Saturday, January 13, 2007

KERENAH BIROKRASI MERUGIKAN KERAJAAN


"Minta maaf Encik. Encik kena ikut prosidur yang ada. Ini arahan dari pihak atasan dan saya hanya menjalankan tugas. Saya kena ikut garis panduan yang telah ditetapkan dan Encik pula kenalah ikut peraturan".

Itulah jawapan daripada kakitangan awam apabila kita mengadu terlampau banyak borang yang perlu diisi disamping banyak sangat unit, bahagian dan jabatan yang perlu disampaikan sesuatu permohonan. Dengan kata lain kerenah birokrasi terpaksa kita lalui walaupun ia terpaksa memakan masa dan perbelanjaan. Itu baru berurusan dengan satu jabatan sahaja. Bayangkan jika permohonan kita melibatkan sehingga 14 jabatan untuk memberikan ulasan seperti permohonan cadangan pembangunan membina resort.

Jika kita inginkan jalan pintas, bermakna kita akan bergelumang dengan rasuah. Mungkin kita pula akan berkata kepada penjawat awam,"tidak ada 'cara lain' ke supaya permohonan saya dapat dipercepatkan?. Kalau hendak 'duit kopi' saya boleh uruskan".

Kita sebenarnya akan menggalakkan kakitangan awam menerima rasuah semata-mata untuk mempercepatkan kelulusan. Apakah budaya sebegini yang ingin kita amalkan?.

Inilah persoalan yang membelenggu kakitangan awam dan orang ramai yang berurusan dengan pejabat kerajaan. Senarionya hampir sama cuma fungsi jabatan kerajaan sahaja yang berbeza.

Banyak rancangan dan pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha penambahbaikan mekanisme pelaksanaan, penyelarasan, pemantauan dan penilaian, agar program yang dilaksanakan dapat mencapai matlamat yang disasarkan dengan berkesan.

Malah kerajaan akan terus meningkatkan usaha bagi menutup ruang untuk rasuah, amalan tidak sihat serta penyalahgunaan kuasa daripada berlaku, baik di sektor awam mahupun swasta. Inisiatif juga akan diperkenalkan untuk terus meningkatkan ketelusan serta mengurangkan pembaziran. Bagi memperbaik mutu penyampaian perkhidmatan awam, kerajaan akan terus mengurangkan kerenah birokrasi dan menambah baik perkhidmatan agensi barisan hadapan.

Itu janji kerajaan dalam melaksanakan Rancangan Malaysia Ke 9 (RMK9)
yang mahukan sektor awam, sektor swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat turut sama mengambil bahagian dan memainkan peranan masing-masing.

Pada tahun 2003, Pasukan Petugas Menangani Kerenah Birokrasi (PPMKB) telah ditubuhkan disetiap kementerian untuk mengurangkan kerenah birokrasi dengan menambah baik sistem dan prosedur kerja sedia ada di kementerian dan jabatan. Mekanisme sudah ada, tetapi sejauh manakah PPMKB ini berjaya atau tidak untuk menyelesaikan masalah-masalah birokrasi?.

Tugasan PPMKB cukup indah. Antara peranan pasukan khas ini ialah:-
1. memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap serta mencegah penyelewengan dan amalan rasuah.
2. mengenalpasti, mengkaji dan meminda undang-undang dan peraturan yang menghalang kelicinan sistem penyampaian perkhidmatan.
3. mengkaji dan memperakukan penambahbaikan standard perkhidmatan seperti Piagam Pelanggan dan mengambil tindakan susulan terhadap maklum balas pelanggan.
4. menentukan bekalan sumber yang perlu bagi meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan.

Tidak dinafikan terdapat kemajuan dan keberkesanan tugasan pasukan khas ini di setiap kementerian yang berjaya dan mencapai kejayaan cemerlang. Contohnya proses permohonan kontraktor di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berjaya dipercepatkan daripada 60 hari kepada 30 hari. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pula dapat memendekkan masa memproses bayaran balik daripada 2 minggu kepada 2 hari sahaja. Manakala Jabatan Imigresen Malaysia berjaya memendekkan proses bagi pengeluaran paspot baru daripada satu minggu kepada tiga hari sahaja, dan pembaharuan paspot dapat dilakukan dalam tempoh 24 jam.

Bahagian yang paling banyak mendapat sungutan dan komen dari orang ramai ialah bahagian perlesenan dan permit. Sebab utamanya ia bersangkutan dengan pertumbuhan ekonomi negara. Tanpa dokumentasi perundangan ini akan mengakibatkan sesuatu perniagaan diistilahkan sebagai haram atau tanpa kebenaran.

Inilah yang terpaksa ditempuh oleh ahli perniagaan. Akibat kerenah birokrasi yang melambatkan pengeluaran lesen dan permit, mereka sanggup menanggung risiko menjalankan perniagaan secara tidak sah. Maka wujudlah beribu-ribu kilang haram seperti di negeri Selangor. Kajian Jabatan Perancang Bandar dan Desa Selangor menunjukkan terdapat sebanyak 1500 kilang tanpa kebenaran di Selangor pada tahun 2005 dan jumlah ini semakin meningkat sekiranya klasifikasi kilang diperluaskan kepada kilang-kilang yang beroperasi tanpa lesen perniagaan di atas tanah perindustrian.

Akibat kerenah birokrasi dalam pengeluaran lesen dan permit, ia sebenarnya merugikan kerajaan sendiri kerana jika di"halal"kan kilang-kilang tersebut dengan segera tanpa banyak kerenah, sudah pasti hasil pendapatan kepada kerajaan negeri berlipat kali ganda kerana kilang yang sah akan membayar harga lesen, cukai tanah, permit, lesen industri dan cukai taksiran.

Apakah kelewatan pengurusan perlesenan dan permit tidak difikirkan secara serius?. Ini kerana akibat kelewatan, hasil kerajaan juga berkurangan dan ini akan menjejaskan proses pembangunan. Ia juga akan menggalakkan amalan sogokan wang kepada penjawat awam supaya kilang-kilang tersebut tidak dikenakan tindakan undang-undang.

Pelbagai langkah diambil oleh kerajaan untuk mempercepatkan pengeluaran lesen dan permit bagi mengurangkan kos perniagaan dan memudahkan operasi sektor swasta. Antara proses yang boleh dilakukan adalah seperti :-
1. mengkaji semula keperluan bagi lesen dan permit tertentu.
2. memperkenalkan borang permohonan dan lesen komposit.
3. melanjutkan tempoh sah laku lesen dan permit.

Inisiatif sebegini amat penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dan kekuatan mentaliti rakyat adalah sejajar dengan hasrat kerajaan dalam RMK9. Contohnya industri perhotelan memerlukan 14 jenis lesen dan permit dari pelbagai jabatan. Usaha harus diperkemaskan agar 14 lesen tersebut digabungkan menjadi satu lesen komposit sahaja. Mungkin pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh diberikan tanggungjawab untuk pengurusan lesen komposit perhotelan.

Pujian seharusnya diberikan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kerana telah mempercepatkan proses kelulusan bagi lesen import dan eksport serta lesen di bawah 'Generalised System of Preferences' (GSP). Manakala Kementerian Pelancongan telah menurunkan kuasa penuh kepada Pesuruhjaya Pelancongan bagi mempercepatkan pengeluaran pelbagai lesen dan permit berkaitan industri pelancongan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini secara jujur mengakui kerenah birokrasi menjadi punca utama sektor pertanian negara masih gagal dibangunkan seperti yang dikehendaki. Walaupun bermacam-macam dasar, program dan insentif dirangka, namun kejayaannya masih jauh daripada yang diharapkan malah seolah-olah ditakuk lama walaupun kerajaan berbelanja besar untuk pembangunan sektor pertanian. Menurut Muhyiddin, pegawai-pegawai pertanian cuma dilihat mahir dalam aspek teori sahaja tetapi gagal secara praktikal untuk membantu aspirasi kerajaan.

Kegagalan memajukan sektor pertanian adalah disebabkan oleh kebanyakan program yang diperkenalkan oleh kementerian hanya bersifat ad hoc selain diburukkan lagi oleh kerenah birokrasi.

Begitu juga dengan sektor pelancongan sehinggakan menterinya melenting apabila sesetengah agensi kerajaan menimbulkan pelbagai masalah kepada pelancong dan pengusaha pelancongan. 'Red tape' yang dihidangkan sesungguhnya menggugat program mega kerajaan iaitu Tahun Melawat Malaysia 2007 yang mensasarkan RM44.5bilion pendapatan.

Contohnya permohonan lesen hotel dari Kementerian Pelancongan untuk sektor hotel bajet kategori satu bintang dan kategori orkid, mensyaratkan bilik air adalah secara berkongsi untuk kelas dormitori. Tetapi pihak PBT tidak meluluskan lesen perniagaan hotel kerana syarat PBT bilik air tidak boleh dikongsi. Terdapat percanggahan syarat kelulusan lesen yang berbeza antara dua agensi. Tempias masalah adalah peniaga hotel bajet tersebut kerana berniaga tanpa lesen perniagaan dan membantutkan usaha jika peniaga tersebut ingin membuat pinjaman bank.

Apakah kerana terlampau mengikut prosidur dan peraturan, perkara-perkara yang bersifat 'common sense' tidak boleh diberikan kewajaran untuk dipertimbangkan?. Apakah ini juga boleh dikategorikan kepada kerenah birokrasi walaupun ianya bukan berunsur mencari jalan pintas yang memungkinkan perlakuan rasuah terjadi?. Apakah semakin maju negara itu semakin luntur nilai-nilai 'common sense'nya?

Inilah yang terjadi di negara maju seperti Amerika Syarikat apabila taufan Katrina yang melanda New Orleans telah merosakkan seluruh bandaraya dan semua utiliti dan perhubungan terputus. Dalam keadaan darurat itu, masih ada agensi kerajaan persekutuan yang ingin menjaga imej dan prestasinya. Datuk Bandar New Orleans, Ray Nagin naik berang apabila kerajaan persekutuan menghalang doktor, pakar bedah dan pembantu perubatan untuk menyertai operasi menyelamat kerana mereka belum dilantik untuk menyertai operasi menyelamat tersebut.
Saya percaya walaupun sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap, masih terdapat kekurangan dan sering mendapat kritikan. Namun budaya dan suasana kehidupan kita tidaklah seteruk seperti di New Orleans. Pertimbangan yang waras warga Malaysia amat tinggi apabila kita menghadapi bencana.
Budi bicara dan pertimbangan yang waras juga amat dituntut walaupun penjawat awam terikat dengan prosedur yang ketat untuk menangani masalah birokrasi dan amalan rasuah. Inilah yang terjadi kepada seorang pelajar IPTA yang lulus dalam satu mata pelajaran tetapi slip keputusan dinyatakan gagal. Beliau terpaksa membayar wang rayuan semula sebanyak RM50. Akhirnya pengurusan IPTA mengesahkan berlaku kesilapan cetakan pada slip keputusan.

Proses tuntutan wang RM50 terpaksa berlangsung selama lapan bulan kerana kerenah birokrasi dan tuding menuding dari pejabat fakulti ke pusat bahasa, dan kemudian ke pusat rekod, pusat komputer dan akhirnya ke pejabat bendahari. Akibat kesilapan dan kelalaian pihak lain, pelajar tersebut terpaksa menanggung kerenah birokrasi dan menjadi seperti bola ditendang ke sana sini.

Ini contoh masalah paling remeh tetapi memakan masa yang lama untuk diselesaikan. Dimanakah letaknya pengurusan kualiti di bawah program Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) selain usaha berterusan dalam pengurusan kualiti seperti Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK).

Agak menghairankan bagaimana sesuatu jabatan kerajaan mendapat pengiktirafan MS ISO 9000 sedangkan kualiti, inovasi dan penandaarasan boleh dipertikaikan semasa mencapai pengiktirafan organisasi dalam menyediakan perkhidmatan yang berorientasikan pelanggan.

Walaupun mulai 1 Januari 2004 semua agensi kerajaan beralih kepada standard baru MS ISO 9001:2000 yang memerlukan setiap organisasi memberikan penekanan kepada kehendak pelanggan dan pengukuran kepuasan hati pelanggan, ianya hendaklah dipraktikkan secara berterusan dan menyeluruh, dan bukan hanya aktif dan berkualiti semasa semakan dan pemeriksaan sebelum mendapat sijil. Apabila sudah memperolehi persijilan standard, kualti perkhidmatan balik ke takuk lama.

Menurut Laporan Biro Pengaduan Awam 2005, daripada 2707 aduan yang diterima, 50 peratus adalah berkaitan dengan kegagalan atau kelewatan dalam memberikan layanan atau maklumbalas terhadap permohonan atau keperluan pelanggan yang berkait langsung dengan kerenah birokrasi.

Walaupun Perdana Menteri sendiri menegur masalah birokrasi dan kelemahan sistem penyampaian awam dan meminta dikaji dan diteliti semula sistem termasuk pelbagai prosedur lapuk, namun ianya perlu menyeluruh dan tidak tertumpu kepada masalah dan kesukaran pelabur sahaja.

Jika petugas khas yang bakal dibentuk akan mendapatkan pandangan dan input berdasarkan kehendak sektor swasta, kerenah birokrasi yang berkaitan dengan perkhidmatan kepada orang awam juga sepatutnya digalakkan dengan mendapatkan input dari orang ramai cara-cara menangani kerenah birokrasi mengikut pandangan dan acuan pelanggan.

Dengan cara ini akan memantapkan perkhidmatan awam dan membanteras rasuah ke arah memastikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat kerana ketidakcekapan boleh menjurus kepada rasuah.

Industri hiburan juga tidak terkecuali dari kerenah birokrasi. Dalam pengendalian sesuatu kosert, ia akan melibatkan terlalu banyak prosedur dan pengisian borang di peringkat PBT, kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan. Walaupun penganjuran konsert perlu menambil kira sensitiviti persekitaran, sosial dan keselamatan, namun jika pihak yang bertanggungjawab kurang pengalaman dan pengetahuan tentang industri hiburan, ianya akan lebih merumit lagi untuk mendapatkan kebenaran atau permit.

Walaupun begitu, kerajaan diharapkan tidak mudah berkompromi dan tunduk kepada desakan pihak-pihak tertentu dalam pengeluaran permit dan lesen yang boleh mengancam keselamatan, jenayah dan peningkatan masalah sosial.

Sebagai contoh lesen pusat hiburan seperti pub, kelab malam dan karaoke. Ketegasan dan permuafakatan antara agensi kerajaan adalah dituntut untuk mengetatkan lagi prosedur pengeluaran lesen dan juga kawalan selepas lesen dikeluarkan secara bersepadu di antara PBT dan polis.

Mungkin pengusaha pusat hiburan akan mengeluh kerana banyak sangat peraturan dan prosedur. Tetapi pihak kerajaan diharap janganlah diberikan kelonggaran untuk mengurangkan 'red tape' kerana ianya nanti akan menyusahkan pihak berkuasa sendiri.

Kerajaan juga diharap supaya jangan berkompromi dalam urusan pengeluaran lesen atau permit barang lusuh dan besi buruk, yang akan menggalakkan jual beli barang curi. Permit pasir pula banyak yang disahgunakan dan melebihi had yang sebenarnya. Lesen pusat hiburan keluarga pula diseleweng menjadi pusat perjudian. Perlesenan dan permit sebegini perlu lebih ketat dan banyakkan lagi siasatan sebelum kelulusan diberikan kerana perniagaan sebegini lebih terarah kepada penyelewengan dan salah guna lesen dan permit kepada kegiatan melanggar undang-undang seperti jenayah, pelacuran dan perjudian.

Memang terdapat unsur-unsur berlakunya rasuah dan jalan pintas untuk mendapatkan kelulusan segera lesen dan permit 'panas' tersebut, tetapi ianya haruslah dibezakan daripada kategori yang berkepentingan rakyat dan pembangunan ekonomi negara.

1 comment:

rabiatul adawiyah said...

Saya amat setuju dengan huraian dalam tajuk kerenah birokrasi ini.
Apa yang lebih menyedihkan, kerenah birokrasi ini juga bukan hanya melibatkan kegiatan ekonomi sahaja bahkan juga pendidikan.
Sebagai contoh, seorang pelajar yang mempunyai masalah kewangan telah memohon untuk mendapatkan biasiswa. Belum pun borang permohonan itu dihantar kepada pihak yang berwajib, beliau sudah pun terpaksa melalui pelbagai kerenah birokrasi di peringkat pengurusan universiti. Perlu ada pengesahan si A, si B, perlu ada itu, perlu ada ini. Padahal, apa yang diinginkan itu tak pun diperlukan oleh pemberi biasiswa. Hal ini menyebabkan, pelajar tadi putus asa untuk apply biasiswa tersebut. Hal ini amat merugikan pelajar tersebut. Cemerlang dalam akademik, namun gagal untuk dapatkan bantuan di bumi pertiwi sendiri. Sedih kan?