan?

Perlu diingat di dalam PKM juga terdapat orang Melayu yang aktif berjuang seperti Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh. Namun orang Melayu tidak mengiktiraf mereka sebagai pejuang negara kerana mereka beridealogi komunis dengan perjuangan bersenjata dan kejam, disamping komunis di tolak oleh agama Islam sendiri.

Apakah sudah mula ada golongan tertentu ingin menghidupkan semula idealogi komunis di negara kita dengan bertopengkan perpaduan kaum dan hak sama rata antara kaum disamping 'bantuan' teknologi maklumat tanpa sempadan seperti laman web dan blog?. Sama-samalah kita tunggu.

No comments: