Saturday, October 14, 2006

MULIA SANGATKAH MAWI???



(E MAIL INI ADALAH KIRIMAN SEORANG RAKAN DARI KL..GAYA TULISANNYA MACAM ANTI BETUL DGN MAWI..DIPAPARKAN DLM BLOG INI UNTUK ANDA MENILAI SENDIRI..KITA BEBAS MEMBERI PENDAPAT..BETUL TAK?..TAPI RASANYA KAWAN NI OVER SANGAT KUTUK MAWI..)


Saya merasakan industri hiburan masa kini amat tidak adil sama sekali. Ditambah pula dengan sikap dan semangat fanatik peminat sesesorang penyanyi yang menjadikan dunia hiburan terutamanya nyanyian kini bertambah lesu.
Bagus sangatkah Mawi? Mulia sangatkah Mawi? Dan agung sangatkah Mawi? Persoalan sebegini hanya boleh dijawab oleh peminat Mawi sendiri dan mereka yang menaruh simpati kepada anak kelahiran baru dalam dunia seni hiburan. Saya merasakan di dalam keadaan sekarang ini Mawi amat rimas dengan popularitinya. Mungkin juga saya rasa sekali fikir, Mawi akan terkenangkan kehidupan normalnya di kampung dan bebas bergaul dengan sesiapa sahaja.

Hakikatnya Mawi sendiri yang mahukan dirinya terjerumus ke alam dunia glamor dan popular. Sekurang-kurangnya dunia baru Mawi ini telah merubah gaya dan cara hidupnya. Dengan pendapatan yang cukup lumayan, Mawi sebenarnya boleh bangga dengan kemewahan yang diperolehi dengan sekelip mata sahaja.
Perlu diingat, kedudukan Mawi yang sangat selesa kini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan fanatik dan teramat mengagung-agungkan Mawi sehingga seolah-olah Mawi sudah menjadi "tuhan" peminat "gila" ini.

Sehinggakan Mawi tidak mahu bersentuhan dengan pelakon atau penyanyi wanita menjadi isu besar dalam dunia hiburan. Ditambah pula wartawan hiburan tempatan seolah-olah sudah "menyampah" dengan sikap Mawi yang jauh berubah berbanding dengan penampilan beliau pada awal pembabitan dalam dunia glomor ini.

Ini bukan isu sebenarnya tetapi cerita yang diperbesar-besarkan oleh fanatik Mawi kerana telah menganggap Mawi sudah seperti tuhan mereka. Ramai lagi artis yang tidak bersentuh dengan wanita apabila berlakon dan mengapa pula cerita Mawi sebegini mendapat tempat? Fanatik Mawi seolah-olah ingin menunjukkan kepada rakyat negara kita ini bahawa Mawi seorang yang alim ulama, warak dan berciri-ciri Islam. Tahukah mereka karektor Mawi sebenarnya?.Ditambah pula dengan pengakuan Mawi sendiri yang tidak mahu bersentuh dengan wanita. Bagi saya ini semua adalah gimik dunia hiburan yang mempergunakan Islam sebagai pelaris dan pemujuk supaya peminat lebih setia. Boleh percayakah Mawi tidak pernah bersentuh dengan perempuan?.
Kepada peminat fanatik Mawi janganlah anda tertipu dengan gimik dan tipu helah dalam dunia hiburan. Yang sangat menghairankan isu tidak mahu bersentuh dengan pelakon wanita dalam filem terbaru beliau menjadi topik perbualan hangat sehinggakan SMS di telefon bimbit saya juga menjadi sasaran dengan kiriman SMS yang menagih simpati sama ada Mawi boleh bersentuh tangan dengan pelakon wanita atau tidak? SMS yang dikirimkan oleh seorang peminat "berani mati" Mawi ini ingin mendapatkan undian dari saya agar mereka boleh menghantar sesuatu berbentuk "petisyen" kepada pengarah dan penerbit filem tersebut.

Begitu hebat pengaruh Mawi sehinggakan inilah SMS pertama yang saya terima seumur hidup saya yang mahukan kita menyatakan sokongan Mawi tidak boleh bersentuh dengan pelakon wanita. Apa sudah jadi dengan peminat fanatik Mawi sekarang ini?.

Saya rasa peminat fanatik Mawi seperti sudah tiada apa lagi yang hendak di buat di bulan puasa ini. Selain makan, minum dan bekerja, saya rasa hidup mereka sudah di kuasai oleh "kuasa Mawi" yang begitu hebat dan seperti sudah syirik pula. Celik mata terus teringat Mawi. Nak tidur pun teringat Mawi. Alangkah elok diperbanyakkan ibadat di bulan yang paling mulia dalam agama Islam ini daripada sibuk menghantar SMS. Si penghantar SMS itu saya penuh keyakinan, Mawi langsung tidak mengenali beliau.

Mengapa mentaliti orang Melayu sudah jadi sebegini? Seolah-olah seperti sudah tiada lagi penyanyi lain di dunia ini. Kadang-kadang terfikir juga mengapa sampai begini jadinya orang Melayu yang menjadi terlampau setia dan taksub kepada seseorang yang hanya insan biasa?. Mawi bukan tuhan mahupun nabi.

Saya cadangkan supaya ambil satu hari dan tidak menyiarkan berita Mawi sama ada di media cetak, corong radio, tv mahupun media elektronik. Apakah penyokong "berani mati kerana Mawi" ini akan melakukan sesuatu yang diluar dugaan?.Kiat tunggu dan lihat.

Rata-rata peminat fanatik dan "gila" Mawi adalah mereka yang baru berjinak-jinak dengan industri hiburan. Kebanyakan mereka orang kampung yang tidak terdedah dengan hiburan secara total. Lebih-lebih lagi mereka yang berkupiah dan bertudung yang penampilan berbentuk Islam terpikat dengan Mawi kerana dia boleh azan, mengaji, bermarhaban dan muka seri Mawi yang berjanggut sikit.

Juga ramai peminat Mawi terdiri daripada gadis bertudung yang kononya mengharapkan suatu hari nanti Mawi akan terpikat dan bernikah dengan mereka. "Gila" sebegini sudah ada di kalangan fanatik Mawi. Yang lelakinya dulu sibuk dengan lagu nasyid yang memenuhi koleksi album sama di dalam kereta mahu pun di rumah. Kemunculan Mawi sudah seperti bertukar arus genre muzik mereka daripada nasyid berkumpulan kepada penyanyi solo. Sebabnya muka Mawi ada mirip-mirip golongan kumpulan nasyid yang menjadi idola mereka dulu. Jadi itu sebab mereka fanatik "gila" terhadap Mawi kerana artis lain yang baru seperti Zahid, Vince dan Adam genre muziknya "haram" pada mereka kerana lebih kepada R & B, pop dan rap. Pada mereka genre muzik sebegini adalah haram dan tidak "Islamic". Itulah makanya Mawi popular di samping ada juga golongan yang mengimpikan "hansome" Mawi akan mengiringi mimpi indah mereka di malam hari.

Jika tidak percaya lihatlah orang yang macam mana yang memenuhi konsert Mawi? Orang macam mana yang membeli album Mawi?. Kebanyakannya adalah "newcomers" peminat industri hiburan. Dulu jika mereka hendak pergi konsert Search atau Ella mesti kena marah dengan ibu bapa mereka kerana konsert tersebut tidak Islam. Sekarang emak bapak benarkan kerana Mawi "idola" dan "maskot" berciri Islam, walaupun anak mereka yang menonton konsert Mawi dengan pasangan mereka sambil berpelukan dan berpegangan tangan.

"Islam celup" sebeginilah yang suatu ketika dahulu mengharamkan muzik tetapi kini boleh kerana "maskot" mereka sudah muncul dalam dunia muzik negara. Manusia bertopeng sebegini amat merbahaya.

Raja SMS se Malaysia ini telah mengubah industri hiburan masa kini. Hakikat yang perlu di terima, ramai penyanyi sudah tidak boleh cari makan dan tidak banyak album penyanyi baru mahupun yang lama berada di pasaran sekarang. Ada pun album kompilasi yang lebih bersifat mengumpulkan lagu-lagu terbaik dalam satu album dan mengharapkan belas kasihan peminat untuk membelinya.
Sudahlah lambakan album penyanyi Indonesia menguasai pasaran sekarang ini, ditambah pula dengan fenomena Mawi. Memanglah sendiri punya "taste" untuk minat kepada sesiapa dan sendiri punya duit untuk membeli album sesiapa pun. Tetapi promosi dan penampilan hebat Mawi, telah membuat ia menakluk industri hiburan masa kini. Tidak cukup dengan itu, segala bentuk industri di negara kita sibuk mengambil Mawi sebagai duta jenama mereka dan model iklan. Daripada kereta sehinggalah mee segera. Daripada telefon bimbit sehinggalah ke air minuman dalam tin.

Yang jelas, peminat industri hiburan tempatan sekarang yang tidak sukakan Mawi terpaksa beralih kepada album-album penyanyi dari Indonesia untuk melayan halwa telinga mereka. Tiada album baru dari penyanyi tempatan membuatkan album dari seberang pula yang laku. Ini kerana penyanyi tempatan takut mengeluarkan album baru kerana takut tidak laku dan tidak popular. Dengan kata lain mereka tidak boleh mencari makan seperti dulu lagi.

No comments: