KENYATAAN Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin baru-baru ini tentang rasa tidak senang beliau dengan pembinaan memorial memperingati perjuangan komunis di tanah perkuburan Cina di Sarawak dan di Nilai, Negeri Sembilan telah mengundang kontroversi.
Kenyataan tersebut dipertikaikan oleh pihak serta persatuan yang menyokong pembinaan memorial itu.
Perkara yang menimbulkan perbahasan ini adalah rentetan daripada pembinaan sebuah memorial dan sebuah tugu peringatan di tanah perkuburan Taman Peringatan Nilai, Negeri Sembilan.
Pertama, sebuah memorial yang dibina untuk memperingati 18 orang pemimpin Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) yang dibunuh oleh tentera Jepun akibat pengkhianatan pemimpin kanan mereka sendiri pada 1 September 1942.
Memorial tersebut terpahat dengan perkataan Hero 1 September.
Kedua, sebuah tugu peringatan yang dibina bersebelahan dengan memorial yang pertama tadi yang dipahat dengan perkataan Sebuah monumen memperingati hero-hero Malaya dalam gerakan menentang penaklukan Jepun 1941-1945.
Melihat kepada memorial pertama ini, persoalan timbul adakah kematian 18 orang pemimpin MPAJA ini wajar diterima atau wajar diingati oleh masyarakat sebagai kematian ‘wira’ atau ‘hero’?
Menelusuri sejarah, MPAJA ditubuhkan bukanlah bertujuan untuk mempertahankan Malaya sebagai tanah air tetapi kerana sentimen anti Jepun oleh kaum Cina yang berakar umbi sejak konflik China-Jepun dan kerana layanan buruk tentera Jepun kepada kaum Cina.
MPAJA adalah sebuah gerakan bersenjata yang ditubuhkan, diuruskan dan dibiayai oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Sejarah menunjukkan bahawa kebanyakan pemimpin MPAJA terdiri daripada pemimpin atau ahli PKM sendiri.
Dalam buku alias Chin Peng My Side of History juga ada diceritakan tentang kisah serang hendap pada 1 September 1942 oleh tentera Jepun yang mengakibatkan kematian ramai ‘komrad’ beliau. Maka jelas, individu yang diperingati serta dikaitkan dengan pembinaan memorial tersebut terdiri daripada pemimpin-pemimpin PKM.
Dalam buku alias Chin Peng My Side of History juga ada diceritakan tentang kisah serang hendap pada 1 September 1942 oleh tentera Jepun yang mengakibatkan kematian ramai ‘komrad’ beliau. Maka jelas, individu yang diperingati serta dikaitkan dengan pembinaan memorial tersebut terdiri daripada pemimpin-pemimpin PKM.
Oleh itu, adakah memperingati pemimpin PKM ini sebagai wira atau hero suatu konsep yang sesuai dan boleh diterima? Lebih-lebih lagi PKM telah melakukan banyak jenayah pembunuhan ke atas orang yang tidak berdosa di tanah air ini selepas Jepun menyerah kalah.
Adakah pembinaan memorial ini mengambil kira sensitiviti ahli keluarga mangsa keganasan PKM dan ahli keluarga pasukan tentera yang gugur menentang komunis?
Oleh itu, saya amat bersetuju malah menyokong pendirian Zainuddin bahawa memorial tersebut secara tidak langsung dibina sebagai memberi makna untuk memperingati pemimpin PKM sebagai wira atau hero. Ini sepatutnya tidak dibiarkan kerana sensitiviti dan sentimen umum terhadap komunis di Malaysia telah tidak diambil kira.
Merujuk pula kepada pembinaan tugu bagi memperingati hero Malaya dalam gerakan menentang penaklukan Jepun yang dibina di sebelah memorial tersebut, saya tidak nampak rasional untuk keperluan bagi pembinaan tugu tersebut.
Saya percaya Tugu Negara yang terletak di Kompleks Tugu Negara, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur sudah cukup sempurna untuk memperingati jasa pahlawan negara. Tugu pertama dibina bagi memperingati tragedi kemanusiaan dan jasa pahlawan negara dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), Perang Dunia Kedua (1939-1945) dan Darurat (1948-1960).
Binaan tugu kedua yang menggambarkan sekumpulan pahlawan mengibarkan Jalur Gemilang dibina bagi memperingati 11,000 pahlawan negara yang gugur semasa Darurat (1948-1960).
Di negara ini, tarikh 31 Julai setiap tahun telah dipilih sebagai Hari Pahlawan dan setiap tahun upacara memperingati jasa pahlawan negara dilakukan dengan penuh penghormatan.
Oleh itu, apakah rasionalnya membina tugu untuk memperingati hero Malaya menentang penaklukan Jepun di tanah perkuburan Cina? Adakah motif pembinaan tersebut hanya menjurus kepada memperingati perjuangan kaum Cina atau gerakan MPAJA yang sebahagian besarnya dianggotai oleh kaum Cina?
Sesungguhnya saya percaya pembinaan tugu di tanah perkuburan ini hanya akan mengundang kekeliruan kerana Chin Peng dan anggota komunis lain juga boleh mengaku wira atau hero dalam konteks tugu tersebut dibina.
Tahun ini kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara kita yang ke-50 dan dengan meluahkan pendapat ini, sama sekali tidak bermakna saya hendak menafikan sumbangan orang Cina terhadap kemerdekaan dan pembangunan negara.
Namun sekiranya cara ini dimaksudkan sebagai simbol sumbangan orang Cina kepada kemerdekaan negara, ia sesuatu yang amat mengelirukan.
Saya juga berharap kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat memainkan peranan dalam melihat serta memantau pembinaan memorial atau tugu peringatan yang dibina dalam negeri atau kawasan PBT selaras dengan dasar dan wawasan negara. Pembinaan memorial atau tugu peringatan yang tidak selaras atau tidak menepati dasar dan wawasan kerajaan haruslah disekat dan dihentikan.
– ABDUL HALIM LOKMAN,
Seremban, Negeri Sembilan.
Seremban, Negeri Sembilan.
No comments:
Post a Comment