Mengapa apabila Suki menang rancangan One In A Million (OIAM) macam-macam cerita yang timbul? Mengapa pula timbul soal etnik dan wang pelaburan mengundi secara SMS itu dipertikaikan? Yang lebih menghairankan orang yang profesional dalam kewartawanan pun ada yang mempertikaikannya? Wajarkah hiburan juga turut di politikkan dan disensasikan pertembungan antara kaum di Malaysia? Kita sudah hampir 50 tahun merdeka dan mengapa soal perkauman masih menebal dalam diri kita terutama orang Melayu?. Jawabnya kita orang Melayu masih tidak puas hati terhadap apa yang ada dan sikap orang Melayu yang sentiasa irihati dan cemburu terhadap bangsa lain sedangkan mereka sendiri tidak sedar bahawa mereka juga perlu maju dan memartabatkan bangsanya supaya jangan sampai di hina.
Soal Suki menang dalam rancangan OIAM tidak perlu dipertikaikan lagi. Ada yang berkata siaran di stesen swasta itu yang kebanyakannya penonton Cina yang membuatkan Suki menang? Mengapa masih ada lagi mentaliti orang Melayu sebegini yang gemar sangat cemburu dan sakit hati dengan pencapaian orang lain?. Tidak boleh kah kita katakan itu semua sudah rezeki Suki dan bakat yang beliau ada bukan calang-calang sebenarnya. Apakah dunia hiburan di Malaysia ini milik orang Melayu sahaja?. Atau apakah isu yang berbau perkauman yang timbul sejak kebelakangan ini turut mempengerahi minda peminat hiburan tempatan untuk turut sensitif tidak tentu pasal tentang perkauman?.
Pendapat saya orang Melayu yang sebegini sifat dan fikirannya adalah orang yang buta seni, buta sejarah dan buta hidup bermasyarakat. Mereka ini masih kuno duduk di dalam kepompong masyarakat Melayu sahaja dan tidak mencambahkan minda berinteraksi dengan bangsa lain. Mereka ini bersemangat bangsa Melayu yang tidak kena pada tempatnya.
Bukan tidak boleh kita hebat dan sensitif terhadap bangsa kita tetapi perlulah rasional dan kena pada situasinya. Betul juga pendapat sarjana sejarah Barat yang mendefinasikan orang Melayu akan bertindak tidak tentu pasal menimbulkan soal perkauman apabila tahu dirinya mula ditekan, cemburu dengan pencapaian kaum lain dan terasa dirinya tidak diagungkan.
Jelas dilihat pemikiran orang Melayu semakin hari semakin kebelakang dan bukannya maju kehadapan. Pemikiran yang terbuka harus ada dalam hati kita apabila hidup di dalam masyarakat yang berbilang kaum. Akan tetapi itu tidak bermakna kita harus tunduk dan lemah apabila diasak oleh kaum lain. Cinta dan bangga terhadap diri kita seorang Melayu tidak harus luntur walaupun kadang kadang terdapat unsur penghinaan terhadap orang Melayu secara tidak langsung. Namun kredibiliti kita sebagai orang Melayu seharusnya kita pertahankan bersama. Orang Melayu tidak sepatutnya cemburu dan iri hati kepada bangsa lain apabila kita memikirkan segala yang ada di negara ini milik orang Melayu kesemuanya.
Atas sikap seperti inilah soal Suki yang memang OIAM pun menjadi pertikaian pelbagai pihak. Itu sebab saya katakan pemikiran orang Melayu kini semakin berundur ke belakang. Suki juga ada hak untuk menang. Apakah kerana dia seorang Cina tidak boleh menang kerana majoriti peserta orang Melayu?. Mengapa hendak cemburu?. Lebih kuno lagi ada alasan yang berkata Suki menang disebabkan orang Cina banyak duit dan mereka telah memberikan undian SMS yang luar biasa kepada Suki di malam pertandingan akhir itu. Lebih bangang lagi ada orang Melayu yang berkata Suki boleh menang kerana stesen tv swasta itu majoriti penontonnya orang Cina, dan untuk tidak mahu hilang penonton maka "dimenangkan" Suki.
Apakah orang Melayu mudah lupa suatu ketika dahulu sekitar penghujung 70-an, 80-an dan awal 90-an kita semua orang Melayu telah disogokkan dan diperdengarkan di telinga kita nyanyian penyanyi bukan Melayu?. Kemana sahaja lagu-lagu mereka menjadi siulan orang Melayu. Bukan itu sahaja mereka ini (penyanyi bukan Melayu) memonopoli pasaran di industri hiburan tempatan dan menjadi kegilaan orang muda bangsa Melayu ketika itu. Siapa yang tidak kenal Allycats, Francesca Peters, DJ Dave, kumpulan Kenny, Remy dan Martin, Flybaits, Fredo, Andre Goh, kumpulan Cenderawasih, malah anggota kumpulan Freedoms dan Headwinds pun ada yang bukan berbangsa Melayu.
Ketika itu tiada siapa pun mempertikaikan kemenangan Andre Goh di dalam pertandingan lagu asli. Tiada siapapun yang marah apabila David Arumugam dan Loga yang merdu menyanyikan lagu Melayu tetapi tidak fasih berbahasa Melayu. Persoalannya mengapa sekarang pula soal kaum menjadi pertikaian peminat industri hiburan negara? Jika pertandingan bercorak realiti dengan undian melalui SMS yang dipertikaikan, mengapa boleh dan tidak ada suara sumbang pula apabila Vince menang Akademi Fantasia musim pertama, sedangkan majoriti pengundi adalah remaja Melayu?. Apakah perlu ada "double standard" dalam industri hiburan masa kini?.
Kepada peminat-peminat hiburan negara sedarilah bahawa tauke besar di belakang industri hiburan negara adalah orang bukan Melayu. Hanya penyanyi sahaja yang orang Melayu dan kebanyakan pemilik studio, pemilik syarikat rakaman, agensi pengiklanan, agen pemasaran dan malah kedai-kedai yang menjual kaset dan CD dimonopoli oleh orang bukan Melayu. Secara teori bodohnya orang Melayu penat melalak dan terpekik terlolong dapat paling tinggi pun 15 peratus dari keseluruhan jualan album. Malah promoter dan penganjur pertunjukan pentas pun ramai yang dimonopoli oleh orang bukan Melayu termasuklah yang menganjurkan konsert kumpulan nasyid. Hebat bukan?.
Orang Melayu perlulah lebih terbuka pemikiran mereka. Jangan sampai kita diketawakan oleh bangsa lain. Malaysia ini bukan milik orang Melayu sahaja. Begitu juga hiburan bukan sahaja milik orang Melayu sehinggakan bangsa lain tidak boleh menang dalam pertandingan?. Adilkah sifat dan mentaliti kita sebegini?. Tidak terfikirkah kita bangsa lain juga mempunyai maruah, otak dan mulut untuk bercakap?. Apakah bangsa lain kita boleh jangkakan berdiam diri sahaja?.
Mereka pun manusia dan mempunyai perasaan dan juga sebahagian rakyat Malaysia.
Pada pendapat saya orang Melayu yang lemah fikiran, kurang pengetahuan, cetek pengalaman, dan singkat pemikiran yang sempit, beku dan jumud sahaja yang memikirkan semua yang ada dan terhidang di negara kita ini milik dan mesti dipunyai oleh orang Melayu.
Sedarilah Malaysia bukan hanya dimiliki oleh orang Melayu dan Islam itu bukan dianuti oleh orang Melayu sahaja. Bukalah minda anda dan jangan jadi katak di bawah tempurung.
No comments:
Post a Comment