Saturday, October 21, 2006

POLITIKING KUASAI PERLANTIKAN AHLI MAJLIS


Kisah Datuk Zakaria Md Deros, ADUN Pelabuhan Klang sebenarnya tiada apa yang istimewa. Jika hendak diteliti dan dikaji sejarah, bukan Zakaria seorang sahaja yang melanggar undang-undang kerajaan tempatan walaupun kedudukannya sebagai wakil rakyat dan ahli majlis. Juga bukan pertama kali dalam sejarah, wakil rakyat membina rumah berpuluh juta ringgit di kawasan yang dikelilingi oleh rumah kos murah. Dan juga bukan pertama kali terutamanya di Selangor, anak beranak duduk semeja sebagai ahli majlis.

Jika bukan perkara baru, mengapakah kisah Zakaria ini mendapat liputan meluas semua media?. Jawapan yang pasti rakyat terutama pengundi kini sudah bijak dan berani mengeluarkan pendapat dan komentar. Kenapa terjadi sebegini? Kerana rakyat mahukan pemimpin yang ikhlas berkhidmat dan menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat setempat. Rakyat kini sudah celik pentadbiran kerajaan di mana mereka mengetahui peringkat kerajaan yang termaktub di dalam perlembagaan negara dan yang paling hampir dengan rakyat ialah kerajaan tempatan.

Tanyalah mana-mana pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara, ada atau tidak wakil rakyat mahu pun ahli majlis yang "kebal" undang-undang dan peraturan?. Jawapannya 'ya' jika yang bertanya itu adalah rakyat biasa, dan jawapan 'tidak' jika yang bertanya BPR ataupun orang politik sendiri. Pegawai PBT "takut" bersuara lebih kerana umum mengetahui ahli majlis adalah pihak yang berkuasa di sesuatu PBT dan hampir keseluruhan adalah ahli politik yang agihan kerusi mengikut kuota dan kekuatan parti komponen Barisan Nasional di sesuatu kawasan.

Organisasi PBT tidak perkasa kerana PBT diseluruh negara di dalam dilema sama ada hendak mengikut arahan pusat atau kerajaan negeri. Yang pasti hampir kesemua PBT lebih cenderung dan "takut" kepada arahan kerajaan negeri kerana faktor geografi dan PBT lebih hampir kepada pertadbiran kerajaan negeri.

Sedangkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) adalah dibawah kawal selia dan perlaksanaannya oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan(KPKT). Yang pasti setiap tahun PBT akan mengemukakan cadangan perbelanjaan pembangunan kepada KPKT untuk dianalisa sebelum geran pembangunan dikeluarkan. Setiap bulan PBT akan menerima pekeliling dari KPKT yang belum pasti akan dilaksanakan. Itu sahajalah rasa hormat PBT terhadap KPKT. PBT lebih hormat kepada ahli majlis kerana faktor politik.

PBT lebih cenderung kepada kerajaan negeri kerana kekerapan perhubungan dan perbincangan disamping adanya kuasa khas menteri besar untuk melantik Yang Di Pertua (YDP) dan ahli majlis. Setahu saya tiada satu seksyenpun di dalam Akta Kerajaan Tempatan yang memberikan kenyataan secara bertulis bahawa perlantikan ahli majlis mestilah dikalangan wakil parti komponen BN.
Sesuatu perlu dilakukan untuk mengubah merit lapuk sebegini demi menjamin kredibiliti dan taraf ahli majlis itu sendiri.

Dalam keadaan sebegini, KPKT seolah-olah tiada taring dan berwibawa untuk masuk campur di dalam soal lantikan ahli majlis. Sedangkan akta adalah di bawah kawalan mereka. Suara KPKT sebenarnya tidak boleh mendahului menteri besar dan ketua menteri dalam soal lantikan ini. Kuasa politik telah mendahului segala-galanya.

Apakah kita sanggup membiarkan fenomena ini terus berlaku?. Kaedah lapuk perlantikan ahli majlis yang memberi laluan ahli politik mendudukinya berpunca daripada suatu masa dahulu apabila pembangkang menguasai pilihan raya kerajaan tempatan. Logiknya ketika itu pembangunan tidak dapat diagihkan sehingga ke akar umbi kerana PBT dikuasai oleh pembangkang.

Masa sudah berlalu dan kekuatan kerajaan kini adalah kuat dari pusat sehinggalah ke negeri. Apakah tidak boleh diubah kriteria pemilihan ahli majlis agar ianya mencakupi sistem pentadbiran yang profesional kerana pembayar cukai kini sudah ramai yang berpendidikan tinggi dan celik masalah semasa. Ahli majlis berperanan besar untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang diperlukan.

Percaya atau tidak didalam akta tiada satupun petunjuk yang selari dengan ktriteria perlantikan ahli majlis masa kini. Apakah ada kuasa menteri besar atau ketua menteri "over rule" undang-undang yang sedia ada? Saya rasa jika semua pihak mengikuti definasi syarat-syarat untuk melantik ahli majlis mengikut Akta 171, tiada masalah besar yang boleh berbangkit jika kita mengikut undang-undang. Jika cara melantik ahli majlis pun tidak mengikut kehendak akta, jangan marah jika ahli majlis terbabit juga suka melanggar undang-undnag kerana mereka dilantik pun membelakangi undang-undang.

Peruntukan Seksyen 10. Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) telah memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk melantik ahli majlis yang terdiri dari :
i. Antara orang-orang yang bilangan tersebut daripada mereka hendaklah pemastautin di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan yang berkenaan.

ii. (a) Orang yang pada pendapat pihak berkuasa negeri mempunyai pengalaman yang luas dalam hal ehwal kerajaan tempatan; atau

(b) Orang yang telah memperolehi kejayaan terpuji dalam sesuatu profesyen, perdagangan atau perindustrian; ataupun

(c) Orang yang mempunyai kebolehan untuk mewakili kepentingan kaum-kaum mereka dalam kawasan pihak berkuasa tempatan.

Jelas menunjukkan perlantikan ahli majlis masa kini hanya mementingkan aspek perkara Seksyen 10 ii(c) Akta 171 sahaja. Walaupun klausa akta berkenaan bermaksud secara umum, tetapi inilah kelemahan yang dimanipulasi sepenuhnya oleh ahli politik demi survival pemimpin politik tertentu.

Akibatnya fungsi ahli majlis terpesong jauh dan mendukacitakan pembayar cukai taksiran. Daripada berfungsi sebagai pembuat dasar sesebuah PBT, ianya kini lebih kepada fenomena dan aktiviti politik sesuatu tempat. Sebabnya kerana 24 ahli majlis PBT dipenuhi oleh ahli politik yang sudah semestinya akan menggunakan PBT sebagai instrumen politik mereka. Itulah sebabnya wakil rakyat dan ahli majlis "kebal" dari undang-undang dan peraturan yang mereka luluskan sendiri di dalam mesyuarat penuh ahli majlis.

Malah ada ahli majlis yang tidak tahu peranan dan tanggungjawab yang perlu dan boleh dimainkan oleh ahli majlis. Pengetahuan ahli majlis di dalam bidang perancangan dan pembangunan PBT adalah penting memandangkan perlantikan seseorang ahli majlis itu adalah bertujuan untuk membantu PBT di dalam membuat dasar, merancang dan mengawasi pelaksanaan projek pembangunan di peringkat PBT.

Pernah terjadi suatu ketika dahulu di sebuah PBT di Selangor yang disebabkan merit politik individu itu dalam politik, iaitu seorang ketua pemuda bahagian, secara automatik dilantik sebagai ahli majlis sedangkan beliau secara ikhtisasnya seorang kerani di PBT yang sama. Apakah merit politik boleh mendahului kredibiliti dan ketinggian taraf ahli majlis?. Tidakkah ada unsur integriti di dalam menjalankan tugas?.

Walaupun ada ahli politik yang berlatar belakangkan pendidikan tinggi dan profesional, tetapi asas perlantikan mereka adalah kerana jawatan dalam parti dan sedikit sebanyak mempengaruhi suara dan pendapat mereka di mesyuarat ahli majlis.

Dalam soal anak beranak Zakaria yang duduk bersama semeja sebagai ahli majlis di PBT yang sama, tiadakah alternatif dan pengecualian di dalam urusan perlantikan ahli majlis demi menjaga imej dan nama ahli majlis supaya tidak dipandang rendah dan cemuhan rakyat?. Mungkin Zakaria ada hak untuk bercakap "dulu boleh pun..si polan empat beranak dalam satu PBT..si polan suami isteri pun ada duduk dalam PBT yang sama, dan si polan adik beradik pun ada sebagai ahli majlis di PBT yang sama".

Dulu lain, sekarang lain Datuk Zakaria. Rakyat lebih kesedaran dan prihatin terhadap apa yang berlaku diseliling mereka. Mereka mahukan ahli majlis yang bebas rasuah, golongan berpendidikan tinggi, tidak berat sebelah, tiada double standard, dihormati masyarakat dan berkhidmat untuk rakyat. Rakyat sudah sampai ke tahap maksimum bosan sebenarnya apabila ahli majlis tidak berfungsi.

Mungkin malang kepada Zakaria kerana pembinaan rumahnya telah menjadi suatu isu terkini dan terungkai pula cerita lain. Kes Zakaria ini telah menjadi sebagai penyebab dan pendorong rakyat untuk bersuara kerana secara kebetulan banyak sangat isu yang timbul berkaitan PBT. Kes Zakaria menjadi batu loncatan dan pemangkin segera rakyat bersuara akibat sudah tidak tahan duduk berdiam diri begitu lama. Rakyat juga sudah tidak tahan dengan kekebalan yang dimiliki oleh wakil rakyat dan ahli majlis.

Realiti yang tidak boleh disanggah, perlantikan ahli majlis PBT adalah kuasa mutlak Menteri Besar atau Ketua Menteri. Ketua parti komponen BN di bahagian secara automatik menjadi ahli majlis. Di pihak UMNO, sekurang-kurangnya lima orang ahlinya akan menduduki kerusi ahli majlis sesebuah PBT. Di dalam Perlembagaan UMNO sendiri telah dinyatakan pada Fasal 15.13.1 "Tanggungan, kuasa dan kewajipan Jawatankuasa Bahagian ialah mencadangkan calon-calon pilihan raya, wakil-wakil parti bagi menganggotai Majlis Bandar Raya, Perbandaran, Bandaran Tempatan dan Daerah".

Jelas menunjukkan politiking menguasai perlantikan ahli majlis. Terlampau berpolitik menyebabkan tujuan dan sebab diwujudkan jawatan ahli majlis hanya tinggal tulisan dalam bentuk dokumen sahaja. Yang menjadi mangsa ialah rakyat dan pembayar cukai. Mereka berharap perkhidmatan yang diberi berkualiti dan berpiawaian tinggi. Ini kerana setiap tindak tanduk ahli majlis membantu menyelesaikan masalah rakyat akan tetap berakhir dengan agenda politik.

Jika benar perlantikan ahli majlis mengikut kuota parti komponen BN, tidak bolehkah dilantik ahli parti politik yang benar-benar berwibawa dan disegani walaupun beliau tidak berjawatan di dalam parti? Apa yang dilihat sekarang ini wakil UMNO sebagai ahli majlis PBT seperti "wajib" terdiri daripada Ketua Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri. Selebihnya mengikut budu bicara ketua bahagian yang menghantar nama ke Menteri Besar. Tidak bolehkah sistem sebegini dirombak? Kita mahukan ahli majlis yang berkualiti dan aktif berkhidmat untuk masyarakat. Walaupun seseorang itu berjawatan politik di peringkat bahagian, tetapi jika kelulusan akademik setakat lulus SRP, adakah layak menjawat jawatan ahli majlis yang begitu dihormati dan berwibawa di sesuatu PBT?

Bayangkan seorang Ketua Wanita UMNO yang hanya lulus SRP tetapi kerana merit politik duduk sebagai ahli majlis di sebuah majlis perbandaran. Kemudian beliau dilantik sebagai ahli jawatankuasa kelulusan pelan bangunan. Penduduk terutamanya di kawasan perbandaran kini telah dihuni oleh ramai yang berpelajaran tinggi. Tidak sumbangkah jika jawatankuasa kelulusan pelan bangunan dianggotai oleh bukan tenaga profesional?. Akibatnya nanti peranan PBT tercemar dan menjadi pertikaian.

Diketahui juga kriteria perlantikan ahli majlis juga berbeza-beza antara negeri. Ada negeri yang tidak mewajibkan ADUN dilantik sebagai ahli majlis. Ada segelintir negeri pula tidak melantik Ahli Parlimen sebagai ahli majlis. Ada negeri yang melantik ADUN dan ahli parlimen sebagai ahli majlis. Tidak seragam cara perlantikan sudah cukup untuk mengambarkan betapa "suntikan politik" cukup berpengaruh di dalam soal perlantikan ahli majlis.

Apa hebat dan istimewanya menjadi ahli majlis? Inilah persoalan popular dikalangan rakyat biasa sekarang ini ekoran kisah Zakaria menjadi topik utama akhbar tempatan. Apakah dengan hanya di beri sehelai blazer, lambang logo PBT untuk diletakkan di depan kereta, parking percuma dan elaun bulanan, itu yang menjadi rebutan ahli politik untuk menjadi ahli majlis?. Sehinggakan ada yang sanggup melobi ketua bahagian dan menteri besar semata-mata untuk jawatan berjangkamasa dua tahun. Sehingga ada yang sanggup meletak jawatan dalam parti semata-mata kerana ketua bahagian tidak melantiknya sebagai ahli majlis seperti yang berlaku di Shah Alam.

Pada BN, ahli majlis sangat penting sebagai medium politik kerana jawatan ini juga menjadi idaman parti pembangkang terutamanya DAP. Ini kerana pada tahun 50-an dan 60-an, jawatan ahli majlis PBT dipertandingkan sama seperti pilihan raya umum. Di kala itu kebanyakan bandar utama dikuasai oleh pembangkang. Semenjak Akta Kerajaan Tempatan diwartakan, pilihan raya tempatan sudah dihapuskan dan ahli majlis adalah jawatan lantikan menteri besar.

Adanya elemen "contact" dalaman untuk meraih projek-projek PBT, mengakibatkan sesiapa yang menjadi ahli majlis "sungguh bertuah". Kebanyakan ahli politik kini adalah merupakan ahli perniagaan terutamanya sebagai kontraktor. Dengan menjadi ahli majlis, dapatlah mereka "mendekatkan diri" dengan pegawai-pegawai PBT untuk meraih projek dan mendapat "tips" anggaran harga projek-projek yang bakal dilaksanakan. Alasan inilah yang paling popular mengapa ahli politik berebut-rebut hendak menjadi ahli majlis. Jika ini masih berleluasa, dimanakah tahap intergriti sesuatu PBT?. Tidakkah amalan rasuah boleh berlaku?. Dan dimanakah ketelusan PBT didalam agihan projek dan tender?.

Rakyat mahukan sesuatu perubahan dilakukan segera dalam soal lantikan ahli majlis. Ia melibatkan maruah PBT dan kepercayaan rakyat terhadap PBT. Terhakisnya kepercayaan terhadap PBT boleh menberi kesan jangka panjang seperti rakyat enggan membayar cukai taksiran. Hasil cukai taksiran di kebanyakan PBT dibelanjakan sekitar 20 peratus untuk membayar emolumen (gaji dan elaun) pekerja PBT. Bayangkan akibat rakyat sudah bosan dengan sikap ahli majlis yang tidak berfungsi, mereka boikot membayar cukai taksiran. PBT yang kecil akan menghadapi masalah dan terpaksa meminjam dana dari kerajaan negeri untuk membayar gaji. Keadaan ini pernah berlaku suatu masa dahulu dan kecekapan kerja PBT mula merosot.

Mungkin kajian terperinci boleh dilakukan untuk mengkaji semula cara perlantikan ahli majlis. Kali ini eloklah diberikan kuasa yang lebih kepada KPKT kerana mereka amat arif dan mahir soal "rumah tangga" PBT. Ahli majlis perlulah dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional seperti jurutera, peguam, arkitek, akauntan dan guru siswazah. Mungkin kriteria utama dikekalkan iaitu mestilah ahli parti politik komponen BN. Dirasakan tiada masalah kerana ramai juga tenaga profesional yang menjadi ahli parti politik komponen BN. Setidak-tidaknya kewibawaan dan darjat PBT akan lebih terpelihara dan mendapat sanjungan daripada penbayar cukai taksiran, lesen perniagaan dan penyewa harta PBT.

No comments: